Zuhud. Apakah itu zuhud? Mungkin perkataan ini agak tidak popular di waktu ini. Waktu kebanyakan umat Islam sekarang sedang menyibukkan diri mengejar nikmat dunia.
Mungkin juga ada yang mentafsirkan zuhud ini dengan orang yang hidup serba kekurangan. Ya, mungkin betul dan mungkin salah.
Zuhud bolehlah diistilahkan dengan cinta akan akhirat lebih dari cinta akan dunia. Kita tidak terlalu taksud dengan segala kesenangan dunia seperti harta benda, pangkat dan darjat. Tetapi sebaliknya menggunakannya untuk mencari keredhaan Allah SWT.
Zuhud juga bolehlah ditakrifkan sebagai kita bersedia menggunakan harta yang kita miliki dengan orang lain yang lebih memerlukan. Satu situasi yang agak susah untuk kita lakukan. Iaitu bagi mereka yang masih ada kepentingan dunia dalam diri mereka. Maksudnya bagi mereka yang takut dunia lari dari mereka.
Alangkah bertuahnya bagi mereka yang ada sifat ini. Orang seperti ini melihat dunia hanyalah seperti kenikmatan yang akan hilang. Seperti mana firman Allah SWT:
“ Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-main dan senda-gurau dan sesungguhnya kampung Akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Apakah kamu tidak berfikir" (al-An’am : 3)
Bagi golongan ini, akhirat adalah segala-galanya bagi mereka. Tidak ada suatu pun amal perbuatan yang mereka lakukan kecuali untuk kebahagiaan kehidupan di akhirat semata-mata. Bagi golongan ini kenikmatan di dunia hanyalah kecil lagi hina jika dibandingkan dengan kenikmatan di akhirat kelak.
Kalaulah umat Islam sekarang mengetahui dan menghayati bahawa hinanya dunia ini pada pandangan Allah SWT, pasti kita sekarang ini sudah menjadi umat yang hebat. Ya, mungkin pada waktu itu dunia sedang berada di dalam genggaman umat Islam. Daulah Islamiyyah tertegak dan syariat Allah menjadi dasar kehidupan setiap muslim.
Orang yang zuhud juga dikurniakan oleh Allah SWT kepetahan berkata-kata. Kata-kata mereka menusuk kalbu bagi sesiapa yang mendengarnya. Hanya kata-kata yang berfaedah sahaja keluar dari mulut mereka. Kata-kata mereka ini sarat dengan panduan dan nasihat. Agak sukar untuk mencari orang seperti ini. Tambah-tambah di waktu sekarang ini.
Imam Ahmad berkata, “Zuhud ada tiga jenis, pertama meninggalkan perkara-perkara haram, dan ini adalah zuhud orang-orang awam. Kedua, meninggalkan perkara yang halal yang tidak berguna dan ini adalah zuhud orang-orang yang terpilih. Ketiga, meninggalkan hal-hal yang menyibukkan seorang hamba sehingga melupakan Allah, dan ini adalah zuhud orang-orang yang bijaksana.”
Di dalam lipatan sejarah Islam, banyak contoh tokoh yang zuhud kita boleh ambil. Semuanya dapat memberi contoh tauladan yang baik kepada kita.
Nabi Muhammmad SAW
Satu nama yang tidak asing lagi bagi kita. Penutup segala nabi dan rasul. Padanya tersimpan segala jenis sifat yang baik lagi mulia.
Suatu hari, Umar al-Khattab r.u menemui baginda di kamarnya. Umar mendapati baginda sedang berbaring di atas sebuah tikar usang. Tikar itu berbekas di belakang baginda, manakala bantal yang keras berbekas di bawah kepala baginda. Di salah satu sudut kamar itu terdapat lebih kurang satu gantang gandum. Di bawah dinding pula terdapat qarzh iaitu sejenis tumbuhan untuk menyamak kulit. Melihat keadaan itu, Umar menangis hiba. Rasulullah SAW betanya kepadanya, “Apa yang membuatkan kamu menangis, Ibnu Khattab?”
Umar menjawab dengan kata-kata yang bercampur-baur dengan air mata kesedihan, “Wahai Nabi Allah, bagaimana aku tidak menangis, aku melihat tikar itu berbekas di belakangmu. Kisra Parsi dan Kaisar Rom duduk di atas tilam yang dibuat daripada emas, bantalnya daripada baldu dan sutera, serta dikelilingi buah-buahan dan sungai. Sedangkan tuan adalah manusia pilihan Allah!”
Sambil tersenyum baginda SAW menjawab, “Wahai Ibnu Khattab, kebaikan mereka dipercepatkan dan kebaikan itu pasti akan terputus daripada mereka. Sementara kita adalah kaum yang yang kebaikannya ditunda hingga ke hari kiamat. Tidakkah engkau rela jika akhirat untuk kita dan dunia untuk mereka?”
Umar menjawab, “Aku rela.”
(H R Ibnu Hibban)
Mungkin sebab inilah kita umat Islam sekarang mundur dari segala segi. Ramai dikalangan kita masih sayang akan kenikmatan duniawi yang menipu daripada kenikmatan yang pasti di akhirat kelak. Ada dikalangan kita yang lantang memperjuangkan kebenaran tapi senyap seribu bahasa apabila diberi pangkat dan wang. Ada pula dikalangan kita yang lagaknya menegakkan keadilan dan kebenaran, tetapi disebabkan mungkin gaji yang dapat tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup sanggup mengambil rasuah. Yang ini lagi teruk. Sanggup menipu untuk mendapat sesuatu pangkat dan untuk mengekalkan pangkat. Jadi, kepada kita yang sedar janganlah contohi sifat-sifat di atas. Mereka semua ini telah mabuk dengan dunia. Mungkin bagi mereka dunia adalah segala-galanya.
Tetapi apa yang kita perlu tahu bahawa zuhud bukanlah bermakna kita kena hidup melarat sampai ke tahap meminta-minta. Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya untuk mengejar harta kekayaan. Tetapi apa yang dituntut ialah menggunakan harta kekayaan kita untuk memangkin kemajuan Islam. Orang Islam yang kaya seperti ini pun agak sukar untuk dijumpai sekarang. Tetapi orang Islam yang kaya yang kita selalu jumpa ialah orang kaya yang bakhil. Golongan ini mungkin sedekah untuk menunjuk-nunjuk sahaja. Bila orang minta sedekah, mereka ini begitu berat untuk mengeluarkannya walaupun sedikit. Malangnya Islam mempunyai penganut seperti ini.
Antara Abu Bakar r.u dan Umar al-Khattab r.u
Dengan kasih sayang dan kelembutan hati yang dimiliki oleh Abu Bakar r.u, beliau terpanggil untuk mengirimkan harta dalam jumlah yang orang lain tidak sanggup keluarkan. Beliau selalu memberi dan tidak pernah menerima. Nabi SAW pernah berkhutbah untuk menggalakkan para sahabat supaya menyumbang dan bersedekah.
Kesannya, hati Umar al-Khattab terbuka dan beliau menyiapkan sejumlah hartanya. Beliau berkata dengan senang hati, “Hari ini aku mengalahkan Abu Bakar.”
Lalu beliau berlari dengan cepat mengalahkan angin dan kembali membawa seguni besar harta, dan meletakkannya di hadapan Rasulullah SAW. Melihatkan guni besar yang berisikan harta itu, baginda menoleh kepada Umar dan bertanya, “Apakah yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?”
Umar menjawab, “Aku tinggalkan kepada mereka seperti ini.”
Kemudian Umar berganjak dan berada di samping baginda. Seketika kemudian, Abu Bakar masuk ke dalam masjid sambil membawa guni yang lebih besar daripada guni yang dibawa oleh Umar dan meletakkannya di hadapan Nabi SAW.
Baginda tersenyum sambil bertanya, “ Apakah yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?”
Abu Bakar menjawab, “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya.”
Umar menggelengkan kepalanya tanda takjub kepada Abu Bakar.
Beliau berbisik, “ Aku tidak akan dapat mengalahkanmu dalam suatu hal selama-lamanya, wahai Abu Bakar.”
Inilah ciri muslim yang Islam perlukan. Penganut yang berlumba-lumba membuat kebaikan tanpa ada rasa kekesalan di dalam hati mereka apabila berkurangnya harta mereka. Semua ini hanya boleh terjadi apabila kita kembali menghayati erti zuhud yang sebenar. WALLAHU A’LAM.
Pengarang: Ahmad Sufian bin Shohor.
Sumber rujukan: Tundukkan Hati.
Karya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Annual Bakri Haron.
Zuhud
2:40 AM
|
Labels:
Hatiku Berbicara,
Sekadar Peringatan
|
This entry was posted on 2:40 AM
and is filed under
Hatiku Berbicara
,
Sekadar Peringatan
.
You can follow any responses to this entry through
the RSS 2.0 feed.
You can leave a response,
or trackback from your own site.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment