Jutawan Klik!!!

Aku, Engkau dan Masjid

Di suatu ketika, di dalam Masjid al-Malik Qalid USM:

“Ustaz, ana nak tanya sikit boleh tak?” Tanyaku.

“Tanya apa? Pasal kawinkah?” sahut Ustaz Nazrul.

“Mana ada ustaz, calon pun tak dak lagi,” jawabku.

Lebih kurang macam ni la dialognya.

Inilah Ustaz Nazrul. Tiap kali aku nak mula berbual dengannya, tu lah soalan pertama yang sering diajukan kepadaku. Layan je la. Kurang-kurang dapat jugak lawak dengan ustaz aku yang satu ni.

Seperti biasa, bila aku sembang dengannya aku la yang jadi tukang dengar. Dengar je kerja aku. Dengar dan terus mendengar. Nak menyampuk pun susah. Kena tunggu lampu merah dulu baru boleh menyampuk. Ye la, orang yang bertanya memang la kena dengar. Hehe.

Seperti biasa, tiap kali aku bersembang dengan Ustaz Nazrul, agenda sharahannya lebih kurang sama iaitu masalah tentang ahli Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUSM).

“Ni macam mana sekarang? Budak PMI sorang pun tak dak masa tadarus,” tanya ustaz.

“Entah la ustaz, sibuk kot. Sekarang budak PMI selalu meeting, Pilihan Raya Kampus (PRK) tak lama lagi ni,” jawabku.

“Ustaz rasa tahun ni tak dak la majlis khatam a-Quran. Lelaki satu halaqah ja,” keluh ustaz.

Pening juga kepala aku bila dengar apa yang Ustaz Nazrul cakap. Ye la, siapa lagi yang nak imarahkan masjid dan program Pusat Islam USM kalau bukan ahli PMI. Ini adalah salah satu masalah yang aku rasa PMIUSM alami sekarang. Sebab aku pun dah perasan sikit dah. Kalau solat jemaah tu, tak ramai budak PMI yang aku nampak datang bersolat. Mungkin faktor lokasi masjid yang terletak agak jauh dari asrama pelajar (Restu dan Tekun). Tapi ada sekali tu aku solat kat surau Restu dan Tekun, situasi tetap lebih kurang sama. Budak PMI semakin menjauhi masjid.

“Kamu kena ingat, masjid ni hasil dari muktamar PMI tahun 1973. Kalau budak PMI tak imarahkan masjid ni sapa lagi yang nak imarahkan.” Kata ustaz.

Sekali lagi aku kena tendangan maut. Tersentuh juga hati aku bila dengar apa yang ustaz cakap. Memang betul hujah yang diberikan oleh Ustaz Nazrul. Kalau ahli PMI semakin melarikan diri dari Masjid, pelajar-pelajar lain macam mana la agaknya. Risaunya aku bila fikir benda ni.
Mungkin isu ini nampak remeh pada sesetengah orang. Banyak lagi isu besar yang ahli PMI perlu fikir. Mungkin ini jawapan mereka.

“ Kita sibuk nak buat bumbung tapi lantai pun tak siap-siap lagi,” cakap ustaz lagi.

Sekali lagi aku berfikir panjang tentang apa yang ustaz cakap. Dalam maknanya tentang apa yang ustaz cakapkan itu. Memang mendalam maknanya bagi mereka yang mengambil berat tentang keadaan umat Islam sekarang.

Krisis Iman

Daripada perbualan di atas dapatlah saya simpulkan disini bahawa kita sekarang sedang mengalami krisis Iman.
Mengapa krisis Iman? Marilah kita sama-sama berfikir…
Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman:

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(at-Taubah: 18)

Daripada ayat di atas dapatlah kita ambil sedikit input bahawa hanya orang-orang yang beriman sahaja yang mengimarahkan rumah Allah.

Penting sangatkah solat berjemaah di masjid lima waktu sehari semalam? Pernah tak kita berfikir pasal benda yang asas ini?

Pertama sekali, apa yang kita perlu tahu bahawa solat berjemaah di masjid adalah satu sunnah Rasulullah SAW. Sunnah bererti cara hidup. Di sini kita perlu tahu bahawa tiada satu pun cara hidup manusia di atas muka bumi ini yang pernah dirakam bermula dari bangun tidur sehinggalah tidur kembali kecuali Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW. Malah, kita pun sudah sedia maklum bahawa sunnah nabi SAW adalah cara hidup terbaik untuk dicontohi dan diikuti oleh kita. Siapa lagi yang nak ikut sunnah nubuwwah ini kalau bukan mereka yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya?

Apabila Rasulullah SAW sampai sahaja ke yatsrib (nama lama Madinah) ada beberapa perkara yang nabi SAW dan lakukan salah satunya ialah membina masjid.

Apa yang saya nak tekankan disini ialah nabi SAW telah membina masjid dahulu semasa sampai di Madinah. Ini menunjukkan peri pentingnya masjid sebagai markas untuk merencanakan segala tindakan. Salah satunya ialah merencanakan pentadbiran negara. Di sini dapatlah kita simpulkan bahawa masjid bukanlah calang-calang tempat. Di masjidlah bertemunya hati-hati yang hendakkan Islam. Di masjidlah berkumpulnya mereka yang ingin hidup dan matinya untuk Islam. Di masjidlah berkumpulnya jiwa-jiwa pemimpin Islam sejati. Di masjidlah kita belajar bagaimana hendak berkepimpinan dan hendak taat setia kepada pemimpin iaitu dengan memilih imam yang layak untuk mengimamkan solat dan kita mengikut imam itu selagi imam itu masih lagi bersolat mengikut rukun solat. Jika imam itu terlupa atau terleka, maka makmum di belakang segera menegurnya.

Apa yang saya nak tekankan disini bersolat fardhu secara berjemaah di masjid penting untuk mencari, membina dan memupuk jiwa-jiwa yang hendakkan Islam sebagai cara hidup. Bagi muslimat, kalau nak cari calon suami yang baik lagi beriman, carilah yang selalu pergi masjid. Tiap kali solat fardhu mesti nampak muka dia. Sah!!! Lelaki itu seorang yang beriman. Don’t worry. Allah SWT dah bagi tahu kat kita dalam al-Quran. Melencong pulak aku ni.

Sebab itulah kalau kita tengok di matrik, salah satu rasipi kejayaan dakwah di matrik ialah jiwa-jiwa penggerak Islam ini terikat dengan masjid. Di masjidlah hati-hati para da’ie ini diikat dengan simpulan ukhwah Islamiyyah yang talinya ialah kalimah tayyibah, “Lailaha illallah Muhammadur rasulullah”. Semakin kuat cinta kita kepada Allah dan rasulNya semakin kuat ukhwah kita sesama Islam. Apabila ada orang bertanya kepada aku waktu mana yang paling aku sukai dan penting dalam hidup aku maka aku akan menjawab waktu aku di matrik. Di matriklah aku mendapat fikrah untuk memperjuangkan Islam. Di matriklah aku mula bersahabat dengan mereka yang berjiwa da’ie. Meluah perasaan la pulak aku nih. kui kui…

Jadi, kepada mereka yang inginkan Islam kembali cemerlang marilah kita kembali kepada perkara yang asas ini. Marilah kita siapkan dahulu lantai (tapak) sebelum kita dirikan tiang, dinding dan seterusnya bumbung. Segala komen dialu-alukan. Segala yang baik itu dari Allah SWT dan segala kekurangan itu adalah dari kekurangan diri yang menulis ini. Wallahu a’lam.

Sambungan..

Antara Badar al-Kubro dan Pilihan Raya Kampus (PRK)

Hari sentiasa bersilih ganti, semakin terasa bahang kehangatan Pilihan Raya Kampus (PRK) walaupun kita masih tidak tahu bila akan diadakan PRK. Setakat ini, antara berita yang ter ‘Sahih’ saya dengar, PRK akan diadakan selepa raya.

Hari sentiasa silih berganti, nampaknya calon-calon semakin bersemangat untuk menghadapi ‘peperangan’ dalam masa yang terdekat ini. Walaupun pada pandanganku bekalan yang hendak dibawa untuk menghadapi ‘robot-robot HEP’ nampaknya masih belum memuaskan hati lagi.

Assalamu’alaikum, selamat sejahtera dan selamat malam saya ucapkan kepada pelawat. Selamat pagi dan petang saya ucapkan kepada mereka yang membaca artikel saya pada waktu pagi dan petang. Saya tulis artikel ini di waktu malam, sebab itulah saya ucapkan selamat malam.

Apakah kaitan antara Perang Badar di zaman Rasulullah SAW dan PRK di zaman ini? Satu persoalan saya lontarkan kepada anda.

Apabila kita menghayati kembali sejarah awal Islam yang Agung, iaitu semasa 17 ramadhan 2 Hijrah telah berlaku satu peperangan besar dalam sejarah Islam yang memperlihatkan pertembungan antara kebenaran (al-haq) dan kebatilan.

Keputusan dari peperangan itu, Islam telah menang dengan penuh bergayanya. Cuba kita bayangkan 313 tentera Islam menentang 1000 orang kafir musyrikin Mekah. Kalau nak ikut logik akal mana la larat kudrat 313 orang kalahkan kudrat 1000 orang. Nak tambah lagi bergayanya Islam menang masa perang tu, tentera Islam waktu tu serba kekurangan dari segi kelengkapan berperang sampai ada tentera muslimin yang mengunakan pelepah tamar sebagai ganti pedang yang tiada. Baju perisai, kuda perang dan lain-lain lagi lagi la kurang. Tetapi situasi sebaliknya berlaku. Tentera kuffar memiliki segala kelengkapan untuk berperang.

Apa yang saya tulis diatas tu hanyalah kelengkapan dari segi fizikal sahaja. Tetapi yang peliknya tentera Muslimin boleh menang. Pernahkah kita berfikir macam mana la tentera Muslimin boleh menang? Hairan bin Ajaib kan. Apakah rempah ratus yang digunakan tentera Muslimin sehingga kita boleh menang? Cara memasak macam manakah yang membolehkan kita boleh menang? Cukupkah sekadar menunggu masakan masak tanpa mengacau masakan itu supaya sebati?

Apa la yang aku merepek ni. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, saya tak pandai masak pun. Tapi tulis macam chef pulak. Semenjak aku tolong Pusat Islam USM menyediakan juadah berbuka puasa, aku semakin berminat dengan bidang masakan.

Ok, mari kita selidik guna mikroskop elektron, apakah ramuan kejayaan Islam. Antara ramuannya ialah kebergantungan kita kepada Allah. Ya, Inilah ramuan utamanya! Inilah ramuan yang menyebabkan pertolongan Allah SWT turun. Ketika Rasulullah SAW mengetahui bahawa tentera musuh lebih ramai, Rasulullah SAW telah menadah tangan dan berdoa dengan kusyuk.

Maksudnya: “Ya Allah, tunaikan janjiMu untukku. Ya Allah, jika Engkau kalahkan jumlah kami ini, Engkau tidak akan disembah di muka bumi ini.”

Rasulullah SAW terus berdoa sampai serbannya jatuh. Abu Bakar mengambilnya dan meletakkannya kembali ke atas bahu baginda SAW. “Cukup wahai Rasulullah. Pasti Allah memenuhi janji-Nya untukmu,” ujar Abu Bakar. Tetapi Rasulullah terus berdoa. Pada banyak kesempatan, Rasulullah SAW selalu mewarnai ibadahnya dengan berdoa.
Itulah sifat nabi SAW. Begitu juga dengan para sahabat. Di setiap kesempatan, di waktu senang dan susah mereka tetap berdoa.

Kalau Nabi SAW yang maksum itu pun begitu banyak sekali berdoa apatah lagi kita insan yang banyak dosa ini!

Ya, kita kena sentiasa berdoa. Di sebalik kesempurnaan kita sebagai manusia, terselit benyak kekurangan dalam diri kita. Kita makhluk lemah yang memerlukan Allah yang Maha Perkasa. Tambah-tambah lagi di era fitnah ini. Kita semestinya sentiasa terus burhubung hati dan bergantung dengan Allah SWT. Hanya dengan doa sahaja kita mampu menghadapi taufan fitnah kuffar yang sedang menghentam kita. Biarlah sebesar mana pun badai yang melintang, hanya dengan doa sahaja kita mampu menghadapinya kerana Allah bersama dengan orang yang mengingatinya.

Tetapi perlu ingat! Doa tanpa usaha yang gigih tidak akan membawa hasil apa-apa kepada kita. Malah kekecewaan dan kegagalan yang akan mengiringi kita. Sejarah perang Badar telah menjadi saksi akan persediaan kaum Muslimin yang terbaik.
Inilah kekuatan sebenar tentera Muslimin:

Tentera mujahidin 313
2 tentera berkuda(Zubair bin Awwam dan Miqdad bin Al-Aswad
70 ekor unta( seekor dikongsi tiga orang)
Panglima tertinggi ialah Rasulullah SAW.

Kekuatan tentera Kuffar pula:

Tentera Musyrikin 950 orang beserta perisai
200 ekor kuda dan lebih 900 ekor unta
Mempunyai wanita-wanita sebagai pembakar semangat mereka.

Pening kepala aku bila baca statistik ni. Punya la contra. Sebelum itu, saya nak mintak kebenaran kat akh Muhammad Haafizuddin bin Abirerah, YDP PMIUM atas maklumat di atas.

Tapi nak buat macam mana. Itu sahaja persiapan terbaik yang tentera Muslimin boleh buat. Sama la juga dengan kita wahai diri yang mengaku pendokong Islam. Kita kena lengkapkan diri kita ini dengan kelengkapan yang semampu kita lengkapkan. Tambah- tambah lagi calon-calon PRK (sape la calon PRK tu.hehe. wat tanye pulak). Pening kepala aku bila memikirkan macam mana la aku nak duduk depan dalam dewan kuliah padahal sebelum ini aku tak pernah duduk depan. Inilah dilema aku sebagai calon PRK. Aku takut lepas je PRK aku duduk belakang balik bersama kaum sejenis sespesis dengan aku. Haha, kaum Adam la tu. Dengan kata lain aku tak nak jadi seorang yang hipokrit atau munafik. Tetapi aku ada satu attitude yang aku pegang selama ni: “BE WHO YOU ARE”. Jadi, untuk menonjolkan diri aku, aku hanya duduk di kerusi tengah dewan kuliah sahaja kerana di situ sahaja tempat yang paling depan aku pernah duduk. Aku hanya buat sekadar yang aku mampu sahaja. Pakai baju kemeja dipadankan dengan seluar slack. Phergh, memang poyo. Punya la malu aku. Jumpa ja kawan aku, dipanggilnya aku ahli politik. Lantak la, ikut suka korang la nak panggil aku apa pun. Yang penting, korang undi aku.

Jadi, apa yang saya ingin katakan di sini ialah persiapan kita apabila ingin melakukan sesuatu perkara. Selepas kita berusaha sebaik mungkin maka bertawakkallah kepada Allah SWT. Seperti mana firmanNya:

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya ia akan member kecukupan kepadanya.”
(al-Thalaq 65: 3)
Ingatlah wahai sahabat dan sohabiah sekalian, kemenangan kita adalah kebergantungan kita kepada Allah SWT.

Jadi, saya berharap kita semua dapat mengambil ikhtibar daripada peristiwa Badar al-Kubro yang begitu gah peristiwanya segagah namanya. Saya berharap semangat Badar al-Kubra akan terus mengalir dalam jiwa kita walaupun selepas berlalunya Ramadhan.
Sedihnya aku ya Allah, bulan penuh barakah ini dah nak meninggalkan aku. Sedangkan diriku ini masih lagi penuh karat dosa dan sifat mazmumah. Ya Allah, izinkan aku bertemu dengan Ramadhan sekali lagi. Amin…Wallahu a’lam.

Sambungan..

Kedudukan Hati dalam Diri

Tiap da’i hendaklah insaf bahawa pengisian hatinya hendaklah lebih diutamakan dari segala-galanya. Kalau jasad dan akalnya diberi habuan dan ubatan untuk berfungsi dengan sempurna, maka demikianlah juga hati. Ia patut meningkatkan dan menjaga hatinya. Dengan hati inilah ia menjadi da’I, ia menjadi mukmin yang sebenar. Dengan hati ini juga ia boleh menjadi rabbani.
Kalau da’i tidak ‘abid dan tidak bersifat rabbani, maka tidaklah ada ertinya sama sekali, walaubagaimanapun ilmu dan pencapaian ilmiahnya, sebab ilmu dan pengetahuannya (ternyata) tidak dibangunkan atas dasar taqwa kepada Allah dan mencari kerelaannya.
Dalam konteks menjelaskan betapa tingginya kedudukan hati, Rasulullah SAW menyifatkannya seperti berikut: “Manusia itu dua matanya (ibarat) petunjuk, dua telinganya sebagai pemberi isyarat awas, lisannya sebagai penterjemah, dua tangannya sebagai sayap, dua kakinya ialah posmen, hatinya pula sebagai raja. Kalau rajanya baik, maka baiklah bala tenteranya.”

Tanda Hati Masih Hidup

Tiap da’i wajib memerhati, mengambil berat perkembangan hatinya. Dengan demikian ia dapat meneliti keras lembutnya, darjah kepekaannya. Ia dapat memastikan apakah hatinya masih hidup atau sudah mati.

Antara tanda-tanda hatinya masih hidup ialah ia masih boleh bergetar dan teralun oleh zikrullah, bacaan al-Quran dan pelbagai jenis ibadah. Selaras dengan firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut “Allah”, gementarlah hati mereka, dan apabila dibaca ayat-ayatNya, bertambahlah imannya dan kepada tuhanlah mereka bertawakkal.”

(al-Anfal: 2)

Antara tanda-tanda yang menunjukkan hati masih hidup ialah kuatnya seseorang itu berpegang kepada agama. Keberaniaannya menyatakan yang hak. Tidak takut kecuali kepada Allah SWT. Tepat seperti yang dibayangkan oleh Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya di bumi Allah ini terdapat bejana-bejana; iaitu hati-hati (hambanya). Yang paling disayanginya ialah yang paling lembut, paling jernih, paling teguh. Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan lagi yang paling teguh berpegang kepada agama, paling jernih dalam kenyakinannya dan yang paling lembut terhadap sahabat.”

Antara petunjuk yang menandakan hati masih hidup ialah takutnya seseorang itu terhadap Allah dan kemurkaanNya. Ia menjauhkan diri dari segala yang diharamkan oleh Allah dan mengelakkan diri dari penderhakaan. Selaras dengan firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ketika mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka segera mengingati “Allah” dan ketika itu juga mereka sedar kesalahan-kesalahannya.”

(al-A’raf: 201)

Pendakwah dan Kepentingan Memelihara Hati

Antara tanda-tanda hati masih sihat ialah bersih dari keinginan menipu, dengki dan permusuhan. Dalam hadith rasulullah SAW ada diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya: “Siapakah orang yang paling baik, ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah SAW: “Tiap mukmin yang makhmumul qalbi.” Beliau ditanya: “Apakah yang dimaksudkan dengan makhmumul qalbi?” Beliau menjawab: “Iaitu orang yang amat bertaqwa, tidak menipu, zalim, khianat, mengambil yang bukan hak dan tidak menaruh hasad dan dengki.”
Antara yang membuktikan hati masih selamat adalah sifat tenang dalam menghadapi sebarang keadaan. Sifat lapang dada dan jauh pandangan. Rasulullah SAW pernah menafsirkan maksud ayat:

“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya.”

(al-Zumar: 22)

Nur ilahi kalau menerangi hati seseorang, maka dadanya menjadi lapang dan banyak sabar. Inilah juga yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT:

“Hanya dengan mengingati Allah sahaja segala hati menjadi tenang tenteram.”

(al-Ra’d: 28)
Dari penjelasan di atas nyatalah bahawa para pendakwah hendaklah mengambil berat tentang pemeliharaan hatinya. Hatinya hendaklah sentiasa dijamu dengan santapan dan bekal ruhani sehingga menjadi rabbani, jernih dan cerah, sentiasa takut kepada Allah dan senantiasa dalam ketenangan.

Manusia unggul yang kita teladani; Muhammad SAW telah mengajar kita cara memelihara hati supaya senantiasa subur dan bersih. Dalam kesempatan ini kita akan huraikan beberapa contoh ajaran dari sunnahnya untuk menjadi pedoman kepada sesiapa yang hendak menurut menjejak langkah orang-orang yang tinggi martabat ruhaniyyah mereka dan ingin mencapai darjat Rabbaniyyin.

Zikrullah

Seorang pendakwah tentunya tidak sukar untuk memberikan perhatian berat kepada amalan zikir dan mengingati Allah; dalam setiap kesempatan dan tindakannya. Rasul telahpun mewariskan kepada kita beberapa amalan zikir yang boleh dibaca dalam sehari semalam. Doa-doa ma’thurat itu kalau dihafal dan diamalkan selalu, menurut kaifiyat dan masanya nescaya ia boleh tergolong dalam golongan Ulul-Albab, sesuai dengan firman Allah SWT:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (Ulul-Albab), (iaitu) mereka yang mengingati “Allah” sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Rabbana! (Tuhan kami), tiadalah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, lantaran itu peliharalah kami dari ‘Azab nerakaMu!”

(Ali-‘Imran: 190-191)
Dengan mengingati Allah hati akan hidup segar dan jernih. Segala karat di hati akan hilang dan hati menjadi peka. Tepat seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW:
“Tiap sesuatu itu ada penggilapnya. Penggilap hati ialah zikrullah. Tidak ada (perbuatan) yang lebih menyelamatkan seseorang dari ‘azab Allah lain dari zikrullah.” Sahabat bertanya: “Jihad fisabilillah pun tidak boleh (menandinginya).” Jawab Rasulullah SAW: “Walaupun ia terus mencantas musuh dengan pedan sampai patah.” (Hadith riwayat al-Baihaqi)

Muraqabatullah

Pendakwah patut kerap bermuraqabah dengan Allah dalam setiap tindak tanduk, urusan, perkataan, ‘amalan, perasaan dan runtunan emosinya. Kesungguhan bermuraqabah dengan Allah boleh menyelamatkan pendakwah dari tergelincir dan menyeleweng. Hatinya sentiasa peka dan menurut kemahuan Allah dan bukan kehendak hati sendiri.
Pendakwah harus tahu bahawa urusan hidup ini terbahagi kepada tiga jenis:

a) Sesuatu yang jelas baik dan wajar, maka hendaklah dituruti.
b) Yang jelas buruk dan merugikan, maka hendaklah dihindari.
c) Suatu yang kabur, maka hendaklah ditanyakan tentang itu kepada orang yang tahu.

Muraqabah dengan Allah akan lebih teguh dan terkesan dengan bertambahnya pendekatan diri kepada Allah dan perasaan bahawa Allah hampir dengan dirinya.
Allah SWT berfirman:

“Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.

(Qaf: 16)
Wallahu A’lam..

Sambungan..

Antara Ilusi dan Realiti

Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan Realiti” (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah), al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.
Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenangkan oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin” tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimipin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.
Mengapa keadaan ini boleh berlaku? Mengapa pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?
Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.
Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang pemimipin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.
Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.
Beginilah perihal kita apabila berhadapan dengan musuh. Jika membaca al-Quran dan meneliti ayat-ayat tentang Nasrani, kita akan dapati bahawa orang-orang Kristian hari ini amat menepati watak mereka seperti yang digambarkan di dalam al-Quran. Maka orang-orang Kristian pada hari ini adalah orang Kristian sejati. Mereka adalah realiti. Pertembungan kita terhadap mereka adalah pertembungan kita dengan realiti.
Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi amat selaras. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.
Namun jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?
Apakah ciri-ciri kita sebagai Muslim, sama dengan ciri Muslim yang digambarkan oleh al-Quran? Jika al-Quran yang pantang dihina oleh kuffar itu bercakap tentang kualiti Muslim pada akhlaqnya, pada aturcara hidupnya, pada upaya hidupnya, pada upaya dirinya…apakah kita semua wahai Muslimin, sama seperti apa yang kita gambarkan oleh al-Quran?
Sedikit petikan dari tajuk “Tidak Bersih Islam dengan Kotoran Muslim”
Oleh Hasrizal Abdul Jamil (Saiful Islam)
Bahagian Teladan hidup
Majalah i keluaran Mei 2008

Sambungan..

Tiang dan Bangunan Taqwa

Antara ciri-ciri taqwa seperti yang difirmankan Allah adalah dalam suruh al-Baqarah ayat 3-5 yang bermaksud, “Mereka beriman dengan alam ghaib, mendirikan solat dan serta menafkah sebahagian rezeki yang kami anugerahkan kepada mereka. dan mereka beriman kepada kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya kehidupan di akhirat. Merekalah orang yang mendapat petunjuk dari tuhan meraka dan merekalah orang-orang yang beruntung.”
Berhubung dengan ayat ini, Said Hawa di dalam al-Asas fit Tafsir berkata, “ (Berpandukan kepada ayat-ayat ini) taqwa mempunyai tiang-tiang asas dan bangunannya. Tiang-tiang asas itu adalah IMAN, SOLAT dan MENAFKAHKAN HARTA dan bangunannya adalah KEPATUHAN BERPANDUKAN KITAB ALLAH. Kesemua ini adalah tuntutan taqwa. Ramai oranag tersilap apabila mereka menanggap golongan yang meminggirkan kitab Allah sebagai golongan yang bertaqwa. Sebahagian yang lain pula tersilap apabila mereka mengketogorikan golongan yang beriman tetapi mengabaikan solat dan nafkah sebagai golongan yang bertaqwa.
Apabila diamati ayat 3 hingga 5 daripada surah al-Baqarah, kita mendapati ciri taqwa yang terpenting adalah BERIMAN KEPADA ALAM GHAIB. Abdullah bin Mas’ud r.u berkata, “Tidak beriman seseorang dengan sesuatu yang lebih afdal daripada beriman kepada perkara ghaib.” Imam Abul Aliyah mentafsirkan perkara-perkara ghaib seperti beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab Allah, rasul-rasulnya, hari akhirat, syurga, neraka, kebangkitan selepas mati serta pertemuan denga Allah. Imam Zaid bin Aslam mentafsirkannya sebagai beriman dengan qadar. Hal ini disebutkan di dalam Tafsir al-Quran al-Azim oleh Ibn Kathir.
Percaya kepada alam ghaib menjadikan umat Islam umat luar biasa kecekalan dan kehebatannya. Kepercayaan ini menjadikan umat Islam mampu menghadapi penderitaan semasa diboikot ekolomi selama 3 tahun di Mekah. Ia juga menjadikan mereka sanggup meninggalkan harta benda di Mekah bagi merentasi padang pasir menuju ke Madinah. Ia menjadikan mereka berani menghadapi musuh walaupun jumlah musuh lebih ramai daripada jumlah mereka.
Sebagai contoh, di Badar tentera Islam hanya berjumlah 313 orang berbanding dengan tentera Quraisy yang berjumlah 1000 orang. Di perang Khandak, tentera Islam berjumlah 3000 orang berbanding dengan tentera Ahzab yang berjumlah 10000 orang. Di Yarmuk, tentera Islam berjumlah 39000 orang berbanding dengan tentera Rom 240000 orang. Di Qudisiyah pula, jumlah tentera Islam adalah 41000 orang berbanding dengan tentera Parsi 200000 orang. Berbekalkan keyakinan kepada Allah, tentera-tentera Islam berjaya mengalahkan musuh-musuh mereka dalam semua peperangan ini. Kepercayaan ini juga menjadikan Khalifah Umar al-Khattab sering menyoal mereka yang datang menemuinya dari wilayah-wilayah Islam yang jauh berkenaan dengan keadaan keadaan golongan bukan Islam kerana tidak mahu umat Islam menzalimi mereka. Ia menyebabkan seorang wanita, pada zaman Khalifah Umar tidak mahu mencampurkan susu binatang yang dijualnya dengan air walaupun dengan cara itu dia akan mendapat keuntungan yang lebih. Dia sekadar berkata, “JIka Khalifah Umar tidak nampak perbuatanku, Allah melihat segala perbuatanku.”
Begitu besarnya pengaruh kepercayaan kepada Allah dan alam ghaib kepada umat Islam. Ia melahirkan amal salih dan sikap positif dalam hidup. Tambahan daripada itu, kepercayaan ini mampu menghilangkan perasaan kecewa dan putus asa semasa diuji. Hal ini kerana umat Islam yakin, di tengah-tengah ketidakadilan dan kekejaman dunia hari ini wujud pertolongan Ilahi. Lantas, kes-kes bunuh diri jarang berlaku dikalangan umat Islam. Kepercayaan kepada alam ghaib benar-benar menguatkan jiwa sekali gus meredakan tekanan dan kecewa di hati.
Mungkin antum semua sudah muak melihat realiti umat Islam pada masa kini yang begitu teruk sekali jika hendak dibandingkan dengan realiti umat Islam di zaman awal Islam dahulu.
Mungkin juga ada dikalangan antum yang begitu mendambakan Islam sebagaimana Islam di zaman awal dahulu.
Mungkin juga ada dikalangan antum yang sedang risau dengan keadaan umat Islam pada masa kini.
Dan mungkin juga yang sedang berfikir APAKAH FORMULA PENYELESAIAN YANG TERBAIK KEPADA MASALAH YANG KITA ALAMI SEKARANG INI?
Tidak lain dan tidak bukan formulanya ialah TAQWA. Telah tercatat di dalam surah al-Talaq ayat 2 dan 3 Allah berfirman,” Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan (Allah) dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka kepadanya.”
Wallahua’lam
7 Formula Induvidu Cemerlang
Dr. Danial Zainal Abidin
Dengan sedikit edit dan penambahan…salam

Sambungan..

Gambaran Titian Siratal Mustaqim Di Dunia

Terjemahan:
Daripada NawwasBin Sam’aan daripada Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) sabdanya: “Allahmembuat perumpamaan tentang Siratal Mustaqim bahawa pada dua sisinya (kiri dankanan) ada dua pagar, dan pada kedua-dua pagar tersebut terdapat banyak pintuyang sedang terbuka, dan pada tiap-tiap pintu itu pula ada tabir yangmenutupinya, dan di atas pintu masuk ke jalan yang lurus itu ada penyeru yangmemanggil: Hai sekalian manusia, masuklah kamu semua ke dalam “Jalan YangLurus” ini dan janganlah menyimpang (melencong)!, dan ada pula penyeru yangberada daripada atas jalan itu yang jika manusia ingin membuka sedikit tabirpenutup pintu itu, lalu ia berkata: Celaka engkau, janganlah engkau buka tabiritu! Sebab jika engkau membukanya niscaya engkau akan terjerumus ke dalamnya.Jalan yang lurus itu adalah Islam dan dua pagar itu ialah batasan-batasan Allah(Hududullah), pintu-pintu yang terbuka itu larangan-larangan Allah dan penyeru yangmemanggil dari pintu masuk ke jalan itu ialah Kitabullah (Al-Quran), danpenyeru yang berada di atas jalan itu pula ialah peringatan daripada Allah yangterdapat pada hati setiap muslim”.
[Hadis HasanSahih Riwayat Imam Ahmad]
Mukaddimah:
Siratal Mustaqimadalah titian atau jembatan yang mesti dilalui oleh setiap insan di alamakhirat nanti. Titian inilah yang menghubungi antara Mauqif (Padang Mahsyar)dengan Jannah (Syurga) dan di bawah titian terdapat Naar (Neraka). Keadaanorang yang meniti di atasnya dan kecepatannya tidak sama, ada yang sepertikerdipan mata, ada yang seperti kilat, ada yang seperti angin dan sebagainya.Dan ada pula yang terjatuh di tengah jalan dan langsung masuk neraka.

Keadaan manusiadi atas Siratal Mustaqim di alam sana akan sama betul dengan keadaan manusiaketika mereka berada di atas Shiratul Mustaqim di dunia ini. Kalau ketika didunia ini perjalanan mereka tetap di atas jalan yang lurus dan tidak melencongke kiri dan ke kanan, maka di akhirat nanti nasib mereka juga akan demikian,berjalan tegap di atasnya dan akhirnya sampai dengan selamat ke syurga yangdituju. Tetapi jika sebaliknya, maka mereka pasti akan tergelincir danseterusnya masuk ke dalam neraka, Wal ‘Iyadzu Billah.

Dan untukmemudahkan kita memahami makna sebenarnya Shiratal Mustaqim itu, makaRasulullah (sallallahu alaihi wasalam) telah membuat suatu perumpamaan atautamsilan yang cukup cantik dan bagus sekali untuk kita jadikan sebagai bahanrenungan kita semua. Semoga dengan mengambil i’tibar ataupun pengajarandaripadanya kita akan termasuk di dalam golongan yang berjaya melintasiShiratal Mustaqim di akhirat nanti, amin ya Rabbal ‘Aalamin.
Ringkasantamsilan di atas ialah:
Siratal Mustaqimialah jalan lurus yang di kiri kanannya ada pagar, pada pagar terdapat banyakpintu yang terbuka, pintu-pintu tersebut hanya ditutup dengan tabir tipis, danpada pangkal jalan yang lurus itu terdapat penyeru, dan di atas jalan juga adapenyeru. Jalan yang lurus itu adalah Islam, dan dua pagar adalahbatasan-batasan ALLAH dan pintu-pintu yang terbuka itu adalah perkra-perkarayang diharamkan oleh ALLAH, dan penyeru di pangkal jalan adalah Al-Quran, danpenyeru di atas jalan pula adalah peringatan ALLAH yang ada pada setiap hatiorang Islam.

Di KiriDan Kanannya Ada Pagar:

Berdasarkan hadisdi atas Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) menjelaskan bahwa dua pagar yangdimaksudkan pada kiri dan kanan jalan yang lurus itu ialah batasan-batasanAllah (Hududdallah). Umat Islam wajib menjaga batasan-batasan Allah dan merekadilarang melampaui batasan-batasan tersebut. Dan ini berbeda dengan orangkafir. Bagi mereka tidak ada pantang larang, bagi mereka sama saja antara halaldan haram. Itulah sebabnya maka Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda:
“Dunia adalahpenjara bagi orang-orang yang beriman dan syurga bagi orang-orang yang kafir”

[HR Muslim]

PadaPagar Terdapat Banyak Pintu Yang Terbuka Yang Hanya Ditutup Dengan Tabir Tipis

Nabi (sallallahualaihi wasalam) menjelaskan dalam hadis bahwa pintu-pintu yang terbuka ituadalah perkara-perkara yang diharamkan Allah. Nabi (sallallahu alaihi wasalam)tidak mengatakan bahwa pintu itu tertutup. Ini menggambarkan betapa mudahnyamanusia terjerumus ke dalam kancah maksiat. Kesempatan untuk melakukannyaterbuka luas bagi orang yang mengingininya. Pintu itu juga digambarkan hanyaditutup dengan tabir yang tipis. Ini seolah-olah ingin menyatakan bahwa manusiatidak perlu bersusah-payah untuk membolehkan mereka terlibat dengan dosa danmaksiat. Kecuali orang yang mendapat perlindungan Allah SWT.

PenyeruPada Pangkal Jalan Yang Lurus Itu Adalah Kitabullah.

Berdasarkan hadis di atas bahwa yang dimaksudkan dengan penyeru itu ialah Kitabullah, diamenyeru: Hai sekalian manusia, masuklah kamu semua ke dalam Jalan Yang Lurus,dan janganlah kamu melencong (menyeleweng).

Tujuan Al-Quranditurunkan oleh Allah SWT adalah sebagai pedoman bagi umat manusia, khususnyabagi orang-orang yang bertaqwa. Al-Quran menyeru kita agar menTauhidkan Allah danmengikuti ajaran yang dibawa oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam). Jikakita turuti kehendak seruan tersebut, berarti kita telah berada dalam Islamyang sebenarnya dan itulah Jalan Yang Lurus.

Allah SWTberfirman: “Inilah JalanKu yang lurus, maka ikutilah dia, dan jangan kamu ikutijalan-jalan (yang lain), karena (jalan-jalan itu) mencerai-beraikan kamudaripada jalanNya”. (Al-An’aam :153)

PenyeruAtas Jalan Itu Adalah Peringatan Allah Yang Ada Dalam Hati Setiap Muslim.

Gerak-geri dan tingkahlaku manusia sangat berkaitan rapat dengan hatinya. Akhlak adalah cermin hati.Jika hatinya baik maka biasanya akan baik pula akhlaknya. Demikian jugalahsebaliknya. Jadi dalam hati kecil setiap muslim yang beriman senantiasa adaperasaan bencikan maksiat atau dosa.

Oleh sebab itusetiap manusia yang ingin menyingkap tabir pintu maksiat dalam kehidupannyasehari-hari, niscaya hati nurani yang beriman kepada Allah akan segera berseru:Celaka engkau! Jangan engkau buka tabir itu, sebab jika engkau buka juga nantiengkau akan terjerumus ke dalamnya.

Mungkin inilahsebabnya mengapa “Zikrul Qalb” iaitu zikir hati adalah lebih afdhal daripada“Zikrul Lisan” iaitu zikir lidah. Hati yang senantiasa ingat akan hukum-hakamAllah, dan hati yang senantiasa yakin bahwa Allah melihat apa saja yang dialakukan, akan dapat menasihati dan memberi peringatan kepada anggotanya yangakan melakukan maksiat. Ini berbeda kalau zikirnya hanya terbatas pada zikirlisan saja tanpa diikuti oleh zikir hati.

Kesimpulan:

1. Setiap muslim/muslimat memohon kepada Allah minima 17 kali dalamsehari agar mereka ditunjukkan ke Jalan Yang Lurus, “Ihdinash ShirathalMustaqiim”. Ini menandakan bahwa Jalan Yang Lurus itu adalah sesuatu yangpaling mustahak bagi umat manusia.

2. Para Mufassiriin (Pakar Tafsir) berbeda pendapat tentang maknaShirathal Mustaqiim. Ada yang menafsirkannya dengan Islam, Al-Quran, AhlusSunnah Wal Jamaa’ah. Kesemua tafsiran itu adalah benar karena salingmelengkapi.

3. Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) menggambarkan dalam hadisdi atas bahwa Jalan Yang Lurus itu adalah ISLAM. Dua pagar di kiri dan kanannyaadalah batasan-batasan Allah. Pintu-pintu yang terbuka pada pagar adalahperkara yang diharamkan oleh Allah. Yang memanggil di permukaan jalan adalahAl-Quran, sedangkan yang memanggil dari atas jalan pula adalah suara hatimuslim yang beriman kepada Allah.

4. Jadi Sirathal Mustaqim yang ada di atas muka bumi bukanlahtitian atau jembatan yang terbentang, tetapi ia adalah ISLAM yang kandunganutamanya ialah himpunan suruhan dan larangan Allah sebagaimana yang termaktubdalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam).

5. Keadaan manusia ketika melalui Sirathal Mustaqiim di akhiratnanti adalah sama betul dengan keadaan mereka ketika meniti Sirathal Mustaqimdi dunia ini. Semakin kuat dan kokoh pegangan mereka dengan Islam, makaakan semakin lancarlah perjalanan mereka di sana nanti. Al-Jazaa Min Jinsil ‘Amal (Balasan sesuaidengan jenis amal).
28 Jul 2007 Ust Dr Abdullah Yasin
Sumber: al-nidaa.com

Sambungan..

Musim Tengkujuh Melanda Umat Islam

Selepas masa berlalu, tiba-tiba umat Islam menjadi lemah dan kaku. Mereka tidak lagi berminat mengkaji alam. Bidang kajian dan tafakur yang berkaitan dengan sains dan teknologi mula diabaikan sedangkan di barat ia tumbuh dan berkembang seperti cendawan. Umat Islam mula cenderung dengan bidang baru iaitu berdebat dan berfalsafah dalam perkara yang ranting dan tidak berfaedah.
Berhubung dengan perkara ini, Syeikh Hasan an-Nadwi di dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam berkata, "Tetapi sayang sekali, kaum Muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuang waktu dan tenaga untuk berfikir dan berfalsafah dengan perkara yang tidak bermanfaat. Jika mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum Muslimin kedudukan mereka tidak menjadi separah itu. Umat Islam bukan sahaja asyik membahaskan sifat-sifat Allah, malah juga berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya. Semua ini memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit. Hasil penemuan (sains) kaum Muslimin sama ada di sudut kuantiti ataupun kualitinya, tidak mendatangkan apa-apa makna jika dibandingkan dengan penemuan barat… Abad keenam belas dan tujuh belas Masihi merupakan abad terpenting dalam sejarah umat manusia. Itulah era kebangkitan bangsa Eropah dari tidurnya selepas berabad-abad lamanya ia hidup dalam kebodohan dan kemunduran. Mereka bangkit untuk menggali segala bidang ilmu dan pada waktu itu mereka berjaya melahirkan ilmuwan-ilmuwan ternama yang berjaya menggantikan sistem pendidikan lama dengan yang baru. Ketika itu kaum Muslimin tidak hanya ketinggalan beberapa saat sahaja berbanding bangsa eropah, lebih malang dari itu mereka terbelakang selama beberapa abad dan beberapa generasi lamanya…"
Perlu disebutkan disini, dalam Islam, selama kajian yang dilakukan dan ilmu yang dihasilkan mempunyai matlamat. Matlamat utama adalah mengagungkan dan membesarkan Allah serta agamanya. Berhubung dengan ini, di dalam Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali berkata, "Ilmu yang terpuji adalah ilmu berkenaan Allah, sifat-sifatNya, af’alnya dan sunnahnya berhubung dengan penciptaan makhluk serta hikmahnya menjadikan akhirat lebih utama dari dunia. Inilah ilmu yang dituntut yang bakal membawa seseorang kepada kebahagiaan akhirat…"
Semasa mencari ilmu, hati perlu ikhlas. Apabila ilmu yang dicari bertujuan mendapatkan kemewahan serta habuan dunia, ilmu itu tidak diredhai Allah. Ilmu yang tidak diredhai Allah mendatangkan beban dan tekanan ke atas pemiliknya. Nabi SAW bersabda, " Sesiapa yang mencari ilmu yang sepatutnya bertujuan mencari keredhaan Allah, tetapi dilakukannya bagi memperoleh harta benda duniawi, dia tidak akan mencium bau syurga pada hari akhirat." Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad yang baik.
Akhirnya, ilmu yang dimiliki tidak bermanfaat apabila tidak diamalkan. Benarlah Imam Salh bin Abdullah semasa beliau berkata, "Manusia semuanya mati kecuali mereka yang berilmu. Ahli ilmu semuanya mabuk kecuali mereka yang beramal. Mereka yang beramal semuanya tertipu kecuali mereka yang ikhlas. Mereka yang ikhlas semuanya dalam ketakutan sebelum diketahui kesudahan amalnya."
sumber: 7 Formula Induvidu CemerlangPenulis: Dr. Danial Zainal Abidin

Sambungan..