Hijrah, apakah itu hijrah? Adakah sekadar berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat? Atau sekadar suatu hari cuti dan sambutan Maal Hijrah yang diadakan setiap tahun? Atau anda mempunyai definisi lain tentang hijrah?
Secara ringkasnya, hijrah bermaksud transformasi. Perubahan dari suatu peringkat ke suatu peringkat yang lebih baik. Analoginya adalah seperti seekor rama-rama. Sebelum rama-rama terbang bebas, rama-rama berada di dalam kepompong atau pun pupa. Pada periingkat ini rama-rama masih lagi tidak boleh terbang hatta untuk bergerak pun tidak mampu. Tetapi apabila masa bergerak ke hadapan, maka rama-rama yang pada awalnya berada pada peringkat pupa mula membesar dan mampu terbang di bebas di angkasa.
Di dalam sirah telah tercatat bagaimana umat Islam yang dahulunya lemah serta kecil bilangannya, kemudian menjadi umat yang gagah perkasa sehingga empayar gergasi seperti Rumawi dan Parsi berada di bawah tapak kaki orang Islam.
Di dalam sirah juga ada tercatat bagaimana umat Islam yang pada awalnya dianuti kebanyakan dari golongan yang lemah lagi hina, kemudiaannya menjadi figure-figure penting dalam kebangkitan Islam semasa di zaman Rasulullah SAW.
Maka bolehlah difahami bahawa hijrah itu bukanlah suatu peristiwa yang remeh yang boleh dipandang sebelah mata, tetapi hijrah memerlukan kita untuk bangkit dari “peringkat pupa” ke “peringkat terbang di angkasa.”
Untuk melaksanakan transformasi hijrah yang mampu mengubah umat Islam yang lemah kepada umat yang hebat lagi digeruni, ia memerlukan beberapa langkah gergasi setaraf dengan matlamat yang ingin dicapai.
Langkah yang pertama, untuk memulakan hijrah yang agung ini, umat Islam perlulah menguasai ilmu pengetahuan. Seperti yang diketahui, isi yang terkandung dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda SAW adalah berkenaan menuntut ilmu, ataupun dengan kata yang lebih dinamik ialah “break the code” ataupun mengkaji sesuautu ilmu itu.
Langkah yang kedua pula ialah, kita mestilah menggunakan acuan yang tepat lagi sesuai untuk melakukan rentak hijrah kita. Maka acuan yang paling sesuai untuk digunakan ialah acuan al-Quran dan as-Sunnah. Ringkasnya, ilmu yang digali dan dikaji oleh kita perlulah berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Maka, hasil dari acuan yang betul ini, ia akan dapat melahirkan muslim yang professional di dalam bidang tertentu dan dalam masa yang sama ia dapat mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui bidangnya itu. Contohnya, seorang pegawai pertanian yang pakar dalam bidang pengurusan ladang dan dalam masa yang sama ia dapat menerapkan nilai Islam dalam professionnya seperti mengurangkan penggunaan racun kimia dan menjaga kebersihan ladang. Tuntasnya, acuan al-Quran dan as-Sunnah ini mampu mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui professionnya.
Langkah yang ketiga ialah, hijrah kita mestilah hijrah yang syamil dan kamil. Dengan kata lain, hijrah yang kita hendak lakukan ini ialah hijrah yang menumpukan kepada perkara-perkara besar, bukan perkara-perkara kecil. Untuk melakukan hijrah yang bertaraf mega ini, ia memerlukan usaha yang bertaraf mega juga. Usaha mega ini dinamakan sebagai jihad fisabilillah. Perlulah difahami bahawa, jihad disini bukanlah sekadar mengangkat senjata, tetapi secara halusnya jika diperincikan lagi, jihad ini ialah melakukan yang baik dan meninggalkan yang jahat. Ya, mudah dikata, tapi susah untuk dikota.
Langkah yang terakhirnya ialah, hijrah yang agung ini memerlukan partisipasi seluruh umat Islam. Bukan ulama’ sahaja yang berkobar-kobar, bukan golongan professional sahaja yang bersemangat, tetapi semua peringkat dan lapisan perlu bersama bergerak bersama.
Wallahu a’lam...isi diambil daripada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Dr. Danial. Mungkin ada yang terubah sebab saya tidak rakam khutbah beliau. Kui kui...
Hijrah
6:42 AM
|
Labels:
Reaksi-ku
|
This entry was posted on 6:42 AM
and is filed under
Reaksi-ku
.
You can follow any responses to this entry through
the RSS 2.0 feed.
You can leave a response,
or trackback from your own site.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment