Jutawan Klik!!!

Andai Jodoh Bersalam Takdir

MEREKA berdua duduk di rumah Khadijah mendengar Abu Talib menyebut-nyebut keluhuran akhlak Muhammad.

“Muhammad ini cukup istimewa sehingga aku lebih mengasihinya lebih dari aku mengasihi anak-anak kandungku sendiri. Dalam matanya ada sesuatu yang menyebabkan aku yakin setiap katanya, aku segani setiap perbuatannya. Jiwanya tenang ditengah-tengah amukan anak muda dan masyarkat. Kedatanganku ini untuk bertanya, adakah masih perlu pemuda untuk menguruskan perdaganganmu?”

Maisarah gembira. Khadijah juga tersimpuh tenang. Tidak sabar mahu bertemu pemuda berusia 23 tahun itu.

Abu Talib menyambung lagi, “Wahai Khadijah, Puan memberi gaji 2 bakras kepada Si Pulan dan Si Pulan. Jika Muhammad ini diambil bekerja, tidak perlulah digajinya sampai 4 bakras.”

Sekali lagi Khadijah memandang Maisarah. Maisarah mengangguk dari awal-awal. Bahu Khadijah segera dipegang. Senyum dan senyum. Khadijah sendiri nampak tidak menolak permintaan mulia Abu Talib itu.

“Jika sekiranya Engkau meminta aku mengambil seorang hamba atau pemuda asing sekalipun akan aku ambil, inikan pula seorang pemuda istimewa yang dekat dan lebih Engkau kasihi daripada dirimu sendiri.”

“AlhamduliLlah. Sesungguhnya peluang pekerjaan ini adalah rezeki Allah s.w.t kepadamu, wahai Ayahku”

Muhammad memeluk tubuh tua itu. Segera dikucup dahi orang tua itu. Banyak pengorbanan orang tua itu sejak baginda tidak beribu tidak berbapa.

“Aku tidak kaya dan kehidupan kita juga tidaklah senang. Tapi aku cukup bahagia selagi Engkau yang mulia dan istimewa ini dikurnia Allah dalam kehidupanku.

Perjalanan Muhammad ditemani Maisarah. Dalam perjalanan tersebut, Maisarah cukup menjaga diri Muhammad kerana itulah yang selalu basah di mulut Abu Talib sebelum mereka berangkat.

Dalam perjalanan ke Syam, mereke melintasi Madian dan Thamut. Muhammad sendiri tidak tahu bagaimana kota agong itu telah menyembah bumi.

Mereka melatari kawasan sungai yang bersih, kawasan tumbuhan menghijau. Tidak sama dengan Makkah yang gersang dan kontang. Suatu pengalaman yang cukup istimewa sedang disusun Allah s.w.t untuk tarbiyyah kekasih-Nya (Muhammad s.a.w).

Perniagaan dilakukan dengan penuh jujur dan tekun. Maisarah melihat betapa luhurnya Rasulullah dalam timbangan, jual beli serta tawar-menawar. Untung penting dalam kamus perniagaan Muhammad, namun persaudaraan sesama manusia jauh lebih penting.
Peniagaan Khadijah mendapat untung yang banyak, tidak seperti biasa.
Ketika melintasi al-Zahran, Maisarah memegang pundak Muhammad. Beliau senyum dan tentu Rasulullah s.a.w juga mengukir senyuman.

“Wahai Muhammad! Pergilah bertemu Khadijah terlebih dahulu. Beritahulah kepadanya apa yang ditakdirkan Allah ke atas perniagaannya melalui tangan mulia-mu. Tentu Khadijah yang luhur budinya itu akan bersyukur atas perniagaannya dan atas pertemuannya dengan kamu.”

Muhammad mengangguk dan terus menuju ke serambi rumah Khadijah. Kesan musafir masih ketara pada batang tubuhnya. Namun, amanah berniaga patut lebih diutamakan dari kesenangan diri.

Khadijah menyambut Muhammad. Sederhana, tetapi cukup mesra.
Muhammad mulai menceritakan pengalaman berjalan dengan Maisarah. Beliau menceritakan perkara yang menarik dan ajaib sepanjang perjalanan tersebut.

Khadijah tersimpuh tenang. Setiap bait kata Muhammad tekun didengarinya. Tenang apabila melihat bibir merah itu. Kata-katanya cukup lunak, bukan dibuat-buat. Kebenaran dan keluhuran gah tersemat.

Wajah mulia Muhammad cermat dalam fikirannya. Muka Muhammad putih kemerah-merahan. Anak matanya jernih dan hitam. Rambutnya juga hitam dan kemas. Berjanggut dan mempunyai bulu mata yang panjang dan lebat.

Entah mengapa apabila bersua dan mendakati pemuda itu, ketenangan hati seolah-oleh memiliki dunia dan seisinya.

Apabila melihat diri Muhammad, tiba-tiba berasa Muhammad ini cukup istimewa. Seolah-olah jodohnya sudah bersalam taqdir Tuhan yang Maha Mengetahui dan Esa.

Cerita Rasulullah telah mula singgah dalam hati kecil Khadijah. Tersentuh dan cukup tenang. Pengalaman berkongsi hidup dengan bekas suaminya sebelum ini sudah tentu menjadi pendoman pada Khadijah ketika menempuhi saat-saat indah itu.

Khadijah pasti, ini bukan emosi nafsu. Tapi, cinta yang luhur dan suci. Isi hati yang baru bersarang itu disampaikan kepada teman baiknya, Nafisah. Semoga isi hati ini sampai dengan penuh tertib kepada Muhammad akhirnya.

“Wahai Muhammad, mengapakah Engkau tidak berkahwin?”

“Aku tidak ada pilihan.”

“Andainya Engkau mempunyai pilihan, mahukah Engkau menolak kecantikan, kekayaan dan
kehormatan?”

Muhammad mulai mengerut dahi. Pertanyaan Nafisah mula disimpulkan sebagai hajat yang sungguh. Malu. Segan. Tertanya-tanya. Tenang. Macam-macam perasaan sedang menyelubungi hati mulia Muhammad.

Wajah Nafisah disingkapnya. Nampak, bersungguh dan bukan main-main. Memang ada yang mahu disampaikan kepada Muhammad.

“Tapi…siapa pula wanita itu, wahai Nafisah?”

“Ya..Khadijah namanya.”

Muhammad terkejut. Khadijah ini bukan sebarangan orang. Khadijah ini hartawan hasil harta peninggalan ayahnya serta suaminya. Keluhuran budinya telah menggamit perhatian banyak jejaka. Semuanya ditolak dengan penuh sopan dan tertib.
Muhammad sebelum ini telah mula mesra dengan Khadijah, tetapi sebagai pekerja dengan majikannya. Tidak terlintas langsung dalam benak qudusnya, bahawa Khadijah menyimpa cita-cita dan cinta seteguh itu kepada Muhammad.

Agak lama Muhammad berdiam diri. Akhirnya, Muhmmad bersetuju dan tarikh pernikahan mulai disusun. Muhammad ditemani Bapa Saudara yang paling dikasihinya, Abu Talib pergi ke rumah Khadijah. Keluarga besar Khadijah juga ada. Abu Talib membaca Khutbah Nikah dan pernikahan selamat dengan mas kahwin 20 bakras menurut adat orang Arab pada masa itu.

Kesunyian hidup Muhammad sebagai yatim piatu di masa kecil diisi oleh Khadijah. Ketenangan hati Muhammad telah jatuh dan mengikat hati lunak Khadijah. Mereka bahagia.

Diri Khadijah sangat bererti dalam kamus perjuangan Muhammad kemudian hari. Khadijah bukan sahaja isteri, ibu kepada empat anak Muhammad sahaja, malah Khadijah adalah teman yang cukup intim di kala Muhammad dirundung kesedihan dalam perjuangan.
Ketika Muhammad bergembira, Khadijahlah yang mula-mula mengukir senyuman syukur. Ketika Nabi gundah gulana, tangan lunak Khadijahlah mengusap dada sasa Muhammad.
Khadijah senantiasa berlapang dada biarpun Muhammad mulai mengasing diri. Muhammad diam dan senantiasa melihat masyarakat dalam pandangan simpati. Jahil. Melampau. Tidak kenal Tuhan. Zalim. Itulah watak masyarakat dan itulah membuatkan Muhammad berfikir panjang.

Gua Hira’ menjadi peneman. Khadijah penawar. Senyumannya mampu mengubat luka ummat dalam benak lunak Muhammad.

“Bertenang…Allah tidak akan menganiayai manusia istimewa sepertimu!”
Wajah nabi penuh ketakutan. Tidak seperti biasa-biasa. Khadijah segera menyambut. Ditenangkannya atas katil. Muhammad menggigil selepas pulang dari Gua Hira’. Cepat-cepat Khadijah menyelimutinya.

“Selimuti aku, selimuti aku, selimuti aku..”

Khadijah cemas. Takut kehilangan kekasih agongnya, Muhammad.
Selepas reda, Muhammad mendekati Khadijah. Ditatap kasih wajah perempuan itu. Anak rambut yang kadang-kadang menjelur di muka dahi dikemaskan. Ada sesuatu yang mahu disampaikan.

Khadijah juga biasa dengan sentuhan kasih Muhammad. Muhammad selalu diribanya. Dan wajahnya selalu ditangan Muhammad. Cukup mesra dalam dakapan kasih. Cukup bahagia dalam pelukan iman.

“Wahai Khadijah, apakah yang telah berlaku ke atas diriku ini?”
Khadijah tenang melihat perubahan emosi Suami yang paling dicintainya itu. Khadijah yakin, suaminya sedang menempuhi sesuai yang lebih istimewa.

Dalam perasaan serba risau, Muhammad tidur dalam dakapan kasih Khadijah. Khadijah tatap wajah mulia itu. Segala episod pertemuan mereka dan kasih muhammad masih segar dalam ingatannya. Seolah-olah baru baru semalam mereka diikat nikahkan dan hari ini sudah bergelar teman, isteri dan tulang belakang perjuangan Muhammad.

Dalam keasyikan tersebut, Khadijah perlahan-lahan meletakkan pundak dan kepala suami yang paling dikasihinya di atas katil. Perlahan-lahan Khadijah menapak keluar rumah. Mahu pertemu sepupunya.

Waraqah bin Naufal mengerut dahi. Dia betul-betul cermat mendengar khabar yang luar biasa dari sepupu yang paling dikasihinya, Khadijah. Perlahan-lahan Dia bangun. Menyelak lembaran-lembaran lama yang masih suci dan qudus itu. Sekali sekala dia duduk semula memikirkan setiap tempuhan pengalaman Suami Khadijah itu.

“Subhanallah. Demi Dia yang menguasai seluruh jiwa Waraqah! Percayailah aku wahai Khadijah! Sesungguhnya yang mendatangi Suamimu Muhammad itu adalah suatu roh suci yang pernah mendatangi Nabi Musa a.s dahulu. Muhammad itu nabi kaum (ummat) ini, maka beritahulah kepada Muhammad supaya berpegang tegung kepada-Nya. Dia akan didustakan, dizalimi dengan penuh kejam hatta akan diperangi. Jika sekiranya aku masih hidup lagi (pada waktu tersebut), pasti aku akan membantunya (perjuangan Muhammad s.a.w).”

Mata Waraqah mulai berkaca. Mengenangkan episod perjuangan yang pernah ditempuhi Nabi Musa a.s. dan merenung masa depan ummah yang bakal menyaksikan sekali lagi perjuangan suci Nabi Muhammad s.a.w.

Khadijah mendongak ke langit. Perasaan yang berbolak balik dalam dirinya mulai menemukan jalan pasti. Muhammad memang istimewa. Sebelum dilantik Tuhan dan sebelum bergelar kekasihnya, sudah dilihat keistimewaan (nubuwwah) tersebut. Mustahil ‘yang terpuji’ seperti Suami yang paling dikasihinya itu diabaikan rahmat Tuhan.

Mengalir air mata kesyukuran. Bertambah kasih dan cinta kepada Muhammad. Cinta seorang isteri kepada Suaminya telah diangkat menjadi cinta agong seorang ummat kepada Rasul-Nya.

Khadijah segera pula untuk mendapatkan Suami yang paling dikasihinya. Apabila sampai dirumah, Muhammad s.a.w masih nyenyak tidur.

Khadijah menatap wajah mulia itu. Cintanya memang kudus sehingga menjadi sumbu perjuangan dalam kehidupan Muhammad sebelum ini, tentu juga selepas bergelar Khatamul Ambiya’.
Dalam keasyikan menikmati wajah mulia Suami yang paling dikasihinya itu, perasaan Khadijah sekali lagi direntap. Muhammad s.a.w tiba-tiba terkejut dan bangun dengan penuh menggigil. Seolah-oleh sedang menerima sesuatu daripada yang Maha Besar!
Menggigil seolah sedang melihat sesuatu yang tentu sekali tidak pernah dilihat oleh manusia biasa.

Wahai Orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berilah peringatan dan Tuhanmu agongkanlah, Dan pakaianmu bersihkanlah, dan perbuatan dosa tinggalkanlah, dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak, dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah…” (mafhum Surah al-Muddhathir: 1-7)

Cerita pertemuan kedua Muhammad dengan Malaikat Jibril itu telah disampaikan kepada
Khadijah. Khadijah bertambah yakin bahawa memang Muhammad ini adalah Pesuruh Allah dan bakal melaksanakan tugas-tugas Rasul terdahulu sebagaimana yang dikhabarkan oleh Waraqah bin Naufal itu.

Khadijah tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Tetapi, hatinya mulai menronta-ronta untuk menjadi pembantu yang thabat dalam perjuangan Pesuruh Allah itu.

“Wahai kekasihku yang paling dikasihi, berbaringlah dan rehatlah, sesungguhnya Tuhan sama sekali tidak mengabaikan kebaikanmu”

“Tidak wahai Khadijah! Sesungguhnya masa untuk tidur lena telah tiada. (Malaikat) Jibril a.s telah memerintahkan aku supaya memberi peringatan kepada manusia dan menyeru mereka supaya kembali kepada Allah; tetapi siapakah yang patut aku seru? Dan Siapa pula yang ingin menyahur seruanku itu?”

Dalam perasaan takut kepada Allah, Nabi Muhammad s.a.w bersuara. Nampak as-Siddiq dan at-Tabligh dalam setiap pengucapan itu.

Berkongsi hidup lebih 17 tahun dengan Nabi Muhammad s.a.w menjadi bekalan buat Khadijah. Khadijah tahu betapa berat tugas Nubuwwah yang sedang dipikul atas pundah Suami yang paling dikasihinya.

Atas kesedaran itu juga, Khadijah sedaya upaya menjadi isteri yang menenangkan, pengikut yang beriltizam dan teman intim dalam perjuangannya.

“Asyhadualla ilaha illaLlah wa annaka Muhammadan arRasulullah”.

Nabi tersenyum. Nampak wajah kasih dan Cinta itu bertambah subur!

Khadijah juga senyum. Mengambil tangan mulia itu dan segera diletak atas kulit mukanya. Tenang. Kasih. Cinta. Berjuang fi SabiliLlah. Khadijah menjadi manusia/umat
RasuluLlah pertama memeluk Islam, wanita pertama menyertai dakwah Islamiyyah
Alangkah indahnya jika hidupku ini jika ditemani oleh seorang seperti khadijah..
Seorang yang menjadi penolong dan pembakar semangat di dalam medan dakwah Islam..

Sekali lagi aku termenung sambil berdoa kepada Yang Maha Mengetahui lagi Maha Memahami isi hatiku ini supaya diberikan kepadaku isteri seperti khadijah..
Walaupun diri ini masih lagi merangkak-rangkak di dalam arena dakwah..
Walaupun diri ini masih lagi terumbang-ambing antara “kebaikan” dan “kejahatan”..
Tapi aku tidak akan mengalah, akan aku terus berusaha meneladani insan seperti Muhammad supaya kelak ada seseorang insan yang sanggup memikul bebanan dakwah bersamaku…
Sehinggalah khilafah Islam tertegak semula atau aku bertemu dengan Kekasihku dengan membawa hantaran “Shuhada yang Ikhlas”.

Sufyan al-Mujahid-Saje2 je nak jiwang2 ckit

Artikel dipetik dari laman web www.zainulfaqar.wordpress.com -dengan sedikit edit

1 comments:

Unknown said...

Akh Suffian,
Semoga ALLAH sentiasa memberikan rahmatnya kepadamu.
Semoga dipermudahkan usaha dakwahmu oleh Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Amin.