Jutawan Klik!!!

Ibadahku…

“semalam membunuh, hari ini buang anak. Ishh, banyaknya jenayah.” Risau kita dibuatnya. Tiap-tiap hari ada sahaja jenayah baru yang terdapat dalam surat khabar. Tetapi, yang terpapar di dada-dada akhbar hanyalah cebisan sahaja. Bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan?

Kebanyakan jenayah yang dilakukan adalah oleh orang Islam. Orang yang menganut agama yang sejahtera. Tetapi mutakhir ini, kebanyakan orang Islam sekarang seolah-olah “beragama tetapi tidak bertuhan.”

Sindrom ini bukan sahaja berlaku dalam konteks sosial semata-mata, tetapi ekonomi dan politik juga tidak terkecuali daripadanya. Dengan kegagalan sistem kapitalisme, sedikit sebanyak hal ini membuka mata kita untuk beralih kepada sistem yang syumul, sistem kewangan Islam iaitu dinar emas. Tetapi yang “terbuka mata” itu hanyalah sedikit. Yang paling “hot” ialah di dalam bidang politik. Saya yakin kebanyakan orang mesti pening lalat dan kecewa dengan apa yang berlaku di Perak.

Situasi di Perak bolehlah dikiaskan seperti sekumpulan perompak yang masuk tanpa beradab ke dalam rumah orang lain lalu menendang dan menghalau keluar tuan rumah dari rumahnya. Selepas itu, ketua perompak itu mengistiharkan bahawa rumah yang dirompak itu adalah rumahnya. Haaaa, inilah kiasan kepada apa yang berlaku di Perak. Apakah perasaan anda jika anda ialah tuan rumah itu? Tuntasnya, apa yang berlaku di Perak mengambarkan kepada kita lemahnya sistem raja berpelembagaan yang kita amalkan sekarang.

Semua yang terukir di atas adalah cebisan dari perbuatan-perbuatan orang Islam yang “beragama tetapi tidak bertuhan”.

Tetapi situasi sebaliknya berlaku di Barat. Mereka berpolitik tetapi mereka begitu menjunjung sistem politik mereka sehingga sukar untuk kita mendengar ada pemimpin yang melakukan politik wang. Kehidupan mereka di sana teratur cantik dengan pelbagai disiplin dan mereka ikutinya. Di sana, tergambar kecantikan, dan keindahan yang sepatutnya ada di tangan orang Islam. Walaupun tidak dapat dinafikan dari satu sudut yang lain seperti sosial mereka begitu teruk, tetapi mengapa yang teruk itu kita pilih?

Tuntasnya, mereka di Barat hidup “bertuhan tetapi tidak beragama”. Mana tidaknya, mereka tidak solat dan tidak tahu pun apa itu solat. Puasa, zakat, haji dan lain-lain ibadah lagilah mereka tidak tahu. Tetapi, dalam kehidupan mereka tergambar kesan-kesan ibadah yang orang Islam lakukan. Di Negara orang Islam pula, kita bersolat, berpuasa dan sebagainya tetapi terjemahan daripada ibadah yang kita lakukan itu langsung tidak nampak.

Ihsan

“Beribadahlah kamu seakan-akan kamu melihat Allah. Jika kamu tidak sampai kepada upaya itu, maka sekurang-kurangnya rasakanlah yang Allah itu melihat kamu.” Sedikit dari hadith Iman, Islam dan Ihsan. Bukan senang tetapi tidak mustahil untuk istiqamah dengannya. Dengan merasakan Ihsan sahaja sebenarnya sudah cukup untuk melahirkan Muslim “beragama yang bertuhan”. Dengan menghayati Ihsan sahaja “perompak besar” tidak jadi merompak, hutang RM 50 dibayar dengan harga yang sama nilai dan berkuranglah perzinaan dan jenayah-jenayah lain. Maka akan lahirlah Muslim sejati yang sempurna aqidahnya, mantap ibadahnya dan indah akhlaknya.

Masalahnya…

Cuma dengan satu syarat sahaja, jangan jadikan ibadah kita sebagai ritual agama semata-mata. Ini kerana fenomena inilah yang telah tertanam dalam kehidupan orang Islam sekarang. Bersolat, tetapi tiada kesannya ke atas hidup seseorang Muslim itu. Maka, apa gunanya kita bersolat jika tiada kesan positif terhasil daripadanya. Bukankah solat itu mengajar kita untuk menepati waktu, melakukan sesuatu perkara dengan cermat dan teratur dan banyak lagi?

Wallahu a’lam…

0 comments: