Firman Allah SWT:
“Dia menciptakan manusia. Mengajarnya pandai berbicara.” (Ar-Rahmaan: 3 dan 4)
Mengikut Hasan al-Basri, al-bayan di dalam ayat 4 bermaksud kemahiran berkata-kata.
Dengan kata lain, Allah mengurniakan kepada hambanya kemahiran pandai berbicara. Ini adalah satu nikmat yang tidak semua orang pandai menggunakannya walaupun semua orang mendapat kelebihan yang Allah kurniakan ini.
Jika dinilai balik segala jenis kualiti percakapan kita sendiri dan orang lain, apa yang boleh disimpulkan ialah kebanyakan dari kita hanyalah pandai bercakap seperti burung kakak tua. Bercakap tapi tidak tahu apa tujuan sebenarnya kita bercakap. Inilah realitinya, kebanyakan umat Islam sekarang banyak bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah. Gosip-mengosip, kutuk-mengutuk dan fitnah-menfitnah menjadi satu amalan yang biasa disebabkan pelbagai pengaruh kotor yang mencemari pemikiran umat Islam pada waktu ini.
Dengan kata lain, kita bercakap tanpa berpandukan kepada matlamat yang jelas yang telah di gariskan oleh Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana.
Firman Allah SWT:
كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ
Maksudnya: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali-Imran: 110)
Inilah matlamat sebenar percakapan kita sehari-harian. Percakapan yang sentiasa mempunyai ruh yang membuatkan hati-hati manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Percakapan yang sentiasa ampuh mencegah kemungkaran dari terus bermaharajalela. Percakapan yang sentiasa penuh dengan hikmah yang menyebabkan manusia semakin ingin berimankan Allah SWT tanpa menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun dalam kehidupan seharian kita.
Tambah-tambah lagi di waktu saudara seIslam kita di bumi Palestin yang sedang berjihad menentang Rejim Zionis Israel, suara kita teramat diperlukan untuk menyedarkan orang-orang di sekeliling kita tentang situasi sebenar yang berlaku di Gaza. Bukan setakat itu sahaja, malah suara kita juga diperlukan untuk mengajak orang-orang di sekeliling kita untuk bangkit berjihad menentang Rejim Zionis Israel mengikut kemampuan kita.
Keadaan Kian Terbalik
Tetapi apa yang menghairankan, situasi yang berlaku di menara gading tempatku menuntut ilmu adalah sama sekali sonsang. Beberapa minggu yang lepas, sebelum solat jumaat ada satu kelompok mahasiswa yang begitu lantang bersuara membantah kekejaman Rejim Zionis Israel. Ada yang melaungkan slogan-slogan tertentu dan yang lebih menghiburkan hatiku apabila ada di kalangan mereka yang bertakbir.
Bukan maksudku untuk mempertikaikan tujuan demonstrasi itu diadakan. Tetapi cuma hati ini merasakan sesuatu yang tidak kena dengan demonstrasi yang diadakan itu. Apabila melihat jenis kolompok mahasiswa yang hadir ke demostrasi itu, memang patut aku rasa semacam ada yang tak kena dengan program itu.
Baru-baru ini, aku terlihat satu banner program yang begitu menjijikkan di waktu saudara seIslam kita di Palestin sana sedang berjuang bermati-matian menentang musuh agama Allah SWT. Program yang saya maksudkan di sini ialah program hiburan yang melepasi batasan syariat. Program ini ialah program menyanyi yang sungguh sinonim dengan mereka yang baru berdemonstrasi di hadapan Masjid al-Malik Khalid tidak lama dahulu.
Apakah maksud semua ini?
Inilah situasi terpesong yang saya maksudkan. Apa gunanya kita berdemonstrasi untuk Palestin jika pada masa yang sama kita menyokong sebarang program yang terkeluar dari batasan syariat.
Untuk pengetahuan saudara-saudara seIslamku “di sana”, saudara-saudara Islam kita di Palestin sana tidak memerlukan jeritan-jeritan singa kita di sini. Saudara-saudara seIslam kita di sana tidak memerlukan pun tandatangan cantik kita itu. Apa yang kalian buat masa berdemonstrasi di hadapan masjid itu hanyalah perkara-perkara yang bersifat menyedarkan orang ramai dan mungkin memperlahankan rentak tarian kekejaman rejim zionis Israel ke atas palestin. Tidak lebih dari itu…
Kepada saudara-saudara seIslamku “di sana”, isu yang sedang dihadapi oleh saudara seIslam kita di Palestin sana bukanlah sekadar isu hak asasi manusia. Bagi kita orang Islam, isu Palestin ini adalah isu UMAT ISLAM, isu PERIUK NASI UMAT ISLAM !!!
Jadi, Islam dan saudara-saudara seIslam kita di Palestin sana perlukan dari kita ialah marilah kita kembali kepada Islam yang kamil lagi syamil. Marilah kita kembali kepada Islam yang akan memandu kita ke arah kecermelangan dunia akhirat. Marilah kita kembali memperjuangkan Islam sebagai jalan untuk kita berubudiah kepada Allah bukan berjuang atas nama bangsa dan kaum tertentu. Rasulullah SAW tidak pernah mengajar kita supaya berjuang atas nama kaum tertentu tetapi Rasulullah SAW mengajar kita supaya kita berjuang atas nama Islam, agama yang diredhai Allah SWT.
Jangan jadikan percakapan dan perbualan kita sebagai suatu yang boleh dianggap retorik semata-mata. Pastikanlah setiap perkataan yang terpancar dari lidah kita adalah perkataan yang benar, jujur lagi penuh dengan hikmah.
Wallahu a’lam.
Antara Aku dan Percakapanku
2:52 PM
|
Labels:
Reaksi-ku
|
This entry was posted on 2:52 PM
and is filed under
Reaksi-ku
.
You can follow any responses to this entry through
the RSS 2.0 feed.
You can leave a response,
or trackback from your own site.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
salam
akhi, xsgka lagu tuh deh org2 sana..
astaghfirullah, ntah apa niat diorg wat demostrasi tuh...
fizikal ja yang kate nk boikot, tapi nalurinya seperti harimau yang mengejar2 apa yang diboikotkan tuh..
akhi, nta ade ym?
kl ada, add ana, mujahid4869
Post a Comment