Jutawan Klik!!!

Awasilah Ghurur

Ghurur adalah suatu sifat yang menipu pemiliknya. Dia adalah suatu kebodohan yang membuat seseorang menilai sesuatu yang jelik sebagai suatu yang baik dan kesalahan sebagai suatu kebenaran. Demikianlah dijelaskan oleh ibnul jauzi di dalam bukunya Tablis Iblis. Sifat ini muncul kerana syubhah atau kerosakan pemikiran yang membuatnya salah di dalam menilai. Iblis pun masuk untuk menggoda manusia seukuran kemampuannya dan akan semakin mantap cengkamannya terhadap seseorang atau semakin lemah seiring dengan ukuran kesedaran atau kelalaian orang tersebut, juga sekadar keilmuaannya. Demikian beliau jelaskan di dalam kitab tersebut.

Mereka-Mereka yang Terkena Penyakit Ini

Orang kafir dan munafik

Firman Allah SWT: “Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang mukmin) seraya berkata: ‘Bukankah kami dahulu bersama-sama dengan kamu?’ Mereka menjawab: ‘Benar, tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri dan menunggu (kehancuran kami) dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah ; dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu’.” (Al-Hadid: 14)

Yakni kalian tertipu oleh syaitan sehingga kalian tidak mengagungkan Allah SWT dengan seagung-agungnya. Sehingga kalian tidak mengetahui kekuasaan Allah SWT terhadap kalian. Akhirnya kalian pun mengira bahawa Allah SWT tidak mengetahui kebanyakan daripada apa yang kalian lakukan. (Zubdatut Tafsir)

Allah SWT juga menerangkan tentang keadaan orang kafir yang tertimpa ghurur sehingga tertipu oleh gemerlapnya kehidupan dunia.

“ Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat.” (Al-Jatsiyah: 35)

Orang yang Berilmu tetapi tidak beramal

Orang-orang yang berilmu juga tidak terlepas dari penyakit yang menggerunkan ini. Di antara orang yang berilmu ini adalah mereka yang mendalami ilmu agama tetapi mereka lalai dari mengawasi anggota badan mereka daripada melakukan perkara maksiat serta lalai menekankan diri mereka agar sentiasa taat.

Golongan ini tertipu dengan ilmu mereka sendiri dan menyangka bahawa mereka mendapat tempat di sisi Allah SWT. Jika mereka kembali melihat kepada ilmu mereka, pasti mereka akan mengetahui bahawa ilmu mestilah disinergikan dengan amal supaya ilmu yang telah dikutip sebelum ini tidak sia-sia.

Orang yang berilmu dan beramal

Ada pula di kalangan umat Islam yang menekuni ilmu dan telah menghiasi dirinya dengan amal lahiriah. Tetapi sayangnya mereka tidak mengawasi hati mereka dari penyakit-penyakit hati seperti sombong, hasad dengki, riya’ dalam beramal, mencari populariti dan ingin menjadi lebih hebat dari orang lain.

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak meihat kepada menampilan-penampilan dan harta benda kalian. Akan tetapi melihat kepada hati dan amal kalian.” (Shahih, HR. Muslim dan Ibnu Majah dari sahabat Abu Hurairah r.a)

Orang yang sedar, tapi buat-buat tak sedar

Sekumpulan yang lain pula menyedari akan sifat-sifat keji lagi mungkar ini tetapi disebabkan sikap bangga diri yang tersimpan dalam diri mereka, mereka berasa aman dan telah bebas dari sifat-sifat tercela itu. Bahkan, menurut mereka, golongan yang tertimpa dengan sifat-sifat keji itu hanyalah mereka yang masih awam.

Bila muncul dalam diri mereka percikan kesombongan, mereka pun mengatakan ke dalam diri mereka, ‘Ini bukan sombong. Bahkan ini adalah demi kemuliaan agama dan untuk menampakkan kemuliaan ilmu, serta merendahkan ahli bidaah’. Enggan berteman dengan orang lemah, hanya mahu dengan orang yang berpangkat atau berduit, berasa hina bila berteman dengan kaum yang lemah.

Golongan ini terlupa bahawa Nabi SAW dan para sahabatnya adalah orang-orang yang tawadhuk. Mereka bergaul dengan kaum dhuafa, bahkan mereka mengutamakan kefakiran dan kemiskinan.

Sekelompok yang lain pula apabila terkana jangkitan ghurur, mereka mencari kesenangan dunia, kemuliaan, kemudahan, kecukupan dengan memperalatkan penampilan kealiman dan kesahihannya. Bila muncul percikan riya’, dia pun mengatakan dalam dirinya: ‘Saya hanya bermaksud menampakkan ilmu dan amal agar orang mengikuti saya, agar orang mendapat hidayah kepada ajaran ini.’

Jika benar mereka ingin menunjukkan jalan kepada hidayah Allah kepada manusia, tentu sahaja dia merasa senang ketika manusia mendapat hidayah melalui selain tangannya. Ini kerana, sesiapa sahaja yang tujuan dakwahnya adalah untuk memperbaiki manusia, maka dia merasa senang ketika manusia menjadi baik melalui tangan sesiapa pun.

Orang yang berilmu, beramal dan mengawasi hati

Mereka adalah sekelompok manusia yang mendalami ilmu, membersihkan dan menjaga amal mereka serta mengawasi hati mereka dari sifat sombong, riya’ dan hasad. Tetapi masih ada sedikit tipu daya syaitan dan tipu daya jiwanya yang tersembunyi di ruang-ruang kecil di hatinya. Bahkan, dia tidak sedar kewujudannya.

Apabila dilihat, mereka ini bersungguh-sungguh dalam beramal sehingga memandang bahawa faktor pendorongnya adalah menegakkan agama Allah SWT. Tetapi pada kenyataannya terkadang pendorongnya adalah mengharap sebutan orang terhadapnya. Sehingga terkadang muncul sikap merendahkan yang lain melalui sikapnya menyalah-nyalahkan yang lain dan berasa dirinya lebih mulia dari yang lain.

Sumber: Majalah i keluaran Julai 2009, m/s 28, bahagian bakalan pendakwah.

0 comments: