11:16 PM | | 2 Comments
Aku kembali menulis
Sejak kebelakangan ni, aku betul-betul ‘down’ dalam banyak perkara termasuklah menulis. Walaupun sebelum ini, menulis blog adalah antara ‘kewajipanku’ sebagai menyahut seruan mulia baginda Rasulullah SAW iaitu “Sampaikanlah walaupun satu ayat”,tetapi disebabkan oleh sebab yang perbagai menyebabkan aku betul-betul terasa berat untuk melakukan tugas yang amat mulia ini.
Beberapa hari yang lepas, aku betul-betul tersentak dengan suatu peringatan Allah SWT dalam surah at-Taubah sehingga menyebabkan aku berfikir panjang tentang diri yang sentiasa leka ini.
Dalam ayat ke-38 surah at-Taubah, Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Mangapa apabila dikatakan kepada kamu, “Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah,” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.”
Ayat yang benar-benar merobek hatiku di kala aku sedang dimabukkan dengan kemanisan dunia yang menipu ini.
Kemudian Allah meneruskan firmannya di ayat yang ke-41 pada surah yang sama yang bermaksud: “Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
Sekali lagi aku ditempelak dengan peringatan Allah SWT yang satu ini. Rasa bersalah tiba-tiba bersarang di hati bila mana mengenangkan kembali sikapku yang suka sangat berdolak-dalih dalam melakukan sebahagian kerja dalam amal islami. Walaupun tidak dinafikan ada beberapa taklifan yang aku terpaksa tolak ke tepi dahulu kerana tidak berupaya untuk menggerakkannya.
Seperti kata seseorang kepadaku, “Jika tidak mampu untuk menggerakkan yang besar, jangan pula berhenti terus, tetapi teruskanlah buat apa yang termampu walaupun sedikit.” Lebih kurang macam tulah ayatnya.
Jangan sesekali futur dari berdakwah. Futur adalah sejenis penyakit maut yang sering menyerang para pendakwah. Akibat kalah dalam acara bergusti dengan nasfu dalam beberapa pusingan, seseorang itu terus bertekad untuk meninggalkan dunia dakwah. (Ya Allah, lindungilah kami dari penyakit ini).
Penyakit yang menyebabkan laknat Allah turun ke atas Bani Israel seperti dalam firman Allah SWT: “Telah dila'nati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.”
Aku kembali menulis walaupun kemungkinan tidak sederas dahulu. Wallahua’lam.
6:37 AM | Labels: Hatiku Berbicara | 2 Comments
Teruskan momentum Ramadhan
Setiap tahun, bulan silih berganti sehinggalah kita bertemu dengan bulan yang telah Allah SWT ekslusifkan kepada proses penjanaan Taqwa iaitu bulan ramadhan. Seterusnya datang pula bertandang bulan Syawal iaitu bulan yang pada hari pertamanya dikenali sebagai hari kembali kepada fitrah.
Seperti biasa, tatkala di bulan Ramadhan, suatu fenomena yang jangan berlaku di bulan-bulan lain berlaku di bulan mulia ini. Di bulan ini kita dapat melihat ramai kaum Muslimin datang berduyun-duyun ke masjid untuk bersolat tarawih seperti hendak bersolat Jumaat. Masjid-masjid kelihatan meriah daripada sebelum ini. Jika sebelum ini saf di waktu solat fardhu di masjid puratanya hanya dua saf sahaja, tetapi di bulan Ramadhan saf untuk solat fardhu terutama solat maghrib dan Isyak boleh mencapai hampir dua puluh saff atau lebih. Sungguh menakjubkan. Usai sahaja solat, kita dapat melihat kebanyakan dari kita membaca al-Quran dan ramai juga yang berehat. Semua amalan ini memeriahkan rumah Allah yang penuh rahmat.
Tetapi, fenomena luar biasa ini hanyalah boleh dilihat pada bulan ramadhan sahaja, tidak pada bulan-bulan yang lain. Selalu kita dengar dan baca bahawa puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu proses pentarbiahan daripada Allah SWT kepada kita supaya kita dapat menjana kembali ketaqwaan untuk dibawa bersama menempuh segala jenis halangan di sebelas bulan selepasnya.
Satu persoalan berat ingin penulis lontarkan kepada pembaca sekalian : “Siapakah diri kita selepas Ramadhan?”
Adakah kita akan kembali seperti sebelum Ramadhan? Jika perkara ini berlaku kepada kita, maka Ramadhan yang kita lalui sebelum ini hanya mendapat keletihan menahan lapar dan minum. Tidak lebih dari itu.
Atau, adakah kita menjadi Insan yang lebih baik dan terus-menerus membuat baik selepas Ramadhan? Satu lagi soalan yang berat untuk difikirkan bersama-sama.
Kedua-dua persoalan ini tidak lain dan tidak bukan berkaitan dengan ISTIQAMAH iaitu konsistensi untuk kekal baik dan lebih baik daripda sediakala.
BEBAN ISTIQAMAH
“Apa yang telah menjadikan engkau tua beruban?” tanya sahabat kepada baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
“Aku telah diubankan (dituakan) oleh Surah Hud…” kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dalam sepotong hadith yang direkod dari Ibn Abbas Radhiyallahu ‘anhuma.
Itulah beban surah Hud, surah yang memperkatakan tentang istiqamah, bahawa setelah hati disentuh iman, hidup bersama iman dan akhirnya mati dengan iman.
Bagaimanakah Ramadhan dan segalanya boleh kekal hingga ke penghujung, khawatim yang hasanah?
RUKUN ISTIQAMAH
Oleh sebab itu, untuk istiqamah kita harus patuh kepada rukun-rukun yang Allah SWT nukilkan dalam surah Hud ayat 112-115.
Di sini, penulis akan huraikan serba ringkas rukun-rukun istiqamah:
a) Jangan melampau dalam beragama
Melampau dalam beragama bolehlah diertikan dengan melakukan sesuatu melebihi apa
yang diperintahkan oleh Allah SWT seperti berpuasa secara berlebihan meliputi Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Contoh lain seperti melambatkan berbuka dan mencepatkan sahur. Perbuatan yang melampau ini mengurangkan keupayaan kita untuk beristiqamah. Justeru amalan yang sederhana malah sedikit tetapi konsisten itulah yang terbaik.
b) Jangan cenderung kepada golongan yang zalim
Cenderung boleh jadi pada dua keadaan. Sama ada kecenderungan prinsip dan emosi, atau kecenderungan pada kebergantungan. Kecenderungan pertama menghapuskan istiqamah dan konsistensi kerana ketidakupayaan kita dalam mengikut perintah Allah SWT. Kecenderungan kedua pula kebergantungan seseorang itu kepada si zalim.
Siapa si zalim itu? Si zalim itu boleh jadi orang bukan Islam yang menindas, ia juga boleh jadi Muslim sendiri yang turut berlaku zalim dengan pelbagai wasilah (medium) yang ada. Jesteru, pentingnya seorang mukmin itu mengelakkan diri dari cenderung kepada golongan seperti ini.
c) Dirikan solat
Istiqamah itu bersandar kepada solat. Solat itu menjadikan kita sentiasa berhubung dengan Allah SWT. Solat bukan sahaja diertikan dengan pengabdiaan tetapi juga kerehatan. Bagaimana hendak berehat dalam solat? Pelik betul bunyinya. Seorang yang berkasih mampu bercakap dengan kekasihnya berjam-jam tanpa jemu. Kuasa kasih menjadikan kesusahan hilang keberatan malah menjadi kenikmatan juga kerehatan. Jika kita terbeban dengan solat, tandanya kita tidak mengasihi Kekasih yang Maha Pengasih itu. Lantas, mampukah kita untuk istiqamah menjalani perintah-Nya jika kita tidak mengasihi-Nya.
d) Bersabarlah
Penulis mahu memetik ungkapan ringkas Muhammad bin Shalih Al-Munajjid di dalam karyanya berkenaan dengan makna sabar : “Kesabaran adalah bertahan dalam mengerjakan perintah Tuhan dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang Tuhan.”
Semoga kita terus beristiqamah dalam mengerjakan amal soleh. Bagi seorang pelajar, belajarlah dengan tekun kerana Allah SWT. Bagi pendakwah, istiqamahlah dalam berdakwah walaupun dakwah kita tidak diterima orang kerana di dalam rangka untuk memperkukuhkan istiqamah itu ada kesabaran. Ingatlah, pertolongan Allah SWT itu datang dengan sabar. Teruskan momentum cemerlang Ramadhan kali ini sehingga ke Ramadhan yang akan datang!
Sumber Rujukan
http://saifulislam.com/?p=3113
9:40 AM | Labels: Sekadar Peringatan | 0 Comments
Sekadar Cerita Kosong
Assalamua’laikum kepada semua yang membaca blog ini. Lama benar saya tak update. Nak kata tak ada masa free, banyak je masa yang saya free. Nak kata saya sibuk, banyak juga masa kosong yang dibazirkan dengan sengaja. Jawapan yang paling baik yang boleh saya beri ialah ini semua adalah disebabkan kelemahan diri saya dalam menguruskan hal ehwal hidupku ini. Al-maklumlah, isteri pun tak dak lagi. Hehe... Biasalah, final year student memang macam ni, kalau tak fikir pasal kerja atau sambung Master mesti dia fikir pasal nak khawin punya.
Nak Kahwin
Sejak akhir-akhir ni, apabila saya bersembang-sembang dengan rakan-rakan yang “sekepala” denganku, antara topik yang sering didiskusikan ialah berkenaan dengan kahwin dan jodoh. Walaupun selalu bersembang pasal benda alah ni, tapi ia tidak sesekali membosankan saya dan kawan-kawan seforum saya untuk terus membincangkannya.
“Hang (nama dirahsiakan) dah ada ka?” Tanya kawanku.
“Aku mak aku tolong carikan.” Terang kawanku yang sorang lagi.
Senang betul hidup kawanku sorang ni. Tak payah nak fikir bende ni dah. Emak tolong carikan. Dasyat betul...
“Hang bila lagi?” Tanyaku pula.
“Aku tunggu kerja dulu.” Terang kawanku yang sorang ni. Bagus betul dia, kukuhkan kewangan dulu, baru cari.
Aku juga pernah mengajukan soalan kepada seorang lagi kawanku yang sentiasa cool...
“Hang dah ada belum?” Tanyaku.
“Entah la.” Ringkas jawapannya. Inilah jawapan yang paling menggerunkan saya pernah dengar. Tapi, saya tak berapa risau sangat sebab kawanku seorang ni mempunyai rupa. Mungkin jawapannya itu disebabkan tak tahu nak pilih yang mana satu.hehe...sekadar teori kosong sahaja.
Akhirnya soalan yang sama diajukan kepadaku.
“Hang dah ada ka?” Tanya kawanku untuk mendapatkan suatu kepastian.
Terdiam aku sejenak untuk memikirkan jawapan yang paling baik yang boleh aku cilok...
Tapi tak semena-mena seorang kawanku menjawab : “Pian dah ada dah.” Kata kawanku dengan senyuman yang lebar.
Suka hati dia je nak kata aku dah ada. Manalah dia tahu...hehe. Apa-apa hal pun, planning aku....dot dot doooott...RAHSIA. Tunggu je la kad kahwin saya sampai ye.
Wallahu a’lam...
9:36 AM | Labels: Peristiwa Terkini | 0 Comments
Perutusan NYDP 1 PMIUSM Sempena Ramadhan
Segala puji bagi Allah SWT kerana tidak lama lagi Allah SWT akan datangkan kepada kita suatu bulan yang penuh dengan barakah, rahmat dan keampunan dari-Nya. Bulan yang dijanjikan itu ialah bulan Ramadhan al-Mubarak.
Di dalam bulan ini, umat Islam seluruh dunia akan berpuasa selama sebulan sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)
Bagi orang yang beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya, mereka akan menunggu bulan Ramadhan seperti seseorang yang menunggu untuk menerima hadiah. Hatinya begitu gembira apabila sudah memiliki hadiah itu. Maka, seperti itu jugalah mereka yang begitu mendambakan kedatangan bulan Ramadan ini. Apabila masuk sahaja satu Ramadhan, golongan ini akan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada tuan kepada bulan ini iaitu Allah SWT kerana sekali lagi mengizinkan mereka untuk bertemu dengan bulan punuh barakah ini.
Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata, Rassulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditangan-Nya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.” Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi
Hadith di atas hanyalah salah satu dari koleksi hadith Nabi SAW tentang fadhilat bulan Ramadhan. Bulan ini juga merupakan bulan keemasan bagi orang-orang yang beriman dan yang benar-benar takutkan Allah SWT. Maka kesempatan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Golongan ini yakin dan percaya bahawa bulan ini bukan sahaja menyajikan pelbagai fadhilat, malah bulan ini juga menyediakan suatu “siri latihan praktikal menjinakkan hawa nafsu” seseorang daripada membuas.Maka, bagi orang-orang yang beriman, mereka bukan setakat berpuasa dari makan dan minum, tetapi mereka juga “berpuasa” mata, telinga dan semua pacaindera dari melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Selain dari mendapat ganjaran pahala yang tidak terkira dari Allah SWT, golongan ini juga mendapat sejumlah kekuatan iman untuk dibawa bersama mengharungi sebelas bulan selepas Ramadhan yang pastinya penuh dengan ujian yang pasti menggugat iman.
Indahnya Ramadhan kali ini jika semua orang Islam mengetahui hakikat sebenar atau matlamat sebenar bulan ini dihadiahkan oleh Allah SWT kepada kita seperti yang tertulis di atas. Tetapi realitinya adalah 180° terbalik dari apa yang tertulis di atas. Antara yang menyedihkan kita ialah di dalam bulan yang mulia ini, umat Islam semakin boros berbelanja hanya untuk berbuka puasa. Bukan setakat itu sahaja, umat Islam juga hanya ghairah menyambut kedatangan Ramadhan di awal Ramadhan sahaja, tetapi apabila semakin tiba saat akhir Ramadhan, semakin banyak bergema lagu raya dan semakin ramai juga yang melupai Ramadhan kerana begitu bersemangat untuk menyambut satu Syawal.
Ini hanyalah sedikit cebisan dari fenomena sonsang umat Islam kini. Di era awal Islam dahulu, generasi Salafussoleh begitu gembira dengan kedatangan Ramadhan dan begitu sedih dengan pemergian Ramadhan. Generasi umat Islam kini pula, ramai di kalangan kita tidak begitu gembira dengan kehadiran Ramadhan tetapi begitu gembira apabila saat akhir Ramadhan semakin tiba. Di bahagian mana kita berada sama-samalah kita renungkan.
Akhir kata, penulis mewakili seluruh warga Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUSM) ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada seluruh Muslimin dan Muslimat. Semoga Ramadhan kali ini kita jalani dengan penuh kecermelangan supaya kita dapat meningkatkan lagi darjat keimanan kita di sisi Allah SWT.
Sumber Rujukan
http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Ramadhan.html
http://www.harunyahya.com/malaysian/artikel/ramadan.php
3:26 AM | Labels: Peristiwa Terkini | 0 Comments

