Jutawan Klik!!!

"Alangkah Lamanya"

Sedihnya aku apabila melihat keadaan umat Islam sekarang yang semakin jauh dari gaya hidup Islam. Umat Islam sekarang semakin melupakan hakikat kehidupan mereka di dunia yang fana’ ini. Itu pun hanya bagi mereka yang mengetahuinya. Tapi bagaimana pula bagi mereka yang langsung tidak mengetahui hakikat hidupnya kita di dunia ini?


Saban waktu aku merenung diriku dalam-dalam supaya aku dapat mencari sesuatu untuk menenangkan diriku ini yang sering diselaputi dengan resah dan gelisah ekoran gelagat saudara-saudara se a’qidahku yang semakin gemar berenang di lautan kemewahan dan kenikmatan sementara dunia ini.


Apabila aku melihat pelbagai kemungkaran yang berlaku di sekelilingku, aku semakin sedih kerana lemahnya aku untuk mencegah segala kemungkaran ini. Aku berkata demikian kerana diriku sendiri semakin hilang kebencian kepada kemaksiatan di sekelilingku. Aku sudah rimas dengan hanya membenci maksiat dalam hati sahaja. Sampai bila aku mesti membenci maksiat dan kemungkaran dalam hati sahaja?


Apabila aku terus bermuhasabah, mengapa aku masih lagi tidak mampu untuk merancakkan lagi mekanisme perubahan fenomena sonsang umat Islam kini? Maka, apa yang aku dapati bahawa semuanya berpunca dari diriku sendiri.


“Ya, rupanya semuanya silapku. Akulah yang menjadi punca yang melambatkan proses perubahan ini.” Hatiku berkata-kata dengan sayu.


Benarlah apa yang engkau katakan wahai hati. Apabila aku selami kembali diriku ini, aku dapati
rupanya banyak lumpur-lumpur maksiat yang melekat pada dinding diriku ini kerana kemalasanku untuk bertaubat kepadaNya dan kerana kelopak mataku sudah lama kekontangan air mata taubat kepadaNya. Malunya aku kepadaMu ya Allah…


Setiap saat Engkau curahkan nikmatMu kepada hambaMu ini, tetapi hambaMu ini hanya bersyukur kepadaMu pada waktu-waktu tertentu sahaja. Engkau tidak pernah melupakan hambaMu ini dengan terus-menerus mencurahkan rahmatMu, tetapi hambaMu ini seringkali melupakan engkau dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.


Kemestian yang Pasti


“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.”


(Ali-Imran: 185)


Sayu hatiku apabila merunung kalam-kalam mulia ini. Apalah sangat yang boleh kita banggakan dari dunia ini kerana kejayaan yang hakiki hanyalah apabila kejayaan kita meraih redha Allah di sana kelak. Hatiku resah apabila memikirkan kualiti ibadahku yang selama ini aku kerjakan. Adakah solat subuhku setiap hari di masjid? Apakah aku dapat bangkit untuk berqiamullail setiap hari? Hatiku semakin resah memikirkannya apabila merenung kembali tentang kekusyukan solatku.


Apa yang pasti, hatiku sering merungut-rungut apabila imam membaca surah yang panjang apabila menunaikan solat subuh khususnya. Aku semakin tenggelam dalam kesedihan. Bagaimanalah keadaanku di Padang Masyar kelak yang mana sehari di sana bersamaan 50,000 tahun dunia? Sedangkan solat yang memakan masa lebih kurang lima minit pun aku merasakan cukup lama untuk dihabiskan.


Abu Said Al-Khudri telah meriwayatkan satu hadith berkenaan dengan hal ini daripada Rasulullah SAW. Katanya, Rasulullah SAW telah membaca firman Allah yang bermaksud:


“ Malaikat-malaikat dan Jibril naik (mengadap) kepada Tuhan sehari dengan kadarnya lima
puluh ribu tahun.”


Al-Ma’arij : 4


Alangkah lamanya, ” kata para sahabat r.hum apabila mendengar baginda membaca ayat ini. Kemudian Rasulullah SAW menyambung sabdanya untuk mengubati kembali keresahan hati para sahabat dengan sabdanya yang bermaksud:


“ Demi jiwaku yang berada di dalam genggaman Tuhan, sesungguhnya Allah SWT meringankan (tempoh masa di akhirat) bagi orang Mukmin hanya sekadar lama masa bagi tempoh waktu melakukan solat fardhu.”


Bahagianya mereka yang khusuk solatnya. Alangkah daifnya aku apabila menilai kembali mutu solatku yang langsung tidak memuaskan hati. Hatiku bergolak dengan pelbagai masalah duniawi yang tidak habis-habis dan hatiku juga resah memikirkan bermacam-macam perkara semasa aku sedang mengerjakan solat.


Bimbangnya aku apabila memikirkan perjalanan hidupku di Masyar kelak. Berapa lamakah aku di sana kelak? Takutnya aku ya Allah apabila memikirkannya…


“Ya Allah, peliharalah aku dari kekacauan Hari Akhirat kelak.” Hatiku berdoa dengan penuh khusyuk…


WALLAHU A’LAM…

Sambungan..

Bagaimana Cara Tuan Bersolat?

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."Isam bertanya,

"Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?" Hatim berkata,
"Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air".
Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
* Bertaubat

* Menyesali dosa yang telah dilakukan

* Tidak tergila-gilakan dunia

* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')

* Tinggalkan sifat berbangga

* Tinggalkan sifat khianat dan menipu

* Meninggalkan sifat dengki.


Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.
Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:-)

1.aku sedang berhadapan dengan Allah,

2.Syurga di sebelah kananku,

3.Neraka di sebelah kiriku,

4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan

5.aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuhpengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolatselama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Walahu a’lam…

Sambungan..

Hatiku Puas

Apabila aku berada di dalam masjid, aku akan merasa suatu kepuasan yang begitu menyenangkan hati ini. Ada suatu perkara yang menenangkan hati ini tatkala melihat anak-anak orang arab berlegar-legar di ruang solat masjid. Ada yang bermain-main ada yang duduk diam sahaja. Aku semakin gembira apabila melihat pak cik-pak cik arab ini selalu membawa anak mereka ke masjid. Bersolat bersama-sama dengan orang dewasa sedikit-sebanyak menambahkan lagi keharmonian ukhwah antara generasi yang berbeza usia.

Setiap kali aku hendak balik dari masjid selepas selesainya solat Isyak hati aku akan menjadi tenang dan gembira apabila melihat anak-anak orang arab balik dari sekolah. Hatiku menjadi semakin gembira apabila melihat anak-anak keturunan arab yang begitu riang berlari-lari pulang dari sekolah yang hanya dikhususkan oleh orang arab sahaja.

Dalam hatiku ini sering terdetik “bila la aku nak dapat anak ni? Boleh la aku bergomol-gomol dengan anak aku nanti.”

Ishh, jauhnya aku mengelamun, emak kepada anaknya pun tak tau lagi siapa gerangannya, dah fikir anak dah. Hehe…

Tetapi, baru-baru ini sekali lagi aku menjadi gembira apabila melihat masjid USM dihadiri oleh sekelompok bangsa Cina kerana pada malam itu Pusat Islam USM mengadakan program ceramah dalam bahasa Cina. Malah, ada di kalangan mereka yang membawa anak-anak mereka. Subhanallah, seronoknya aku pada malam itu apabila melihat anak-anak dari bangsa Cina bermain-main. senergi kaum yang cukup besar telah berlaku pada malam itu di dalam masjid USM.

Tetapi aku tetap merasa sesuatu kekosongan dan kelompongan di dalam hatiku. Di mana anak-anak bangsa Melayu. Di waktu anak-anak bangsa asing memenuhi masjid, di tika itulah masjid USM kekontangan anak-anak Melayu. Malah mahasiswa yang datang ke masjid juga tidak begitu ramai jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan mahasiswa Islam di USM.

Malah, senario ini sering kali memeningkan pihak pengurusan masjid dan mereka yang cakna kepada situasi umat Islam sekarang. Di manakah hilangnya anak-anak muda yang sepatutkan menjadikan masjid sebagai “kediaman kedua”. Aku semakin keliru. Di mana silapnya di waktu tenaga-tenaga besar sang pemuda diperlukan tetapi pada masa yang sama tenaga-tenaga ini terbiar dan tidak diguna pakai.

Tetapi sakit hatiku terubat juga apabila melihat gelagat seorang budak kecil berbangsa Melayu yang suka bermain dengan abangnya di dalam masjid. Bukan setakat bermain, malah membaca al-Quran dan belajar di situ. Geram betul aku melihat budak tu. Rasa macam nak bertinju je dengan budak tu. Dah la comel, nakal pulak tu. Tapi apa akan dayaku, budak tu anak orang, bukan anak aku. Kui kui…

Apa pun, aku respect kat bapa budak tu. Amat jarang aku terserempak dengan pak cik tu apabila datang ke masjid tanpa anaknya di sisi. Nanti bila aku dah ada anak, aku akan mestikan dan pastikan anak aku bersama-sama denganku selalu bersolat di masjid supaya kelak akan ada generasi penyambung risalah Nabi SAW yang cinta akan masjid.

Pensyarahku Murabbiku

Jauh betul angan-angan aku. Hhmm, sejak seorang pensyarah yang berasal dari Jepun mula mengajarku dalam subjek Basic Laboratory Course in Plant Pathology, aku berasa semacam kepuasan yang belum pernah aku rasai seumur hidup aku.

Ceritanya bermula apabila pensyarah yang dikenali sebagai Dr. Nagao tidak berpuas hati dengan lukisan yang dilukis oleh aku melalui pemerhatian dari mikroskop. Dipendekkan cerita, apabila kebanyakan student sekelas denganku sudah balik, aku tak balik-balik lagi kerana kena observe sekali lagi disebabkan “penipuan” yang aku lakukan. Dr. Nagao telah menyuruhku membuat prepared slide sekali lagi kerana prepared slide yang dibuat tidak memuaskan kerana tidak boleh nampak fungi structures dengan begitu jelas.

Buat je la, walaupun diri dah malas nak buat kerana fikiran telah disetting untuk balik awal. Apa yang membuatkan aku berasa suatu kepuasan ialah apabila Dr Nagao yang terkenal sebagai seorang pensyarah yang begitu menjaga solatnya supaya bersolat di awal waktu memberiku tunjuk ajar yang pada kiraanku amat berlainan dengan tunjuk ajar yang pernah aku terima dari pensyarah lain. Aku merasakan suatu keterikatan hati yang penu dengan kasih-sayang yang tiada taranya. Cara Dr. nagao mengajar penuh kasih sayang bagaikan seorang ayah yang sayang akan anaknya. Walaupun aku membuat silap, tetapi dia lansung tidak memarahi aku. Malah menyindir aku pun tidak. Dia memberi tunjuk ajar dengan penuh kesabaran walaupun aku kadang-kadang aku tidak berapa faham apa yang dicakapnya.

Seronoknya apabila bersama dengan orang yang ada hubungan yang akrab dengan masjid. Wajah Dr Nagao yang jernih disimbahi nur berkat wudhuk yang sentiasa membasahi raut wajahnya membuatkan hatiku yang teramat kotor dengan maksiat yang sering aku lakukan berasa tenang apabila bersama dengannya. Aku harap aku dapat menjadi sepertinya. Mendidik dengan penuh kasih sayang walaupun berbeza kaum, tetapi ianya tidak lansung menjadi benteng yang memisahkan ikatan hati yang berpaksikan redha Allah SWT.

Sambungan..

Aspirasi Rakyat



Rupanya ramai juga rakyat Malaysia yang tidak puas hati dengan dasar kerajaan yang terus menyombongkan diri untuk melaksanakan dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Barulah kerajaan tahu bahawa masih ada lagi orang Melayu yang cinta akan Bahasa Melayu dan tidak terpengaruh dengan doktrin Yahudi dan Barat atas nama globalisasi.

Bukanlah semua yang maju itu datangnya dari Barat. Dari segi sosial mahukan yang Barat. Dari segi politik pula suka akan sistem politik sesat dari barat iaitu sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Dari segi ekolominya pula, pemimpin-pemimpin negara yang majoritinya orang Islam terus menjadi pak turut untuk terus berada dalam sistem ekonomi yang berdasarkan kapitalisme. Bukankah kita sudah ada sistem yang mengikut syariat Islam yang syamil lagi kamil?

Sehinggakan pendidikan pun hendak di “Baratkan”. Apa sudah jadi? Mengapa apabila adanya perbincangan dari sudut ilmiah tentang PPSMI kerajaan masih lagi buat endah tak endah akan realiti di depan mata yang terus membenarkan realiti, bukan imeginasi.

Sudah terang lagi bersuluh dasar perlaksanaan PPSMI yang sudah sekian lama dilaksanakan sejak dari zaman pemerintahan Tun Dr. Mahadhir masih tidak menampakkan sebarang percambahan positif ke atas pelajar sekolah khususnya pelajar di luar bandar.

Nah!!! Rasakan penangan rakyat yang benar-benar sayang akan agama, rakyat dan bangsa…
















Inilah “teguran” rakyat supaya pemimpin sedar dari tidur yang dibuai mimpi indah hasil menipu rakyat. Ini bukan lagi retorik yang dibuat-buat. Tetapi kerana terpaksa kerana pemimpin yang berada di atas tidak sedar-sedar akan kesalahan yang dibuat.

Wallahu a’lam…

Sambungan..

Syahadah dan Aku

Subhanallah, selepas aku membaca satu topik dari sebuah buku yang pada kiraanku sebuah buku yang hebat, barulah aku sedar bahawa antara sebab mengapa generasi pertama Islam yang sehingga sekarang tiada lagi generasi yang dapat menandingi kehebatan dan kegemilangan yang dicapai oleh generasi unik ini ialah dari sudut penghayatan rukun Islam yang lima.

Rukun Islam yang pertama ialah mengucap dua khalimah syahadah. Sesiapa yang tidak mengucapnya di kira bukan beragama Islam. Hanya dengan dua kalimah suci ini sahaja boleh membezakan kita yang Islam dengan bukan Islam. Tetapi, apa yang perlu kita fikirkan dan renungkan sekarang ialah keadaan umat Islam sekarang yang kebanyakan nampaknya lebih teruk dan buruk dari pelbagai sudut berbanding orang bukan Islam sendiri. Di mana silapnya? Mari kita rungkaikan persoalan ini…


Ada Apa Dengan Kalimah Syahadah?

Pertama sekali, apa yang perlu kita ketahui ialah apakah maksud yang tersirat di sebalik shahadatain ini. Antara permasalahan umat Islam hari ini ialah kebanyakan dari kita tidak mengetahui makna yang tersirat di sebalik kalimah yang mulia ini. Kita hanya tahu yang tersurat sahaja dan ini sebenarnya tidak mencukupi untuk menjadikan kita ini Muslim yang hebat lagi digeruni musuh.

Sebenarnya, ucapan dua kalimah syahadah “Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah” berkait rapat dengan iman dan ia merupakan penyataan misi seorang Muslim. Inilah misi kita sebagai seorang Muslim! Mengapa kita perlu mengetahui misi yang maha besar ini sedalam-dalamnya? Kerana, sesebuah misi akan menentukan strategi dan aktiviti yang bakal dilaksanakan untuk mencapai matlamat misi kita ini.

Penyataan misi ini penting kerana ia akan mencorakkan jalan yang akan kita tempuhi untuk menggerakkan misi ini. Jesteru, apabila misi kita sudah tepat, maka landasan hidup yang bakal kita lalui tidak lain ialah al-Quran dan as-Sunnah. Dengan ini, hidup kita akan diwarnai dengan keredaan dari Allah SWT kerana kita menggunakan neraca Islam untuk menguruskan segala aktiviti kehidupan kita di dunia ini. Benarlah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Nabi SAW berkata “Seseorang merasai kemanisan iman apabila dia redha Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai landasan hidupnya dan Nabi Muhammad sebagai rasulnya.”

Antara maksud tersirat yang terkandung dalam misi kita ini ialah seorang Muslim itu mesti tunduk kepada segala hukum dan undang-undang Allah yang didatangkan melalui Nabi Muhammad SAW. Dia tidak redha dengan segala peraturan dan undang-undang selain undang-undang Allah.

Pengistiharan kalimah hebat iaitu dua kalimah syahadah ini menjadikan setiap Muslim mampu menilai sesuatu perkara itu dengan betul. Nilai sebuah ketaqwaan lebih diutamakan daripada keindahan duniawi seperti harta, pangkat, wanita, keturunan dan sebagainya.

Pengistiharan kalimah yang mulia ini juga menjadikan iman kita semakin menyinar dan mampu melahirkan sifat-sifat terpuji seperti ikhlas, adil, berfikir positif, tawakkal, sabar, tidak mengenal putus asa dan yang lebih penting lagi ialah kesanggupan melupakan kesenangan duniawi yang sementara dan menumpukan usaha untuk mendapatkan kesenangan yang berkekalan di akhirat sana.

Disebabkan pengistiharan dua kalimah yang agung inilah yang menjadikan para sahabat golongan yang hebat lagi berperinsip. Sebagaimana Jaafar bin Abi Talib r.u tidak mahu sujud kepada Raja Najasyi semasa peristiwa hijrah ke Habsyah dengan berkata, “Kami tidak sujud melainkan kepada Allah.”

Wallahu a’lam

Rujukan: Buku Minda Muslim Super

Sambungan..