Semester kali ini, sekali lagi Allah telah takdirkan saya untuk berada di dalam makmal untuk menjalani satu tugas baru dan yang terakhir untuk pelajar tahun akhir iaitu Projek Tahun Akhir. Walaupun hati ini tidak berapa menyukai untuk “terperangkap” di dalam makmal, tetapi, kepasrahan diri ini kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui baik dan buruk sesuatu perkara menjadi pengubat kepada diri ini.
Selain dari itu, keredhaan Allah itulah yang lebih utama untuk dicari dengan menerima segala ketetapannya dengan rela hati, bukan dengan marah dan lain-lain perasaan yang tidak elok yang memenifestasikan masalah iman kita kepada Allah SWT.
Maka sekali lagi, diri ini “terpaksa” membelek laboratory manual untuk diingati kembali. Bukan apa, amatlah sombong sekiranya kita berada di dalam makmal tetapi tidak mengikut ketetapan di dalamnya kerana ia boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.
Begitu jugalah kita yang sedang berada di atas pentas kehidupan ini. Untuk menghindarkan diri dari bahaya, derita dan yang sewaktu dengannya, maka ketetapan ataupun undang-undang Allah SWT mesti dijadikan panduan untuk hidup di dunia ini. Dengan kata lain, kita melakukan apa yang diperintahkan dan meninggal apa yang dilarang.
Segala hal perihal undang-undang Allah telah dimuatkan di dalam sebuah “buku” yang tiada tolok tandingannya iaitu al-Quran. Jika difahami, dihayati dan diamalkan dengan penuh keikhlasan, maka kejayaan menanti kita di dunia dan di akhirat.
Antara kecuaian yang paling besar dilakukan oleh orang Islam sekarang ialah al-Quran hanya dijadikan ayat untuk menjampi air, melagukan ayat al-Quran dan tidak ketinggalan juga yang menggantung ayat al-Quran di dinding sekadar untuk hiasan dan barang kali untuk menghalau syaitan.
Jika ini sahaja yang kita amalkan dari al-Quran, maka hanya manfaat ini sahajalah yang kita dapat daripadanya. Jika faedah yang kecil-kecil sahaja yang kita ambil daripadanya, maka hanya itu sahajalah yang kita dapat.
Alangkah ruginya kita, al-Quran diturunkan kepada umat Muhammad SAW dengan jaminan sesiapa yang mengamalkan ajaran Islam keseluruhannya, maka kejayaan menantinya di dunia dan akhirat. Alangkah ruginya kita, “ubat al-Quran” yang berada di depan mata kita yang hanya menunggu untuk dihayati dan diamalkan dan diaplikasikan untuk mengubati penyakit umat, disimpan di tempat yang tinggi dan di dalam laci sehingga berhabuk dan bersawang.
Apabila al-Quran “dikurung” di dalam laci dan “di menara tinggi”, maka terkurunglah juga hak-hak yang patut kita berikan kepada saudara-saudara se-Islam kita seperti di Selatan Thai, Palestin, Mindanao, Iraq dan umat Islam Uighur di wilawah xingiang sana.
Jika di zaman Islam dijulang dahulu, apabila seorang Muslim teranainya, maka segerombolan tentera Islam datang menuntut bela di atas kesengsaraan seorang Muslim tersebut. Tetapi tidak lagi sekarang, walaupun sudah beratus ribu atau sudah mencapai angka juta orang Islam dibunuh dan diseksa, kurang atau tiada langsung seorang atau sekumpulan Muslim yang mempunyai kemampuan dari segi kuasa politik tampil ke hadapan menuntut bela di atas segala musibah ini.
Di kala umat Islam dibunuh dan diseksa, kita di sini bagaikan tidak mengetahui langsung apa yang berlaku kepada saudara Muslim kita di luar sana bagaikan dunia ini aman sentosa tiada peperangan dan keganasan terhadap kaum Muslimin.
Ya, Malaysia memang sebuah Negara yang “aman” lagi “tenteram” dengan pelbagai kemungkaran yang semakin menjadi-jadi dan begitu membimbangkan. Masakan tidak, pemimpin Negara ini bagaikan tidak menyedari bahaya murka Allah sedang menunggu di depan mata mereka. Tetapi apa yang mereka risaukan ialah momentum kebenaran Islam yang sedang memecut laju ke cita-citanya dan mukmin yang setia mendokong gagasan cita-cita agama yang mulia ini.
Inilah realiti sebenar kita, kebatilan dijulang dan kebenaran ditenggelam. Ini semua berlaku apabila sistem yang menguasai hidup kita dikuasai oleh orang yang bukan ahlinya iaitu pengamal-pengamal ajaran sesat seperti sekularisme, liberalisme, sosialisme dan semua isme yang lain dari Islam yang sempurna lagi menyempurnakan.
Janganlah sesekali kita jadikan al-Quran sebagai “lirik lagu”, ayat jampi, ayat untuk digantung di dinding. Ini terlalu kecil peranannya untuk dibandingkan dengan al-Quran. Bukan untuk ini al-Quran diturunkan. Tetapi al-Quran diturunkan adalah untuk diamal isinya.
Wallahu a’lam...
Antara Lab Manual dan Al-Quran
11:27 PM
|
Labels:
Sekadar Peringatan
|
This entry was posted on 11:27 PM
and is filed under
Sekadar Peringatan
.
You can follow any responses to this entry through
the RSS 2.0 feed.
You can leave a response,
or trackback from your own site.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment