Jutawan Klik!!!

Apabila otak tersekat dengan maklumat...

Assalamua’laikum dan salam Maal Hijrah kepada seluruh kaum Muslimin, terutama sekali kepada sahabat dan sohabiah seperjuangan yang tidak mengenal letih dan lelah dalam perjuangan menegakkan Islam di dunia ini.

Pemandangan seperti biasa seperti tahun-tahun sebelum ini, majlis sambutan Maal Hijrah kelihatan hambar dari segi bilangan yang hadir. Ya, suatu fenomena biasa di akhir zaman, yang baik itu kelihatan janggal dan yang jahat itu kelihatan normal.

Ingatlah wahai saudaraku sekalian, setiap saat kita semakin hampir dengan kubur, tetapi apakah kita semakin hampir dengan Allah SWT?

Setiap saat kita semakin mendekati akhirat, tetapi adakah kita semakin bersiap-sedia untuk menghadapinya atau sebaliknya?

Inilah contoh kata-kata yang perlu kita mainkan acap kali di dalam diri kita. Tujuannya
hanya untuk mengingatkan diri kita supaya setiap saat kita sentiasa patuh kepadaNya, bukan kepada nafsu dan yang seangkatan dengannya.

Sejak akhir-akhir ini, aku semakin “gila” dalam meneroka lautan info dan maklumat perihal peristiwa akhir zaman khususnya tentang konspirasi dajjal dan angkatan tentera Panglima al-Mahdi yang akan muncul tidak lama lagi. Lagipun ini memang minatku sejak dari bangku sekolah lagi. Apabila bersembang dengan rakanku tentang topik yang berkaitan dengan akhir zaman, maka aku secara sukarelanya menjadi moderator (moderator tidak diundang, kui kui...).

Tetapi, akibat kesibukan aku dalam bidang akademik, aku sedikit-sedikit semakin melupakannya. Tetapi, pada waktu ini, dengan taufik dan hidayah Allah, aku terpanggil kembali untuk merungkai misteri akhir zaman yang banyak belum terjawab lagi oleh kita.
Oh ya, mungkin ada dikalangan kita akan berkata bahawa segala suatu perihal akhir zaman telah diberitakan dalam al-Quran dan Hadth nabi SAW, tidak perlu lagi kita mengkajinya, atau mungkin juga pernah berkata bahawa zaman kebangkitan Islam akan tiba, maka kita tunggu je la.

Bagi aku, penyataan-penyataan seperti ini hanyalah dari mereka yang malas lagi lemah (bukan niat untuk mengata). Tetapi bukankah Allah menyuruh kita supaya mengkaji seperti yang terkandung dalam wahyu pertama Rasulullah SAW?

Jika ada ayat al-Quran yang saintifik, kita boleh mengkajinya, tetapi mengapa dalam hal-hal seperti ini (perihal peristiwa akhir zaman) kita malas mengkajinya, sedangkan klu yang diberikan oleh Allah sudah terpampang di depan mata?

Daripada pengamatan saya, rata-rata dari kita “suka menutup pintu” daripada dimasuki oleh . ilmu. Jadi tidak hairanlah jika umat Islam sekarang amat lemah dari segi penguasaan ilmu pengetahuaan dan yang lebih menakutkan lagi ada dikalangan kita yang terlalu jumud dengan pendapat golongan tertentu.

Bagi saya, ruang perkongsian ilmu perlulah dibuka seluas-luasnya supaya integrasi antara ilmu dapat diwujudkan dan seterusnya melahirkan umat yang berilmu tinggi.
Dalam mengkaji perihal tanda-tanda akhir zaman, aku tertarik dengan beberapa orang saudara seIslam kita yang berfikir di luar kotak. Mereka ini mengkaji dan terus mengkaji perkara yang tidak pernah diketahui oleh kita. Tetapi adakah kita menerima bulat-bulat apa yang mereka tulis?, tidak juga. Semuanya bergantung kepada diri kita. Jika kita ini seorang yang sukakan kepada proses pencernaan dan percambahan ilmu pengetahuan, kita tidak akan duduk diam sahaja, tetapi akan terus mencari, mencari dan mencari sehingga sampai ke satu titik untuk kita berdiri di atas ilmu dan hujjah yang telah dibina selama ini.

Saya minta maaf, apa yang saya tulis ini hanyalah luahan hati kerana “kumpunan” sebab masih gagal mencari seorang yang “open minded” dalam hal-hal sebegini untuk dibawa berbincang.

Majulah wahai saudara seIslamku dalam mengejar Redha Sang Pencipta di dunia ini dan lebih-lebih lagi di akhirat sana. Kita baru sahaja melangkah ke tahun baru, bermakna kita semakin dekat dengan hari kemunculan si laknat yang mengaku tuhan itu, apakah persiapan kita untuk menghadapinya?

Wallahu a’lam...



0 comments: