Jutawan Klik!!!

Antara Aku dan Percakapanku

Firman Allah SWT:

“Dia menciptakan manusia. Mengajarnya pandai berbicara.”
(Ar-Rahmaan: 3 dan 4)

Mengikut Hasan al-Basri, al-bayan di dalam ayat 4 bermaksud kemahiran berkata-kata.

Dengan kata lain, Allah mengurniakan kepada hambanya kemahiran pandai berbicara. Ini adalah satu nikmat yang tidak semua orang pandai menggunakannya walaupun semua orang mendapat kelebihan yang Allah kurniakan ini.

Jika dinilai balik segala jenis kualiti percakapan kita sendiri dan orang lain, apa yang boleh disimpulkan ialah kebanyakan dari kita hanyalah pandai bercakap seperti burung kakak tua. Bercakap tapi tidak tahu apa tujuan sebenarnya kita bercakap. Inilah realitinya, kebanyakan umat Islam sekarang banyak bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah. Gosip-mengosip, kutuk-mengutuk dan fitnah-menfitnah menjadi satu amalan yang biasa disebabkan pelbagai pengaruh kotor yang mencemari pemikiran umat Islam pada waktu ini.

Dengan kata lain, kita bercakap tanpa berpandukan kepada matlamat yang jelas yang telah di gariskan oleh Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana.

Firman Allah SWT:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ‌ۗ

Maksudnya: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali-Imran: 110)

Inilah matlamat sebenar percakapan kita sehari-harian. Percakapan yang sentiasa mempunyai ruh yang membuatkan hati-hati manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Percakapan yang sentiasa ampuh mencegah kemungkaran dari terus bermaharajalela. Percakapan yang sentiasa penuh dengan hikmah yang menyebabkan manusia semakin ingin berimankan Allah SWT tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun dalam kehidupan seharian kita.

Tambah-tambah lagi di waktu saudara seIslam kita di bumi Palestin yang sedang berjihad menentang Rejim Zionis Israel, suara kita teramat diperlukan untuk menyedarkan orang-orang di sekeliling kita tentang situasi sebenar yang berlaku di Gaza. Bukan setakat itu sahaja, malah suara kita juga diperlukan untuk mengajak orang-orang di sekeliling kita untuk bangkit berjihad menentang Rejim Zionis Israel mengikut kemampuan kita.

Keadaan Kian Terbalik

Tetapi apa yang menghairankan, situasi yang berlaku di menara gading tempatku menuntut ilmu adalah sama sekali sonsang. Beberapa minggu yang lepas, sebelum solat jumaat ada satu kelompok mahasiswa yang begitu lantang bersuara membantah kekejaman Rejim Zionis Israel. Ada yang melaungkan slogan-slogan tertentu dan yang lebih menghiburkan hatiku apabila ada di kalangan mereka yang bertakbir.

Bukan maksudku untuk mempertikaikan tujuan demonstrasi itu diadakan. Tetapi cuma hati ini merasakan sesuatu yang tidak kena dengan demonstrasi yang diadakan itu. Apabila melihat jenis kolompok mahasiswa yang hadir ke demostrasi itu, memang patut aku rasa semacam ada yang tak kena dengan program itu.

Baru-baru ini, aku terlihat satu banner program yang begitu menjijikkan di waktu saudara seIslam kita di Palestin sana sedang berjuang bermati-matian menentang musuh agama Allah SWT. Program yang saya maksudkan di sini ialah program hiburan yang melepasi batasan syariat. Program ini ialah program menyanyi yang sungguh sinonim dengan mereka yang baru berdemonstrasi di hadapan Masjid al-Malik Khalid tidak lama dahulu.

Apakah maksud semua ini?

Inilah situasi terpesong yang saya maksudkan. Apa gunanya kita berdemonstrasi untuk Palestin jika pada masa yang sama kita menyokong sebarang program yang terkeluar dari batasan syariat.

Untuk pengetahuan saudara-saudara seIslamku “di sana”, saudara-saudara Islam kita di Palestin sana tidak memerlukan jeritan-jeritan singa kita di sini. Saudara-saudara seIslam kita di sana tidak memerlukan pun tandatangan cantik kita itu. Apa yang kalian buat masa berdemonstrasi di hadapan masjid itu hanyalah perkara-perkara yang bersifat menyedarkan orang ramai dan mungkin memperlahankan rentak tarian kekejaman rejim zionis Israel ke atas palestin. Tidak lebih dari itu…

Kepada saudara-saudara seIslamku “di sana”, isu yang sedang dihadapi oleh saudara seIslam kita di Palestin sana bukanlah sekadar isu hak asasi manusia. Bagi kita orang Islam, isu Palestin ini adalah isu UMAT ISLAM, isu PERIUK NASI UMAT ISLAM !!!
Jadi, Islam dan saudara-saudara seIslam kita di Palestin sana perlukan dari kita ialah marilah kita kembali kepada Islam yang kamil lagi syamil. Marilah kita kembali kepada Islam yang akan memandu kita ke arah kecermelangan dunia akhirat. Marilah kita kembali memperjuangkan Islam sebagai jalan untuk kita berubudiah kepada Allah bukan berjuang atas nama bangsa dan kaum tertentu. Rasulullah SAW tidak pernah mengajar kita supaya berjuang atas nama kaum tertentu tetapi Rasulullah SAW mengajar kita supaya kita berjuang atas nama Islam, agama yang diredhai Allah SWT.

Jangan jadikan percakapan dan perbualan kita sebagai suatu yang boleh dianggap retorik semata-mata. Pastikanlah setiap perkataan yang terpancar dari lidah kita adalah perkataan yang benar, jujur lagi penuh dengan hikmah.

Wallahu a’lam.

Sambungan..

Khutbah Jumaat- Dr. Danial Zainal Abidin (16.1.2009)

( Isi khutbah insyaAllah sama cuma ayatnya yang tak sama seperti dalam khutbah Jumaat ini.)



Apabila kita bercerita tentang Perang Uhud, maka akan terlukislah di layar fikiran kita akan kekalahan kaum Muslimin di medan Uhud disebabkan oleh kealpaan tentera Muslimin daripada mematuhi arahan Rasulullah SAW.

Seperti yang kita sedia maklum, tentera Muslimin yang menjaga posisi yang strategik lagi penting iaitu di atas Bukit Uhud telah turun dari Bukit Uhud kerana hendak mengambil harta rampasan. Tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila tentera Musyrikin Makkah telah mengambil alih posisi itu dan akhirnya tentera Muslimin telah menanggung kekalahan disebabkan oleh kealpaan dan kecuaian tentera Muslimin terhadap perintah Rasulullah SAW.

Keadaan yang seakan-akan sama juga telah berlaku kepada Umat Islam pada tahun 1948 tanah Palestin telah diberikan kepada kaum Yahudi laknatullah. Disebabkan itu, maka Umat Islam Palestin telah menjadi pelarian di bumi sendiri. Bandar Gaza yang kita kenali hari ini bukanlah tempat tinggal asal kebanyakan rakyat palestin.

Akibat kealpaan orang Islam sendirilah yang menyebabkan Negara Palestin yang terletaknyanya tanah suci ke-3 umat Islam telah dirampas oleh Israel laknatullah. Jadi, mengapa kita masih tidak sedar akan kesalahan dan kecuaian kita ini?

Mengapa kita masih lagi menyibukkan diri kita dengan memuaskan nafsu dengan hiburan-hiburan yang terkeluar dari syariat Islam?

Mengapa kita masih lagi menyibukkan diri kita dengan berjuang atas nama KAUM sedangkan Islam tidak pernah mengajar kita untuk menjadikan kaum itu sebagai matlamat perjuangan kita?

Mengapa masih ada lagi di kalangan umat Islam yang berjuang atas nama cinta akan NEGARA atau nama “sainstifik”nya ialah golongan Nasionalisme sedangkan kita ini adalah umat yang satu yang berbai’ah di atas kalimah shahadah yang satu?

Umat Islam tidak boleh dipisahkan oleh sempadan Negara. Umat Islam tidak boleh dipisahkan oleh lautan yang terbentang luas dan gunung-ganang yang tinggi memuncak kerana seluruh umat Islam adalah bersaudara walaupun kita berlainan warna kulit. Dimana ada umat Islam di situlah juga tanah kita iaitu tanah Islam!!!

Maka, marilah kita kembali berJIHAD. Inilah kalimat yang amat digeruni oleh musuh-musuh Islam sehinggakan musuh-musuh Islam tidak mahu perkara yang bersangkut-paut dengan jihad diajar dalam Islam.



Untuk memperbetulkan kembali keadaan ini, marilah kita kembali berjihad dengan menuntut ilmu pengetahuan. Marilah kita kembali menyingkap kembali segala ilmu yang ada di dalam al-Quran untuk dihayati dan diamalkan. Dengan kata lain kita mengkaji al-Quran bukan sekadar mengaji. Hanya dengan ilmu kita akan kembali berada di tempat yang selayaknya untuk kita iaitu umat Islam keseluruhannya. Sebaik-baik ilmu itu ialah ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah azza wa jalla yang menjadikan kita semakin merendah diri apabila ilmu semakin banyak di dada.

Yang kedua ialah berjihad dari sudut ibadah. Di waktu umat Islam kini yang semakin leka dan alpa dengan keduniaan sehingga sanggup menggadaikan agama hanya kerana secebis habuan dunia, menjadi tanggungjawab kepada kita untuk kembali merenung dan bermuhasabah kembali apakah tujuan kita diciptakan ke dunia ini? tidak lain dan tidak bukan adalah untuk beribadah kepada Allah SWT. Ibadah bukanlah suatu yang perkara yang boleh dianggap remeh kerana ibadah ialah suatu medium untuk kita berubudiah kepadaNya. Suatu medium untuk kita terus berhubung hati denganNya. Cukuplah sekadar saya katakan di sini ini bahawa jika sesuatu ‘ibadah itu kita lakukan dengan ikhlas hanya kerana Allah maka berkat ‘ibadah yang kita lakukan itu dapat menjadikan kita seorang Muslim yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Yang ketiga ialah tanggungjawab berdakwah iaitu berdakwah kepada orang Islam dan orang bukan Islam. Apabila kita sebut tentang berdakwah maka para pendakwah Islam mestilah melengkapkan diri mereka dengan ilmu yang secukupnya supaya gerak kerja dakwah kita tidak tersangkut di tengah jalan sehingga menyebabkan suatu gerakan dakwah itu menjadi lemah dan akhirnya rebah tersungkur disebabkan kejahilan sendiri.


Sebagai kekuatan tambahan yang boleh digunakan untuk menetang Israel ialah memberi bantuan dari segi kewangan dan sebagainya kepada rakyat Palestin. Iaitu sebagai salah satu usaha kita untuk meringankan beban saudara kita di sana.

Memboikot juga antara senjata terpenting untuk melemahkan ekonomi syarikat-syarikat yang memberi sumbangan kepada negara haram Israel untuk membeli peralatan peperangan untuk membunuh saudara kita di Palestin sana. Janganlah kita memandang remeh “operasi” memboikot ini kerana umat Islam sekarang memiliki kuasa pengguna yang terbesar. Jika kita mampu bersatu untuk memboikot barangan keluaran AS dan Israel, insyaAllah kita mampu mengurangkan tekanan rejim Yahudi ke atas saudara kita.


Seperkara lagi yang kebanyakan umat Islam tidak berapa cakna tentangnya iaitu berhenti merokok. Menjadi kewajipan kepada mereka yang merokok untuk berhenti merokok sesegera yang mungkin kerana kemungkinan rokok yang dibeli itu adalah keluaran Yahudi dan duit dari syarikat rokok milik yahudi ini digunakan untuk membantu rejim zionis untuk membeli senjata.

Sebagai penutupnya, jadikanlah kejadian yang menimpa saudara seIslam kita di bumi Palestin sana sebagai pengajaran kepada kita yang berada di tanah yang aman ini. Marilah kita kembali merampas posisi strategik kita iaitu kembali mengambil Islam yang syumul untuk dihayati dan diamalkan di seluruh lapangan hidup kita. Ingatlah kata-kata Saidina Umar al-Khattab r.u yang mengatakan bahawa kita ini mulia disebabkan Islam. Jika kita meninggalkan Islam, maka Allah akan menurunkan kehinaan kepada kita. Lihatlah saudara-saudaraku, kita dihina sekarang!!! Adakah kita masih lagi hendak berdiam diri lagi atau kita sama-sama hendak menerima nasib yang sama seperti yang diterima oleh saudara kita di sana?

Wallahu a’lam…

Sambungan..

PRK: Suatu Kenangan dan Pengajaran

Alhamdulillah… habis sudah PRK yang selama ini telah menuntut segala kesenangan yang ada pada diri kita untuk dikorbankan semata-mata untuk membuat persediaan menghadapi medan tempur ini. Suatu pengalaman yang cukup berharga yang aku perolehi dari medan ini. Walaupun kalah dalam PRK, tapi entahlah, aku tidak merasa sebarang kekecewaan. Malah aku redha dengan keputusan Ilahi yang telah menetapkan demikian.

Seorang akhawat masej kepadaku : “ …Bukan usahamu sia-sia, cuma kemenangan lewat tiba...”

Seorang lagi masej macam ini : “…engkau patut bersyukur di kala Allah kalahkan dikau di depan mata manusia.. Kerana Allah itu Maha Mengetahui atas segala rencananya.. Kalah di mata manusia, namun menang di hadapan Allah.. Boleh jadi yang pahit ini jadi maharmu masuk ke syurgaNya yang pasti disediakan untuk kekasihNya…”

Walaupun rasa bersalah juga di hati ini kerana tak berupaya untuk mendapatkan apa yang dihajati, tetapi inilah yang dinamakan suratan takdir Tuhan yang Maha Mengetahui segala-galanya. Mungkin “hadiah” sebuah kekalahan itu lebih layak diberikan untuk diri ini berbanding “racun” kemenangan kerana mungkin kalau diri ini menang, takut-takut diri ini semakin angkuh lagi ‘ujub. Mungkin kalau diri ini menang, diri ini akan jatuh tersungkur di tengah arus deras menentang kebatilan yang kian memuncak.

Sekali lagi aku mengucapkan Alhamdulillah kerana telah memberi aku hadiah sebuah kekalahan.

Kata seorang akhawat: “… Nta lebih diperlukan di tempat lain. Mungkin MPP bukan medan dakwah yg terbaik untuk nta…”

Ya, mungkin betul juga. Hanya Allah azza wa jalla yang lebih mengetahui. Apa yang penting, kita kena terus berjuang dalam medan ini sehingga tiada lagi fitnah untuk agama Allah. Jangan sesekali futur dari medan ini. Itulah pesanan dari ramai sahabat seperjuangan kepada diri yang lemah ini. Inilah yang dinamakan kemenangan di dalam kekalahan.

Wallahu a’lam…

Sambungan..

Pengajaran Dari Sebuah Tragedi

Beberapa hari yang lepas dunia sekali lagi dikejutkan dengan satu lagi tindakan kejam oleh rejim zionis Israel yang menyerang Bandar Gaza secara besar-besaran. Sungguh mengerikan dan penuh tragis. Sehingga ke saat ini penduduk palestin yang syahid meningkat ke angka 400 orang dan yang tercedera meningkat ke angka 2000 orang.

Peristiwa hitam yang sedang berlaku ini hanyalah salah satu daripada rentetan episod-episod sedih yang melanda umat Islam seluruh dunia. Bukan sekadar di Palestin sahaja umat Islam diserang dan dibunuh, tetapi peristiwa yang sama juga berlaku di Iraq dan Afganistan.

Ikhwanul muslimin sekalian,

Tidakkah kita merasa pelik lagi hairan mengapa kita yang menganut satu agama yang diredhai di sisi Allah SWT begitu mudah dijadikan bola mainan oleh musuh-musuh Islam?

Kita dengan begitu mudahnya disepak dan ditendang tanpa ada rasa belas kasihan. Agama kita yang mulia ini begitu senang dipermainkan dan diberikan gambaran yang buruk seburuk-buruknya oleh musuh-musuh Islam.

Nabi Muhammad SAW yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai pembawa rahmat ke sekalian alam dijadikan bahan ejekan dan kutukan yang tidak berasas oleh musuh-musuh Islam.
Umat Nabi Muhammad SAW yang pernah mendapat pengiktirafan dari Allah sebagai umat yang terbaik dahulunya tetapi sekarang menjadi umat yang lembab dari segala aspek kehidupan dan yang lebih parah lagi umat Islam sekarang sedang menghidapi satu penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian iaitu CINTA DUNIA DAN TAKUT MATI.

Seperti mana sabda Rasulullah SAW:

“Hampir terjadi keadaan yang mana umat-umat lain akan mengerumuni kalian bagai orang-orang yang makan mengerumuni makanannya.”

Salah seorang sahabat berkata: “Apakah kerana sedikitnya kami ketika itu?”

Nabi SAW berkata: “Bahkan, pada saat itu kalian banyak jumlahnya, tetapi kalian bagaikan ghutsa’ (buih kotor yang dihanyutkan air ketika banjir). Pasti Allah akan cabut rasa segan yang ada di dalam dada-dada musuh kalian, kemudian Allah campakkan kepada kamu rasa wahn.”

Kata para sahabat: “Wahai Rasulullah, apakah wahn itu?

Beliau bersabda: “Cinta dunia dan takut mati.”

(HR Abu Daud no. 4297, Ahmad 5/278, Abu Nu'aim dalam At Hilyah m.s. 182 dengan dua jalan dan dengan keduanya hadis ini menjadi shohih)

Mengapa semua mimpi ngeri ini menimpa umat Islam pada hari ini sedangkan kita ini adalah penganut agama Islam yang cemerlang?

Tidak lain dan tidak bukan sebabnya ialah kita sudah tidak mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh seperti yang pernah diamalkan oleh generasi pertama dahulu iaitu para sahabat r.hum.. Seperti yang kita ketahui bahawa sumber rujukan pertama yang digunakan sebagai panduan hidup para sahabat ialah al-Quran. Apabila para sahabat menemui masalah, maka mereka kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah (hadith). Apabila para sahabat ingin melakukan sesuatu perkara maka mereka akan kembali merujuk kepada ayat-ayat al-Quran dan hadith nabi SAW. Dengan kata lain, setiap inci kehidupan para sahabat adalah berpandukan daripada al-Quran yang lengkap yang tiada keraguan dan kontradiksi di dalamnya.

Firman Allah SWT:

“Kitab (al-Quran) itu tidak ada keraguaan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.”
(al-Baqarah: 2)

Satu perkara lagi yang membuatkan generasi sahabat ini menjadi umat yang terbaik ialah mereka mempelajari al-Quran bukan sekadar untuk dibaca sahaja, tetapi mereka mempelajari al-Quran adalah untuk dilaksanakan serta merta bagaikan seorang perajurit yang menerima “arahan harian” atau “surat pekeliling” untuk dilaksanakan serta merta. Kadang-kadang cukup dengan hanya sepuluh ayat sahaja sehingga para sahabat benar-benar menghafalnya dan dilaksanakan arahan-arahannya. Selepas itu, barulah mereka berpindah ke ayat lain.

Bagaimana pula dengan kita?

Jikalau kita melihat dan merunung kembali realiti kehidupan umat Islam masa kini, kebanyakan umat Islam sudah tidak menggunakan al-Quran sebagai pedoman dan panduan hidup. Kita lebih berminat mengatur setiap ruang kehidupan kita dengan panduan-panduan yang bukan bersumberkan dari al-Quran. Rata-rata umat Islam kini lebih suka menjadikan BUDAYA BARAT yang kononnya bertamadun itu sebagai buku panduan hidup kita.

Sebab itulah ramai perempuan Islam lebih suka memakai baju ketat dan seluar ketat dari memakai pakaian yang menutup aurat.

Sebab itulah ramai umat Islam sekarang lebih gemar terkinja-kinja menari dari duduk beriktikaf di masjid mendengar kuliah agama.

Sebab itulah umat islam sekarang dihinggapi pelbagai penyakit sosial yang amat mengerikan, masalah politik yang kacau-bilau dan ekonomi yang tidak pernah maju.

Ubat bagi masalah ini hanya satu iaitu kembali mengamalkan Islam secara menyeluruh (syumul) ke dalam kehidupan kita tanpa mencampur-adukkan Islam yang suci dengan ideologi-ideologi dan falsafah-falsafah yang kotor dan tidak menjadikan Islam sebagai bahan tempelan dan kosmatik semata-mata.

Wallahu a’lam.

Sambungan..