Jutawan Klik!!!

“Produk” Ini…

“ Sufian, tengok tu, phreghhh menawannya,” bisik “seorang mamat” ini kepadaku.

Sebenarnya aku pun tak tahu “dia” ni mamat ka minah. Anggap je la mamat. Kui kui…

Aku pun tengok la… astaghfirullah al-Azim, laghonya.

“ Boleh tercabut iman aku ni,” bisikku.

Aku pun terus memecut ke Masjid. Di sepanjang perjalanan aku ke masjid, tidak henti-henti seorang mamat ni “mempromosikan” barangan dia kat aku. Barang-barang dia semuanya “yang boleh mencairkan yang beku” dan “membengkokkan yang lurus”. Walaupun seseorang itu baru sahaja memperbaharui janjinya dengan tuanNya.

Seperti biasa, mamat ni memang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah, rujan dan ribut petir, dia pasti nak menjual barangannya kepada anak Adam. Peningnya kepala aku dengan mamat sorang ni. Boleh katakan setiap hari mesti je ada kelibat dia. Pantang ada peluang sekit, pasti dia akan masuk punya. Pelanggan dia tidak lain dan tidak bukan ialah anak Adam yang bergelar Muslim. Ya!!! Inilah pelanggannya. Tetapi tidak semua Muslim dia berminat untuk berjual beli. Baginya, berjual beli dengan “Mukmin” dan “Muttaqin” lebih menguntungkan walaupun susah untuk berniaga dengan orang jenis ni.

Suka saya untuk memfokuskan kepada satu “barangan” yang mamat ni selalu jual kepada mereka yang bergelar Mukmin dan Muttaqin dan kepada mereka yang sedang berjihad untuk mendapatkan gelaran ini. Barangannya ini bukan barangan yang biasa-biasa. Barangannya ini bolehlah aku ketogorikan sebagai “karipap yang berintikan racun”. Apabila kita tengok karipap, macam nak makan semua je. Sedapnya tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata. Ehh, betul ke karipap sedap? Lantak la.

Kerana barangan ini boleh “mencabut” kenikmatan dan kemanisan apabila kita sedang beribadah kepada Allah SWT, maka kita kena tahu sedikit sebanyak tentang produk ni…

1) “Produk” ini amat mudah untuk didapati. Kat mana-mana boleh dapatkannya.

2) Kualitinya sentiasa dipelihara oleh si penjual ni.

3) “Produk” ini memberikan kepada pembelinya kenikmatan yang sementara sahaja.

4) AWAS!!! “produk” ini boleh menyebabkan ketagih yang teruk kalau tidak dicegah

dari awal.

Sebenarnya banyak lagi perkara yang kita kena ambil tahu pasal produk ini.

Produknya ialah:

ما من مسلم ينظر إلى محاسن امرأة ثم يغض بصره إلا أخلف الله له عبادة يجد حلاوتها
Ertinya : Tiada seorang Muslim pun yang melihat kepada kecantikan wanita (aurat) kemudian ia mengalih pandangan matanya kecuali Allah s.w.t akan memberikan kepadanya kemanisan dalam ibadahnya (Riwayat Ahmad & At-Tabrani , Ibn kathir, 3/283, Ibn Kathir & Al-Munziri : Dhoif dan Ibn Kathir berkata , boleh diguna dalam hal galakkan)
(Hadith diambil dari: www.zaharuddin.net)

Aurat wanita. Itulah produknya. Saya tidak kata wanita itu produknya tetapi kecantikan yang ada pada seseorang wanita itu adalah produknya. Menjadi suatu kemestian bagi kaum Muslimat untuk menutup aurat mereka sebaik mungkin dan menjadi satu kemestian juga kepada Muslimin untuk menjaga pandangan mata mereka. Tetapi, dalam kes yang khas sikit seperti penglibatan kaum Muslimin dan Muslimat dalam gerak kerja dakwah sedikit sebanyak menyumbang kepada masalah ini. Saya akui, sepanjang penglibatan dalam perlaksanaan program dakwah yang berbentuk ijtimai’ ini, banyak perkara yang menyentuh persoalan ikhtilat perlu diambil kira kerana dikuatiri jiwa yang menggerakkan program dakwah ini terpesong niatnya akibat terpukau dengan "kecantikan" muslimat. Di sini, Muslimat dan Muslimin perlu meningkatkan lagi “sekuriti”. Pertama sekali, apabila kita berbicara perkara ini, maka ia akan berbalik kepada soal kebersihan HATI dan iman kita. Berhati-hatilah, jangan disebabkan Muslimat seorang, hancur lebur kualiti Ibadah kita.

Mungkin perkara ini nampak biasa bagi kebanyakan individu, tetapi bagi mereka yang ingin menjaga hubungannya dengan Allah supaya sentiasa erat lagi penuh kenikmatan cinta maka perkara ini menjadi hal yang mustahak. Akhir kata, bila berjalan tu jagalah pandangan kerana pandangan itu adalah panah beracun dari panah iblis.

WALLAHU A’LAM

Sambungan..

Ayuh Pemuda-Pemudi Islam!!!

Umar bin Abdul Aziz membersihkan kedua-dua tangannya. Dia berdiri di depan makam Sulaiman bin Abdul Malik, khalifah Bani Umaiyyah sebelumnya. Berdasarkan wasiat almarhum, Umar bin Abdul Aziz memegang tahta khalifah. Baru saja Umar bangkit berdiri, tiba-tiba dia mendengar suara riuh.

“ Ada apa?” Tanya khalifah ke-8 Bani Umaiyyah itu kehairanan.

“ Ini adalah kenderaan tuan, wahai Amirul Mukminin,” ujar salah seorang sambil
menunjukkan sebuah kenderaan mewah yang khusus disediakan untuk khalifah.
Dengan suara gementar dan tersekat-sekat kerana keletihan dan kurang tidur, Umar berkata, “Apa hubungannya denganku? Jauhkan kenderaan ini. Semoga Allah memberkati kalian.”

Lalu dia berjalan ke arah seekor keldai yang menjadi tunggangannya selama ini.

Baru sahaja dia duduk di belakang haiwan itu, serombongan pengawal datang berbaris di belakangnya. Di tangan masing-masing tergenggam tombak tajam. Mereka sedia menjaga khalifah daripada bahaya. Melihat kehadiran pasukan itu, Umar mmenoleh hairan dan berkata, “Aku tidak memerlukan kalian. Aku hanyalah orang biasa daripada kalangan kaum muslimin. Aku berjalan pagi dan petang sama seperti rakyat biasa.”

(Sedikit petikan dari buku Belajar Dari Dua Umar)

Satu lagi kisah tauladan yang cukup cantik kepada umat Islam hari ini. Khalifah Umar Abdul Aziz adalah seorang khalifah yang dapat mengenal pasti harta rakyat dan harta peribadi. Pada diri beliau redha Allah SWT adalah segala-galanya. Tidak terdetik pun di hati khalifah Islam ini untuk membolot semua harta yang terang-terang ada di depan matanya. Hatinya bersih dari racun duniawi. Baginya, kenikmatan di dunia ini hanyalah sementara berbanding dengan kenikmatan di akhirat kelak.

Ya, sekaranglah waktunya untuk kita mendidik jiwa kita dan jiwa orang lain untuk menjadi seperti jiwa khalifah Islam ini. Walaupun suasana sekarang tidak langsung sama dengan suasana di zaman kegemilangan Islam dahulu. Tetapi kita perlu tahu bahawa seorang yang hebat itu lahir di dalam suasana yang kotor lagi hina. Lahirnya Insan Mulia, Nabi Muhammad SAW di dunia ini di tanah Makkah yang penduduknya menyembah bahala. Penduduknya mengamalkan 1001 macam perbuatan jahilliyyah. Meminum arak adalah sesuatu yang biasa bagi mereka. Apatah lagi berzina dan berjudi kerana arak itu pintu segala maksiat. Tetapi itulah hakikatnya. Seorang yang hebat itu ialah seorang yang dapat menjaga hatinya dari dicemari oleh atom-atom jahilliyyah, molekul-molekul nafsu dan maksiat dari bertindak balas dengan hati kita. Itulah realiti yang perlu kita hayati. Bukan sekadar menghayati, tetapi kita tonjolkannya di alam realiti.

Tidak banyak bezanya zaman dahulu dengan zaman sekarang. Sifat jahilliyyah itu tetap sama. Cuma yang membezakannya ialah jahiliyyah zaman sekarang lagi advance dari dahulu. Dahulunya kaum Nabi Lut a.s hanya melakukan seks di luar batasan tanpa menghiraukan arahan rasulnya. Tetapi sekarang, ada segelintir manusia ini melakukan hubungan haram ini dengan menggubal undang-undang semata-mata untuk menjaga hak meraka. Dengan kata lain kita menentang arahan Allah dan RasulNya dengan menggunakan akal.

Mungkin kita telah lali dengan banyak berita yang memaparkan tentang sikap pemimpin kita yang terlibat dengan rasuah. Kita juga mungkin sudah jemu dengan berita tentang pemimpin kita yang dengan senang hatinya mengambil duit rakyat. Ya, inilah realitinya! Yang membuat semua perkara mungkar ini bukanlah orang lain. Tetapi mereka yang beragama Islam juga. Sama seperti kita. Semua ini menjatuhkan fitnah kembali kepada Islam. Bagaimana rasanya jika ada orang yang belum Islam bertanya kepada kita, adakah Islam menggalakkan penganutnya rasuah? Rasa-rasa apakah perasaan kita waktu itu? Sukar untuk kita gambarkan. Islam yang kudus telah dikotorkan oleh penganutnya yang kotor sehingga hilang serinya sekarang. Apa yang kebanyakan orang bukan Islam nampak Islam adalah suatu agama yang kotor dan jijik.

Bagaimalah hendak elok prestasi umat Islam sekarang kalau pemimpinnya pun masih lagi dibelengu oleh bermacam kemungkaran. Maka tidak hairanlah sekarang ini berlakunya bermacam kemungkaran. Bukan sahaja di tempat-tempat awam, malahan di gedung ilmu seperti di universiti juga sama. Pemuda dan pemudi Islam disajikan dengan hiburan yang melampaui batasan syariat. Sedangkan keluar sahaja kita dari universiti kita akan memimpin masyarakat. Boleh tak kita bayangkan bagaimana keadaannya jika orang yang telah dididik dengan hiburan ini keluar ke lapangan masyarakat? Semua ini hanya merosakkan masyarakat kita. Sudahlah remaja di luar kampus pun sudah teruk, yang dalam kampus pun teringin mengikut jejak langkah mereka. Yang paling teruk ialah, ada segelintir orang Islam sendiri yang mempertahankan tradisi jahilliyyah ini. Jahilnya suasana sekarang lebih hebat dari jahiliyyah dahulu. Itulah realiti yang kita perlu hadapi.

Di waktu inilah peranan pemuda-pemudi harapan ummah diperlukan untuk merawat luka yang kian parah yang sedang dihadapi oleh Islam. Sejarah telah menunjukkan bahawa kaum pemuda ialah kaum perobah. Tetapi bukan semua pemuda itu ialah pemuda perobah. Pemuda/I harapan ummah ialah pemuda/I yang hidup matinya untuk Tuhan sekalian alam. Ubudiyyahnya hanya untuk Tuhan yang Maha Kuasa sahaja. Tidak pada yang lain. Di dalam hatinya sentiasa mengalir deras kalimah-kalimah suci nama Sang Pencipta. Dan matlamatnya untuk Islam hanya satu, iaitu ingin meneruskan kesinambungan dakwah yang pernah dijalankan oleh Nabi Muhammad SAW tanpa mengenal penat dan lelah, sehingga tertegaknya khilafah Islam (menang) ataupun bertemu dengan Tuhan yang Maha Pengasih dengan membawa hantaran shuhada’.

Gerakan dakwah yang penuh strategis perlu kita atur. Gerakan dakwah memerlukan kaedah yang bisa menembusi dan merobohkan benteng taghut. Gerakan dakwah memerlukan penggerak-penggerak seperti Ninja yang pakar menghadapi musuh dengan 1001 satu cara serangan. (Adaptasi dari cerita Naruto…hehe). Tetapi tidak semua pendakwah itu ialah pendakwah. Pendakwah yang hebat ialah pendakwah yang istiqamah menjaga ibadah yang fardhu. Solat berjemaah di Masjid itu suatu kemestian. Solat Tahajjud itu baginya suatu keperluan, bukan lagi suatu ibadah yang dianggap sunat muakkad. Jika tidak dilakukan kesedihan melanda dirinya. Akhlak yang mulia dijadikan pakaian yang menghias diri. Jihad dalam semua amal kebaikan pula adalah kerja sehari-hariannya. Sunnah Rasulullah SAW menjadi landasan hidupnya.

Kebanyakan orang Islam sekarang sudah meninggalkan cara hidup Islam yang syumul. Kebanyakan pemimpin Islam sekarang juga tanpa segan-silu menipu rakyat dan harta rakyat. Dihebohnya kepada warga dunia negara kita adalah negara Islam contoh. Tetapi mendapat ranking yang begitu memalukan dalam ranking Rasuah. Dikhabarkan kepada kita bahawa negara kita ini negara Islam yang menjadi rujukan negara lain, tetapi kaum pelapis negara kian hancur dengan segala kemungkaran yang tidak disekat dengan syariat Islam. Islam kalah di pentas kecermelangan akhlak tetapi menjuarai di pentas kemungkaran seperti rempit, berzina dan termasuk juga Akademik Fantasia dan yang sewaktu dengannya kerana rosaknya akhlak.

Di sinilah peranan kita. Mari kita hapuskan kemungkaran yang bermaharajarela bermula dengan diri kita sendiri. Tetapi dalam masa yang sama tidak mengabaikan sahabat-sahabat kita yang lain. Dakwah itu bermula dari dalam diri sendiri. Islam akan kembali dimuliakan kalau umatnya kembali membersihkan hatinya dari segala penyakit dan kotoran. Bertindak secara ekstimis semata-mata untuk menunjukkan perasaan kita untuk Islam bukanlah tindakan yang aula sebabnya tindakan itu tidak langsung menakutkan orang kafir. Tindakan yang utama ialah kita kembali mengamalkan al-Quran dan as-Sunnah. Inilah ubatnya. Ubat bagi segala penyakit yang sedang dihidapi oleh Islam.

Hinanya kita umat Islam apabila ISLAM hanya untuk upacara akad nikah, solat jenazah, solat raya dan sebagainya. Mulianya kita sebagai umat Islam apabila ISLAM kembali diamalkan secara menyeluruh dalam hidup kita. WALLAHU A’LAM

Sambungan..

Andai Jodoh Bersalam Takdir

MEREKA berdua duduk di rumah Khadijah mendengar Abu Talib menyebut-nyebut keluhuran akhlak Muhammad.

“Muhammad ini cukup istimewa sehingga aku lebih mengasihinya lebih dari aku mengasihi anak-anak kandungku sendiri. Dalam matanya ada sesuatu yang menyebabkan aku yakin setiap katanya, aku segani setiap perbuatannya. Jiwanya tenang ditengah-tengah amukan anak muda dan masyarkat. Kedatanganku ini untuk bertanya, adakah masih perlu pemuda untuk menguruskan perdaganganmu?”

Maisarah gembira. Khadijah juga tersimpuh tenang. Tidak sabar mahu bertemu pemuda berusia 23 tahun itu.

Abu Talib menyambung lagi, “Wahai Khadijah, Puan memberi gaji 2 bakras kepada Si Pulan dan Si Pulan. Jika Muhammad ini diambil bekerja, tidak perlulah digajinya sampai 4 bakras.”

Sekali lagi Khadijah memandang Maisarah. Maisarah mengangguk dari awal-awal. Bahu Khadijah segera dipegang. Senyum dan senyum. Khadijah sendiri nampak tidak menolak permintaan mulia Abu Talib itu.

“Jika sekiranya Engkau meminta aku mengambil seorang hamba atau pemuda asing sekalipun akan aku ambil, inikan pula seorang pemuda istimewa yang dekat dan lebih Engkau kasihi daripada dirimu sendiri.”

“AlhamduliLlah. Sesungguhnya peluang pekerjaan ini adalah rezeki Allah s.w.t kepadamu, wahai Ayahku”

Muhammad memeluk tubuh tua itu. Segera dikucup dahi orang tua itu. Banyak pengorbanan orang tua itu sejak baginda tidak beribu tidak berbapa.

“Aku tidak kaya dan kehidupan kita juga tidaklah senang. Tapi aku cukup bahagia selagi Engkau yang mulia dan istimewa ini dikurnia Allah dalam kehidupanku.

Perjalanan Muhammad ditemani Maisarah. Dalam perjalanan tersebut, Maisarah cukup menjaga diri Muhammad kerana itulah yang selalu basah di mulut Abu Talib sebelum mereka berangkat.

Dalam perjalanan ke Syam, mereke melintasi Madian dan Thamut. Muhammad sendiri tidak tahu bagaimana kota agong itu telah menyembah bumi.

Mereka melatari kawasan sungai yang bersih, kawasan tumbuhan menghijau. Tidak sama dengan Makkah yang gersang dan kontang. Suatu pengalaman yang cukup istimewa sedang disusun Allah s.w.t untuk tarbiyyah kekasih-Nya (Muhammad s.a.w).

Perniagaan dilakukan dengan penuh jujur dan tekun. Maisarah melihat betapa luhurnya Rasulullah dalam timbangan, jual beli serta tawar-menawar. Untung penting dalam kamus perniagaan Muhammad, namun persaudaraan sesama manusia jauh lebih penting.
Peniagaan Khadijah mendapat untung yang banyak, tidak seperti biasa.
Ketika melintasi al-Zahran, Maisarah memegang pundak Muhammad. Beliau senyum dan tentu Rasulullah s.a.w juga mengukir senyuman.

“Wahai Muhammad! Pergilah bertemu Khadijah terlebih dahulu. Beritahulah kepadanya apa yang ditakdirkan Allah ke atas perniagaannya melalui tangan mulia-mu. Tentu Khadijah yang luhur budinya itu akan bersyukur atas perniagaannya dan atas pertemuannya dengan kamu.”

Muhammad mengangguk dan terus menuju ke serambi rumah Khadijah. Kesan musafir masih ketara pada batang tubuhnya. Namun, amanah berniaga patut lebih diutamakan dari kesenangan diri.

Khadijah menyambut Muhammad. Sederhana, tetapi cukup mesra.
Muhammad mulai menceritakan pengalaman berjalan dengan Maisarah. Beliau menceritakan perkara yang menarik dan ajaib sepanjang perjalanan tersebut.

Khadijah tersimpuh tenang. Setiap bait kata Muhammad tekun didengarinya. Tenang apabila melihat bibir merah itu. Kata-katanya cukup lunak, bukan dibuat-buat. Kebenaran dan keluhuran gah tersemat.

Wajah mulia Muhammad cermat dalam fikirannya. Muka Muhammad putih kemerah-merahan. Anak matanya jernih dan hitam. Rambutnya juga hitam dan kemas. Berjanggut dan mempunyai bulu mata yang panjang dan lebat.

Entah mengapa apabila bersua dan mendakati pemuda itu, ketenangan hati seolah-oleh memiliki dunia dan seisinya.

Apabila melihat diri Muhammad, tiba-tiba berasa Muhammad ini cukup istimewa. Seolah-olah jodohnya sudah bersalam taqdir Tuhan yang Maha Mengetahui dan Esa.

Cerita Rasulullah telah mula singgah dalam hati kecil Khadijah. Tersentuh dan cukup tenang. Pengalaman berkongsi hidup dengan bekas suaminya sebelum ini sudah tentu menjadi pendoman pada Khadijah ketika menempuhi saat-saat indah itu.

Khadijah pasti, ini bukan emosi nafsu. Tapi, cinta yang luhur dan suci. Isi hati yang baru bersarang itu disampaikan kepada teman baiknya, Nafisah. Semoga isi hati ini sampai dengan penuh tertib kepada Muhammad akhirnya.

“Wahai Muhammad, mengapakah Engkau tidak berkahwin?”

“Aku tidak ada pilihan.”

“Andainya Engkau mempunyai pilihan, mahukah Engkau menolak kecantikan, kekayaan dan
kehormatan?”

Muhammad mulai mengerut dahi. Pertanyaan Nafisah mula disimpulkan sebagai hajat yang sungguh. Malu. Segan. Tertanya-tanya. Tenang. Macam-macam perasaan sedang menyelubungi hati mulia Muhammad.

Wajah Nafisah disingkapnya. Nampak, bersungguh dan bukan main-main. Memang ada yang mahu disampaikan kepada Muhammad.

“Tapi…siapa pula wanita itu, wahai Nafisah?”

“Ya..Khadijah namanya.”

Muhammad terkejut. Khadijah ini bukan sebarangan orang. Khadijah ini hartawan hasil harta peninggalan ayahnya serta suaminya. Keluhuran budinya telah menggamit perhatian banyak jejaka. Semuanya ditolak dengan penuh sopan dan tertib.
Muhammad sebelum ini telah mula mesra dengan Khadijah, tetapi sebagai pekerja dengan majikannya. Tidak terlintas langsung dalam benak qudusnya, bahawa Khadijah menyimpa cita-cita dan cinta seteguh itu kepada Muhammad.

Agak lama Muhammad berdiam diri. Akhirnya, Muhmmad bersetuju dan tarikh pernikahan mulai disusun. Muhammad ditemani Bapa Saudara yang paling dikasihinya, Abu Talib pergi ke rumah Khadijah. Keluarga besar Khadijah juga ada. Abu Talib membaca Khutbah Nikah dan pernikahan selamat dengan mas kahwin 20 bakras menurut adat orang Arab pada masa itu.

Kesunyian hidup Muhammad sebagai yatim piatu di masa kecil diisi oleh Khadijah. Ketenangan hati Muhammad telah jatuh dan mengikat hati lunak Khadijah. Mereka bahagia.

Diri Khadijah sangat bererti dalam kamus perjuangan Muhammad kemudian hari. Khadijah bukan sahaja isteri, ibu kepada empat anak Muhammad sahaja, malah Khadijah adalah teman yang cukup intim di kala Muhammad dirundung kesedihan dalam perjuangan.
Ketika Muhammad bergembira, Khadijahlah yang mula-mula mengukir senyuman syukur. Ketika Nabi gundah gulana, tangan lunak Khadijahlah mengusap dada sasa Muhammad.
Khadijah senantiasa berlapang dada biarpun Muhammad mulai mengasing diri. Muhammad diam dan senantiasa melihat masyarakat dalam pandangan simpati. Jahil. Melampau. Tidak kenal Tuhan. Zalim. Itulah watak masyarakat dan itulah membuatkan Muhammad berfikir panjang.

Gua Hira’ menjadi peneman. Khadijah penawar. Senyumannya mampu mengubat luka ummat dalam benak lunak Muhammad.

“Bertenang…Allah tidak akan menganiayai manusia istimewa sepertimu!”
Wajah nabi penuh ketakutan. Tidak seperti biasa-biasa. Khadijah segera menyambut. Ditenangkannya atas katil. Muhammad menggigil selepas pulang dari Gua Hira’. Cepat-cepat Khadijah menyelimutinya.

“Selimuti aku, selimuti aku, selimuti aku..”

Khadijah cemas. Takut kehilangan kekasih agongnya, Muhammad.
Selepas reda, Muhammad mendekati Khadijah. Ditatap kasih wajah perempuan itu. Anak rambut yang kadang-kadang menjelur di muka dahi dikemaskan. Ada sesuatu yang mahu disampaikan.

Khadijah juga biasa dengan sentuhan kasih Muhammad. Muhammad selalu diribanya. Dan wajahnya selalu ditangan Muhammad. Cukup mesra dalam dakapan kasih. Cukup bahagia dalam pelukan iman.

“Wahai Khadijah, apakah yang telah berlaku ke atas diriku ini?”
Khadijah tenang melihat perubahan emosi Suami yang paling dicintainya itu. Khadijah yakin, suaminya sedang menempuhi sesuai yang lebih istimewa.

Dalam perasaan serba risau, Muhammad tidur dalam dakapan kasih Khadijah. Khadijah tatap wajah mulia itu. Segala episod pertemuan mereka dan kasih muhammad masih segar dalam ingatannya. Seolah-olah baru baru semalam mereka diikat nikahkan dan hari ini sudah bergelar teman, isteri dan tulang belakang perjuangan Muhammad.

Dalam keasyikan tersebut, Khadijah perlahan-lahan meletakkan pundak dan kepala suami yang paling dikasihinya di atas katil. Perlahan-lahan Khadijah menapak keluar rumah. Mahu pertemu sepupunya.

Waraqah bin Naufal mengerut dahi. Dia betul-betul cermat mendengar khabar yang luar biasa dari sepupu yang paling dikasihinya, Khadijah. Perlahan-lahan Dia bangun. Menyelak lembaran-lembaran lama yang masih suci dan qudus itu. Sekali sekala dia duduk semula memikirkan setiap tempuhan pengalaman Suami Khadijah itu.

“Subhanallah. Demi Dia yang menguasai seluruh jiwa Waraqah! Percayailah aku wahai Khadijah! Sesungguhnya yang mendatangi Suamimu Muhammad itu adalah suatu roh suci yang pernah mendatangi Nabi Musa a.s dahulu. Muhammad itu nabi kaum (ummat) ini, maka beritahulah kepada Muhammad supaya berpegang tegung kepada-Nya. Dia akan didustakan, dizalimi dengan penuh kejam hatta akan diperangi. Jika sekiranya aku masih hidup lagi (pada waktu tersebut), pasti aku akan membantunya (perjuangan Muhammad s.a.w).”

Mata Waraqah mulai berkaca. Mengenangkan episod perjuangan yang pernah ditempuhi Nabi Musa a.s. dan merenung masa depan ummah yang bakal menyaksikan sekali lagi perjuangan suci Nabi Muhammad s.a.w.

Khadijah mendongak ke langit. Perasaan yang berbolak balik dalam dirinya mulai menemukan jalan pasti. Muhammad memang istimewa. Sebelum dilantik Tuhan dan sebelum bergelar kekasihnya, sudah dilihat keistimewaan (nubuwwah) tersebut. Mustahil ‘yang terpuji’ seperti Suami yang paling dikasihinya itu diabaikan rahmat Tuhan.

Mengalir air mata kesyukuran. Bertambah kasih dan cinta kepada Muhammad. Cinta seorang isteri kepada Suaminya telah diangkat menjadi cinta agong seorang ummat kepada Rasul-Nya.

Khadijah segera pula untuk mendapatkan Suami yang paling dikasihinya. Apabila sampai dirumah, Muhammad s.a.w masih nyenyak tidur.

Khadijah menatap wajah mulia itu. Cintanya memang kudus sehingga menjadi sumbu perjuangan dalam kehidupan Muhammad sebelum ini, tentu juga selepas bergelar Khatamul Ambiya’.
Dalam keasyikan menikmati wajah mulia Suami yang paling dikasihinya itu, perasaan Khadijah sekali lagi direntap. Muhammad s.a.w tiba-tiba terkejut dan bangun dengan penuh menggigil. Seolah-oleh sedang menerima sesuatu daripada yang Maha Besar!
Menggigil seolah sedang melihat sesuatu yang tentu sekali tidak pernah dilihat oleh manusia biasa.

Wahai Orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berilah peringatan dan Tuhanmu agongkanlah, Dan pakaianmu bersihkanlah, dan perbuatan dosa tinggalkanlah, dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak, dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah…” (mafhum Surah al-Muddhathir: 1-7)

Cerita pertemuan kedua Muhammad dengan Malaikat Jibril itu telah disampaikan kepada
Khadijah. Khadijah bertambah yakin bahawa memang Muhammad ini adalah Pesuruh Allah dan bakal melaksanakan tugas-tugas Rasul terdahulu sebagaimana yang dikhabarkan oleh Waraqah bin Naufal itu.

Khadijah tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Tetapi, hatinya mulai menronta-ronta untuk menjadi pembantu yang thabat dalam perjuangan Pesuruh Allah itu.

“Wahai kekasihku yang paling dikasihi, berbaringlah dan rehatlah, sesungguhnya Tuhan sama sekali tidak mengabaikan kebaikanmu”

“Tidak wahai Khadijah! Sesungguhnya masa untuk tidur lena telah tiada. (Malaikat) Jibril a.s telah memerintahkan aku supaya memberi peringatan kepada manusia dan menyeru mereka supaya kembali kepada Allah; tetapi siapakah yang patut aku seru? Dan Siapa pula yang ingin menyahur seruanku itu?”

Dalam perasaan takut kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w bersuara. Nampak as-Siddiq dan at-Tabligh dalam setiap pengucapan itu.

Berkongsi hidup lebih 17 tahun dengan Nabi Muhammad s.a.w menjadi bekalan buat Khadijah. Khadijah tahu betapa berat tugas Nubuwwah yang sedang dipikul atas pundah Suami yang paling dikasihinya.

Atas kesedaran itu juga, Khadijah sedaya upaya menjadi isteri yang menenangkan, pengikut yang beriltizam dan teman intim dalam perjuangannya.

“Asyhadualla ilaha illaLlah wa annaka Muhammadan arRasulullah”.

Nabi tersenyum. Nampak wajah kasih dan Cinta itu bertambah subur!

Khadijah juga senyum. Mengambil tangan mulia itu dan segera diletak atas kulit mukanya. Tenang. Kasih. Cinta. Berjuang fi SabiliLlah. Khadijah menjadi manusia/umat
RasuluLlah pertama memeluk Islam, wanita pertama menyertai dakwah Islamiyyah
Alangkah indahnya jika hidupku ini jika ditemani oleh seorang seperti khadijah..
Seorang yang menjadi penolong dan pembakar semangat di dalam medan dakwah Islam..

Sekali lagi aku termenung sambil berdoa kepada Yang Maha Mengetahui lagi Maha Memahami isi hatiku ini supaya diberikan kepadaku isteri seperti khadijah..
Walaupun diri ini masih lagi merangkak-rangkak di dalam arena dakwah..
Walaupun diri ini masih lagi terumbang-ambing antara “kebaikan” dan “kejahatan”..
Tapi aku tidak akan mengalah, akan aku terus berusaha meneladani insan seperti Muhammad supaya kelak ada seseorang insan yang sanggup memikul bebanan dakwah bersamaku…
Sehinggalah khilafah Islam tertegak semula atau aku bertemu dengan Kekasihku dengan membawa hantaran “Shuhada yang Ikhlas”.

Sufyan al-Mujahid-Saje2 je nak jiwang2 ckit

Artikel dipetik dari laman web www.zainulfaqar.wordpress.com -dengan sedikit edit

Sambungan..

Zuhud

Zuhud. Apakah itu zuhud? Mungkin perkataan ini agak tidak popular di waktu ini. Waktu kebanyakan umat Islam sekarang sedang menyibukkan diri mengejar nikmat dunia.

Mungkin juga ada yang mentafsirkan zuhud ini dengan orang yang hidup serba kekurangan. Ya, mungkin betul dan mungkin salah.

Zuhud bolehlah diistilahkan dengan cinta akan akhirat lebih dari cinta akan dunia. Kita tidak terlalu taksud dengan segala kesenangan dunia seperti harta benda, pangkat dan darjat. Tetapi sebaliknya menggunakannya untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Zuhud juga bolehlah ditakrifkan sebagai kita bersedia menggunakan harta yang kita miliki dengan orang lain yang lebih memerlukan. Satu situasi yang agak susah untuk kita lakukan. Iaitu bagi mereka yang masih ada kepentingan dunia dalam diri mereka. Maksudnya bagi mereka yang takut dunia lari dari mereka.

Alangkah bertuahnya bagi mereka yang ada sifat ini. Orang seperti ini melihat dunia hanyalah seperti kenikmatan yang akan hilang. Seperti mana firman Allah SWT:

“ Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-main dan senda-gurau dan sesungguhnya kampung Akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Apakah kamu tidak berfikir" (al-An’am : 3)

Bagi golongan ini, akhirat adalah segala-galanya bagi mereka. Tidak ada suatu pun amal perbuatan yang mereka lakukan kecuali untuk kebahagiaan kehidupan di akhirat semata-mata. Bagi golongan ini kenikmatan di dunia hanyalah kecil lagi hina jika dibandingkan dengan kenikmatan di akhirat kelak.

Kalaulah umat Islam sekarang mengetahui dan menghayati bahawa hinanya dunia ini pada pandangan Allah SWT, pasti kita sekarang ini sudah menjadi umat yang hebat. Ya, mungkin pada waktu itu dunia sedang berada di dalam genggaman umat Islam. Daulah Islamiyyah tertegak dan syariat Allah menjadi dasar kehidupan setiap muslim.

Orang yang zuhud juga dikurniakan oleh Allah SWT kepetahan berkata-kata. Kata-kata mereka menusuk kalbu bagi sesiapa yang mendengarnya. Hanya kata-kata yang berfaedah sahaja keluar dari mulut mereka. Kata-kata mereka ini sarat dengan panduan dan nasihat. Agak sukar untuk mencari orang seperti ini. Tambah-tambah di waktu sekarang ini.

Imam Ahmad berkata, “Zuhud ada tiga jenis, pertama meninggalkan perkara-perkara haram, dan ini adalah zuhud orang-orang awam. Kedua, meninggalkan perkara yang halal yang tidak berguna dan ini adalah zuhud orang-orang yang terpilih. Ketiga, meninggalkan hal-hal yang menyibukkan seorang hamba sehingga melupakan Allah, dan ini adalah zuhud orang-orang yang bijaksana.”

Di dalam lipatan sejarah Islam, banyak contoh tokoh yang zuhud kita boleh ambil. Semuanya dapat memberi contoh tauladan yang baik kepada kita.

Nabi Muhammmad SAW

Satu nama yang tidak asing lagi bagi kita. Penutup segala nabi dan rasul. Padanya tersimpan segala jenis sifat yang baik lagi mulia.

Suatu hari, Umar al-Khattab r.u menemui baginda di kamarnya. Umar mendapati baginda sedang berbaring di atas sebuah tikar usang. Tikar itu berbekas di belakang baginda, manakala bantal yang keras berbekas di bawah kepala baginda. Di salah satu sudut kamar itu terdapat lebih kurang satu gantang gandum. Di bawah dinding pula terdapat qarzh iaitu sejenis tumbuhan untuk menyamak kulit. Melihat keadaan itu, Umar menangis hiba. Rasulullah SAW betanya kepadanya, “Apa yang membuatkan kamu menangis, Ibnu Khattab?”

Umar menjawab dengan kata-kata yang bercampur-baur dengan air mata kesedihan, “Wahai Nabi Allah, bagaimana aku tidak menangis, aku melihat tikar itu berbekas di belakangmu. Kisra Parsi dan Kaisar Rom duduk di atas tilam yang dibuat daripada emas, bantalnya daripada baldu dan sutera, serta dikelilingi buah-buahan dan sungai. Sedangkan tuan adalah manusia pilihan Allah!”

Sambil tersenyum baginda SAW menjawab, “Wahai Ibnu Khattab, kebaikan mereka dipercepatkan dan kebaikan itu pasti akan terputus daripada mereka. Sementara kita adalah kaum yang yang kebaikannya ditunda hingga ke hari kiamat. Tidakkah engkau rela jika akhirat untuk kita dan dunia untuk mereka?”

Umar menjawab, “Aku rela.”
(H R Ibnu Hibban)

Mungkin sebab inilah kita umat Islam sekarang mundur dari segala segi. Ramai dikalangan kita masih sayang akan kenikmatan duniawi yang menipu daripada kenikmatan yang pasti di akhirat kelak. Ada dikalangan kita yang lantang memperjuangkan kebenaran tapi senyap seribu bahasa apabila diberi pangkat dan wang. Ada pula dikalangan kita yang lagaknya menegakkan keadilan dan kebenaran, tetapi disebabkan mungkin gaji yang dapat tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup sanggup mengambil rasuah. Yang ini lagi teruk. Sanggup menipu untuk mendapat sesuatu pangkat dan untuk mengekalkan pangkat. Jadi, kepada kita yang sedar janganlah contohi sifat-sifat di atas. Mereka semua ini telah mabuk dengan dunia. Mungkin bagi mereka dunia adalah segala-galanya.

Tetapi apa yang kita perlu tahu bahawa zuhud bukanlah bermakna kita kena hidup melarat sampai ke tahap meminta-minta. Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya untuk mengejar harta kekayaan. Tetapi apa yang dituntut ialah menggunakan harta kekayaan kita untuk memangkin kemajuan Islam. Orang Islam yang kaya seperti ini pun agak sukar untuk dijumpai sekarang. Tetapi orang Islam yang kaya yang kita selalu jumpa ialah orang kaya yang bakhil. Golongan ini mungkin sedekah untuk menunjuk-nunjuk sahaja. Bila orang minta sedekah, mereka ini begitu berat untuk mengeluarkannya walaupun sedikit. Malangnya Islam mempunyai penganut seperti ini.

Antara Abu Bakar r.u dan Umar al-Khattab r.u

Dengan kasih sayang dan kelembutan hati yang dimiliki oleh Abu Bakar r.u, beliau terpanggil untuk mengirimkan harta dalam jumlah yang orang lain tidak sanggup keluarkan. Beliau selalu memberi dan tidak pernah menerima. Nabi SAW pernah berkhutbah untuk menggalakkan para sahabat supaya menyumbang dan bersedekah.

Kesannya, hati Umar al-Khattab terbuka dan beliau menyiapkan sejumlah hartanya. Beliau berkata dengan senang hati, “Hari ini aku mengalahkan Abu Bakar.”

Lalu beliau berlari dengan cepat mengalahkan angin dan kembali membawa seguni besar harta, dan meletakkannya di hadapan Rasulullah SAW. Melihatkan guni besar yang berisikan harta itu, baginda menoleh kepada Umar dan bertanya, “Apakah yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?”

Umar menjawab, “Aku tinggalkan kepada mereka seperti ini.”

Kemudian Umar berganjak dan berada di samping baginda. Seketika kemudian, Abu Bakar masuk ke dalam masjid sambil membawa guni yang lebih besar daripada guni yang dibawa oleh Umar dan meletakkannya di hadapan Nabi SAW.

Baginda tersenyum sambil bertanya, “ Apakah yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?”

Abu Bakar menjawab, “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya.”

Umar menggelengkan kepalanya tanda takjub kepada Abu Bakar.

Beliau berbisik, “ Aku tidak akan dapat mengalahkanmu dalam suatu hal selama-lamanya, wahai Abu Bakar.”

Inilah ciri muslim yang Islam perlukan. Penganut yang berlumba-lumba membuat kebaikan tanpa ada rasa kekesalan di dalam hati mereka apabila berkurangnya harta mereka. Semua ini hanya boleh terjadi apabila kita kembali menghayati erti zuhud yang sebenar. WALLAHU A’LAM.

Pengarang: Ahmad Sufian bin Shohor.

Sumber rujukan: Tundukkan Hati.
Karya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Annual Bakri Haron.

Sambungan..

Tentang Si Dia

Apabila ‘Si Dia’ hilang dariku…

Peristiwa ini sering berlaku kepada diriku yang selalu alpa ini. Entahlah, dalam suatu jangka waktu tertentu aku mampu mengingati Si Dia yang begitu rapat dengan diriku ini. Rapatnya bagiku tiada tandingannya. Rapatnya mengingatkan aku kepada Dia yang telah mentakdirkan waktu Si Dia untuk "diijab kabul" denganku. Tetapi, Dia hilang dari ingatanku tanpa aku sedari. Apabila Si Dia semakin kabur dari ingatanku, aku dapat rasakan ada sesuatu yang hilang dari hatiku. Tetapi entahlah apa yang hilang itu. Apabila, dia semakin hilang dari ingatanku, maka aku semakin merasakan ada satu bebanan duniawi yang cukup berat sedang aku pikul. Sehingga membuatkan aku sentiasa muram dan suram. Kenapalah aku merasakan begitu berat bebanan ini sedangkan semasa Si Dia ada di sampingku, aku dapat merasakan begitu ringan bebanan ini. Wajahku sentiasa aku hiasi dengan senyuman ajaran sunnah Rasulullah SAW yang aku amat rindui, walaupun bebanan itu semakin bertambah. Tetapi aku tidak merasa sedikit pun unsur-unsur berat yang terdapat pada bebanan itu. Apabila Si Dia hilang terus dari diriku, aku semakin tidak dapat merasakan kenikmatan beribadat dan bermunajat kepadaNya. Setiap kali aku bersolat, aku sering kali terasa begitu beratnya bebanan duniawi yang aku pikul sekarang ini sehingga Dia yang sedang aku hadap langsung ku lupa. Aku semakin kebingungan. Apakah yang hilang dari diriku sebenarnya?

Apabila ‘Si Dia’ hadir kembali ke dalam lembaran hidupku…

Pemurahnya Dia kepada diriku yang banyak buat dosa ini. Rahmatnya ini suatu rahmat yang amat besar maknanya bagiku. Dia telah memberitahu kepadaku kenapa Si Dia melarikan diri dariku. Rupanya itulah sebabnya! Aku semakin dibuai angan-angan kemanisan palsu duniawi yang menipu. Aku semakin menyintai kenikmatan yang sementara ini. Sedangkan kemanisan asli syurga akhirat aku lupakan. Barulah aku tahu, Si Dia cemburu rupanya. Si Dia tidak suka aku ingat ‘kenikmatan’ selain dirinya dan Dia.

“Awak kena selalu ingat akan saya, barulah awak boleh "kahwin" dengan saya dengan hati yang gembira.” Katanya kepadaku. Kemudia dia menambah, “kalau awak jarang atau kadang-kadang ingat akan saya, saya takut awak tidak bersedia sepenuhnya apabila saya ingin "mengahwini" awak. Awak wajib berkahwin dengan saya apabila tiba waktunya.”

Katanya itu telah membuatkan aku ‘menangis’ keinsafan.

“InsyaAllah, saya akan sentiasa ingat akan awak. Saya berharap sangat, janganlah awak tinggalkan saya lagi. Awak teramat penting bagi saya. Saya betul-betul rasa kesunyian apabila awak lari dari saya.” Luah perasaanku.

Selepas itu aku dapat rasakan ketenangan mula berbunga mekar dalam hatiku. Aku tidak lagi merasa beratnya beban yang aku rasa tidak lama dahulu. Setiap kali aku menghadapi masalah, aku hanya melawannya dengan senyuman sabar.

Alangkah indahnya kalau Si Dia sentiasa bersama denganku. Hatiku sentiasa gembira dengan kehadiran Dia. Berkat mengingati Si Dia. Terasa kelazatan beribadat kepadanya. Rasa macam ada tidak kena kalau meninggalkan ibadat yang kita mampu buat.

KEMATIAN. Inilah nama Si Dia yang aku dambakan. Aku harap engkau tidak akan pergi lagi sepaya pertemuan dengan Dia yang Maha Menepati Janji akan menjadi kenyataan bagi diriku yang banyak kelemahan ini. Wallahu a’lam.

Sambungan..

Bermulanya Di sini…

Assalamualaikum wbt. dan selamat awal pagi. Sebabnya saya tulis artikel ini di awal pagi. Bagi mereka yang baru nak baca artikel ini, saya ucapkan selamat bangun tidur.kui kui…

Biasanya bila waktu-waktu macam ini la ramai orang akan mula nak merepek. Termasuklah orang yang menulis ini. Sel-sel otak biasanya waktu ini tengah tak betul sikit sekarang ini. Sebab itulah aku suka tulis artikel waktu ini.

Mahasiswa dan kepimpinan

Pada waktu inilah waktu yang begitu kritikal bagi mereka yang menjadi calon dalam pilihan raya kampus (PRK). Dengan nak buat persediaan untuk menghadapi waktu PRK itu dengan nak studi lagi sebab peperiksaan tidak lama lagi.
Mengikut pengalaman yang aku baru lalui sebagai seorang calon PRK, persiapannya begitu menyusahkan hidup aku. Kalau sebut saja calon, tugas utama yang perlu mereka buat ialah buat preparation nak berucap di hadapan semasa rapat umum (RU) dan dalam dewan kuliah nanti.

Di waktu inilah seseorang itu akan membuat transformasi diri kepada yang lebih baik. Mananya tidak, seseorang yang jenis malu-malu nak cakap kat depan tu terpaksa juga cakap kat depan. Bukan cakap-cakap biasa, tetapi cakap-cakap yang luar biasa sehingga bisa mencairkan hati mereka yang mendengar supaya menyokong kita. Bukan senang tu.

“Intonasi anta tak lenggok sangat, bagi lenggok sikit,” tegur akh Asyraf.

“Ok bos,” balasku.

“Sebutan anta tak cukup baku, bagi baku sikit, buka mulut luas-luas sikit,” akh
Asyraf tegur lagi.

“Baik bos,”sahutku.

Inilah Ustaz Asyraf. YDP PMIUSM yang banyak menolong aku dalam membuat persediaan. Sebenarnya, disinilah bermulanya era kepimpinan generasi muda untuk memimpin masyarakat. Di sinilah mahasiswa akan memilih calon yang layak dan berkepimpinan untuk memimpin mereka dan memperjuangkan hak mereka melalui proses demokrasi. Di sinilah mahasiswa mula berjinak dengan setiap rentetan peristiwa sepanjang PRK. Yang terpenting sekali, di sinilah bermulanya langkah muda seorang mujahid Islam sejati untuk memegang tampuk pimpinan negara di masa hadapan kelak. Kerana setiap rentetan peristiwa sepanjang tempoh PRK adalah lebih kurang sama seperti Pilihan Raya Umum (PRU). Bermula dengan persiapan calon, pendaftaran calon, mengantung banner, menyebar flyers, menyebar risalah, rapat umum dan hari mengundi. Semua lebih kurang sama.

Kalau kita lihat banyak pemimpin parti politik dan pemimpin negara hari ini berasal dari mereka yang bergelar pemimpin pelajar. Sebut sahaja nama seperti Tuan Guru Hadi Awang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr, Mahathir dan banyak lagi, mereka semua adalah bekas pemimpin pelajar semasa di kampus dahulu.

Tetapi kita perlu tahu bahawa tidak semua pemimpin itu ialah pemimpin. Kerana pemimpin itu ialah seorang yang mempunyai ciri-ciri istimewa sebagai seorang pemimpin. Tidak semua pemimpin yang ada sifat ini. Mereka yang tidak ada sifat seperti ini bukanlah pemimpin, tetapi orang yang perlu dipimpin terlebih dahulu.

Teladan dari Dua Umar

Dua Umar yang saya maksudkan di sini ialah Khalifah ke-2 selepas Abu Bakar as-siddiq iaitu Umar al-Khattab dan seorang lagi ialah khalifah yang zuhud, bertaqwa dan wara’. Dalam dirinya mengalir darah Umar al-Khattab iaitu khalifah ke-8 Bani Umayyah di Damaskus. Tidak lain dan tidak bukan ialah Umar bin Abdul Aziz.

Kesederhanaan

Kedua-dua Umar ini telah mengajar kita erti kesederhanaan sebagai seorang pemimpin. Di waktu meningkatnya jumlah rakyat miskin sekarang ini, kesederhanaan amatlah dituntut. Tetapi begitu contranya keadaan apabila kita melihat sekarang ini pemimpin memiliki duit yang banyak, rumah yang besar dan lain-lain kemewahan tetapi rakyat di bawahnya berada dalam keadaan yang menyiksakan. Dengan meningkatnya kos sara hidup akibat kenaikan mendadak harga minyak yang secara langsung telah mempengaruhi harga barang-barang keperluan lain. Kedua – dua Umar ini telah memberi satu contoh yang cukup baik untuk kita. Sebelum mereka menjadi pemimpin, kesederhanaan itu telah teserlah pada diri mereka tetapi apabila mereka menjadi pemimpin kesederhanaan itu makin teserlah.

Keteladanan

Sebagai pemimpin umat ketika itu, mereka tidak sekadar bercakap kepada rakyatnya supaya berbuat baik tetapi mereka dahulu yang melakukan sesuatu kebaikan itu. Kerana Allah telah befirman:

Maksudnya:

“ Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”
(as-Shaff: 3)

Tetapi begitu terbaliknya dunia sekarang apabila pemimpin menyuruh rakyatnya berjimat tetapi mereka sendiri yang yang banyak membazir. Mereka menentang rasuah tetapi mereka terlibat dengan tuduhan rasuah. Mereka seringkali bercakap sebagai modal insan tetapi mereka langsung tidak menjadi “modal insan” untuk dicontohi untuk rakyatnya. Saya tidak menembak mana-mana pemimpin. Tetapi sesiapa yang memakan cili dialah yang terasa pedasnya.

Mendahulukan orang lain daripada diri sendiri

Kisah Umar al-khattab berjalan malam untuk melihat keadaan rakyatnya dan bertemu dengan sebuat keluarga yang menjual susu sudah begitu sinonim dengan kita. Sehinggakan Umar al-khattab pernah berkata: “ Kalau rakyat mengalami kekeyangan, akulah orang terakhir yang akan menikatinya. Tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah orang pertama yang akan merasakannya.”

Boleh tak kita bayangkan begitu amannya dunia ini kalau ada pemimpin yang ada sifat-sifat seperti ini. Sifat-sifat ini hanya menonjol apabila seseorang itu telah menghiaskan dirinya dengan pakaian taqwa yang sebenar-benarnya. Tanpa sifat ini jangan harap nak ada sifat-sifat seperti ini.

Jadi, kita sebagai mahasiswa perlulah mencontohi sifat-sifat yang mulia ini. Marilah kita melantik pemimpin yang ada sifat-sifat seperti ini, bukan pemimpin yang hanya menaburkan pelbagai janji tetapi apabila memegang jawatan semuanya hilang. Mereka hanya golongan yang mahukan kenikmatan dunia sahaja. Semoga Allah akan mewariskan buminya ini kepada mereka yang bertaqwa untuk ditadbir dan membawa manusia ke arah jalan REDHA ALLAH. Bukan ke jalan KEMURKAAN ALLAH. Wallahu a’lam.

Pengarang: Ahmad Sufian Shohor

Sumber rujukan: Belajar Dari Dua Umar, Hepi Andi Bastoni

Sambungan..

Mari Kita Gunakan Peluang yang Ada

Tekanan terhadap kaum Muslimin makin meningkat. Untuk menyelamatkan dakwah, Rasulullah SAW mengizinkan para sahabat berhijrah ke Habsyah. Abu Bakar as-Siddiq segera mempersiapkan diri. Dengan bekalan seadanya, Abu Bakar r.u meninggalkan Mekah. Ketika tiba di Barkul Ghimad, dia bertembung dengan Ibn Daghinah, seorang ketua suku Qarah. “Hendak ke mana wahai Abu Bakar?” tanya Ibn Daghinah.

“Kaumku telah mengusirku. Aku ingin mencari muka bumi (yang selamat) untuk menyembah tuhanku,” jawab Abu Bakar r.u.

“Orang sepertimu tidak patut diusir. Engkau suka menolong orang yang miskin, membantu orang yang sengsara, menghormati tetamu, dan membela mereka yang beradadalam kebenaran. Oleh itu, aku memberikan perlindungan kepadamu. Kembalilah dan sembahlah Tuhanmu di negerimu (Mekah),” ujar Ibn Daghinah.

Bersama-sama Ibn Daghinah, Abu Bakar kembali ke Mekah. Di hadapan pemuka kafir Quraisy, Ibn Daghinah menyatakan bahawa Abu Bakar berada dalam jaminannya, dia diizinkan beribadah di rumahnya sahaja. Peraturan ini memang menjadi salah satu undang-undang pada masa itu. Sesiapapun boleh memberi perlindungan kepada orang lain. Hal ini juga yang dilakukan oleh Abu Talib terhadap Rasulullah SAW. Dengan demikian Rasulullah SAW boleh berdakwah walaupun dalam tekanan.

Dalam perlindungan itu, Abu Bakar r.u bebas melakukan solat, membaca al-Quran dan melakukan ibadah apapun di rumahnya. Untuk menyebarkan dakwahnya tanpa harus menyalahi undang-undang, Abu Bakar telah memperluaskan rumahnya. Dia sengaja membuat dinding rumahnya tidak terlalu tinggi agar boleh dilihat oleh orang lain. Kadang-kadang beliau membaca al-Quran di perkarangan rumahnya dengan suara yang lantang.
Para wanita dan anak-anak banyak yang datang ingin mendengar bacaan al-Quran oleh Abu Bakar r.u. Apa lagi, ketika membaca al-Quran Abu Bakar r.u sering menangis membuatkan orang ramai semakin banyak berkunjung. Tidak sedikit dari kaum wanita dan anak-anak itu yang hafal ayat-ayat al-Quran. Mereka membacanya di tepi-tepi jalan dan di tempat-tempat umum. Tidak sedikit yang kemudian tertarik kepada Islam.

Apa yang dilakukan oleh Abu Bakar r.u adalah satu tindakan kreatif yang boleh kita teladani. Di dalam konteks sekarang, berdakwah secara berhikmah adalah teramat dituntut ke atas diri setiap pendakwah. Tambah-tambah lagi di waktu sekarang ini dimana negara kita dan banyak Negara Islam yang lain tidak memerintah mengikut syariat Islam yang sebenar-benarnya. Realitinya sekarang, Islam hanya diambil dan diamalkan di waktu-waktu tertentu sahaja dan hanya yang bersifat Ibadah khusus semata-mata.

Tetapi apa yang kita perlu lakukan sekarang ini ialah memanfaatkan segala peluang yang ada untuk berdakwah. Walaupun seperti yang kita tahu bahawa Negara kita ini mengamalkan sistem pemerintahan ala demokrasi berparlimen.

Apa yang terkandung dalam maksud demokrasi berparlimen perlulah kita tahu. Demokrasi ialah satu corak pemerintahan yang memberi kita kebebasan untuk bersuara. Jadi, kita perlu untuk memanfaatkan aspek-aspek posotif dalam system demokrasi ini. Walaupun ia bukan bersumberkan dari Islam. Ini akan memberikan peluang kepada kita untuk meluaskan lagi agenda dakwah. Melalui kebebasan bersuara, ia membolehkan seorang pemimpin itu naik dengan jumlah undi terbanyak.

Di dalam konteks kita sebagai remaja Muslim khususnya Mahasiswa, kita sepatutnya memanfaatkan peluang yang kita ada sekarang. Kebebasan kita untuk berdakwah untuk masyarakat kampus harus kita gunakan sebaik mungkin. Walaupun pada sekarang ini mahasiswa dihimpit oleh satu undang-undang kejam iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sehingga menyebabkan mahasiswa yang dahulunya lantang bersuara tetapi sekarang ini nampaknya ramai yang telah menjadi bisu kerana takut akan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah. Tetapi di dalam AUKU itu sendiri banyak lagi peluang yang boleh kita manfaatkan kerana AUKU itu sendiri satu akta yang lemah sebenarnya. Ini adalah dari satu aspeks.

Sebenarnya, ada lagi peluang yang boleh kita manfaatkan untuk tujuan berdakwah misalnya kita boleh menggunakan platform Pusat Islam di USM contohnya untuk menjalankan misi dakwah kita. Di waktu inilah kita boleh tonjolkan kewibawaan kepimpinan kita sebagai seorang pelajar yang bergelar da’ie. Kita boleh menjadi khatib semasa solat Jumaat, kita boleh menggunakan masjid untuk memberi tazkirah dan kita boleh menjadi imam bagi solat-solat fardhu. Semua ini adalah peluang untuk kita untuk kita menonjolkan aura dakwah kita. Di waktu inilah peluang untuk kita mengasahkan lagi bakat kepimpinan seseorang da’ie itu. Sebelum ini kita mungkin lantang bersuara di dalam usrah, tetapi kali ini suara kita akan bertambah lantang dengan adanya suara-suara kita dalam masyarakat. Semua ini adalah peluang untuk kita untuk menyebarkan lagi kefahaman tentang Islam selain meng’izzah’kan lagi Islam di kaca mata orang ramai.
Tatapi kita perlu ingat sesuatu bahawa walaupun kita ‘mendiami lubang-lubang emas’ dalam sistem demokrasi atau sistem-sistem lain dari Islam, tapi bukan bermakna kita berimankan sistem yang tidak islamik ini. Kita berharap bahawa apabila kita menang dalam pilihan raya kelak, kita mampu membawa sinar perubahan kepada masyarakat kampus.

Seperti biasa, mesti banyak pihak yang tidak akan senang apabila melihat sinar Islam semakin terang. Dalam konteks dalam dakwah di kampus misalnya, kita berkemungkinan besar akan mengatakan bahawa HEPlah yang banyak sekali menghalang kita dalam usaha dakwah. Ada saja yang tidak kena dengan benda baik yang kita buat. Tetapi bila kroni mereka daripada kalangan student yang pro HEP buat program-program yang tidak tentu hala, HEP dengan senang hatinya menyokong agenda yang melalaikan mahasiswa ini. Bila sebut sahaja pasal HEP dan puak Aspirasi, mesti ramai yang tidak berpuas hati termasuklah aku. Para pelajar universiti didoktrinkan bahawa golongan promahasiswa ini radikal, suka buat demontrasi dan juga didoktrinkan bahawa kita datang ke universiti adalah bertujuan untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang agar mendapat pekerjaan yang baik nanti.

Ok, kita tinggal sekejap pasal kepincangan HEP. Sebenarnya, kita sebagai penggerak Islam khususnya di kalangan mahasiswa perlulah melihat musuh itu bukannya kepincangan HEP. Tetapi gerakan dakyah Barat yang sedang memperkudakan orang-orang Islam pada waktu ini. Kita sebagai mahasiswa perlulah sentiasa cakna dengan isu-isu semasa lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan umat Islam. Kita juga harus mempersiapkan diri kita dengan pelbagai soft skil supaya apabila kita terjun ke dalam masyarakat kelak kita mampu menyumbang sesuatu yang berguna kepada masyarakat, bukan hiburan-hiburan yang terkeluar dari batasan syariat!!!

Ayuh ikhwah, akhwat, mahasisiwa dan mahasiswi sekalian!!! Mari kita menjadi pendokong kepada tradisi kecemerlangan dunia akhirat, supaya generasi-generasi selepas kita kelak adalah bakal-bakal generasi yang akan menggalas title “GENERASI AL-QURAN”. WALLAHU A’LAM….

Pengarang: Ahmad Sufian Shohor
Sumber Rujukan: Belajar Dari Dua Umar, Hepi Andi Bastoni

Sambungan..