Jutawan Klik!!!

Perutusan NYDP 1 PMIUSM Sempena Ramadhan

Segala puji bagi Allah SWT kerana tidak lama lagi Allah SWT akan datangkan kepada kita suatu bulan yang penuh dengan barakah, rahmat dan keampunan dari-Nya. Bulan yang dijanjikan itu ialah bulan Ramadhan al-Mubarak.

Di dalam bulan ini, umat Islam seluruh dunia akan berpuasa selama sebulan sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Bagi orang yang beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya, mereka akan menunggu bulan Ramadhan seperti seseorang yang menunggu untuk menerima hadiah. Hatinya begitu gembira apabila sudah memiliki hadiah itu. Maka, seperti itu jugalah mereka yang begitu mendambakan kedatangan bulan Ramadan ini. Apabila masuk sahaja satu Ramadhan, golongan ini akan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada tuan kepada bulan ini iaitu Allah SWT kerana sekali lagi mengizinkan mereka untuk bertemu dengan bulan punuh barakah ini.

Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata, Rassulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditangan-Nya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.” Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi

Hadith di atas hanyalah salah satu dari koleksi hadith Nabi SAW tentang fadhilat bulan Ramadhan. Bulan ini juga merupakan bulan keemasan bagi orang-orang yang beriman dan yang benar-benar takutkan Allah SWT. Maka kesempatan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Golongan ini yakin dan percaya bahawa bulan ini bukan sahaja menyajikan pelbagai fadhilat, malah bulan ini juga menyediakan suatu “siri latihan praktikal menjinakkan hawa nafsu” seseorang daripada membuas.Maka, bagi orang-orang yang beriman, mereka bukan setakat berpuasa dari makan dan minum, tetapi mereka juga “berpuasa” mata, telinga dan semua pacaindera dari melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Selain dari mendapat ganjaran pahala yang tidak terkira dari Allah SWT, golongan ini juga mendapat sejumlah kekuatan iman untuk dibawa bersama mengharungi sebelas bulan selepas Ramadhan yang pastinya penuh dengan ujian yang pasti menggugat iman.

Indahnya Ramadhan kali ini jika semua orang Islam mengetahui hakikat sebenar atau matlamat sebenar bulan ini dihadiahkan oleh Allah SWT kepada kita seperti yang tertulis di atas. Tetapi realitinya adalah 180° terbalik dari apa yang tertulis di atas. Antara yang menyedihkan kita ialah di dalam bulan yang mulia ini, umat Islam semakin boros berbelanja hanya untuk berbuka puasa. Bukan setakat itu sahaja, umat Islam juga hanya ghairah menyambut kedatangan Ramadhan di awal Ramadhan sahaja, tetapi apabila semakin tiba saat akhir Ramadhan, semakin banyak bergema lagu raya dan semakin ramai juga yang melupai Ramadhan kerana begitu bersemangat untuk menyambut satu Syawal.

Ini hanyalah sedikit cebisan dari fenomena sonsang umat Islam kini. Di era awal Islam dahulu, generasi Salafussoleh begitu gembira dengan kedatangan Ramadhan dan begitu sedih dengan pemergian Ramadhan. Generasi umat Islam kini pula, ramai di kalangan kita tidak begitu gembira dengan kehadiran Ramadhan tetapi begitu gembira apabila saat akhir Ramadhan semakin tiba. Di bahagian mana kita berada sama-samalah kita renungkan.

Akhir kata, penulis mewakili seluruh warga Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUSM) ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada seluruh Muslimin dan Muslimat. Semoga Ramadhan kali ini kita jalani dengan penuh kecermelangan supaya kita dapat meningkatkan lagi darjat keimanan kita di sisi Allah SWT.

Sumber Rujukan

http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Ramadhan.html

http://www.harunyahya.com/malaysian/artikel/ramadan.php



Sambungan..

Perutusan Naib Yang Dipertua I PMIUSM

Baru-baru ini telah berlaku satu lagi peristiwa yang pasti membawa impak yang sangat besar kepada rakyat Malaysia khususnya iaitu berkenaan dengan demonstrasi jalanan oleh rakyat Malaysia yang prihatin kepada mangsa ISA yang bertujuan untuk memansuhkan akta penahanan tanpa bicara (ISA). Pada siri demonstrasi kali ini memperlihatkan golombang rakyat semakin membesar untuk merempuh setiap dasar kerajaan yang mempunyai kepentingan kepada pihak tertentu.

Tanggal 1 Ogos yang baru lepas ini merupakan ulang tahun ke-49 akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan Parlimen. Akta ini pada mulanya diluluskan adalah untuk menjaga negara ini daripada ancaman subversif dan pengganas komunis ketika perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak membentangkan ISA di parlimen suatu ketika dahulu.

Menjadi suatu kejanggalan bahawa Malaysia kini yang sudah 50 tahun merdeka dan pastinya sudah tidak lagi menerima ancaman subversif dan komunis, tetapi mengapa akta ISA ini masih lagi tidak dimansuhkan?

Tidak sesekali saya menyangkal batapa pentingnya kita untuk menjaga keselamatan negara dari sebarang ancaman dalaman mahupun luaran, tatapi masih tidak cukupkah lagi dengan pelbagai jenis institusi yang menjamin keselamatan negara seperti PDRM , SPRM, institusi kehakiman, jabatan pendakwa raya, peguam negara dan institusi mahkamah?

Apa yang dituntut ialah menteri (ahli politik) yang mempunyai kuasa untuk menggunakan akta zalim ini dimansuhkan kerana dikhuatiri akta ini disalahgunakan untuk menangkap atau berlaku zalim terhadap musuh politiknya.

Bukan setakat itu sahaja, akta ini juga menahan dan menangkap mangsa tanpa sebarang bukti dan mangsa tidak pula diberi peluang untuk mempertahankan diri mereka di mahkamah merupakan suatu akta yang menyalahi perlembagaan Persekutuan Perkara 5 Fasal 4 bahawa undang–undang perlembagaan tidak membenarkan seseorang warganegara ditahan tanpa arahan majistret melebihi tempoh 24 jam (tidak termasuk perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa majistret itu.

Sehubungan dengan ini saya Ahmad Sufian bin Shohor selaku Naib Yang Dipertua I Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (NYDP I PMIUSM) menentang sekeras-kerasnya akta ini daripada terus bertapak dalam negara yang mengamalkan prinsip demokrasi ini. Oleh itu, saya dengan suka citanya menyatakan bahawa saya menyokong akta zalim ini dimansuhkan bukan dipinda dan dibiarkan begitu sahaja.

Wallahu a’lam.


Sambungan..