Jutawan Klik!!!

Moralitas seorang Uncle India

“Baru semalam je melawak dengan Samy. Melawak gila-gila punye. Gelak macam apa lagi” Kata seorang dari pekerja di tempat aku berpraktikal.

“Tak sangke ye, tiba-tiba je mati. Semalam main ping pong elok je.” Kata seorang lagi.

Pada petang selepas zohor pada hari itu, tempat saya berpratikal dilanda kemurungan disebabkan seorang pekerja lama yang berbangsa India telah “pergi” akibat sakit jantung.

Sebelum itu, suami kepada seorang pebantu penyelidik di sini juga baru meninggal dunia. Tetapi ia tidak begitu memberi impak yang kuat untuk pekerja-pekerja di sini. Tetapi berita tentang kematian seorang pekerja di sini cukup membuatkan semua pekerja di sini tidak bermaya untuk membuat kerja.

Daripada apa yang mereka (pekerja) ceritakan, apa yang saya dapat tangkap ialah mereka selalu bercerita tentang kebaikan-kebaikan uncle Samy yang berbangsa India itu. Jauh di sudut hatiku, aku juga berasa seperti apa yang pekerja-pekerja ini rasa kerana aku juga pernah bersama-sama uncle yang seorang ini dalam beberapa situasi.

“Hebat Uncle Sami ni.” Kata hatiku apabila sedang mendengar kerancakan mereka yang sedang bersembang. Saya hanya tumpang sekaki je kat tempat mereka bersembang. Seronok juga melepak ramai-ramai macam tu. Tapi yang tidak eloknya ialah perbuatan macam itu mengurangkan keberkatan rezeki mereka yang bekerja makan gaji.

Apabila ramai manusia yang bercakap tentang kebaikan seseorang tanpa pengetahuan orang yang dibualkan, ini mengambarkan orang yang dibualkan itu mempunyai akhlak yang terpuji yang disenangi oleh orang disekelilingnya. Bahkan aku sendiri menyukai Uncle yang seorang ni.

Tetapi itulah yang kurang pada diri seorang Muslim sehinggakan “kekurangan” ini menyebabkan Islam terfitnah kerananya.

“Saya tak suka la laki yang suka kacau saya tu. Pastu bila tak layan dia kata kita sombong.” Bentak seorang rakan sepraktikalku yang berbangsa Cina. Saya terdiam buat seketika untuk memikirkan jawapan yang terbaik untuk dibalas. Mana tidaknya, yang mengacau rakan saya yang berbangsa Cina ini ialah seorang Islam. Agak-agaknya, apa jawapan yang patut kita balas kepada seorang yang bukan Islam yang melahirkan reaksi negatif seperti ini?

Saya tinggalkan untuk anda…

Alangkah beruntungnya Islam jika kita dapat melahirkan Muslim yang cantik akhlaknya. Cukuplah akhlak yang terpuji untuk dijadikan modal untuk berdakwah. Sekeras-keras mana pun hati seseorang itu jika berhadapan dengan seorang yang bersih hatinya, tinggi moralitasnya dan molek akhlaknya, dengan izin Allah akan cair juga hati yang keras itu. Bukan tidak perlu pelekat- peletak Islamic dan yang sewaktu dengannya, tetapi sesuatu yang lebih penting dari itu iaitu qudwah hasanah perlu diberi perhatian yang serius. Membentuk diri untuk memilikinya sesuatu yang wajib kerana tingginya iman seseorang dan beratnya timbangan amal seseorang itu terletak pada keluhuran akhlak.

Pernah juga beberapa kali saya berasa berat hati untuk memakai baju kegemaranku yang terpampang di belakang baju itu slogan “ISLAM IS THE WAY OF LIFE” kerana memikirkan tentang akhlakku yang sentiasa dihakimi di setiap mata yang melihatnya. Bukan kerana malu untuk berdakwah, tetapi kerana saya memikirkan “ADAKAH AKU SUDAH CUKUP BAIK UNTUK MENJADI CONTOH IKUTAN YANG BAIK.” Itulah yang menggusarkan hatiku kerana aku risau disebabkan akhlakku, Islam tercemar.

Jika seorang yang bukan Islam boleh disenangi oleh orang Islam. Mengapa ada dari kalangan kita tidak boleh disenangi oleh orang bukan Islam sedangkan kita bersolat dan melakukan lain-lain ibadah fardhu dan sunat setiap hari?

Perlu untuk kita “tengok-tengok” balik kualiti solat dan Ibadah lain yang kita lakukan kerana prestasi akhlak yang terpamer dari dalam diri kita adalah penanda aras kualiti ibadah kita. Kualiti ibadah pula berkait rapat dengan keutuhan pegangan kita terhadap tali Allah SWT.

Wallahu a’lam…

Sambungan..

Ibadahku…

“semalam membunuh, hari ini buang anak. Ishh, banyaknya jenayah.” Risau kita dibuatnya. Tiap-tiap hari ada sahaja jenayah baru yang terdapat dalam surat khabar. Tetapi, yang terpapar di dada-dada akhbar hanyalah cebisan sahaja. Bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan?

Kebanyakan jenayah yang dilakukan adalah oleh orang Islam. Orang yang menganut agama yang sejahtera. Tetapi mutakhir ini, kebanyakan orang Islam sekarang seolah-olah “beragama tetapi tidak bertuhan.”

Sindrom ini bukan sahaja berlaku dalam konteks sosial semata-mata, tetapi ekonomi dan politik juga tidak terkecuali daripadanya. Dengan kegagalan sistem kapitalisme, sedikit sebanyak hal ini membuka mata kita untuk beralih kepada sistem yang syumul, sistem kewangan Islam iaitu dinar emas. Tetapi yang “terbuka mata” itu hanyalah sedikit. Yang paling “hot” ialah di dalam bidang politik. Saya yakin kebanyakan orang mesti pening lalat dan kecewa dengan apa yang berlaku di Perak.

Situasi di Perak bolehlah dikiaskan seperti sekumpulan perompak yang masuk tanpa beradab ke dalam rumah orang lain lalu menendang dan menghalau keluar tuan rumah dari rumahnya. Selepas itu, ketua perompak itu mengistiharkan bahawa rumah yang dirompak itu adalah rumahnya. Haaaa, inilah kiasan kepada apa yang berlaku di Perak. Apakah perasaan anda jika anda ialah tuan rumah itu? Tuntasnya, apa yang berlaku di Perak mengambarkan kepada kita lemahnya sistem raja berpelembagaan yang kita amalkan sekarang.

Semua yang terukir di atas adalah cebisan dari perbuatan-perbuatan orang Islam yang “beragama tetapi tidak bertuhan”.

Tetapi situasi sebaliknya berlaku di Barat. Mereka berpolitik tetapi mereka begitu menjunjung sistem politik mereka sehingga sukar untuk kita mendengar ada pemimpin yang melakukan politik wang. Kehidupan mereka di sana teratur cantik dengan pelbagai disiplin dan mereka ikutinya. Di sana, tergambar kecantikan, dan keindahan yang sepatutnya ada di tangan orang Islam. Walaupun tidak dapat dinafikan dari satu sudut yang lain seperti sosial mereka begitu teruk, tetapi mengapa yang teruk itu kita pilih?

Tuntasnya, mereka di Barat hidup “bertuhan tetapi tidak beragama”. Mana tidaknya, mereka tidak solat dan tidak tahu pun apa itu solat. Puasa, zakat, haji dan lain-lain ibadah lagilah mereka tidak tahu. Tetapi, dalam kehidupan mereka tergambar kesan-kesan ibadah yang orang Islam lakukan. Di Negara orang Islam pula, kita bersolat, berpuasa dan sebagainya tetapi terjemahan daripada ibadah yang kita lakukan itu langsung tidak nampak.

Ihsan

“Beribadahlah kamu seakan-akan kamu melihat Allah. Jika kamu tidak sampai kepada upaya itu, maka sekurang-kurangnya rasakanlah yang Allah itu melihat kamu.” Sedikit dari hadith Iman, Islam dan Ihsan. Bukan senang tetapi tidak mustahil untuk istiqamah dengannya. Dengan merasakan Ihsan sahaja sebenarnya sudah cukup untuk melahirkan Muslim “beragama yang bertuhan”. Dengan menghayati Ihsan sahaja “perompak besar” tidak jadi merompak, hutang RM 50 dibayar dengan harga yang sama nilai dan berkuranglah perzinaan dan jenayah-jenayah lain. Maka akan lahirlah Muslim sejati yang sempurna aqidahnya, mantap ibadahnya dan indah akhlaknya.

Masalahnya…

Cuma dengan satu syarat sahaja, jangan jadikan ibadah kita sebagai ritual agama semata-mata. Ini kerana fenomena inilah yang telah tertanam dalam kehidupan orang Islam sekarang. Bersolat, tetapi tiada kesannya ke atas hidup seseorang Muslim itu. Maka, apa gunanya kita bersolat jika tiada kesan positif terhasil daripadanya. Bukankah solat itu mengajar kita untuk menepati waktu, melakukan sesuatu perkara dengan cermat dan teratur dan banyak lagi?

Wallahu a’lam…

Sambungan..

Pencangkul, Cangkul dan Tanah yang Dicangkul

Pada hari selasa lepas, aktiviti praktikal aku ialah menanam pokok hiasan di hadapan pintu masuk utama Mardi Kuala Kangsar. Haaa, apabila hendak menanam mestilah kena mencangkul. Penatnya hanya Allah yang tahu. Mana tidaknye, setelah berkurun-kurun aku tak menghayun cangkul, hari itu aku kembali menghayun. Tetapi semasa aku sedang mencangkul, aku terfikir sesuatu…

Situasi pertama ialah semasa di awal waktu aku mencangkul, seperti biasa tenaga badanku waktu itu mestilah ok lagi. Di pagi yang agak dingin itu aku menghayunkan cangkul sekuat hatiku ke atas tanah, tetapi… “Aik, sikitnya?” Tanah yang terkorek betul - betul sedikit. Langsung tidak memadai dengan jumlah tenaga yang dikeluarkan. Aku terus mencangkul. Semasa aku sedang mencangkul, fikiran aku juga sedang ligat berfikir bagaimana nak mengatasi masalah ini. Walaupun tanah yang terkorek hanyalah sedikit, aku terus mencangkul dengan menggunakan kudrat yang masih ada sehinggalah aku termengah-mengah keletihan. Aku terus berfikir…


Situasi kedua pula, aku terus mencangkul di atas jenis tanah yang keras juga walaupun tenagaku pada waktu itu sudah banyak kekurangan dan kemalasan semakin menebal. Haha,aku tetap menghayunkan cangkul sekuat hatiku ke atas tanah. Selepas beberapa ketika, penyeliaku telah menyuruh aku menggunakan cangkul yang satu lagi. Aku akur pada perintahnya. Mungkin penyeliaku kesian tengok aku kot. Hehe, maklumlah, aku sorang je lelaki yang berpraktikal kat situ, lagi 2 orang adalah perempuan. Faham-faham je la.

Seperti biasa, aku menghayunkan sekuat hatiku dan tiba-tiba hatiku sedikit gembira. “Banyak juga tanah yang terkorek.” Hatiku berkata begitu kerana tanah keras yang tercangkul agak berbaloi dengan jumlah tenaga yang digunakan. Tetapi fikiranku terus bermusafir mencari jawapan kepada suatu persoalan yang masih tidak terjawab di hatiku.

Situasi ketiga, aku teruskan mencangkul tetapi di atas jenis tanah yang agak lembut. Aku hanya mengetahuinya selepas aku menghayun cangkul pada kali pertama. Selepas itu, aku hanya menggunakan kudrat yang tidak begitu banyak untuk mencangkul di atas jenis tanah ini. Fuhhh, lega-lega.

Akhirnya aku mendapat jawapan kepada persoalan yang bermain-main di kotak fikiranku. Tanah yang keras itu bolehlah diibaratkan dengan masyarakat yang tidak faham, tidak menghayati dan tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian. Cangkul pula diibaratkan seperti metode dakwah yang kita gunakan dan kudrat pula ialah tenaga, masa dan segala-galanya yang pendakwah gadaikan untuk dakwah.

Untuk ketiga-tiga situasi di atas, kesilapan kita dengan memilih metode dakwah yang salah dan tidak sesuai untuk menghadapi suatu keadaan masyarakat contohnya yang agak jahil tentang Islam boleh merugikan para pendakwah. Maka, perlunya kita untuk mengkaji situasi atau keadaan suatu masyarakat sebelum kita turun kepada mereka. Selepas kita mengenal pasti secara mendalam jenis masyarakat yang bakal dihadapi, kita perlu pula menyediakan pendakwah yang sesuai untuk menghadapi sesuatu keadaan itu.

Maka, untuk menyediakan pendakwah yang dapat mengikuti rentak budaya masyarakat sekeliling, cara dan bagaimana pula pendakwah dibentuk perlu diberi penekanan. Contohnya, jika masyarakat di sekeliling kita adalah masyarakat yang berorientasikan keintelektualan, studi, peperiksaan dan keputusan yang cemerlang, maka perlunya kita menyediakan pendakwah yang mantop studi dan keputusannya. So, perlunya kita sama-sama fikirkan bagaimana hendak melahirkan pendakwah yang mempunyai keputusan yang amat gempak lagi cemerlang dan yang boleh bekerja untuk Islam kerana antara sumber utama kejayaan dakwah Islamiyyah itu terletak pada qudwah hasanah.

Sekali lagi kita perlu bermuhasabah di mana silap kita selama ini. Pendakwah yang hebat keputusannya walaupun sederhana komitmen gerak kerjanya untuk Islam lebih baik dari mereka yang kuat gerak kerja mereka tetapi keputusan peperiksaan teruk macam tidak studi langsung.

Wallahu a’lam…


Sambungan..