Jutawan Klik!!!

Ramadhan yang suram


Bulan Ramadhan menjadi simbol ketaatan kita kepada Allah. Malah menjadi tempat pwehwntian bagi kita untuk bermuhasabah dan mengislahkan kembali diri kita. Bulan yang sepatutnya disambut dengan perasaan yang penuh kegembiraan dan kesyukuran. Tetapi senario masyarakat khususnya Umat Islam di Malaysia mungkin 180 ̊ terbalik dari semua ini.

Bagaikan tiada apa-apa yang berubah dari segi kemungkaran-kemungkaran jika dibandingkan bulan Ramadhan dengan bulan-bulan yang lain. Tidak perlu di sebut satu persatu kemungkaran-kemungkaran yang bagaikan sudah menjadi tradisi dikalangan umat islam sekarang. Cuma pada Ramadhan tahun ini, kita mempunyai satu lagi penambahan dalan senarai kemungkaran di Malaysia iaitu BUANG BAYI.

Semua pihak pening dengan permasalahan ini. Pelbagai solusi telah diutarakan untuk menyelesaikan permasalahan yang semakin meruncing ini. Dari banyak-banyak solusi cadangan yang terpapar di media massa, Cuma ada satu solusi sahaja diyakini mampu membasmi segala masalah sosial yang berlaku termasuklah kes buang bayi.

Solusinya ialah menutup segala pintu-pintu mukaddimah kepada zina kerana dengan zina lahirnya bayi-bayi yang tidak berdosa itu. Mengapa kita perlu memeningkan kepala untuk mencari penyelesaian untuk menyelamatkan bayi yang dibuang dan bakal dibuang sedangkan di media massa penuh dengan adegan-adegan yang merangsang kearah kemungkaran itu.

Malah inilah solusi yang diberikan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang menyuruh umat Islam agar menutup aurat, menundukkan pandangan dan lain-lain. Ya, solusinya sudah ada di dalam al-Quran. Tetapi persoalannya mengapa pihak berwajib (kerajaan khususnya) bagaikan menutup sebelah mata terhadap solusi yang terbaik ini?

Tetapi untuk menjalankan solusi ini agar ia membuahkan kejayaan, ia perlukan kepada peranan semua pihak bermula dari diri kita sendiri, keluarga, masyarakat dan kerajaan.

Cara untuk bermula dengan diri kita ialah kita perlu memantapkan iman dan amal supaya TAQWA berjaya disemai dalam diri kita. Dengan taqwa, barulah lahir rasa penghambaan diri kepada Allah dan bersedia menerima segala perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Keluarga pula terutama ibu bapa perlulah memainkan peranan dengan menjaga dan mendidik anak-anak di bawah jagaan mereka supaya sentiasa mematuhi perintah Allah seperti menjaga adab-adab berpakaian dan pergaulan supaya mengikut syariat Islam.
Tugas masyarakat pula ialah saling tolong-menolong ke arah kebaikan seperti menasihati dan mencegah remaja-remaja yang bergelumang dengan maksiat. Untuk melakukan tugas ini (dakwah), ia memerlukan kepada sebuah HIKMAH atau kebijaksanaan dalam berdakwah. Artikel “JIWA DAIE OTAK FAQIH” yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal boleh dijadikan rujukan.

Apa pula tugas kerajaan? Inilah institusi yang terpenting. Jika kerajaan tidak menjalankan tugasnya, maka segala yang dilakukan oleh pihak-pihak di atas tidak akan dapat memberi impak yang berkesan. Tugas kerajaan ialah menutup segala pintu-pintu mukaddimah kepada zina. Semua media massa yang memaparkan adegan-adegan pendedahan aurat mesti dihentikan. Jika perkara ini dapat dilaksanakan, insya-Allah masalah sosial dapat dibendung. Seterusnya zina dapat dikurangkan dan akhir sekali tiada lagi pembuangan bayi.

Secara teorinya seperti ini la. Tetapi secara praktikalnya, entahlah bila boleh terlaksana semua ini. Apa-apa pun, asasnya ia bermula pada peringkat diri kita sendiri. Semoga Ramadhan kali ini dapat menjadikan kita hamba yang bertakwa kepada Allah...

Taat jangan maksiat,

Ingat jangan lupa,

Syukur jangan takabbur.

Inilah huraian TAQWA dari seorang sahabat besar, Abdullah bin Mas’ud r.hu.

Wallahua'lam

0 comments: