Subhanallah, selepas aku membaca satu topik dari sebuah buku yang pada kiraanku sebuah buku yang hebat, barulah aku sedar bahawa antara sebab mengapa generasi pertama Islam yang sehingga sekarang tiada lagi generasi yang dapat menandingi kehebatan dan kegemilangan yang dicapai oleh generasi unik ini ialah dari sudut penghayatan rukun Islam yang lima.
Rukun Islam yang pertama ialah mengucap dua khalimah syahadah. Sesiapa yang tidak mengucapnya di kira bukan beragama Islam. Hanya dengan dua kalimah suci ini sahaja boleh membezakan kita yang Islam dengan bukan Islam. Tetapi, apa yang perlu kita fikirkan dan renungkan sekarang ialah keadaan umat Islam sekarang yang kebanyakan nampaknya lebih teruk dan buruk dari pelbagai sudut berbanding orang bukan Islam sendiri. Di mana silapnya? Mari kita rungkaikan persoalan ini…
Ada Apa Dengan Kalimah Syahadah?
Pertama sekali, apa yang perlu kita ketahui ialah apakah maksud yang tersirat di sebalik shahadatain ini. Antara permasalahan umat Islam hari ini ialah kebanyakan dari kita tidak mengetahui makna yang tersirat di sebalik kalimah yang mulia ini. Kita hanya tahu yang tersurat sahaja dan ini sebenarnya tidak mencukupi untuk menjadikan kita ini Muslim yang hebat lagi digeruni musuh.
Sebenarnya, ucapan dua kalimah syahadah “Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah” berkait rapat dengan iman dan ia merupakan penyataan misi seorang Muslim. Inilah misi kita sebagai seorang Muslim! Mengapa kita perlu mengetahui misi yang maha besar ini sedalam-dalamnya? Kerana, sesebuah misi akan menentukan strategi dan aktiviti yang bakal dilaksanakan untuk mencapai matlamat misi kita ini.
Penyataan misi ini penting kerana ia akan mencorakkan jalan yang akan kita tempuhi untuk menggerakkan misi ini. Jesteru, apabila misi kita sudah tepat, maka landasan hidup yang bakal kita lalui tidak lain ialah al-Quran dan as-Sunnah. Dengan ini, hidup kita akan diwarnai dengan keredaan dari Allah SWT kerana kita menggunakan neraca Islam untuk menguruskan segala aktiviti kehidupan kita di dunia ini. Benarlah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Nabi SAW berkata “Seseorang merasai kemanisan iman apabila dia redha Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai landasan hidupnya dan Nabi Muhammad sebagai rasulnya.”
Antara maksud tersirat yang terkandung dalam misi kita ini ialah seorang Muslim itu mesti tunduk kepada segala hukum dan undang-undang Allah yang didatangkan melalui Nabi Muhammad SAW. Dia tidak redha dengan segala peraturan dan undang-undang selain undang-undang Allah.
Pengistiharan kalimah hebat iaitu dua kalimah syahadah ini menjadikan setiap Muslim mampu menilai sesuatu perkara itu dengan betul. Nilai sebuah ketaqwaan lebih diutamakan daripada keindahan duniawi seperti harta, pangkat, wanita, keturunan dan sebagainya.
Pengistiharan kalimah yang mulia ini juga menjadikan iman kita semakin menyinar dan mampu melahirkan sifat-sifat terpuji seperti ikhlas, adil, berfikir positif, tawakkal, sabar, tidak mengenal putus asa dan yang lebih penting lagi ialah kesanggupan melupakan kesenangan duniawi yang sementara dan menumpukan usaha untuk mendapatkan kesenangan yang berkekalan di akhirat sana.
Disebabkan pengistiharan dua kalimah yang agung inilah yang menjadikan para sahabat golongan yang hebat lagi berperinsip. Sebagaimana Jaafar bin Abi Talib r.u tidak mahu sujud kepada Raja Najasyi semasa peristiwa hijrah ke Habsyah dengan berkata, “Kami tidak sujud melainkan kepada Allah.”
Wallahu a’lam
Rujukan: Buku Minda Muslim Super
Syahadah dan Aku
11:27 PM
|
Labels:
Sekadar Peringatan
|
This entry was posted on 11:27 PM
and is filed under
Sekadar Peringatan
.
You can follow any responses to this entry through
the RSS 2.0 feed.
You can leave a response,
or trackback from your own site.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment