Jutawan Klik!!!

Kepemudaan Seorang Mahasiswa

Tidak perlu disangsikan lagi, bahawa di setiap peredaran zaman pasti akan ada waktu kebangkitan. Di setiap waktu kebangkitan pula pasti akan ada pendokongnya. Tidak perlu disangkal lagi, pendokong suatu kebangkitan itu ialah dari generasi petengahan umur iaitu generasi pemuda. Suatu generasi yang menjadi pemangkin utama idealisme perubahan, generasi yang menjadi sumber terpenting kepada suatu peralihan era dan generasi yang mempunyai cita-cita yang tinggi menggapai langit.

Dulu, Islam bangkit dengan adanya para pemuda yang telah mewakafkan seluruh hidupnya untuk Islam. Dalam usia belasan tahun, sahabat Nabi SAW yang masih sebegini muda diberi kepercayaan yang cukup besar untuk melakukan sesuatu tugas walaupun di kalangan para sahabat r.hum ketika itu ramai yang lebih tua yang sepatutnya lebih layak untuk memikul suatu taklifan. Tetapi bukan usia yang Nabi SAW pandang, tetapi apa yang Nabi SAW perhatikan ialah jiwa kepemudaan, semangat yang tinggi menggunung, kekuatan mental dan fizikal mereka dan yang pasti ialah keimanan dan ketaqwaan yang begitu telus yang dimiliki oleh para pemuda di era itu.

Tetapi perlu diingat, generasi ini boleh juga digunakan untuk tujuan kejahatan. Maka, banyaklah tangan-tangan yang merebut kuasa para pemuda untuk dijadikan barisan hadapan dalam perjuangan jahat mereka. Maka, generasi emas ini perlu diasuh dan dididik supaya golongan ini sentiasa berada di landasan matlamat yang lurus menuju redha ilahi.

Lihatlah fenomena pemuda Islam sekarang, sebahagian besarnya telah terkena jerat duniawi yang menyebabkan para pemuda Islam jatuh tersungkur menyembah dunia. Maka tidak hairanlah jika Islam semenjak kejatuhan khilafah Islam terakhir berada di bawah tapak kaki musuh Islam kerana kita tidak mempunyai tenaga penggerak yang mencukupi untuk menguatkan kembali jentera Islam.

Jadi, mahu tidak mahu, perlunya kita menguatkan kembali saf pemuda Islam untuk melakukan qawamah (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia ini supaya pimpinan umat ini dapat ditukar kepada pimpinan Islam daripada pimpinan jahiliyyah agar segala ruang lingkup hidup kita seperti pemikiran, perundangan dan akhlak dapat dibersihkan dari kotoran najis jahiliyyah.

Malah manhaj Islam itu sendiri bertujuan mengembalikan ubudiyyah manusia hanya kepada Allah taala semata-mata dalam segala ruang lingkup kehidupan kita sepertimana kata-kata Panglima Rubi’e bin ‘Amir kepada Rustam, ketua angkatan tentera Parsi, apabila ditanya sebab kemaraan tentera Islam:

“Allah mendatangkan kami bagi mengeluarkan hamba-hamba (manusia) supaya menjadi hamba kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dari kesempitan dunia kepada dunia yang lebih luas. Dari kezaliman beragama keada keadilan Islam. Maka kami diutuskan dengan agama Allah kepada makhluk-Nya untuk menyeru mereka kepada Allah. Maka barangsiapa yang menerima, kami menerima mereka dan tinggalkan mereka di tanah air mereka dan sesiapa yang enggan, kami perangi sehinggalah kamu menyahut seruan Allah yang dijanjikan.”

Mahasiswa Peberontak?


Seringkali terdengar dan terbaca oleh kita bahawa mahasiswa yang berdemonstasi di jalanan adalah mahasiswa yang kurang bijak menggunkan peluang yang ada, mahasiswa yang suka menyalahkan pihak atasan semata-mata, mahasiswa yang anti-pembangunan dan banyak lagi title yang dilabelkan kepada mahasiswa.

Apabila timbul isu suara mahasiswa disekat, maka mereka mengatakan bahawa mahasiswa sekarang telah dibenarkan menyertai NGO. Apabila timbul pula isu mahasiswa memandang serong kepada pihak atasan (HEP) iaitu hanya nampak yang buruk sahaja, maka mereka mengatakan bahawa HEP telah banyak menolong pelajar dari segi perkhidmatan pelajar khususnya.

Di sinilah perkara yang perlu kita berikan perhatian. Mahasiswa ialah golongan intelektual yang bakal menerajui tampuk pimpinan negara di masa akan datang. Jika mahasiswa terus disekat dari menyuarakan pandangan, bangkangan dan kritikan mereka terhadap dasar-dasar yang diputuskan kerajaan dan pimpinan-pimpinan negara yang menyeleweng seperti ISA, PPSMI dan isu pemimpin negara yang korupsi maka sampai bila mahasiswa akan menjadi mahasiswa yang matang?

Tidak perlu dirisaukan, mahasiswa bersikap non-partisan. Maka, mahasiswa tidak sesekali berminat dengan jawatan-jawatan dalam kerajaan. Apa yang mahasiswa mahukan ialah jangan sekat mahasiswa dari berpolitik. Itu sahaja.

Jadi, dari sudut apakah lagi kerajaan mahu mencari alasan untuk menghalang mahasiswa dari bergiat cergas dalam berpolitik? Hanya golongan yang berkepentingan dan mempunyai pelbagai penyelewengan sahaja yang suka menggunakan undang-undang untuk menyekat sebarang aktiviti dan tindakan yang boleh menyebabkan rahsia mereka bocor.

Maka bolehlah kita katakan bahawa mahasiswa yang berjiwa kepemudaan adalah di antara golongan yang membawa obor kebenaran untuk menerangkan ruang lingkup yang penuh kebatilan dan kezaliman. Hanya yang penakut sahaja yang berusaha memadamkan api obor ini. Tetapi api obor ini tidak akan sesekali padam kerana ia sentiasa dijaga oleh “tuan” kepada obor ini supaya golongan yang memerlukan cahaya sentiasa tersuluh hidupnya dengan cahaya hidayah Allah SWT.

Kebenaran pasti tertegak dan kezaliman pasti akan runtuh dengan hinanya nanti, insyaAllah...

Wallahu a’lam.

0 comments: