Jutawan Klik!!!

Perutusan NYDP 1 PMIUSM Sempena Ramadhan

Segala puji bagi Allah SWT kerana tidak lama lagi Allah SWT akan datangkan kepada kita suatu bulan yang penuh dengan barakah, rahmat dan keampunan dari-Nya. Bulan yang dijanjikan itu ialah bulan Ramadhan al-Mubarak.

Di dalam bulan ini, umat Islam seluruh dunia akan berpuasa selama sebulan sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Bagi orang yang beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya, mereka akan menunggu bulan Ramadhan seperti seseorang yang menunggu untuk menerima hadiah. Hatinya begitu gembira apabila sudah memiliki hadiah itu. Maka, seperti itu jugalah mereka yang begitu mendambakan kedatangan bulan Ramadan ini. Apabila masuk sahaja satu Ramadhan, golongan ini akan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada tuan kepada bulan ini iaitu Allah SWT kerana sekali lagi mengizinkan mereka untuk bertemu dengan bulan punuh barakah ini.

Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata, Rassulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditangan-Nya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.” Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi

Hadith di atas hanyalah salah satu dari koleksi hadith Nabi SAW tentang fadhilat bulan Ramadhan. Bulan ini juga merupakan bulan keemasan bagi orang-orang yang beriman dan yang benar-benar takutkan Allah SWT. Maka kesempatan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Golongan ini yakin dan percaya bahawa bulan ini bukan sahaja menyajikan pelbagai fadhilat, malah bulan ini juga menyediakan suatu “siri latihan praktikal menjinakkan hawa nafsu” seseorang daripada membuas.Maka, bagi orang-orang yang beriman, mereka bukan setakat berpuasa dari makan dan minum, tetapi mereka juga “berpuasa” mata, telinga dan semua pacaindera dari melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Selain dari mendapat ganjaran pahala yang tidak terkira dari Allah SWT, golongan ini juga mendapat sejumlah kekuatan iman untuk dibawa bersama mengharungi sebelas bulan selepas Ramadhan yang pastinya penuh dengan ujian yang pasti menggugat iman.

Indahnya Ramadhan kali ini jika semua orang Islam mengetahui hakikat sebenar atau matlamat sebenar bulan ini dihadiahkan oleh Allah SWT kepada kita seperti yang tertulis di atas. Tetapi realitinya adalah 180° terbalik dari apa yang tertulis di atas. Antara yang menyedihkan kita ialah di dalam bulan yang mulia ini, umat Islam semakin boros berbelanja hanya untuk berbuka puasa. Bukan setakat itu sahaja, umat Islam juga hanya ghairah menyambut kedatangan Ramadhan di awal Ramadhan sahaja, tetapi apabila semakin tiba saat akhir Ramadhan, semakin banyak bergema lagu raya dan semakin ramai juga yang melupai Ramadhan kerana begitu bersemangat untuk menyambut satu Syawal.

Ini hanyalah sedikit cebisan dari fenomena sonsang umat Islam kini. Di era awal Islam dahulu, generasi Salafussoleh begitu gembira dengan kedatangan Ramadhan dan begitu sedih dengan pemergian Ramadhan. Generasi umat Islam kini pula, ramai di kalangan kita tidak begitu gembira dengan kehadiran Ramadhan tetapi begitu gembira apabila saat akhir Ramadhan semakin tiba. Di bahagian mana kita berada sama-samalah kita renungkan.

Akhir kata, penulis mewakili seluruh warga Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUSM) ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada seluruh Muslimin dan Muslimat. Semoga Ramadhan kali ini kita jalani dengan penuh kecermelangan supaya kita dapat meningkatkan lagi darjat keimanan kita di sisi Allah SWT.

Sumber Rujukan

http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Ramadhan.html

http://www.harunyahya.com/malaysian/artikel/ramadan.php



0 comments: