Jutawan Klik!!!

Belajar membuat pilihan

Sudah beberapa kali aku mendengar dan membaca hal berkenaan membuat pilihan dari ustaz Hasrizal dan kisah yang terus-menerus diulang oleh ustaz Hasrizal ialah kisah dugaan yang menimpa Nabi Yusuf a.s. iaitu ketika dibuang dalam perigi buta disebabkan konspirasi adik-beradiknya yang lain dan ketika berada di kediaman al-Aziz di Mesir.

Ketika di dalam perigi, iman Nabi Yusuf a.s. diuji dengan pilihan yang teramat terhad iaitu hanya mampu bersabar sahaja dengan dugaan yang menimpa baginda.

Tetapi di dalam kediaman al-Aziz, ketika Nabi Yusuf a.s. diberi segala keperluan asas, diberi tempat kediaman dan kemudahan-kemudahan lain, Nabi Yusuf a.s. juga ditawarkan untuk berzina dengan isteri al-Aziz Mesir. Di waktu ini, keimanan Nabi Yusuf a.s diuji dengan pilihan samada untuk taat perintah Allah atau pun untuk melayan nafsu serakahnya.

Peluang untuk Nabi Yusuf a.s berzina adalah terbuka luas. Selain dari “penyerahan” isteri al-Aziz kepada baginda, baginda juga tidak perlu berasa malu kerana baginda adalah orang asing di bumi Mesir, tiada muka yang boleh diconteng arang disebabkan perlakuan sumbangnya itu. Malah perlu diketahui, Nabi Yusuf a.s. pada waktu itu adalah pemuda. Baginda mempunyai keinginan yang sama seperti keinginan para pemuda yang lain.

Tetapi, Nabi Yusuf a.s. memilih untuk taat perintah Allah Azza Wa jalla. Satu pilihan yang amat sukar dibuat ketika mana pilihan untuk bermaksiat terbuka luar di depan mata.

Persoalannya bagaimana pula dengan kita??? (persoalan untuk diri ana juga)

Di kala kemaksiatan dan perkara yang menyumbang kepada untuk berlakunya maksiat berada di sekeliling kita, hanya iman yang mampu menjadi benteng untuk menyelamatkan diri dari terperangkap dalam jerangkap samar syaitan dan nafsu. Apa pun, ia bukan suatu yang mudah untuk dilakukan, tetapi tidak mustahil untuk dijayakan.

Tuntasnya, yakin kepada “hari pertemuan” menjadi air pemadam kepada amarah nafsu buas. Ia berbalik kepada soal yang paling asas iaitu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Mahu tak mahu, mujahadah adalah jalannya. Tiada jalan yang lain seperti duduk dalam gua seorang diri dan sebagainya.

Sekadar menulis balik lontaran nasihat dari seorang ustaz...untuk mentazkirah diri yang menulis ini dan juga orang yang membacanya.

Wallahu a’lam..

Sampaikanlah walaupun satu ayat.

0 comments: