Jutawan Klik!!!

Tamak, tamak dan tamak...

Ulama’ ada berkata bahawa janganlah kita bersifat tamak, tetapi jadilah kita seorang yang qana’ah. Bukan apa, sifat tamak ini banyak sungguh buruknya.

Tidak ada kerosakan di atas muka bumi ini melainkan disebabkan oleh mereka yang tamak (T). Disebabkan “influenza T” ini ramai yang berlumba untuk mengaut segala kemewahan dan kemegahan yang ada di depan dan belakang mata mereka. Haaa, golongan ini memang pelik sikit. Semua benda nak ditibalnya. Halal haram itu cerita lain, apa yang penting? Kerjasama… bukan kerjasama la, tapi duit dan jawatan. Itu je benda yang puak ni nampak.



Di waktu dunia sedang gawat dengan selesema ba alif ba ya, umat manusia termasuk kebanyakan umat Islam sekali sebenarnya sedang kegawatan dengan selesema tamak haloba. Cuma kita yang tidak berapa sedar sahaja. Bermula dari Nabi Adam a.s sampailah sekarang, selesema ni tak pernah pupus. Ada sahaja yang terkena. Mereka yang tidak kena selesema ini hanyalah segelintir umat Islam sahaja iaitu mereka yang sentiasa mengambil ubat bernama Islam releven dulu, kini dan selamanya. Saya tambah sikit supaya tidak serupa dengan slogan Tun Pak Lah. Yang baik itu kita ambillah ye, yang buruk itu jangan diambil senyap-senyap pula. Tinggalkan sahaja.

Ketahuilah bahawa orang yang tamak selalu sangat fikirkan pasal periuk nasinya. Esok nak makan apa? Lusa nak makan siapa? Kui kui, ni yang bahaya ni. Otak orang seperti ini selalu berpusing pasal perkara-perkara ni sahaja. Mungkin mereka lupa rezeki mereka telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Selain itu, orang yang tamak selalu fikir pasal dunia, dunia dan dunia. Hal-hal yang berkaitan dengan akhirat jarang sangat difikirkannya.

Orang yang tamak juga selalu berhajat bermacam-macam perkara – duit aku tinggal berapa bila aku tua? Siapa yang akan beri makan kepada aku bila aku tua? Dan macam-macam lagi. Mereka memikirkan sesuatu yang tidak pasti lagi. Macamlah akan hidup sampai 70-80 tahun. Bukan tidak boleh fikir, tetapi biarlah berpada-pada.

Apa yang perlu kita fikir dan bimbang ialah hal-hal yang berkaitan akhirat kerana setiap detik kita semakin hampir dengan akhirat sedangkan dunia setiap detik kita meninggalkannya seperti mana seorang yang bakal menduduki peperiksaan. Semakin hampir seseorang itu dengan hari peperiksaan semakin banyak persediaan yang dia buat dan semakin risau seseorang itu tatkala hari peperiksaan semakin hampir.

Apabila seseorang itu selalu sangat memikirkan kehidupan dunia ini, maka secara tidak sedar dia menjadi susah hati. Sengsaranya bila susah hati hanya Allah yang tahu. Tetapi ubatnya hanya satu sahaja iaitu banyakkan ingat tentang akhirat.

Sebagai seorang Muslim, perlulah kita ketahui bahawa kesibukan kita dalam mengejar kehidupan dunia ini menyebabkan kita semakin sukar untuk melakukan amal yang baik seperti gerak kerja dakwah. Orang yang terkena penyakit ini selalunya banyak memberi alasan untuk melepaskan diri dari bersusah payah mengerjakan amal kebaikan. Lihatlah perangai orang munafiq di Madinah semasa zaman Rasulullah SAW bila mana Nabi SAW menyeru kaum Muslimin supaya berjihad, adakah mereka yang munafiq turut serta sama? Bagaimana pula dengan kita?

Jadi, carilah dunia sekadar mana kita akan hidup di dunia ini dan beramallah untuk akhirat selama mana kita akan hidup di sana nanti. Janganlah kita menjadi seorang yang tamak seperti kerakusan dan keserakahan pihak itu untuk merampas kuasa secara jahat dan tidak demokratik yang tujuannya hanya satu iaitu untuk kepentingan dunia.

Jadikanlah peristiwa di Perak ini sebagai satu pengajaran kepada seluruh Muslim.

Wallahu a’lam…

0 comments: