Jutawan Klik!!!

Hijrah

Hijrah, apakah itu hijrah? Adakah sekadar berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat? Atau sekadar suatu hari cuti dan sambutan Maal Hijrah yang diadakan setiap tahun? Atau anda mempunyai definisi lain tentang hijrah?

Secara ringkasnya, hijrah bermaksud transformasi. Perubahan dari suatu peringkat ke suatu peringkat yang lebih baik. Analoginya adalah seperti seekor rama-rama. Sebelum rama-rama terbang bebas, rama-rama berada di dalam kepompong atau pun pupa. Pada periingkat ini rama-rama masih lagi tidak boleh terbang hatta untuk bergerak pun tidak mampu. Tetapi apabila masa bergerak ke hadapan, maka rama-rama yang pada awalnya berada pada peringkat pupa mula membesar dan mampu terbang di bebas di angkasa.

Di dalam sirah telah tercatat bagaimana umat Islam yang dahulunya lemah serta kecil bilangannya, kemudian menjadi umat yang gagah perkasa sehingga empayar gergasi seperti Rumawi dan Parsi berada di bawah tapak kaki orang Islam.

Di dalam sirah juga ada tercatat bagaimana umat Islam yang pada awalnya dianuti kebanyakan dari golongan yang lemah lagi hina, kemudiaannya menjadi figure-figure penting dalam kebangkitan Islam semasa di zaman Rasulullah SAW.

Maka bolehlah difahami bahawa hijrah itu bukanlah suatu peristiwa yang remeh yang boleh dipandang sebelah mata, tetapi hijrah memerlukan kita untuk bangkit dari “peringkat pupa” ke “peringkat terbang di angkasa.”

Untuk melaksanakan transformasi hijrah yang mampu mengubah umat Islam yang lemah kepada umat yang hebat lagi digeruni, ia memerlukan beberapa langkah gergasi setaraf dengan matlamat yang ingin dicapai.

Langkah yang pertama, untuk memulakan hijrah yang agung ini, umat Islam perlulah menguasai ilmu pengetahuan. Seperti yang diketahui, isi yang terkandung dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda SAW adalah berkenaan menuntut ilmu, ataupun dengan kata yang lebih dinamik ialah “break the code” ataupun mengkaji sesuautu ilmu itu.

Langkah yang kedua pula ialah, kita mestilah menggunakan acuan yang tepat lagi sesuai untuk melakukan rentak hijrah kita. Maka acuan yang paling sesuai untuk digunakan ialah acuan al-Quran dan as-Sunnah. Ringkasnya, ilmu yang digali dan dikaji oleh kita perlulah berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Maka, hasil dari acuan yang betul ini, ia akan dapat melahirkan muslim yang professional di dalam bidang tertentu dan dalam masa yang sama ia dapat mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui bidangnya itu. Contohnya, seorang pegawai pertanian yang pakar dalam bidang pengurusan ladang dan dalam masa yang sama ia dapat menerapkan nilai Islam dalam professionnya seperti mengurangkan penggunaan racun kimia dan menjaga kebersihan ladang. Tuntasnya, acuan al-Quran dan as-Sunnah ini mampu mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui professionnya.

Langkah yang ketiga ialah, hijrah kita mestilah hijrah yang syamil dan kamil. Dengan kata lain, hijrah yang kita hendak lakukan ini ialah hijrah yang menumpukan kepada perkara-perkara besar, bukan perkara-perkara kecil. Untuk melakukan hijrah yang bertaraf mega ini, ia memerlukan usaha yang bertaraf mega juga. Usaha mega ini dinamakan sebagai jihad fisabilillah. Perlulah difahami bahawa, jihad disini bukanlah sekadar mengangkat senjata, tetapi secara halusnya jika diperincikan lagi, jihad ini ialah melakukan yang baik dan meninggalkan yang jahat. Ya, mudah dikata, tapi susah untuk dikota.

Langkah yang terakhirnya ialah, hijrah yang agung ini memerlukan partisipasi seluruh umat Islam. Bukan ulama’ sahaja yang berkobar-kobar, bukan golongan professional sahaja yang bersemangat, tetapi semua peringkat dan lapisan perlu bersama bergerak bersama.

Wallahu a’lam...isi diambil daripada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Dr. Danial. Mungkin ada yang terubah sebab saya tidak rakam khutbah beliau. Kui kui...

Sambungan..

Apabila otak tersekat dengan maklumat...

Assalamua’laikum dan salam Maal Hijrah kepada seluruh kaum Muslimin, terutama sekali kepada sahabat dan sohabiah seperjuangan yang tidak mengenal letih dan lelah dalam perjuangan menegakkan Islam di dunia ini.

Pemandangan seperti biasa seperti tahun-tahun sebelum ini, majlis sambutan Maal Hijrah kelihatan hambar dari segi bilangan yang hadir. Ya, suatu fenomena biasa di akhir zaman, yang baik itu kelihatan janggal dan yang jahat itu kelihatan normal.

Ingatlah wahai saudaraku sekalian, setiap saat kita semakin hampir dengan kubur, tetapi apakah kita semakin hampir dengan Allah SWT?

Setiap saat kita semakin mendekati akhirat, tetapi adakah kita semakin bersiap-sedia untuk menghadapinya atau sebaliknya?

Inilah contoh kata-kata yang perlu kita mainkan acap kali di dalam diri kita. Tujuannya
hanya untuk mengingatkan diri kita supaya setiap saat kita sentiasa patuh kepadaNya, bukan kepada nafsu dan yang seangkatan dengannya.

Sejak akhir-akhir ini, aku semakin “gila” dalam meneroka lautan info dan maklumat perihal peristiwa akhir zaman khususnya tentang konspirasi dajjal dan angkatan tentera Panglima al-Mahdi yang akan muncul tidak lama lagi. Lagipun ini memang minatku sejak dari bangku sekolah lagi. Apabila bersembang dengan rakanku tentang topik yang berkaitan dengan akhir zaman, maka aku secara sukarelanya menjadi moderator (moderator tidak diundang, kui kui...).

Tetapi, akibat kesibukan aku dalam bidang akademik, aku sedikit-sedikit semakin melupakannya. Tetapi, pada waktu ini, dengan taufik dan hidayah Allah, aku terpanggil kembali untuk merungkai misteri akhir zaman yang banyak belum terjawab lagi oleh kita.
Oh ya, mungkin ada dikalangan kita akan berkata bahawa segala suatu perihal akhir zaman telah diberitakan dalam al-Quran dan Hadth nabi SAW, tidak perlu lagi kita mengkajinya, atau mungkin juga pernah berkata bahawa zaman kebangkitan Islam akan tiba, maka kita tunggu je la.

Bagi aku, penyataan-penyataan seperti ini hanyalah dari mereka yang malas lagi lemah (bukan niat untuk mengata). Tetapi bukankah Allah menyuruh kita supaya mengkaji seperti yang terkandung dalam wahyu pertama Rasulullah SAW?

Jika ada ayat al-Quran yang saintifik, kita boleh mengkajinya, tetapi mengapa dalam hal-hal seperti ini (perihal peristiwa akhir zaman) kita malas mengkajinya, sedangkan klu yang diberikan oleh Allah sudah terpampang di depan mata?

Daripada pengamatan saya, rata-rata dari kita “suka menutup pintu” daripada dimasuki oleh . ilmu. Jadi tidak hairanlah jika umat Islam sekarang amat lemah dari segi penguasaan ilmu pengetahuaan dan yang lebih menakutkan lagi ada dikalangan kita yang terlalu jumud dengan pendapat golongan tertentu.

Bagi saya, ruang perkongsian ilmu perlulah dibuka seluas-luasnya supaya integrasi antara ilmu dapat diwujudkan dan seterusnya melahirkan umat yang berilmu tinggi.
Dalam mengkaji perihal tanda-tanda akhir zaman, aku tertarik dengan beberapa orang saudara seIslam kita yang berfikir di luar kotak. Mereka ini mengkaji dan terus mengkaji perkara yang tidak pernah diketahui oleh kita. Tetapi adakah kita menerima bulat-bulat apa yang mereka tulis?, tidak juga. Semuanya bergantung kepada diri kita. Jika kita ini seorang yang sukakan kepada proses pencernaan dan percambahan ilmu pengetahuan, kita tidak akan duduk diam sahaja, tetapi akan terus mencari, mencari dan mencari sehingga sampai ke satu titik untuk kita berdiri di atas ilmu dan hujjah yang telah dibina selama ini.

Saya minta maaf, apa yang saya tulis ini hanyalah luahan hati kerana “kumpunan” sebab masih gagal mencari seorang yang “open minded” dalam hal-hal sebegini untuk dibawa berbincang.

Majulah wahai saudara seIslamku dalam mengejar Redha Sang Pencipta di dunia ini dan lebih-lebih lagi di akhirat sana. Kita baru sahaja melangkah ke tahun baru, bermakna kita semakin dekat dengan hari kemunculan si laknat yang mengaku tuhan itu, apakah persiapan kita untuk menghadapinya?

Wallahu a’lam...



Sambungan..

Indahnya Islam

Sudah lama rasanya tidak mendengar ceramah yang disampaikan oleh mereka yang baru memeluk agama Islam. Alhamdulillah, baru-baru ini Allah memberi taufiq dan hidayahnya kepadaku untuk hadir ke majlis Ilmu yang disampaikan oleh seorang bekas sami Hindu.

Alangkah manisnya apabila hati kita disimpah dengan cahaya Iman dan Islam. Dengannya seseorang Muslim itu sudah mempunyai jaminan daripada Allah SWT untuk masuk ke syurga. Cuma perlu mengerjakan segala perintahnya sahaja. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak mendapat cahaya Iman dan Islam ini? Itulah yang menjadi bom yang menggegarkan jiwa saya tatkala beliau sedang menyampaikan tazkirahnya.

Ini kerana di suatu ketika sedang beliau berceramah, beliau mempersoalkan kepada hadirin yang hadir mengapa ayahnya tidak diberitahu berkenaan Islam oleh masyarakat di sekeliling tempat tinggalnya yang mejoritinya adalah orang Islam sedangkan ayahnya sudah menunjukkan minat kepada Islam tetapi telah ditakdirkan Allah ayahnya mati dalam keadaan syirik kepada Allah. Beliau memberi persoalan sebegini rupa kerana beliau mengerti akan mahalnya nilai iman dan Islam.

Inilah yang menjadi pokok utama dalam majlis ilmu pada malam tersebut. Ramai di kalangan kita yang sudah Islam sejak lahir lagi tetapi tidak mengerti akan tingginya nilaian Iman dan Islam itu. Maka tidak hairanlah jika kita melihat sekarang semakin ramai orang Islam mulai murtad dan sekurang-kurangnya ramai dari kalangan umat Islam sendiri terutama pemuda/i Islam hancur lebur akhlak Islamnya.

Sayang sekali apabila Iman dan Islam yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita dibiarkan terbang begitu sahaja dan yang lagi menyedihkan hati ada dikalangan kita menyimpan iman dan Islam yang kita miliki untuk diri kita sahaja. Bukankah itu zalim namanya.

Apakah yang hendak dijawab oleh kita di Masyar kelak apabila ada dikalangan orang bukan Islam mendakwa kita tidak berdakwah kepadanya sedangkan di dunia dahulu kita mengenali orang yang bukan Islam itu?

Ya, cahaya Iman dan Islam itu kebanyakannya hanya dirasai oleh mereka yang baru menemuinya malah Islam mereka lebih tulin dari Islam keturunan (Islam kita).
Sampaikanlah walaupun suatu ayat. Mungkin dengan dakwah yang kita lakukan itu, ada orang yang mendapat sinaran hidayah dari Allah SWT. Siapa tahu, semuanya kerja Allah SWT.

Sekadar berkongsi secubit ilmu yang diperolehi. Semoga mendapat berkat dari Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Sambungan..