Jutawan Klik!!!

"Alangkah Lamanya"

Sedihnya aku apabila melihat keadaan umat Islam sekarang yang semakin jauh dari gaya hidup Islam. Umat Islam sekarang semakin melupakan hakikat kehidupan mereka di dunia yang fana’ ini. Itu pun hanya bagi mereka yang mengetahuinya. Tapi bagaimana pula bagi mereka yang langsung tidak mengetahui hakikat hidupnya kita di dunia ini?


Saban waktu aku merenung diriku dalam-dalam supaya aku dapat mencari sesuatu untuk menenangkan diriku ini yang sering diselaputi dengan resah dan gelisah ekoran gelagat saudara-saudara se a’qidahku yang semakin gemar berenang di lautan kemewahan dan kenikmatan sementara dunia ini.


Apabila aku melihat pelbagai kemungkaran yang berlaku di sekelilingku, aku semakin sedih kerana lemahnya aku untuk mencegah segala kemungkaran ini. Aku berkata demikian kerana diriku sendiri semakin hilang kebencian kepada kemaksiatan di sekelilingku. Aku sudah rimas dengan hanya membenci maksiat dalam hati sahaja. Sampai bila aku mesti membenci maksiat dan kemungkaran dalam hati sahaja?


Apabila aku terus bermuhasabah, mengapa aku masih lagi tidak mampu untuk merancakkan lagi mekanisme perubahan fenomena sonsang umat Islam kini? Maka, apa yang aku dapati bahawa semuanya berpunca dari diriku sendiri.


“Ya, rupanya semuanya silapku. Akulah yang menjadi punca yang melambatkan proses perubahan ini.” Hatiku berkata-kata dengan sayu.


Benarlah apa yang engkau katakan wahai hati. Apabila aku selami kembali diriku ini, aku dapati
rupanya banyak lumpur-lumpur maksiat yang melekat pada dinding diriku ini kerana kemalasanku untuk bertaubat kepadaNya dan kerana kelopak mataku sudah lama kekontangan air mata taubat kepadaNya. Malunya aku kepadaMu ya Allah…


Setiap saat Engkau curahkan nikmatMu kepada hambaMu ini, tetapi hambaMu ini hanya bersyukur kepadaMu pada waktu-waktu tertentu sahaja. Engkau tidak pernah melupakan hambaMu ini dengan terus-menerus mencurahkan rahmatMu, tetapi hambaMu ini seringkali melupakan engkau dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.


Kemestian yang Pasti


“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.”


(Ali-Imran: 185)


Sayu hatiku apabila merunung kalam-kalam mulia ini. Apalah sangat yang boleh kita banggakan dari dunia ini kerana kejayaan yang hakiki hanyalah apabila kejayaan kita meraih redha Allah di sana kelak. Hatiku resah apabila memikirkan kualiti ibadahku yang selama ini aku kerjakan. Adakah solat subuhku setiap hari di masjid? Apakah aku dapat bangkit untuk berqiamullail setiap hari? Hatiku semakin resah memikirkannya apabila merenung kembali tentang kekusyukan solatku.


Apa yang pasti, hatiku sering merungut-rungut apabila imam membaca surah yang panjang apabila menunaikan solat subuh khususnya. Aku semakin tenggelam dalam kesedihan. Bagaimanalah keadaanku di Padang Masyar kelak yang mana sehari di sana bersamaan 50,000 tahun dunia? Sedangkan solat yang memakan masa lebih kurang lima minit pun aku merasakan cukup lama untuk dihabiskan.


Abu Said Al-Khudri telah meriwayatkan satu hadith berkenaan dengan hal ini daripada Rasulullah SAW. Katanya, Rasulullah SAW telah membaca firman Allah yang bermaksud:


“ Malaikat-malaikat dan Jibril naik (mengadap) kepada Tuhan sehari dengan kadarnya lima
puluh ribu tahun.”


Al-Ma’arij : 4


Alangkah lamanya, ” kata para sahabat r.hum apabila mendengar baginda membaca ayat ini. Kemudian Rasulullah SAW menyambung sabdanya untuk mengubati kembali keresahan hati para sahabat dengan sabdanya yang bermaksud:


“ Demi jiwaku yang berada di dalam genggaman Tuhan, sesungguhnya Allah SWT meringankan (tempoh masa di akhirat) bagi orang Mukmin hanya sekadar lama masa bagi tempoh waktu melakukan solat fardhu.”


Bahagianya mereka yang khusuk solatnya. Alangkah daifnya aku apabila menilai kembali mutu solatku yang langsung tidak memuaskan hati. Hatiku bergolak dengan pelbagai masalah duniawi yang tidak habis-habis dan hatiku juga resah memikirkan bermacam-macam perkara semasa aku sedang mengerjakan solat.


Bimbangnya aku apabila memikirkan perjalanan hidupku di Masyar kelak. Berapa lamakah aku di sana kelak? Takutnya aku ya Allah apabila memikirkannya…


“Ya Allah, peliharalah aku dari kekacauan Hari Akhirat kelak.” Hatiku berdoa dengan penuh khusyuk…


WALLAHU A’LAM…

1 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum..
hm..post ni buat saya kembali muhasabah diri..betapa nikmatnya kekhusyukan dlm solat..pernah dirasa tapi kini kian sukar mencari kekhusyukan itu..mungkin disebabkan kotornya hati ini dgn maksiat dan karat mazmumah..doa saya semoga kita sama2 diberi peluang untuk merasakan kembali nikmat khusyuknya dlm pengabdian kita padaNya dgn bermujahadah mensucikan hati kita untuk mencapai redhaNya...amin..