sekadar pkongsian..
Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.
Aku hanya seorang Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.
Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.
"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"
Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."
"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."
"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."
Ibu angguk perlahan.
Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.
"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"
Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.
"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."
Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.
"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"
Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.
"Bila enti menikah?"
Aku tiada jawapan khusus.
"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.
"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.
"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak! " Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."
Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...
"Usah berlebihan ya..."
Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.
"Insyirah, jom makan!"
Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.
"Tafaddal, ana puasa."
Sahabiah juga semakin galak mengusik.
"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"
"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."
Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.
............ ......... ......... .........
"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."
"Tenangnya.. . Subhanallah. Allahuakbar. "
"Ya Allah, tenangnya... "
"Moga Allah memberkatinya. ..."
Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.
Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.
Dalam sedar tidak sedar...
Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.
"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."
Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...
"Insyirah bertunang dengan siapa, mak cik?"
Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."
"Allahuakbar. .." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.
"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."
Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.
"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."
"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan.. ."
Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu.
"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."
************ ********* ********* ********* *******
* Kisah ini bukan kisah ana (Insyirah), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *
Mulai hari ini, jangan bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.
Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.
Setidak-tidaknya, Insyirah (watak di atas) sudah 'membeli' baju pernikahannya. .. Arh... Untungnya Insyirah. (Cemburu! Cemburu! Cemburu!)
~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~
http://niqobgirl.blogspot.com
Aku sudah bertunang...
11:48 PM | Labels: Artikel Sahabat | 1 Comments
Maulidur Rasul : Rasulullah SAW sebagai role model kita
Saban tahun, masyarakat Islam di Malaysia khususnya akan mengadakan sambutan maulidur rasul seperti mengadakan ceramah agama, majlis jamuan, perarakan dan sebagainya. Semua acara ini tidak lain hanyalah bermatlamatkan untuk menyuburkan rasa cinta dan sayang kepada Rasulullah SAW.
Tetapi di celah-celah sambutan Maulidur rasul yang kita raikan setiap tahun ini, masih tergumpal begitu banyak persoalan besar tentang permasalahan umat Islam yang begitu serius yang perlu diselesaikan.
Jika kita menjenguk kembali permasalahan umat Islam di lapangan politik yang penuh dengan sampah rasuah, bidang ekonomi yang masih terikat dengan sistem riba dan bidang sosial yang menampakkan kerosakan akhlak pemuda-pemudi Islam, maka perlulah kita sedar bahawa kita semakin jauh dengan contoh suri tauladan terbaik iaitu Rasulullah SAW.
Apabila kita berbicara berkenaan role model, ketahuilah saudaraku bahawa kita telah ditipu oleh musuh kita dengan memberikan kepada kita pelbagai contoh role model palsu untuk kita jadikan ikutan. Contoh paling mudah untuk dilihat ialah di lapangan hiburan yang penuh dengan program realiti seperti Malaysia Idol yang menuntut kita untuk mengundi siapakah artis yang lebih kita sukai.
Secara tidak sedar, musuh kita iaitu Yahudi dan Nasrani telah berjaya memperdaya kita tentang siapa yang patut kita ikuti dan contohi. Maka tidak hairanlah sekarang munculnya golongan muda-mudi Islam yang mahu menjadi barat malah ingin lebih barat dari orang barat sendiri.
Sedarlah ikhwanul Muslimin sekalian! kita sudah mempunyai Idola yang terbaik untuk diikuti iaitu Nabi Muhammad SAW.
Justeru, di dalam usaha untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan terbaik untuk umat Islam kini, maka perlulah kita mengenali dahulu Nabi Muhammad SAW yang kita cintai ini dengan membaca dan mengkaji sirah kehidupan baginda sebelum dan selepas bergelar rasul Allah.
Ini kerana, hanya mereka yang sangat mengenali Nabi Muhammad SAW akan jatuh cinta kepada baginda. Bukankah kita selalu mendengar frasa “tak kenal maka tak cinta”?
Kemudian, cubalah kita amalkan sedikit demi sedikit perintah dan tegahan yang terkandung dalam sunnah kehidupan baginda seperti galakan menyebarkan salam dan sebagainya.
Hanya mereka yang mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW yang akan berjaya. Hal ini telah terbukti dengan adanya segolongan manusia yang ditinggal oleh Nabi SAW iaitu para sahabat baginda r.hum yang telah berjaya meletakkan Islam pada tempat yang tertinggi sekali. Di waktu ini, umat Islam digeruni oleh musuh-musuhnya. Agama Islam tersebar luas merentas benua, rahmat Allah turun mencurah tiada henti.
Bangunlah Ikhwanul Muslimin sekalian! Ayuh kita jadikan Rasulullah SAW sebagai Role Model kita.
Sambungan..
8:38 AM | Labels: Peristiwa Terkini | 0 Comments
Ketika Cinta Bertasbih

Ketika hati tidak tenang, maka bacalah al-Quran sebagai pengubat hati. Tetapi ketika hati bagaikan gunung berapi persis saat tibanya untuk memuntahkan lahar, menulis adalah cara paling baik untukku meredakannya.
Sudah beberapa kali aku cuba mengelak dari menonton cerita gerne cinta islamik ini.
“Nta dah tengok cerita Ketika Cinta Bertasbih?” Tanya sahabatku suatu ketika dahulu. Barangkali ketika baru terbitnya cerita ini di massa.
“Belum, ana tak layan la cerita jiwang-jiwang ni” jawabku dengan nada bergurau.
Sebenarnya bukan diri ini tidak suka menonton atau membaca cerita gerne Islamik sebegini. Tetapi aku begitu takut dengan “penangannya”. Auranya bisa membuatkan aku terkhayal dalam satu jangka masa yang lama. Perkara ini amat menyeksakan hati. Bukan kerana hati kosong, tetapi waktu itu hatiku terlalu sarat dengan bermacam output hasil dari cerita gerne islamik yang ditonton atau dibaca.
“Terkhayal” dengan kesyadidan pelakonnya dan keindahan jalan ceritanya, tersekat dengan pelbagai simpulan nasihat yang bisa meruntun jiwa dan yang terpenting ialah percikan iman asbab dari membaca atau menonton cerita gerne ini benar-benar terasa di jiwa ini.
Membuatkan aku selepas itu sering bermuhasabah sendirian – Bagaimana taraf CINTAKU kepada Si-empunya cinta? Layakkah aku untuk mengahwini seorang mujahidah yang mantap taqarrubnya kepada Allah?
Subhanallah, inilah penangan dari filem Ketika Cinta Bertasbih yang baru ku habis menontonnya malam tadi. Kali pertama aku sanggup tidak tidur hanya semata untuk menonton sehingga ke akhir cerita.
Penangan yang sama atau lebih kuat dari pengalamanku yang lalu ketika membaca novel Tautan Hati. Kerana sebab inilah aku benar-benar ingin mengelak dari “bersemuka” dengan cerita cinta islamik ini.
Tetapi perancangan Allah SWT itu siapa yang tahu? Dengan taufiq dan hidayahnya aku menonton filem ini dengan harapan menjadi suatu amal ibadah di sisi tuhanku.
Asbabnya, aku terkhayal seharian pada hari ini hasil dari percikan rahmat dari yang Maha Pemurah agar aku bermusabah kembali tentang amalan aku di dalam rangka untuk mendekatkan diri kepadaNya.
Semoga Allah merahmati semua yang terlibat dalam pembikinan filem yang hebat ini terutama sekali penulis novel ini dan para pelakonnya.
Sekadar untuk menenangkan jiwa…wallahua’lam.
12:49 AM | Labels: Hatiku Berbicara | 0 Comments
Contohi HAMAS
“Adik rasa-rasa la kan, kenapa calon pilihan kita kalah?” Tanyaku kepada adik-adik junior PMIUSM semasa sedang menunggu keputusan rasmi PRK baru-baru ini.
“Ana rasa la kan, mungkin sebab kampen tak cukup.” Kata adik A.
“Mungkin…..entahlah” kata adik B pula.
“Latihan tak cukup kot.” Sampuk adik C.
“Hhumm, semua jawapan boleh diterima, tapi ada satu jawapan yang lebih tepat, apa dia?” tanyaku untuk memenatkan lagi kepala adik-adik juniorku yang telah sedia penat.
“Entah la abang, apa dia?” kata seorang adik tanda pasrahnya sebab tidak tahu jawapannya.hehe
“Sebab kekalahan kita adalah kerana dakwah kita masih belum lagi diterima oleh masyarakat kampus.” Jawapan yang muktamad kepada adik-adikku.
Semua adik junior tersebut terdiam selepas itu…
Apakah sebab-sebab dasar yang menyebabkan calon yang berfikrah Islam masih lagi tidak disukai dan menjadi pilihan masyarakat kampus???
Adakah disebabkan tidak cemerlang dalam akademik?
Tidak mempunyai akhlak yang mulia?
Malas?
Hidup berpuak?
Selekeh?
Pakai baju skema dan pakai tudung labuh?
Atau??? Saya yakin anda ada jawapan yang tersendiri.
Untuk berjaya, kita kena mencontohi kejayaan yang terdahulu dikecapi oleh orang lain. Oleh itu, mari kita melihat bagaimana HAMAS berjaya memenangi hari rakyat Palestin.
Hamas dan Pilihan Raya 2006
Seperti yang sudah diketahui, gerakan Islam HAMAS telah memenangi pilihan raya Legislatif PA pada 25 Januari 2006. Pada hari keramat itu, rakyat Palestin menterjemahkan sokongan mereka kepada HAMAS dengan memangkah calon HAMAS walaupun diugut oleh pihak luar seperti Amerika, EU dan rejim Zionis supaya tidak mengundi HAMAS.
Jadi apakah sebab-sebab HAMAS begitu popular di hati rakyat Palestin?
1) Cara kesederhanaan HAMAS dalam memperjuangkan Islam dan beramal dengannya. Walaupun gerakan bersenjata menjadi agenda utama, tetapi dari segi beragama, HAMAS seperti Ikhwanul Muslimin (IM) adalah lebih moderat.
Moderat bermaksud sederhana dan tidak melampau. Dengan cari ini, HAMAS dapat merekrut pemilik-pemilik hati yang ikhlas supaya menyertai mereka.
2) HAMAS juga dilihat sebagai gerakan dinamik yang cepat bertindak dengan suasana sekeliling dan situasi semasa. Dinamisme HAMAS tidak sedikitpun menggadaikan perinsip perjuangan dan penentangan mereka terhadap musuh. Bukti dinamisme ini adalah:
a) Perubahan strategi peperangan – mengikut situasi.
b) Serangan yang berstrategis dan pelbagai.
c) Strategi menghadapi Pihak berkuasa Palestin (PA).
d) Penglibatan dalam pilihanraya Majlis Perbandaran dan Pilihan Raya Legislatif.
3) Mempunyai pemimpin pelapis yang berkarisma. HAMAS tidak mempunyai masalah perbezaan generasi serta pepecahan dalaman. Setiap kali pemimpin HAMAS ditangkap dan dibunuh, pasti akan ada pelapis-pelapis yang mengisi jawatan yang kosong tersebut.
Buktinya, sehingga kini HAMAS masih lagi belum berjaya dihapuskan oleh pihak rejim Zionis walaupun dua pemimpin tertinggi HAMAS, Ahmad Yassin dan Abdul Aziz al-Rantissi dan puluhan pemimpin lain telah pergi bertemu Allah. Malah, kepimpinan HAMAS semakin bertambah saban hari.
4) Para aktivis HAMAS terkenal dengan disiplin dan ketaatan mereka kepada pemimpin dan organisasi. Mereka meletakkan dasar syura untuk ditaati dan dihormati dan berpegang teguh dengan prinsip jihad dan nilai Islam yang tertinggi. Tidak hairanlah, sehingga sekarang, tiada masalah dalaman melanda HAMAS.
5) Antara faktor yang paling penting dalam meletakkan HAMAS di hati rakyat Palestin ialah kerja-kerja kebajikan yang dilakukan oleh anggota HAMAS. Walaupun sebelum HAMAS masih belum lagi dikenali sebagai HAMAS (dikenali sebagai IM), IM lebih dikenali sebagai golongan yang suka membantu dan berkorban di mata rakyat Palestin.
6) Rekod HAMAS yang bersih dari sebarang aktiviti penyelewengan seperti korupsi, salah guna kuasa dan menjalinkan hubungan dengan Zionis memberi kredit yang tinggi kepada HAMAS. Sebaliknya, Fatah terus bergelumang dengan rasuah dan segala jenis penyelewengan yang menyebabkan rakyat Palestin tidak lagi percayakan mereka.
7) Kesungguhan HAMAS dalam melancarkan Jihad tidak perlu lagi dipersoalkan. Kesediaan mengorbankan ahli gerakan memberi keyakinan kepada rakyat Palestin bahawa HAMAS benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan kemerdekaan bumi Palestin.
8) Sikap HAMAS menghormati rakyat Palestin dari proksi lain menjadi faktor HAMAS berjaya memenangi hati rakyat Palestin. Walaupun HAMAS menerima begitu banyak tekanan dari Fatah, tetapi HAMAS tidak pernah melepaskan sebiji peluru pun kearah anggota Fatah.
9) HAMAS juga menjadi pilihan rakyat Palestin kerana berjaya menyediakan sebuah alternatif perjuangan berlandaskan Islam selepas rakyat Palestin dikecewakan dengan kegagalan arus ideologi yang didokong mereka dahulu seperti sekularisme, fatahisme dan nasionalisme.
10) Akhlak dan keperibadian anggota HAMAS juga turut memainkan peranan penting dalam membina peranan umum rakyat kearah mengukuhkan sokongan kepada HAMAS.
11) Kelulusan dan taraf pendidikan yang tinggi anggota HAMAS juga tidak dapat dinafikan sumbangannya dalam membina keyakinan rakyat Palestin kepada HAMAS. Malah, sinergi antara golongan professional dan agama serta sokongan siswa memantapkan lagi jentera kepimpinan HAMAS.
12) Iltizam HAMAS dengan keengganan mereka mengiktiraf Negara haram Israel juga membuatkan rakyat semakin yakin dengan HAMAS.
Inilah rasepi kejayaan HAMAS. Walaupun HAMAS tidak kaya dan tidak pula menjanjikan projek-projek mega dan janji-janji manis, tetapi HAMAS masih lagi relevan di hati rakyat Palestin.
Mari kita selidiki balik di mana kekurangan kita. Mengapa kemenangan masih lagi belum hadir lagi kepada kita. Ingat, muhasabah menerangkan jalan…wallahu a’lam.
4:39 AM | Labels: Peristiwa Terkini | 4 Comments
Berperangkah kita pada 2012???

Ceramah 2012 telah berakhir dengan jayanya, Alhamdulillah. Semuanya berjalan lancar malah lebih lancar daripada apa yang dirancang sebelumnya. Semuanya adalah rahmat daripada Allah SWT. Kedatangan tetamu juga di luar jangkaan sehingga setanding dengan kedatangan tetamu semasa program cinta yang setiap sidang PMI adakan.
Waktu terluang bersama Ustaz Shaa’ri di dalam kereta tidak aku sia-siakan begitu sahaja…
“Ustaz, gerhana bulan dan gerhana matahari jatuh hari Jumaat ada apa-apa sign ka?” tanyaku kepada Ustaz sha’ari.
“Ya, pasti ada sesuatu yang Allah SWT hendak beritahu kepada kita.” Jawab Ustaz Sha’ari.
Mungkin ada sesuatu yang Allah SWT hendak kita ketahui. Tetapi berapa ramai dari kita yang melihat dua fenomena alam ini secara tersirat?
2012…
Menurut suatu fakta yang dibocorkan oleh Zagami, seorang ahli Illuminati yang melarikan diri dari kumpulan tersebut menyatakan akan berlaku sebuah peristiwa besar (kemungkinan peperangan) pada akhir tahun 2012 ini. Jika diselidiki, ada benarnya juga apa yang dikata oleh En. Zagami ini. Kerana penganut ajaran Lucifer ( Illuminati, freemason etc.) amat berpegang pada Sun Circle seperti yang tercatit pada kelender kaum Mayan. Di mana pada bulan Disember 2012 ini akan lengkaplah edaran matahari (11 tahun).
Illuminati merancang melakukan “Penazian” negara-negara Barat pada tahun 2012 dan akan menghukum semua orang beriman, dengan alasan berperang melawan terorist serta akan menghancurkan perekonomian dunia.
(Zagami, seorang keturunan keluarga Illuminati, pada bulan Jun tahun lalu telah menukar agama, dan memilih Islam sebagai agama barunya. Kemudian dia nekad melakukan counter attack terhadap Illuminati.) Interview “The Arrival” Part 37 pada 3 Januari 2007
Seperti yang kita ketahui,pada tahun 1990, G. Bush, ayah kepada G.W Bush semasa si boneka Dajjal ini menjadi Presiden Amerika, dia telah mengumumkan dasar New World Order. 11 tahun selepas itu (2001), terjadi pula satu peristiwa penting iaitu peristiwa 9/11. Jadi, 2012( selepas genap 11 tahun) ini apa pula yang bakal terjadi agaknya?
2012 - Perang Armageddon???
Saudaraku, petanda-petanda kecil boleh dikatakan semuanya telah terjadi. Apa yang ditunggu oleh kita hanya petanda-petanda besar sahaja sekarang.
Saya tidak menolak kemungkinan-kemungkinan yang mengatakan sebuah peperangan akan berlaku tidak lama lagi kerana banyak teori, fakta dan maklumat yang saya baca dan kaji (seperti pendedahan oleh En. Zagami) seakan-akan menyokong antara satu sama lain (peperangan besar akan tercetus tidak lama lagi). Lebih-lebih lagi maklumat berkenaan dengan perang besar ini boleh didapati dari hadith nabi SAW seperti:
"Kamu akan mengadakan perdamaian dengan bangsa Rum dalam keadaan aman lalu kamu akan berperang bersama mereka menentang satu musuh dari belakang mereka.Maka kamu akan selamat dan mendapat rampasan perang,kemudian kamu akan sampai ke sebuah padang rumput yang luas dan berbukit-bukit,maka berdirilah seorang lelaki dari kaum Rum.Lalu dia mengangkat tanda salib dan berkata: "Salib telah menang!",maka datanglah seorang lelaki dari kaum Muslimin dan membunuh lelaki Rum tersebut lalu kaum Rum telah berlaku khianat dan terjadilah peperangan demi peperangan.Di mana mereka akan bersatu menghadapi kamu di bawah 80 bendera dan di bawah setiap bendera terdapat 12 ribu bendera".
(HR. Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Majah)
Telah bersabda Rasulullah SAW, “Tidak akan terjadi hari kiamat, sehingga kaum Rum turun di kota A’maq dan di Dabiq (dekat Damaskus). Kemudian datanglah suatu pasukan yang menghadang mereka dari Madinah, yang berasal dari penduduk pilihan bumi. Dan ketika mereka sudah berbaris-baris, maka berkatalah orang Rum, ‘Biarkanlah (jangan kalian halangi) antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk Islam) untuk kami perangi’. Maka kaum Muslimin berkata, ‘Demi Allah, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Dan ketika mereka (Al-Mahdi serta para pengikutnya) telah sampai di Syam, keluarlah Dajjal. Dan ketika mereka sudah bersiap-siap untuk berperang, mereka berbaris dengan rapi. Tiba-tiba, ketika waktu shalat sudah masuk, turunlah Isa Ibn Maryam AS.”
(HR. Muslim dari Abu Hurairah)
Apakah kita sudah bersedia? Jika teori yang mengatakan bahawa sebuah peristiwa besar akan berlaku pada 2012 ini adalah benar, maka kita hanya mempunyai masa yang teramat suntuk untuk mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu dan iman.
Maka, apakah masih ada jalan yang dapat menyelamatkan kita? Jawapannya, Ada. Tidak lain tidak bukan jawapannya ialah berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah. Dikala ramai dari kita meninggalkan dua pusaka beharga ini, marilah kita yang sedikit ini mengamalkannya seupaya yang boleh.
Tadabbur dan amalkan isi al-Quran, amalkan dan yang lebih penting lagi ialah KAJI sunnah nabi SAW dari sekecil-kecil sunnah hingga ke sebesar-besar sunnah kerana orang yang MENGKAJI dan mengamalkan sunnah nabi SAW sahajalah dia akan berjaya.

Peristiwa Pembukaan Constantinople yang penuh dengan kajian mendalam dan rancangan yang penuh dengan strategi berprofil tinggi.
Mungkin kisah besar ini boleh menjadi pedoman dan tauladan kepada kita bagaimana sinergi ilmu (mengkaji) dan iman itu amat penting dalam menumpaskan musuh.
Jika Islam hanya menekankan perkara-perkara yang berkaitan iman sahaja dalam perjalanan menempuh pelbagai jenis musuh, maka kita boleh menjadikan kisah ekspedisi perang seorang sahabat besar iaitu Abu Ayyub al-Ansari r.hu sebagai tauladan.
Tetapi yang sebenarnya Islam itu menyatupadukan Ilmu dan Iman untuk kita menumbangkan musuh kita walau sebesar manapun musuh kita itu. Maka, kisah Sultan Muhammad al-Fateh patut kita jadikan tauladan kita.
Bagaimana sinergi antara iman (sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera) dan Ilmu (strategi perang yang membuatkan musuh tercengang, dan meriam gergasi yang berjaya merobohkan benteng Constantinople yang berlapis-lapis itu) berjaya membuatkan musuh Islam tumpas.
Ketahuilah, berstrategi dalam bergerak kerja itu adalah suatu sunnah nabi SAW yang sering kita lupakan. Maka, untuk memusnahkan musuh kita yang complicated ini (Dajjal dan kroni-kroninya), sebuah perancangan yang penuh strategi hebat perlu dirangka dan dilaksanakan.
Akhirnya, semuanya kembali kepada Allah yang telah menjadikan peristiwa Hijrah nabi yang penuh strategi sebagai pedoman sepanjang zaman. Wallahua’lam.
10:22 AM | Labels: Hatiku Berbicara | 4 Comments

