Jutawan Klik!!!

Pengajaran dari Penahanan Dr. Asri

Bagaikan menjadi suatu polemik apabila timbulnya isu penahanan Dr. Asri oleh Jabatan agama Islam Selangor (JAIS) atas alasan yang begitu rapuh sekali yang dikemukakan oleh pihak JAIS iaitu kerana Dr. Asri mengajar tanpa tauliah.

Maka ramailah tokoh-tokoh agama, ahli politik, NGO (termasuk SIS) dan tidak ketinggalan juga Perdana Menteri Malaysia turut memberi respon terhadap penahanan Dr. Asri.

Maka kelam-kabutlah satu Malaysia disebabkan penahanan seorang agamawan yang terkenal dengan kelantangan hujjah beliau dalam pelbagai isu.

Semenjak hari penahanan Dr. Asri sehinggalah sekarang, saya mendapati ramai tokoh agamawan, ustaz dan juga sahabat saya yang melahirkan pelbagai reaksi yang berbeza.

Walaupun isu penahanan Dr. Asri hanyalah berkisar tentang tauliah mengajar agama, tetapi apa yang saya dapati dari diskusi dan pembacaan berkenaan isu ini, ramai juga yang tidak berpuas hati dengan pendekatan Dr. Asri dalam mengeluarkan pendapat tentang beberapa isu.

Di suatu pihak, ada yang mengatakan bahawa kes penahanan Dr. Asri kemungkinan disebabkan oleh “tangan ghaib” yang berusaha unutk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor kerana ada beberapa perkara yang menjadi tanda tanya dan boleh dijadikan sebagai teori konspirasi seperti jumlah anggota polis yang ramai datang mengepung rumah dimana ceramah sedang diadakan seakan-akan Dr. Asri ialah seorang penjenayah besar pula.

Walaubagaimanapun, bukan masalah ini yang ingin saya lontarkan di ruangan ini. Tetapi, ada suatu pengajaran yang berharga yang boleh kita ambil dari isu ini.

Pertamanya, sebelum melakukan sesuatu, pastikan kita berfikir dan mempunyai hujjah yang konkrit terlebih dahulu. Jika kita memahami isu ini tanpa dipengaruhi oleh apa-apa faktor luaran (iaitu antara JAIS dan Dr. Asri sahaja), maka bolehlah kita simpulkan di sini bahawa JAIS hanya “meludah ke langit dan terkena muka sendiri” kerana sengaja mencari malu dengan menahan seorang ilmuwan agama kerana bersebabkan sebab yang begitu rapuh. Tambahan pula, Dr. Asri juga dikaitkan dengan penyebaran fahaman wahhabi.

Tetapi apabila saya membaca blog Dr. Asri, beliau juga agak kehairanan dengan fenomena wahhabi di Malaysia. Dengan kata lain, beliau sendiri pun tidak mengaku bahawa beliau adalah pembawa fahaman wahhabi. Jadi, mana satukah yang betul?

Kedua, dalam menilai isu berkenaan pendekatan Dr. Asri yang dikatakan “keras” secara saksama lagi adil, kita haruslah meneliti hujjah kedua-dua belah pihak iaitu pihak yang menyokong Dr. Asri dan yang menentangnya. Selepas itu, terpulanglah kepada kita hendak menerima hujjah pihak yang kita suka.

Ketiga, janganlah kita mudah untuk membid’ahkan suatu amalan yang dilakukan oleh saudara seIslam kita hanya kerana kita mempunyai pendapat yang kita rasakan kuat tentang suatu amalan.

Ringkasnya janganlah kita taksub dengan pendapat kita sendiri sehingga tidak mahu menerima pendapat orang lain. Terutama sekali bagi mereka yang tidak mempelajari ilmu agama secara formal seperti mereka yang menyambung pelajaran di bidang agama di dalam dan di luar nagara.

Teringat saya akan kata-kata seorang ustaz saya semasa mengaji kitab di masjid USM pada bulan Ramadhan yang lepas. Katanya lebih kurang seperti ini : “Berapa banyak dah hafal hadith? Hadith 40 Imam Nawawi dah habis hafal ke belum?” Kata ustaz saya dengan nada yang tidak puas hati terhadap golongan yang suka sangat membid’ahkan sesuatu amalan.

Berlapang dadalah dalam berbeza pandangan. Janganlah disebabkan ketaksuban kita terhadap pendapat kita dalam sesuatu isu menyebabkan umat Islam yang satu ini terpecah dua, iaitu salaf dan khalaf.

Setakat ini, hanya inilah yang saya fikirkan penting untuk direnungkan bersama.

Wallahu a’lam.

1 comments:

Anonymous said...

ya benar...sapa lah kita untuk nak jadi penghukum..tidak layak langsung..untuk isu ini,jangan mudah melatah..better perhatikan dan dengar dari pelbagai pihak disamping tingkatkan ilmu..