Jutawan Klik!!!

Kepemudaan Seorang Mahasiswa

Tidak perlu disangsikan lagi, bahawa di setiap peredaran zaman pasti akan ada waktu kebangkitan. Di setiap waktu kebangkitan pula pasti akan ada pendokongnya. Tidak perlu disangkal lagi, pendokong suatu kebangkitan itu ialah dari generasi petengahan umur iaitu generasi pemuda. Suatu generasi yang menjadi pemangkin utama idealisme perubahan, generasi yang menjadi sumber terpenting kepada suatu peralihan era dan generasi yang mempunyai cita-cita yang tinggi menggapai langit.

Dulu, Islam bangkit dengan adanya para pemuda yang telah mewakafkan seluruh hidupnya untuk Islam. Dalam usia belasan tahun, sahabat Nabi SAW yang masih sebegini muda diberi kepercayaan yang cukup besar untuk melakukan sesuatu tugas walaupun di kalangan para sahabat r.hum ketika itu ramai yang lebih tua yang sepatutnya lebih layak untuk memikul suatu taklifan. Tetapi bukan usia yang Nabi SAW pandang, tetapi apa yang Nabi SAW perhatikan ialah jiwa kepemudaan, semangat yang tinggi menggunung, kekuatan mental dan fizikal mereka dan yang pasti ialah keimanan dan ketaqwaan yang begitu telus yang dimiliki oleh para pemuda di era itu.

Tetapi perlu diingat, generasi ini boleh juga digunakan untuk tujuan kejahatan. Maka, banyaklah tangan-tangan yang merebut kuasa para pemuda untuk dijadikan barisan hadapan dalam perjuangan jahat mereka. Maka, generasi emas ini perlu diasuh dan dididik supaya golongan ini sentiasa berada di landasan matlamat yang lurus menuju redha ilahi.

Lihatlah fenomena pemuda Islam sekarang, sebahagian besarnya telah terkena jerat duniawi yang menyebabkan para pemuda Islam jatuh tersungkur menyembah dunia. Maka tidak hairanlah jika Islam semenjak kejatuhan khilafah Islam terakhir berada di bawah tapak kaki musuh Islam kerana kita tidak mempunyai tenaga penggerak yang mencukupi untuk menguatkan kembali jentera Islam.

Jadi, mahu tidak mahu, perlunya kita menguatkan kembali saf pemuda Islam untuk melakukan qawamah (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia ini supaya pimpinan umat ini dapat ditukar kepada pimpinan Islam daripada pimpinan jahiliyyah agar segala ruang lingkup hidup kita seperti pemikiran, perundangan dan akhlak dapat dibersihkan dari kotoran najis jahiliyyah.

Malah manhaj Islam itu sendiri bertujuan mengembalikan ubudiyyah manusia hanya kepada Allah taala semata-mata dalam segala ruang lingkup kehidupan kita sepertimana kata-kata Panglima Rubi’e bin ‘Amir kepada Rustam, ketua angkatan tentera Parsi, apabila ditanya sebab kemaraan tentera Islam:

“Allah mendatangkan kami bagi mengeluarkan hamba-hamba (manusia) supaya menjadi hamba kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dari kesempitan dunia kepada dunia yang lebih luas. Dari kezaliman beragama keada keadilan Islam. Maka kami diutuskan dengan agama Allah kepada makhluk-Nya untuk menyeru mereka kepada Allah. Maka barangsiapa yang menerima, kami menerima mereka dan tinggalkan mereka di tanah air mereka dan sesiapa yang enggan, kami perangi sehinggalah kamu menyahut seruan Allah yang dijanjikan.”

Mahasiswa Peberontak?


Seringkali terdengar dan terbaca oleh kita bahawa mahasiswa yang berdemonstasi di jalanan adalah mahasiswa yang kurang bijak menggunkan peluang yang ada, mahasiswa yang suka menyalahkan pihak atasan semata-mata, mahasiswa yang anti-pembangunan dan banyak lagi title yang dilabelkan kepada mahasiswa.

Apabila timbul isu suara mahasiswa disekat, maka mereka mengatakan bahawa mahasiswa sekarang telah dibenarkan menyertai NGO. Apabila timbul pula isu mahasiswa memandang serong kepada pihak atasan (HEP) iaitu hanya nampak yang buruk sahaja, maka mereka mengatakan bahawa HEP telah banyak menolong pelajar dari segi perkhidmatan pelajar khususnya.

Di sinilah perkara yang perlu kita berikan perhatian. Mahasiswa ialah golongan intelektual yang bakal menerajui tampuk pimpinan negara di masa akan datang. Jika mahasiswa terus disekat dari menyuarakan pandangan, bangkangan dan kritikan mereka terhadap dasar-dasar yang diputuskan kerajaan dan pimpinan-pimpinan negara yang menyeleweng seperti ISA, PPSMI dan isu pemimpin negara yang korupsi maka sampai bila mahasiswa akan menjadi mahasiswa yang matang?

Tidak perlu dirisaukan, mahasiswa bersikap non-partisan. Maka, mahasiswa tidak sesekali berminat dengan jawatan-jawatan dalam kerajaan. Apa yang mahasiswa mahukan ialah jangan sekat mahasiswa dari berpolitik. Itu sahaja.

Jadi, dari sudut apakah lagi kerajaan mahu mencari alasan untuk menghalang mahasiswa dari bergiat cergas dalam berpolitik? Hanya golongan yang berkepentingan dan mempunyai pelbagai penyelewengan sahaja yang suka menggunakan undang-undang untuk menyekat sebarang aktiviti dan tindakan yang boleh menyebabkan rahsia mereka bocor.

Maka bolehlah kita katakan bahawa mahasiswa yang berjiwa kepemudaan adalah di antara golongan yang membawa obor kebenaran untuk menerangkan ruang lingkup yang penuh kebatilan dan kezaliman. Hanya yang penakut sahaja yang berusaha memadamkan api obor ini. Tetapi api obor ini tidak akan sesekali padam kerana ia sentiasa dijaga oleh “tuan” kepada obor ini supaya golongan yang memerlukan cahaya sentiasa tersuluh hidupnya dengan cahaya hidayah Allah SWT.

Kebenaran pasti tertegak dan kezaliman pasti akan runtuh dengan hinanya nanti, insyaAllah...

Wallahu a’lam.

Sambungan..

Antara Lab Manual dan Al-Quran

Semester kali ini, sekali lagi Allah telah takdirkan saya untuk berada di dalam makmal untuk menjalani satu tugas baru dan yang terakhir untuk pelajar tahun akhir iaitu Projek Tahun Akhir. Walaupun hati ini tidak berapa menyukai untuk “terperangkap” di dalam makmal, tetapi, kepasrahan diri ini kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui baik dan buruk sesuatu perkara menjadi pengubat kepada diri ini.

Selain dari itu, keredhaan Allah itulah yang lebih utama untuk dicari dengan menerima segala ketetapannya dengan rela hati, bukan dengan marah dan lain-lain perasaan yang tidak elok yang memenifestasikan masalah iman kita kepada Allah SWT.

Maka sekali lagi, diri ini “terpaksa” membelek laboratory manual untuk diingati kembali. Bukan apa, amatlah sombong sekiranya kita berada di dalam makmal tetapi tidak mengikut ketetapan di dalamnya kerana ia boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Begitu jugalah kita yang sedang berada di atas pentas kehidupan ini. Untuk menghindarkan diri dari bahaya, derita dan yang sewaktu dengannya, maka ketetapan ataupun undang-undang Allah SWT mesti dijadikan panduan untuk hidup di dunia ini. Dengan kata lain, kita melakukan apa yang diperintahkan dan meninggal apa yang dilarang.

Segala hal perihal undang-undang Allah telah dimuatkan di dalam sebuah “buku” yang tiada tolok tandingannya iaitu al-Quran. Jika difahami, dihayati dan diamalkan dengan penuh keikhlasan, maka kejayaan menanti kita di dunia dan di akhirat.

Antara kecuaian yang paling besar dilakukan oleh orang Islam sekarang ialah al-Quran hanya dijadikan ayat untuk menjampi air, melagukan ayat al-Quran dan tidak ketinggalan juga yang menggantung ayat al-Quran di dinding sekadar untuk hiasan dan barang kali untuk menghalau syaitan.

Jika ini sahaja yang kita amalkan dari al-Quran, maka hanya manfaat ini sahajalah yang kita dapat daripadanya. Jika faedah yang kecil-kecil sahaja yang kita ambil daripadanya, maka hanya itu sahajalah yang kita dapat.

Alangkah ruginya kita, al-Quran diturunkan kepada umat Muhammad SAW dengan jaminan sesiapa yang mengamalkan ajaran Islam keseluruhannya, maka kejayaan menantinya di dunia dan akhirat. Alangkah ruginya kita, “ubat al-Quran” yang berada di depan mata kita yang hanya menunggu untuk dihayati dan diamalkan dan diaplikasikan untuk mengubati penyakit umat, disimpan di tempat yang tinggi dan di dalam laci sehingga berhabuk dan bersawang.

Apabila al-Quran “dikurung” di dalam laci dan “di menara tinggi”, maka terkurunglah juga hak-hak yang patut kita berikan kepada saudara-saudara se-Islam kita seperti di Selatan Thai, Palestin, Mindanao, Iraq dan umat Islam Uighur di wilawah xingiang sana.

Jika di zaman Islam dijulang dahulu, apabila seorang Muslim teranainya, maka segerombolan tentera Islam datang menuntut bela di atas kesengsaraan seorang Muslim tersebut. Tetapi tidak lagi sekarang, walaupun sudah beratus ribu atau sudah mencapai angka juta orang Islam dibunuh dan diseksa, kurang atau tiada langsung seorang atau sekumpulan Muslim yang mempunyai kemampuan dari segi kuasa politik tampil ke hadapan menuntut bela di atas segala musibah ini.

Di kala umat Islam dibunuh dan diseksa, kita di sini bagaikan tidak mengetahui langsung apa yang berlaku kepada saudara Muslim kita di luar sana bagaikan dunia ini aman sentosa tiada peperangan dan keganasan terhadap kaum Muslimin.
Ya, Malaysia memang sebuah Negara yang “aman” lagi “tenteram” dengan pelbagai kemungkaran yang semakin menjadi-jadi dan begitu membimbangkan. Masakan tidak, pemimpin Negara ini bagaikan tidak menyedari bahaya murka Allah sedang menunggu di depan mata mereka. Tetapi apa yang mereka risaukan ialah momentum kebenaran Islam yang sedang memecut laju ke cita-citanya dan mukmin yang setia mendokong gagasan cita-cita agama yang mulia ini.

Inilah realiti sebenar kita, kebatilan dijulang dan kebenaran ditenggelam. Ini semua berlaku apabila sistem yang menguasai hidup kita dikuasai oleh orang yang bukan ahlinya iaitu pengamal-pengamal ajaran sesat seperti sekularisme, liberalisme, sosialisme dan semua isme yang lain dari Islam yang sempurna lagi menyempurnakan.

Janganlah sesekali kita jadikan al-Quran sebagai “lirik lagu”, ayat jampi, ayat untuk digantung di dinding. Ini terlalu kecil peranannya untuk dibandingkan dengan al-Quran. Bukan untuk ini al-Quran diturunkan. Tetapi al-Quran diturunkan adalah untuk diamal isinya.

Wallahu a’lam...



Sambungan..

Awasilah Ghurur

Ghurur adalah suatu sifat yang menipu pemiliknya. Dia adalah suatu kebodohan yang membuat seseorang menilai sesuatu yang jelik sebagai suatu yang baik dan kesalahan sebagai suatu kebenaran. Demikianlah dijelaskan oleh ibnul jauzi di dalam bukunya Tablis Iblis. Sifat ini muncul kerana syubhah atau kerosakan pemikiran yang membuatnya salah di dalam menilai. Iblis pun masuk untuk menggoda manusia seukuran kemampuannya dan akan semakin mantap cengkamannya terhadap seseorang atau semakin lemah seiring dengan ukuran kesedaran atau kelalaian orang tersebut, juga sekadar keilmuaannya. Demikian beliau jelaskan di dalam kitab tersebut.

Mereka-Mereka yang Terkena Penyakit Ini

Orang kafir dan munafik

Firman Allah SWT: “Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang mukmin) seraya berkata: ‘Bukankah kami dahulu bersama-sama dengan kamu?’ Mereka menjawab: ‘Benar, tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri dan menunggu (kehancuran kami) dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah ; dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu’.” (Al-Hadid: 14)

Yakni kalian tertipu oleh syaitan sehingga kalian tidak mengagungkan Allah SWT dengan seagung-agungnya. Sehingga kalian tidak mengetahui kekuasaan Allah SWT terhadap kalian. Akhirnya kalian pun mengira bahawa Allah SWT tidak mengetahui kebanyakan daripada apa yang kalian lakukan. (Zubdatut Tafsir)

Allah SWT juga menerangkan tentang keadaan orang kafir yang tertimpa ghurur sehingga tertipu oleh gemerlapnya kehidupan dunia.

“ Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat.” (Al-Jatsiyah: 35)

Orang yang Berilmu tetapi tidak beramal

Orang-orang yang berilmu juga tidak terlepas dari penyakit yang menggerunkan ini. Di antara orang yang berilmu ini adalah mereka yang mendalami ilmu agama tetapi mereka lalai dari mengawasi anggota badan mereka daripada melakukan perkara maksiat serta lalai menekankan diri mereka agar sentiasa taat.

Golongan ini tertipu dengan ilmu mereka sendiri dan menyangka bahawa mereka mendapat tempat di sisi Allah SWT. Jika mereka kembali melihat kepada ilmu mereka, pasti mereka akan mengetahui bahawa ilmu mestilah disinergikan dengan amal supaya ilmu yang telah dikutip sebelum ini tidak sia-sia.

Orang yang berilmu dan beramal

Ada pula di kalangan umat Islam yang menekuni ilmu dan telah menghiasi dirinya dengan amal lahiriah. Tetapi sayangnya mereka tidak mengawasi hati mereka dari penyakit-penyakit hati seperti sombong, hasad dengki, riya’ dalam beramal, mencari populariti dan ingin menjadi lebih hebat dari orang lain.

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak meihat kepada menampilan-penampilan dan harta benda kalian. Akan tetapi melihat kepada hati dan amal kalian.” (Shahih, HR. Muslim dan Ibnu Majah dari sahabat Abu Hurairah r.a)

Orang yang sedar, tapi buat-buat tak sedar

Sekumpulan yang lain pula menyedari akan sifat-sifat keji lagi mungkar ini tetapi disebabkan sikap bangga diri yang tersimpan dalam diri mereka, mereka berasa aman dan telah bebas dari sifat-sifat tercela itu. Bahkan, menurut mereka, golongan yang tertimpa dengan sifat-sifat keji itu hanyalah mereka yang masih awam.

Bila muncul dalam diri mereka percikan kesombongan, mereka pun mengatakan ke dalam diri mereka, ‘Ini bukan sombong. Bahkan ini adalah demi kemuliaan agama dan untuk menampakkan kemuliaan ilmu, serta merendahkan ahli bidaah’. Enggan berteman dengan orang lemah, hanya mahu dengan orang yang berpangkat atau berduit, berasa hina bila berteman dengan kaum yang lemah.

Golongan ini terlupa bahawa Nabi SAW dan para sahabatnya adalah orang-orang yang tawadhuk. Mereka bergaul dengan kaum dhuafa, bahkan mereka mengutamakan kefakiran dan kemiskinan.

Sekelompok yang lain pula apabila terkana jangkitan ghurur, mereka mencari kesenangan dunia, kemuliaan, kemudahan, kecukupan dengan memperalatkan penampilan kealiman dan kesahihannya. Bila muncul percikan riya’, dia pun mengatakan dalam dirinya: ‘Saya hanya bermaksud menampakkan ilmu dan amal agar orang mengikuti saya, agar orang mendapat hidayah kepada ajaran ini.’

Jika benar mereka ingin menunjukkan jalan kepada hidayah Allah kepada manusia, tentu sahaja dia merasa senang ketika manusia mendapat hidayah melalui selain tangannya. Ini kerana, sesiapa sahaja yang tujuan dakwahnya adalah untuk memperbaiki manusia, maka dia merasa senang ketika manusia menjadi baik melalui tangan sesiapa pun.

Orang yang berilmu, beramal dan mengawasi hati

Mereka adalah sekelompok manusia yang mendalami ilmu, membersihkan dan menjaga amal mereka serta mengawasi hati mereka dari sifat sombong, riya’ dan hasad. Tetapi masih ada sedikit tipu daya syaitan dan tipu daya jiwanya yang tersembunyi di ruang-ruang kecil di hatinya. Bahkan, dia tidak sedar kewujudannya.

Apabila dilihat, mereka ini bersungguh-sungguh dalam beramal sehingga memandang bahawa faktor pendorongnya adalah menegakkan agama Allah SWT. Tetapi pada kenyataannya terkadang pendorongnya adalah mengharap sebutan orang terhadapnya. Sehingga terkadang muncul sikap merendahkan yang lain melalui sikapnya menyalah-nyalahkan yang lain dan berasa dirinya lebih mulia dari yang lain.

Sumber: Majalah i keluaran Julai 2009, m/s 28, bahagian bakalan pendakwah.

Sambungan..

7 Wasiat Rasulullah SAW Kepada Kita


Mencintai orang miskin


Islam menganjurkan umatnya supaya prihatin kepada orang-orang miskin di kalangan kita. Banyak contoh tauladan yang boleh diambil dari lembaran sejarah yang menunjukkan Islam benar-benar menggalakkan umatnya membantu orang yang miskin seperti kisah Rasulullah SAW dengan seorang yahudi tua. Dari kalangan sahabat nabi SAW pula, kita boleh bertemu dengan kisah Umar Al-Khattab yang terkenal dengan sikap mesra rakyatnya.

Sebuah hadith dari Rasulullah SAW ini boleh dijadikan ikhtibar kepada kita betapa besarnya fadhilat yang Allah berikan kepada orang yang membantu orang yang berada dalam kesusahan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang menghilangkan satu kesusahan dunia dari seorang Muslim, Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di hari kiamat. Dan barangsiapa yang memudahkan kesulitan orang yang dibebani hutang, Allah akan memudahkan baginya di dunia dan di akhirat.” (Riwayat Muslim)

Melihat orang yang lebih rendah kedudukannya dalam hal metarial dunia

Rasulullah SAW memerintahkan kepada kita supaya melihat orang di bawah kita dalam konteks harta. Ini kerana, ia dapat menjadikan kita sentiasa bersikap qonaah (merasa cukup dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita). Dengan kata lain, ia dapat mengelakkan kita dari membazir dan menjadikan kita seorang yang bersyukur dengan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.

“Lihatlah kepada orang yang berada di bawahmu dan janganlah melihat orang yang berada di atasmu, kerana hal demikian lebih patut agar kalian tidak meremehkan nikmat Allah yang telah diberikan kepadamu…” (riwayat Muttafaqun alaihi)

Tetapi sebaliknya dalam hal agama, ilmu, ibadah dan ketaqwaan kita seharusnya melihat kepada orang yang lebih atas daripada kita seperti orang-orang yang soleh, para shuhada’, ulama’, nabi dan rasul. Janganlah pula kita mengikut “orang-orang di bawah kita" seperti para artis, pemimpin yang korupsi dan orang yang sombong terhadap undang-undang yang telah ditetapkan Allah SWT.

Menyambung silaturahim kepada kaum kerabat

Islam juga menganjurkan umatnya supaya sentiasa menghubungkan silaturahim antara kaum kerabat dan yang lebih penting lagi antara orang Islam. selain itu, salah satu sifat orang yang beriman ialah sentiasa menghubungkan silaturahim. Malah, fadhilat bagi seorang Muslim yang menyambungkan silaturahim ini begitu besar sekali diberikan oleh Allah kelapangan rezeki dan umur yang panjang. Bahkan bagi mereka yang mengabaikan silatulrahim, Allah sempitkan hartanya, tidak memberi berkat umurnya dan tidak akan dimasukkan ke dalam syurga.

Memperbanyakkan ucapan ‘La haula walaa quwwata illa billah’

Rasulullah SAW memerintahkan umatnya supaya memperbanyakkan membaca ‘La haula walaa quwwata illa billah’ kerana ucapan ini sebenarnya mengandungi makna yang cukup besar iaitu kebergantungan atau kawakkal kita kepada Allah SWT. Apabila kita bertawakkal kepada Allah, bermakna kita percaya bahawa hanya dengan kuasa Allah sahaja sesuatu perkara yang kita lakukan itu akan memperolehi keberkatan daripadaNya. Malah, bagi mereka yang sentiasa bertawakkal kepada Allah dalam segala urusannya, maka ini bermakna seseorang itu tidak menyombong diri kepada Allah.
Antara kelebihan kalimat ini ialah seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Ya Abdullah bin Qois, mahukah aku tunjukkankepadamu atas perbendaharaan dari perbendaharaan syurga? Iaitu ‘La haula walaa quwwata illa billah’ (riwayat Muttafaqun alaihi)

Berani mengatakan kebenaran walaupun pahit

Pada waktu ini tidak ramai yang mampu mengatakan kebenaran di saat umat Islam semakin hanyut ke arah kebinasaan seperti melakukan perkara-perkara syirik, haram, bidaah dan mungkar. Malah, di akhir zaman ini, semakin ramai pula orang Islam temasuk ahli agama sendiri mendokong pemimpin-pemimpin yang terang-terangan membuat perkara keji dan mungkar sehingga menyebabkan banyak penyelewengan dan kerosakan berlaku di sekeliling kita. Ini semua terjadi kerana semakin ramai orang Islam
(termasuk ahli agama) tunduk kepada kehendak duniawi sehingga mengabaikan perintah Allah SWT yang menyeru umat Islam supaya tidak tunduk kepada kezaliman dan kebatilan.

Tidak takut celaan dalam berdakwah

Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa sesiapa yang berdakwah menyeru manusia ke arah kebenaran pasti akan ditentang oleh pihak yang sombong dan angkuh terhadap kebenaran. Maka, tidak hairanlah sekarang jika kita melihat pihak yang begitu istiqamah berdakwah menyeru kepada kebenaran pasti ditentang habis-habisan oleh pihak yang begitu tidak menyukai kebenaran iaitu ISLAM tertegak di bumi ini. Maka jalan seperti cercaan, penindasan, fitnah dan banyak lagi dijadikan medium untuk melumpuhkan pendokong yang menyeru ke arah kebenaran ini. Maka, janganlah sesekali kita takut dan berputus asa untuk menghadapi segala mehnah ini. Firman Allah: “Orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan tidak berasa takut dengan sesiapapun selain Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pembuat perhitungan” (Al-Ahzab: 39)

Tidak suka meminta-minta kepada orang lain

Orang yang dicintai Allah, rasul dan manusia adalah orang yang tidak meminta-minta. Mereka lebih suka berusaha mencari rezeki sendiri tanpa meminta-minta bantuan dari orang lain. Sabda nabi SAW: “Sungguh, seseorang dari kamu mengambil tali, lalu membawa seikat kayu, kemudian menjualnya, sehingga dengannya Allah menjaga kehormatannya. Itu lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada manusia” (Riwayat Bukhari).

Sambungan..

Semasa Praktikalku...

Usai sudah praktikalku. Sudah hampir seminggu aku meninggalkan Mardi Kuala Kangsar. Tetapi masih teringat di fikiranku rutin harianku setiap hari semasa aku berpraktikal. Bukan setakat itu sahaja, saya juga masih teringat bagaimana cara berkomunikasi dengan pekerja-pekerja lain yang sememangnya lebih tua dari saya. Bagaimana pula hendak berkomunikasi dengan staf- staf atasan yang sememangnya lebih tinggi “maqam” mereka dari saya. Dengan kata lain, apa yang saya alami itu semuanya bersangkut paut dengan “ilmu komunikasi untuk menjadi insan yang menarik”.

“Kenapa teruk sangat laporan awak ni ?!, kamu buat tergopoh-gapah ni. Isi kandungan tak de, bla bla bla….” Tanya penyeliaku dengan suara yang agak tinggi sedikit. Sebenarnya saya sudah agak yang saya bakal dimarahi kerana saya sendiri pun tahu laporan praktikal yang saya buat tu memang teruk. Maka saya sudah “bertawakkal” awal-awal sebelum saya dipanggil oleh penyelia saya itu. Sebenarnya, sudah banyak kali saya mengalami peristiwa “laporan yang tidak memuaskan.” Cuma kali ini saya mendapat sedikit imbuhan tambahan hasil kerja yang tidak sempurna iaitu dimarahi dengan penyeliaku. Inilah kali pertama saya dimarahi kerana laporan yang tidak memuaskan.

Tetapi, ada suatu kata-katanya yang menyebabkan saya benar-benar rasa sedikit terkesan ketika penyeliaku, Encik Zahidi menasihatiku, katanya:

“Kalau awak buat report tu buatlah elok-elok. Nanti bolehlah saya letakkan report awak di library Mardi nanti. Bila ada student praktikal lain refer awak punya laporan, awak juga yang dapat pahala.” Terkejut juga saya dibuatnya. Disebabkan itu, secara tidak langsung penyeliaku ini telah memberitahuku suatu yang amat penting iaitu berkenaan “Ihsan di dalam pekerjaan kita seharian.”

Inilah ramuan yang selama ini saya dan kebanyakan dari kita terlepas pandang. Sebelum ini aku hanya mempraktikkannya di dalam solat. Itupun masih belum berjaya sepenuhkan tetapi kali ini perlunya kita aplikasikannya di dalam segala amal kita sehari-harian. Supaya apa yang kita buat dapat membuahkan hasil yang lebih berkualiti. Allah SWT menyukai jika kita melakukan sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh.

Selepas solat jumaat…

Semasa berlansungnya Agrofest di Sungai Siput, Mardi Kuala Kangsar telah membuka sebuah gerai menjual benih dan anak pokok. Disebabkan waktu praktikalku yang masih belum tamat, maka secara automatiknya saya menjadi juru jual pula. Takpe la, pengalaman punya pasal. Maka saya pun menjual la.

Agrofest negeri Perak diadakan selama 4 hari bermula hari khamis hingga hari Ahad. Kebetulan semasa hari jumaat tersebut saya dengan seorang pegawai Mardi Kuala Kangsar yang bernama Encik Salmizi bersama ke Masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat.

Semasa di dalam keretanya selepas solat Jumaat, beliau bertanya kepadaku…

“Awak tau tak untung gerai Mardi berapa semalam (hari Khamis)?” Tanya beliau.

“Entah la encik, berapa encik?” soalku balik kepadanya.

“Awak yang duduk kat gerai pun tak tahu. Saya tahu. Macam mana nak jadi pegawai nanti.” Sindirnya kepada aku.

“ semalam kita dapat 1000 lebih. Awak kalau jadi pegawai nanti awak kena ambil tahu hal-hal di bawah awak. Ambil tahu sikit pun jadi la. Nanti bila orang tanya, kita boleh jawab.” Tambahnya lagi.

“Betul jugak ya.” Kataku sebagai tanda kurangnya aku dari sudut ini. Inilah sudut pandang orang atasan… Orang atasan yang prihatin. Itu yang terbaik.

Semoga kita boleh menjadi seperti ini walaupun kita bukanlah seorang yang berpangkat tinggi. Untuk menjadi seorang yang penting, menarik dan prihatin tidak semestinya kita perlu menjadi seorang yang berpangkat. Memadai jika kita berkhidmat kepada orang di sekeliling kita sedaya upaya kita.

Kisah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Abu Zar r.hu boleh dijadikan tauladan kepada kita. Ketika mana beliau menolak segala kenikmatan dunia hatta jawatan yang tinggi pun ditolaknya, tetapi lidahnya tidak pernah diam dari mengatakan kebenaran di hadapan pegawai yang telah mula menghimpunkan harta sehingga mengabaikan rakyat jelata seperti pada zaman pemerintahan khalifah Uthman r.hu. Sehinggakan beliau mendapat sanjungan yang tinggi oleh masyarakat sekeliling ke mana sahaja beliau pergi kerana keberaniannya dalam mengatakan kebenaran.

Semoga kita dalam menjadi seperti beliau.

Wallahu a’lam…

Sambungan..