Jutawan Klik!!!

Aku, Engkau dan Masjid

Di suatu ketika, di dalam Masjid al-Malik Qalid USM:

“Ustaz, ana nak tanya sikit boleh tak?” Tanyaku.

“Tanya apa? Pasal kawinkah?” sahut Ustaz Nazrul.

“Mana ada ustaz, calon pun tak dak lagi,” jawabku.

Lebih kurang macam ni la dialognya.

Inilah Ustaz Nazrul. Tiap kali aku nak mula berbual dengannya, tu lah soalan pertama yang sering diajukan kepadaku. Layan je la. Kurang-kurang dapat jugak lawak dengan ustaz aku yang satu ni.

Seperti biasa, bila aku sembang dengannya aku la yang jadi tukang dengar. Dengar je kerja aku. Dengar dan terus mendengar. Nak menyampuk pun susah. Kena tunggu lampu merah dulu baru boleh menyampuk. Ye la, orang yang bertanya memang la kena dengar. Hehe.

Seperti biasa, tiap kali aku bersembang dengan Ustaz Nazrul, agenda sharahannya lebih kurang sama iaitu masalah tentang ahli Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUSM).

“Ni macam mana sekarang? Budak PMI sorang pun tak dak masa tadarus,” tanya ustaz.

“Entah la ustaz, sibuk kot. Sekarang budak PMI selalu meeting, Pilihan Raya Kampus (PRK) tak lama lagi ni,” jawabku.

“Ustaz rasa tahun ni tak dak la majlis khatam a-Quran. Lelaki satu halaqah ja,” keluh ustaz.

Pening juga kepala aku bila dengar apa yang Ustaz Nazrul cakap. Ye la, siapa lagi yang nak imarahkan masjid dan program Pusat Islam USM kalau bukan ahli PMI. Ini adalah salah satu masalah yang aku rasa PMIUSM alami sekarang. Sebab aku pun dah perasan sikit dah. Kalau solat jemaah tu, tak ramai budak PMI yang aku nampak datang bersolat. Mungkin faktor lokasi masjid yang terletak agak jauh dari asrama pelajar (Restu dan Tekun). Tapi ada sekali tu aku solat kat surau Restu dan Tekun, situasi tetap lebih kurang sama. Budak PMI semakin menjauhi masjid.

“Kamu kena ingat, masjid ni hasil dari muktamar PMI tahun 1973. Kalau budak PMI tak imarahkan masjid ni sapa lagi yang nak imarahkan.” Kata ustaz.

Sekali lagi aku kena tendangan maut. Tersentuh juga hati aku bila dengar apa yang ustaz cakap. Memang betul hujah yang diberikan oleh Ustaz Nazrul. Kalau ahli PMI semakin melarikan diri dari Masjid, pelajar-pelajar lain macam mana la agaknya. Risaunya aku bila fikir benda ni.
Mungkin isu ini nampak remeh pada sesetengah orang. Banyak lagi isu besar yang ahli PMI perlu fikir. Mungkin ini jawapan mereka.

“ Kita sibuk nak buat bumbung tapi lantai pun tak siap-siap lagi,” cakap ustaz lagi.

Sekali lagi aku berfikir panjang tentang apa yang ustaz cakap. Dalam maknanya tentang apa yang ustaz cakapkan itu. Memang mendalam maknanya bagi mereka yang mengambil berat tentang keadaan umat Islam sekarang.

Krisis Iman

Daripada perbualan di atas dapatlah saya simpulkan disini bahawa kita sekarang sedang mengalami krisis Iman.
Mengapa krisis Iman? Marilah kita sama-sama berfikir…
Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman:

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(at-Taubah: 18)

Daripada ayat di atas dapatlah kita ambil sedikit input bahawa hanya orang-orang yang beriman sahaja yang mengimarahkan rumah Allah.

Penting sangatkah solat berjemaah di masjid lima waktu sehari semalam? Pernah tak kita berfikir pasal benda yang asas ini?

Pertama sekali, apa yang kita perlu tahu bahawa solat berjemaah di masjid adalah satu sunnah Rasulullah SAW. Sunnah bererti cara hidup. Di sini kita perlu tahu bahawa tiada satu pun cara hidup manusia di atas muka bumi ini yang pernah dirakam bermula dari bangun tidur sehinggalah tidur kembali kecuali Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW. Malah, kita pun sudah sedia maklum bahawa sunnah nabi SAW adalah cara hidup terbaik untuk dicontohi dan diikuti oleh kita. Siapa lagi yang nak ikut sunnah nubuwwah ini kalau bukan mereka yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya?

Apabila Rasulullah SAW sampai sahaja ke yatsrib (nama lama Madinah) ada beberapa perkara yang nabi SAW dan lakukan salah satunya ialah membina masjid.

Apa yang saya nak tekankan disini ialah nabi SAW telah membina masjid dahulu semasa sampai di Madinah. Ini menunjukkan peri pentingnya masjid sebagai markas untuk merencanakan segala tindakan. Salah satunya ialah merencanakan pentadbiran negara. Di sini dapatlah kita simpulkan bahawa masjid bukanlah calang-calang tempat. Di masjidlah bertemunya hati-hati yang hendakkan Islam. Di masjidlah berkumpulnya mereka yang ingin hidup dan matinya untuk Islam. Di masjidlah berkumpulnya jiwa-jiwa pemimpin Islam sejati. Di masjidlah kita belajar bagaimana hendak berkepimpinan dan hendak taat setia kepada pemimpin iaitu dengan memilih imam yang layak untuk mengimamkan solat dan kita mengikut imam itu selagi imam itu masih lagi bersolat mengikut rukun solat. Jika imam itu terlupa atau terleka, maka makmum di belakang segera menegurnya.

Apa yang saya nak tekankan disini bersolat fardhu secara berjemaah di masjid penting untuk mencari, membina dan memupuk jiwa-jiwa yang hendakkan Islam sebagai cara hidup. Bagi muslimat, kalau nak cari calon suami yang baik lagi beriman, carilah yang selalu pergi masjid. Tiap kali solat fardhu mesti nampak muka dia. Sah!!! Lelaki itu seorang yang beriman. Don’t worry. Allah SWT dah bagi tahu kat kita dalam al-Quran. Melencong pulak aku ni.

Sebab itulah kalau kita tengok di matrik, salah satu rasipi kejayaan dakwah di matrik ialah jiwa-jiwa penggerak Islam ini terikat dengan masjid. Di masjidlah hati-hati para da’ie ini diikat dengan simpulan ukhwah Islamiyyah yang talinya ialah kalimah tayyibah, “Lailaha illallah Muhammadur rasulullah”. Semakin kuat cinta kita kepada Allah dan rasulNya semakin kuat ukhwah kita sesama Islam. Apabila ada orang bertanya kepada aku waktu mana yang paling aku sukai dan penting dalam hidup aku maka aku akan menjawab waktu aku di matrik. Di matriklah aku mendapat fikrah untuk memperjuangkan Islam. Di matriklah aku mula bersahabat dengan mereka yang berjiwa da’ie. Meluah perasaan la pulak aku nih. kui kui…

Jadi, kepada mereka yang inginkan Islam kembali cemerlang marilah kita kembali kepada perkara yang asas ini. Marilah kita siapkan dahulu lantai (tapak) sebelum kita dirikan tiang, dinding dan seterusnya bumbung. Segala komen dialu-alukan. Segala yang baik itu dari Allah SWT dan segala kekurangan itu adalah dari kekurangan diri yang menulis ini. Wallahu a’lam.

1 comments:

Northern Gate said...

Assalamoalaikum,

Alhamdulillah, seronok saya baca post saudara mengenai pengimarahan masjid. Tapi saya rasa hairan pula, adakah masjid al-malik hanya untuk ahli PMI? Saya bukan ahli PMI pun tapi saya tetap pergi masjid sebab saya orang Islam dan beriman dengan Allah dan Rasul.

Ajaran Islam haruslah disebar luaskan, bukan hanya dalam persatuan. Saya mulanya ada terpikir nak sertai PMI pada awal tapi selepas itu saya berubah fikiran. Ada pembahagian pelajar pula dalam PMI. Saya dari kursus IK, dan kursus bahasa Inggeris sedangkan ramai ahli PMI adalah dari kursus pendidikan. Cuba bercampur dengan masyarakat luar persatuan anda, bukankah rahmat Allah untuk semua. - Ikhlas dari saudara Se-Islam anda, Haji Naim