Hijrah, apakah itu hijrah? Adakah sekadar berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat? Atau sekadar suatu hari cuti dan sambutan Maal Hijrah yang diadakan setiap tahun? Atau anda mempunyai definisi lain tentang hijrah?
Secara ringkasnya, hijrah bermaksud transformasi. Perubahan dari suatu peringkat ke suatu peringkat yang lebih baik. Analoginya adalah seperti seekor rama-rama. Sebelum rama-rama terbang bebas, rama-rama berada di dalam kepompong atau pun pupa. Pada periingkat ini rama-rama masih lagi tidak boleh terbang hatta untuk bergerak pun tidak mampu. Tetapi apabila masa bergerak ke hadapan, maka rama-rama yang pada awalnya berada pada peringkat pupa mula membesar dan mampu terbang di bebas di angkasa.
Di dalam sirah telah tercatat bagaimana umat Islam yang dahulunya lemah serta kecil bilangannya, kemudian menjadi umat yang gagah perkasa sehingga empayar gergasi seperti Rumawi dan Parsi berada di bawah tapak kaki orang Islam.
Di dalam sirah juga ada tercatat bagaimana umat Islam yang pada awalnya dianuti kebanyakan dari golongan yang lemah lagi hina, kemudiaannya menjadi figure-figure penting dalam kebangkitan Islam semasa di zaman Rasulullah SAW.
Maka bolehlah difahami bahawa hijrah itu bukanlah suatu peristiwa yang remeh yang boleh dipandang sebelah mata, tetapi hijrah memerlukan kita untuk bangkit dari “peringkat pupa” ke “peringkat terbang di angkasa.”
Untuk melaksanakan transformasi hijrah yang mampu mengubah umat Islam yang lemah kepada umat yang hebat lagi digeruni, ia memerlukan beberapa langkah gergasi setaraf dengan matlamat yang ingin dicapai.
Langkah yang pertama, untuk memulakan hijrah yang agung ini, umat Islam perlulah menguasai ilmu pengetahuan. Seperti yang diketahui, isi yang terkandung dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada baginda SAW adalah berkenaan menuntut ilmu, ataupun dengan kata yang lebih dinamik ialah “break the code” ataupun mengkaji sesuautu ilmu itu.
Langkah yang kedua pula ialah, kita mestilah menggunakan acuan yang tepat lagi sesuai untuk melakukan rentak hijrah kita. Maka acuan yang paling sesuai untuk digunakan ialah acuan al-Quran dan as-Sunnah. Ringkasnya, ilmu yang digali dan dikaji oleh kita perlulah berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Maka, hasil dari acuan yang betul ini, ia akan dapat melahirkan muslim yang professional di dalam bidang tertentu dan dalam masa yang sama ia dapat mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui bidangnya itu. Contohnya, seorang pegawai pertanian yang pakar dalam bidang pengurusan ladang dan dalam masa yang sama ia dapat menerapkan nilai Islam dalam professionnya seperti mengurangkan penggunaan racun kimia dan menjaga kebersihan ladang. Tuntasnya, acuan al-Quran dan as-Sunnah ini mampu mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui professionnya.
Langkah yang ketiga ialah, hijrah kita mestilah hijrah yang syamil dan kamil. Dengan kata lain, hijrah yang kita hendak lakukan ini ialah hijrah yang menumpukan kepada perkara-perkara besar, bukan perkara-perkara kecil. Untuk melakukan hijrah yang bertaraf mega ini, ia memerlukan usaha yang bertaraf mega juga. Usaha mega ini dinamakan sebagai jihad fisabilillah. Perlulah difahami bahawa, jihad disini bukanlah sekadar mengangkat senjata, tetapi secara halusnya jika diperincikan lagi, jihad ini ialah melakukan yang baik dan meninggalkan yang jahat. Ya, mudah dikata, tapi susah untuk dikota.
Langkah yang terakhirnya ialah, hijrah yang agung ini memerlukan partisipasi seluruh umat Islam. Bukan ulama’ sahaja yang berkobar-kobar, bukan golongan professional sahaja yang bersemangat, tetapi semua peringkat dan lapisan perlu bersama bergerak bersama.
Wallahu a’lam...isi diambil daripada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Dr. Danial. Mungkin ada yang terubah sebab saya tidak rakam khutbah beliau. Kui kui...
Hijrah
6:42 AM | Labels: Reaksi-ku | 0 Comments
Apabila otak tersekat dengan maklumat...
Assalamua’laikum dan salam Maal Hijrah kepada seluruh kaum Muslimin, terutama sekali kepada sahabat dan sohabiah seperjuangan yang tidak mengenal letih dan lelah dalam perjuangan menegakkan Islam di dunia ini.
Pemandangan seperti biasa seperti tahun-tahun sebelum ini, majlis sambutan Maal Hijrah kelihatan hambar dari segi bilangan yang hadir. Ya, suatu fenomena biasa di akhir zaman, yang baik itu kelihatan janggal dan yang jahat itu kelihatan normal.
Ingatlah wahai saudaraku sekalian, setiap saat kita semakin hampir dengan kubur, tetapi apakah kita semakin hampir dengan Allah SWT?
Setiap saat kita semakin mendekati akhirat, tetapi adakah kita semakin bersiap-sedia untuk menghadapinya atau sebaliknya?
Inilah contoh kata-kata yang perlu kita mainkan acap kali di dalam diri kita. Tujuannya
hanya untuk mengingatkan diri kita supaya setiap saat kita sentiasa patuh kepadaNya, bukan kepada nafsu dan yang seangkatan dengannya.
Sejak akhir-akhir ini, aku semakin “gila” dalam meneroka lautan info dan maklumat perihal peristiwa akhir zaman khususnya tentang konspirasi dajjal dan angkatan tentera Panglima al-Mahdi yang akan muncul tidak lama lagi. Lagipun ini memang minatku sejak dari bangku sekolah lagi. Apabila bersembang dengan rakanku tentang topik yang berkaitan dengan akhir zaman, maka aku secara sukarelanya menjadi moderator (moderator tidak diundang, kui kui...).
Tetapi, akibat kesibukan aku dalam bidang akademik, aku sedikit-sedikit semakin melupakannya. Tetapi, pada waktu ini, dengan taufik dan hidayah Allah, aku terpanggil kembali untuk merungkai misteri akhir zaman yang banyak belum terjawab lagi oleh kita.
Oh ya, mungkin ada dikalangan kita akan berkata bahawa segala suatu perihal akhir zaman telah diberitakan dalam al-Quran dan Hadth nabi SAW, tidak perlu lagi kita mengkajinya, atau mungkin juga pernah berkata bahawa zaman kebangkitan Islam akan tiba, maka kita tunggu je la.
Bagi aku, penyataan-penyataan seperti ini hanyalah dari mereka yang malas lagi lemah (bukan niat untuk mengata). Tetapi bukankah Allah menyuruh kita supaya mengkaji seperti yang terkandung dalam wahyu pertama Rasulullah SAW?
Jika ada ayat al-Quran yang saintifik, kita boleh mengkajinya, tetapi mengapa dalam hal-hal seperti ini (perihal peristiwa akhir zaman) kita malas mengkajinya, sedangkan klu yang diberikan oleh Allah sudah terpampang di depan mata?
Daripada pengamatan saya, rata-rata dari kita “suka menutup pintu” daripada dimasuki oleh . ilmu. Jadi tidak hairanlah jika umat Islam sekarang amat lemah dari segi penguasaan ilmu pengetahuaan dan yang lebih menakutkan lagi ada dikalangan kita yang terlalu jumud dengan pendapat golongan tertentu.
Bagi saya, ruang perkongsian ilmu perlulah dibuka seluas-luasnya supaya integrasi antara ilmu dapat diwujudkan dan seterusnya melahirkan umat yang berilmu tinggi.
Dalam mengkaji perihal tanda-tanda akhir zaman, aku tertarik dengan beberapa orang saudara seIslam kita yang berfikir di luar kotak. Mereka ini mengkaji dan terus mengkaji perkara yang tidak pernah diketahui oleh kita. Tetapi adakah kita menerima bulat-bulat apa yang mereka tulis?, tidak juga. Semuanya bergantung kepada diri kita. Jika kita ini seorang yang sukakan kepada proses pencernaan dan percambahan ilmu pengetahuan, kita tidak akan duduk diam sahaja, tetapi akan terus mencari, mencari dan mencari sehingga sampai ke satu titik untuk kita berdiri di atas ilmu dan hujjah yang telah dibina selama ini.
Saya minta maaf, apa yang saya tulis ini hanyalah luahan hati kerana “kumpunan” sebab masih gagal mencari seorang yang “open minded” dalam hal-hal sebegini untuk dibawa berbincang.
Majulah wahai saudara seIslamku dalam mengejar Redha Sang Pencipta di dunia ini dan lebih-lebih lagi di akhirat sana. Kita baru sahaja melangkah ke tahun baru, bermakna kita semakin dekat dengan hari kemunculan si laknat yang mengaku tuhan itu, apakah persiapan kita untuk menghadapinya?
Wallahu a’lam...
8:48 AM | Labels: Hatiku Berbicara | 0 Comments
Indahnya Islam
Sudah lama rasanya tidak mendengar ceramah yang disampaikan oleh mereka yang baru memeluk agama Islam. Alhamdulillah, baru-baru ini Allah memberi taufiq dan hidayahnya kepadaku untuk hadir ke majlis Ilmu yang disampaikan oleh seorang bekas sami Hindu.
Alangkah manisnya apabila hati kita disimpah dengan cahaya Iman dan Islam. Dengannya seseorang Muslim itu sudah mempunyai jaminan daripada Allah SWT untuk masuk ke syurga. Cuma perlu mengerjakan segala perintahnya sahaja. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak mendapat cahaya Iman dan Islam ini? Itulah yang menjadi bom yang menggegarkan jiwa saya tatkala beliau sedang menyampaikan tazkirahnya.
Ini kerana di suatu ketika sedang beliau berceramah, beliau mempersoalkan kepada hadirin yang hadir mengapa ayahnya tidak diberitahu berkenaan Islam oleh masyarakat di sekeliling tempat tinggalnya yang mejoritinya adalah orang Islam sedangkan ayahnya sudah menunjukkan minat kepada Islam tetapi telah ditakdirkan Allah ayahnya mati dalam keadaan syirik kepada Allah. Beliau memberi persoalan sebegini rupa kerana beliau mengerti akan mahalnya nilai iman dan Islam.
Inilah yang menjadi pokok utama dalam majlis ilmu pada malam tersebut. Ramai di kalangan kita yang sudah Islam sejak lahir lagi tetapi tidak mengerti akan tingginya nilaian Iman dan Islam itu. Maka tidak hairanlah jika kita melihat sekarang semakin ramai orang Islam mulai murtad dan sekurang-kurangnya ramai dari kalangan umat Islam sendiri terutama pemuda/i Islam hancur lebur akhlak Islamnya.
Sayang sekali apabila Iman dan Islam yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita dibiarkan terbang begitu sahaja dan yang lagi menyedihkan hati ada dikalangan kita menyimpan iman dan Islam yang kita miliki untuk diri kita sahaja. Bukankah itu zalim namanya.
Apakah yang hendak dijawab oleh kita di Masyar kelak apabila ada dikalangan orang bukan Islam mendakwa kita tidak berdakwah kepadanya sedangkan di dunia dahulu kita mengenali orang yang bukan Islam itu?
Ya, cahaya Iman dan Islam itu kebanyakannya hanya dirasai oleh mereka yang baru menemuinya malah Islam mereka lebih tulin dari Islam keturunan (Islam kita).
Sampaikanlah walaupun suatu ayat. Mungkin dengan dakwah yang kita lakukan itu, ada orang yang mendapat sinaran hidayah dari Allah SWT. Siapa tahu, semuanya kerja Allah SWT.
Sekadar berkongsi secubit ilmu yang diperolehi. Semoga mendapat berkat dari Allah SWT.
Wallahu a’lam.
2:38 AM | Labels: Reaksi-ku | 1 Comments
Kelebihan Bulan Zulhijjah 10 Hari Pertama
www.iluvislam.com
Editor: deynarashid
Bulan Zulhijjah merupakan bulan dimana umat islam disyariatkan untuk mengerjakan ibadah haji. Esok (18.11.09) merupakan permulaan kepada bulan Zulhijjah pada tahun ini. Kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah tidak banyak dibicarakan sepertima mana 10 hari terkhir Ramadhan, sedangkan kelebihan dan kemulian 10 hari Zulhijjah dan Hari Arafah telah digambarkan dalam Al-Quran dan Hadith. Mari kita fahami akan kelebihan bulan Zulhijjah dan berusaha untuk beramal dalam 10 hari pertama ini, supaya kita mendapat balasan syurga daripada Allah
Firman Allah dalam surah Al-Buruj, ayat 1-3
“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”
Ibnu kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan zulhijjah, beliau mengmbil pandnagan daripada Ibn Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil itu ialah hari arafah.
Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:
"Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini - iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).”
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,
“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).
Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda,
“Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.
Manakala kelebihan hari Arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah S.A.W ketika menafsirkan ayat ke-3 dari surah Al-Buruj
“Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat ” (Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Didalam hadith lain pula, Sabda Baginda SAW lagi
“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah” (Riwayat Muslim)
JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA
1. Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :
Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.
2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya - terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi :
“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih).
Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.
3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”,
Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya :
“Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”.
Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]“.
Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
“(Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”.
Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.
4. Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).
5. Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
6. Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.
7. Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah).
Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
8. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :
“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”
dan di dalam riwayat lain :
“Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.
Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya :
“(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”.
Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan
membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
9. Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.
10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.
________________________________________
diambil daripada: http://mufti.islam.gov.my/terengganu/?subid=14&parent=06
7:48 PM | | 0 Comments
Pengajaran dari Penahanan Dr. Asri
Bagaikan menjadi suatu polemik apabila timbulnya isu penahanan Dr. Asri oleh Jabatan agama Islam Selangor (JAIS) atas alasan yang begitu rapuh sekali yang dikemukakan oleh pihak JAIS iaitu kerana Dr. Asri mengajar tanpa tauliah.
Maka ramailah tokoh-tokoh agama, ahli politik, NGO (termasuk SIS) dan tidak ketinggalan juga Perdana Menteri Malaysia turut memberi respon terhadap penahanan Dr. Asri.
Maka kelam-kabutlah satu Malaysia disebabkan penahanan seorang agamawan yang terkenal dengan kelantangan hujjah beliau dalam pelbagai isu.
Semenjak hari penahanan Dr. Asri sehinggalah sekarang, saya mendapati ramai tokoh agamawan, ustaz dan juga sahabat saya yang melahirkan pelbagai reaksi yang berbeza.
Walaupun isu penahanan Dr. Asri hanyalah berkisar tentang tauliah mengajar agama, tetapi apa yang saya dapati dari diskusi dan pembacaan berkenaan isu ini, ramai juga yang tidak berpuas hati dengan pendekatan Dr. Asri dalam mengeluarkan pendapat tentang beberapa isu.
Di suatu pihak, ada yang mengatakan bahawa kes penahanan Dr. Asri kemungkinan disebabkan oleh “tangan ghaib” yang berusaha unutk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor kerana ada beberapa perkara yang menjadi tanda tanya dan boleh dijadikan sebagai teori konspirasi seperti jumlah anggota polis yang ramai datang mengepung rumah dimana ceramah sedang diadakan seakan-akan Dr. Asri ialah seorang penjenayah besar pula.
Walaubagaimanapun, bukan masalah ini yang ingin saya lontarkan di ruangan ini. Tetapi, ada suatu pengajaran yang berharga yang boleh kita ambil dari isu ini.
Pertamanya, sebelum melakukan sesuatu, pastikan kita berfikir dan mempunyai hujjah yang konkrit terlebih dahulu. Jika kita memahami isu ini tanpa dipengaruhi oleh apa-apa faktor luaran (iaitu antara JAIS dan Dr. Asri sahaja), maka bolehlah kita simpulkan di sini bahawa JAIS hanya “meludah ke langit dan terkena muka sendiri” kerana sengaja mencari malu dengan menahan seorang ilmuwan agama kerana bersebabkan sebab yang begitu rapuh. Tambahan pula, Dr. Asri juga dikaitkan dengan penyebaran fahaman wahhabi.
Tetapi apabila saya membaca blog Dr. Asri, beliau juga agak kehairanan dengan fenomena wahhabi di Malaysia. Dengan kata lain, beliau sendiri pun tidak mengaku bahawa beliau adalah pembawa fahaman wahhabi. Jadi, mana satukah yang betul?
Kedua, dalam menilai isu berkenaan pendekatan Dr. Asri yang dikatakan “keras” secara saksama lagi adil, kita haruslah meneliti hujjah kedua-dua belah pihak iaitu pihak yang menyokong Dr. Asri dan yang menentangnya. Selepas itu, terpulanglah kepada kita hendak menerima hujjah pihak yang kita suka.
Ketiga, janganlah kita mudah untuk membid’ahkan suatu amalan yang dilakukan oleh saudara seIslam kita hanya kerana kita mempunyai pendapat yang kita rasakan kuat tentang suatu amalan.
Ringkasnya janganlah kita taksub dengan pendapat kita sendiri sehingga tidak mahu menerima pendapat orang lain. Terutama sekali bagi mereka yang tidak mempelajari ilmu agama secara formal seperti mereka yang menyambung pelajaran di bidang agama di dalam dan di luar nagara.
Teringat saya akan kata-kata seorang ustaz saya semasa mengaji kitab di masjid USM pada bulan Ramadhan yang lepas. Katanya lebih kurang seperti ini : “Berapa banyak dah hafal hadith? Hadith 40 Imam Nawawi dah habis hafal ke belum?” Kata ustaz saya dengan nada yang tidak puas hati terhadap golongan yang suka sangat membid’ahkan sesuatu amalan.
Berlapang dadalah dalam berbeza pandangan. Janganlah disebabkan ketaksuban kita terhadap pendapat kita dalam sesuatu isu menyebabkan umat Islam yang satu ini terpecah dua, iaitu salaf dan khalaf.
Setakat ini, hanya inilah yang saya fikirkan penting untuk direnungkan bersama.
Wallahu a’lam.
6:06 AM | Labels: Peristiwa Terkini | 1 Comments
Selamat Menghadapi Peperiksaan
Abul Laits berkata : “Siapa yang yakin akan mati maka seharusnya bersiap sedia menghadapinya dengan melakukan amal yang soleh yang meninggalkan amal kejahatan, sebab ia tidak mengetahui bilakah datangnya mati itu kepadanya, sedang nabi SAW telah menerangkan pada umatnya supaya mereka benar-benar bersiap sedia untuk menghadapinya dan supaya mereka sanggup sabar dan tabah menghadapi penderitaan dunia, sebab penderitaan dunia itu termasuk seksa dunia, sedangkan seksa dunia itu jauh lebih ringan dibanding dengan seksa akhirat, sedang maut termasuk dari seksa akhirat.
Hatim al-Asham berkata: “Empat macam yang tidak dapat menilai dan merasakannya kecuali empat: Harga (nilai) kepemudaan tidak diketahui oleh orang yang telah tua. Harga kesihatan tidak diketahui benar-benar kecuali oleh orang-orang yang sakit. Harga keselamatan tidak dapat diketahui kecuali oleh orang yang terkena bala’. Harga dan nilai hidup tidak diketahui benar kecuali oleh orang-orang yang telah mati.”
Syaqiq bin Ibrahim berkata: “Orang-orang sependapat dengan aku dalam empat macam, tetapi perbuatan mereka berlawanan:
1) Mereka mengaku sebagai hamba allah, tetapi berbuat seperti orang yang merdeka bebas.
2) Mereka mengakui Allah menjamin rezeki, tetapi hati tidak tenang bila tidak ada
kekayaan di tangan mereka.
3) Mereka berkata akhirat lebih baik dari dunia, tetapi mereka hanya mengumpulkan harta untuk dunia semata-mata.
4) Mereka mengaku pasti akan mati, tetapi berbuat seperti orang yang tidak akan mati.”
Abu Dardaa’ atau Salman al-Farisi atau Abu Dzar r.a berkata: “Tiga macam mengagumkan
saya sehingga aku ketawa, dan tiga macam yang menyedihkan aku hingga aku menangis, adapun yang mentertawakan:
1) Orang yang panjang angan-angan hidup padahal ia dikejar oleh maut, dan sama sekali
tidak memikirkan akan mati.
2) Orang yang lupa terhadap maut tetapi maut tidak lupa padanya.
3) Orang yang tertawa padahal ia belum mengetahui apakah Allah redha padanya atau murka.
Adapun yang menangiskan aku:
1) Berpisah dengan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dan kawannya.
2) Memikirkan dasyatnya maut bila tiba saatnya.
3) Memikirkan kelak bila berhadapan kepada Allah, akan diperintahkan ke mana aku ini,
apakah ke syurga ataukah ke neraka.
Dan firman Allah SWT:
“Katakanlah (Muhammad), “Lari tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika demikian (kamu terhindar dari kematian) kamu hanya akan mengecap kesenangan sebentar saja.”
(Al-Ahzab: 16)
Nabi SAW bersabda:
“Orang yang paling pintar dikalangan umatku adalah yang paling banyak ingat mati dan yang paling bersedia menghadapinya.”
Hadith riwayat Abdullah Ibn Umar)
SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN KEPADA SEMUA YANG AKAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN. UNTUK PEPERIKSAAN YANG SUDAH DIKETAHUI TARIKHNYA MEMBOLEHKAN KITA BERSIAP SEDIA SECUKUPNYA, TETAPI BAGAIMANAKAH PULA DENGAN “PEPERIKSAAN” YANG TIDAK DIKETAHUI TARIKH DAN MASANYA?
SEPATUTNYA MENJADI KEWAJIPAN KITA UNTUK SENTIASA BERSEDIA MENGHADAPINYA.
Wallahu a’lam...semoga kita sama-sama dapat manfaat.
Sumber rujukan: kitab Tanbihul Ghafilin bab Beratnya Maut dan Kengeriaannya.
2:52 AM | Labels: Peristiwa Terkini | 0 Comments
Aku kembali menulis
Sejak kebelakangan ni, aku betul-betul ‘down’ dalam banyak perkara termasuklah menulis. Walaupun sebelum ini, menulis blog adalah antara ‘kewajipanku’ sebagai menyahut seruan mulia baginda Rasulullah SAW iaitu “Sampaikanlah walaupun satu ayat”,tetapi disebabkan oleh sebab yang perbagai menyebabkan aku betul-betul terasa berat untuk melakukan tugas yang amat mulia ini.
Beberapa hari yang lepas, aku betul-betul tersentak dengan suatu peringatan Allah SWT dalam surah at-Taubah sehingga menyebabkan aku berfikir panjang tentang diri yang sentiasa leka ini.
Dalam ayat ke-38 surah at-Taubah, Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Mangapa apabila dikatakan kepada kamu, “Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah,” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit.”
Ayat yang benar-benar merobek hatiku di kala aku sedang dimabukkan dengan kemanisan dunia yang menipu ini.
Kemudian Allah meneruskan firmannya di ayat yang ke-41 pada surah yang sama yang bermaksud: “Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”
Sekali lagi aku ditempelak dengan peringatan Allah SWT yang satu ini. Rasa bersalah tiba-tiba bersarang di hati bila mana mengenangkan kembali sikapku yang suka sangat berdolak-dalih dalam melakukan sebahagian kerja dalam amal islami. Walaupun tidak dinafikan ada beberapa taklifan yang aku terpaksa tolak ke tepi dahulu kerana tidak berupaya untuk menggerakkannya.
Seperti kata seseorang kepadaku, “Jika tidak mampu untuk menggerakkan yang besar, jangan pula berhenti terus, tetapi teruskanlah buat apa yang termampu walaupun sedikit.” Lebih kurang macam tulah ayatnya.
Jangan sesekali futur dari berdakwah. Futur adalah sejenis penyakit maut yang sering menyerang para pendakwah. Akibat kalah dalam acara bergusti dengan nasfu dalam beberapa pusingan, seseorang itu terus bertekad untuk meninggalkan dunia dakwah. (Ya Allah, lindungilah kami dari penyakit ini).
Penyakit yang menyebabkan laknat Allah turun ke atas Bani Israel seperti dalam firman Allah SWT: “Telah dila'nati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.”
Aku kembali menulis walaupun kemungkinan tidak sederas dahulu. Wallahua’lam.
6:37 AM | Labels: Hatiku Berbicara | 2 Comments
Teruskan momentum Ramadhan
Setiap tahun, bulan silih berganti sehinggalah kita bertemu dengan bulan yang telah Allah SWT ekslusifkan kepada proses penjanaan Taqwa iaitu bulan ramadhan. Seterusnya datang pula bertandang bulan Syawal iaitu bulan yang pada hari pertamanya dikenali sebagai hari kembali kepada fitrah.
Seperti biasa, tatkala di bulan Ramadhan, suatu fenomena yang jangan berlaku di bulan-bulan lain berlaku di bulan mulia ini. Di bulan ini kita dapat melihat ramai kaum Muslimin datang berduyun-duyun ke masjid untuk bersolat tarawih seperti hendak bersolat Jumaat. Masjid-masjid kelihatan meriah daripada sebelum ini. Jika sebelum ini saf di waktu solat fardhu di masjid puratanya hanya dua saf sahaja, tetapi di bulan Ramadhan saf untuk solat fardhu terutama solat maghrib dan Isyak boleh mencapai hampir dua puluh saff atau lebih. Sungguh menakjubkan. Usai sahaja solat, kita dapat melihat kebanyakan dari kita membaca al-Quran dan ramai juga yang berehat. Semua amalan ini memeriahkan rumah Allah yang penuh rahmat.
Tetapi, fenomena luar biasa ini hanyalah boleh dilihat pada bulan ramadhan sahaja, tidak pada bulan-bulan yang lain. Selalu kita dengar dan baca bahawa puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu proses pentarbiahan daripada Allah SWT kepada kita supaya kita dapat menjana kembali ketaqwaan untuk dibawa bersama menempuh segala jenis halangan di sebelas bulan selepasnya.
Satu persoalan berat ingin penulis lontarkan kepada pembaca sekalian : “Siapakah diri kita selepas Ramadhan?”
Adakah kita akan kembali seperti sebelum Ramadhan? Jika perkara ini berlaku kepada kita, maka Ramadhan yang kita lalui sebelum ini hanya mendapat keletihan menahan lapar dan minum. Tidak lebih dari itu.
Atau, adakah kita menjadi Insan yang lebih baik dan terus-menerus membuat baik selepas Ramadhan? Satu lagi soalan yang berat untuk difikirkan bersama-sama.
Kedua-dua persoalan ini tidak lain dan tidak bukan berkaitan dengan ISTIQAMAH iaitu konsistensi untuk kekal baik dan lebih baik daripda sediakala.
BEBAN ISTIQAMAH
“Apa yang telah menjadikan engkau tua beruban?” tanya sahabat kepada baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
“Aku telah diubankan (dituakan) oleh Surah Hud…” kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dalam sepotong hadith yang direkod dari Ibn Abbas Radhiyallahu ‘anhuma.
Itulah beban surah Hud, surah yang memperkatakan tentang istiqamah, bahawa setelah hati disentuh iman, hidup bersama iman dan akhirnya mati dengan iman.
Bagaimanakah Ramadhan dan segalanya boleh kekal hingga ke penghujung, khawatim yang hasanah?
RUKUN ISTIQAMAH
Oleh sebab itu, untuk istiqamah kita harus patuh kepada rukun-rukun yang Allah SWT nukilkan dalam surah Hud ayat 112-115.
Di sini, penulis akan huraikan serba ringkas rukun-rukun istiqamah:
a) Jangan melampau dalam beragama
Melampau dalam beragama bolehlah diertikan dengan melakukan sesuatu melebihi apa
yang diperintahkan oleh Allah SWT seperti berpuasa secara berlebihan meliputi Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Contoh lain seperti melambatkan berbuka dan mencepatkan sahur. Perbuatan yang melampau ini mengurangkan keupayaan kita untuk beristiqamah. Justeru amalan yang sederhana malah sedikit tetapi konsisten itulah yang terbaik.
b) Jangan cenderung kepada golongan yang zalim
Cenderung boleh jadi pada dua keadaan. Sama ada kecenderungan prinsip dan emosi, atau kecenderungan pada kebergantungan. Kecenderungan pertama menghapuskan istiqamah dan konsistensi kerana ketidakupayaan kita dalam mengikut perintah Allah SWT. Kecenderungan kedua pula kebergantungan seseorang itu kepada si zalim.
Siapa si zalim itu? Si zalim itu boleh jadi orang bukan Islam yang menindas, ia juga boleh jadi Muslim sendiri yang turut berlaku zalim dengan pelbagai wasilah (medium) yang ada. Jesteru, pentingnya seorang mukmin itu mengelakkan diri dari cenderung kepada golongan seperti ini.
c) Dirikan solat
Istiqamah itu bersandar kepada solat. Solat itu menjadikan kita sentiasa berhubung dengan Allah SWT. Solat bukan sahaja diertikan dengan pengabdiaan tetapi juga kerehatan. Bagaimana hendak berehat dalam solat? Pelik betul bunyinya. Seorang yang berkasih mampu bercakap dengan kekasihnya berjam-jam tanpa jemu. Kuasa kasih menjadikan kesusahan hilang keberatan malah menjadi kenikmatan juga kerehatan. Jika kita terbeban dengan solat, tandanya kita tidak mengasihi Kekasih yang Maha Pengasih itu. Lantas, mampukah kita untuk istiqamah menjalani perintah-Nya jika kita tidak mengasihi-Nya.
d) Bersabarlah
Penulis mahu memetik ungkapan ringkas Muhammad bin Shalih Al-Munajjid di dalam karyanya berkenaan dengan makna sabar : “Kesabaran adalah bertahan dalam mengerjakan perintah Tuhan dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang Tuhan.”
Semoga kita terus beristiqamah dalam mengerjakan amal soleh. Bagi seorang pelajar, belajarlah dengan tekun kerana Allah SWT. Bagi pendakwah, istiqamahlah dalam berdakwah walaupun dakwah kita tidak diterima orang kerana di dalam rangka untuk memperkukuhkan istiqamah itu ada kesabaran. Ingatlah, pertolongan Allah SWT itu datang dengan sabar. Teruskan momentum cemerlang Ramadhan kali ini sehingga ke Ramadhan yang akan datang!
Sumber Rujukan
http://saifulislam.com/?p=3113
9:40 AM | Labels: Sekadar Peringatan | 0 Comments
Sekadar Cerita Kosong
Assalamua’laikum kepada semua yang membaca blog ini. Lama benar saya tak update. Nak kata tak ada masa free, banyak je masa yang saya free. Nak kata saya sibuk, banyak juga masa kosong yang dibazirkan dengan sengaja. Jawapan yang paling baik yang boleh saya beri ialah ini semua adalah disebabkan kelemahan diri saya dalam menguruskan hal ehwal hidupku ini. Al-maklumlah, isteri pun tak dak lagi. Hehe... Biasalah, final year student memang macam ni, kalau tak fikir pasal kerja atau sambung Master mesti dia fikir pasal nak khawin punya.
Nak Kahwin
Sejak akhir-akhir ni, apabila saya bersembang-sembang dengan rakan-rakan yang “sekepala” denganku, antara topik yang sering didiskusikan ialah berkenaan dengan kahwin dan jodoh. Walaupun selalu bersembang pasal benda alah ni, tapi ia tidak sesekali membosankan saya dan kawan-kawan seforum saya untuk terus membincangkannya.
“Hang (nama dirahsiakan) dah ada ka?” Tanya kawanku.
“Aku mak aku tolong carikan.” Terang kawanku yang sorang lagi.
Senang betul hidup kawanku sorang ni. Tak payah nak fikir bende ni dah. Emak tolong carikan. Dasyat betul...
“Hang bila lagi?” Tanyaku pula.
“Aku tunggu kerja dulu.” Terang kawanku yang sorang ni. Bagus betul dia, kukuhkan kewangan dulu, baru cari.
Aku juga pernah mengajukan soalan kepada seorang lagi kawanku yang sentiasa cool...
“Hang dah ada belum?” Tanyaku.
“Entah la.” Ringkas jawapannya. Inilah jawapan yang paling menggerunkan saya pernah dengar. Tapi, saya tak berapa risau sangat sebab kawanku seorang ni mempunyai rupa. Mungkin jawapannya itu disebabkan tak tahu nak pilih yang mana satu.hehe...sekadar teori kosong sahaja.
Akhirnya soalan yang sama diajukan kepadaku.
“Hang dah ada ka?” Tanya kawanku untuk mendapatkan suatu kepastian.
Terdiam aku sejenak untuk memikirkan jawapan yang paling baik yang boleh aku cilok...
Tapi tak semena-mena seorang kawanku menjawab : “Pian dah ada dah.” Kata kawanku dengan senyuman yang lebar.
Suka hati dia je nak kata aku dah ada. Manalah dia tahu...hehe. Apa-apa hal pun, planning aku....dot dot doooott...RAHSIA. Tunggu je la kad kahwin saya sampai ye.
Wallahu a’lam...
9:36 AM | Labels: Peristiwa Terkini | 0 Comments
Perutusan NYDP 1 PMIUSM Sempena Ramadhan
Segala puji bagi Allah SWT kerana tidak lama lagi Allah SWT akan datangkan kepada kita suatu bulan yang penuh dengan barakah, rahmat dan keampunan dari-Nya. Bulan yang dijanjikan itu ialah bulan Ramadhan al-Mubarak.
Di dalam bulan ini, umat Islam seluruh dunia akan berpuasa selama sebulan sebagaimana yang diwajibkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 183)
Bagi orang yang beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya, mereka akan menunggu bulan Ramadhan seperti seseorang yang menunggu untuk menerima hadiah. Hatinya begitu gembira apabila sudah memiliki hadiah itu. Maka, seperti itu jugalah mereka yang begitu mendambakan kedatangan bulan Ramadan ini. Apabila masuk sahaja satu Ramadhan, golongan ini akan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada tuan kepada bulan ini iaitu Allah SWT kerana sekali lagi mengizinkan mereka untuk bertemu dengan bulan punuh barakah ini.
Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata, Rassulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditangan-Nya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.” Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi
Hadith di atas hanyalah salah satu dari koleksi hadith Nabi SAW tentang fadhilat bulan Ramadhan. Bulan ini juga merupakan bulan keemasan bagi orang-orang yang beriman dan yang benar-benar takutkan Allah SWT. Maka kesempatan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Golongan ini yakin dan percaya bahawa bulan ini bukan sahaja menyajikan pelbagai fadhilat, malah bulan ini juga menyediakan suatu “siri latihan praktikal menjinakkan hawa nafsu” seseorang daripada membuas.Maka, bagi orang-orang yang beriman, mereka bukan setakat berpuasa dari makan dan minum, tetapi mereka juga “berpuasa” mata, telinga dan semua pacaindera dari melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Selain dari mendapat ganjaran pahala yang tidak terkira dari Allah SWT, golongan ini juga mendapat sejumlah kekuatan iman untuk dibawa bersama mengharungi sebelas bulan selepas Ramadhan yang pastinya penuh dengan ujian yang pasti menggugat iman.
Indahnya Ramadhan kali ini jika semua orang Islam mengetahui hakikat sebenar atau matlamat sebenar bulan ini dihadiahkan oleh Allah SWT kepada kita seperti yang tertulis di atas. Tetapi realitinya adalah 180° terbalik dari apa yang tertulis di atas. Antara yang menyedihkan kita ialah di dalam bulan yang mulia ini, umat Islam semakin boros berbelanja hanya untuk berbuka puasa. Bukan setakat itu sahaja, umat Islam juga hanya ghairah menyambut kedatangan Ramadhan di awal Ramadhan sahaja, tetapi apabila semakin tiba saat akhir Ramadhan, semakin banyak bergema lagu raya dan semakin ramai juga yang melupai Ramadhan kerana begitu bersemangat untuk menyambut satu Syawal.
Ini hanyalah sedikit cebisan dari fenomena sonsang umat Islam kini. Di era awal Islam dahulu, generasi Salafussoleh begitu gembira dengan kedatangan Ramadhan dan begitu sedih dengan pemergian Ramadhan. Generasi umat Islam kini pula, ramai di kalangan kita tidak begitu gembira dengan kehadiran Ramadhan tetapi begitu gembira apabila saat akhir Ramadhan semakin tiba. Di bahagian mana kita berada sama-samalah kita renungkan.
Akhir kata, penulis mewakili seluruh warga Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUSM) ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada seluruh Muslimin dan Muslimat. Semoga Ramadhan kali ini kita jalani dengan penuh kecermelangan supaya kita dapat meningkatkan lagi darjat keimanan kita di sisi Allah SWT.
Sumber Rujukan
http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Ramadhan.html
http://www.harunyahya.com/malaysian/artikel/ramadan.php
3:26 AM | Labels: Peristiwa Terkini | 0 Comments
Perutusan Naib Yang Dipertua I PMIUSM
Baru-baru ini telah berlaku satu lagi peristiwa yang pasti membawa impak yang sangat besar kepada rakyat Malaysia khususnya iaitu berkenaan dengan demonstrasi jalanan oleh rakyat Malaysia yang prihatin kepada mangsa ISA yang bertujuan untuk memansuhkan akta penahanan tanpa bicara (ISA). Pada siri demonstrasi kali ini memperlihatkan golombang rakyat semakin membesar untuk merempuh setiap dasar kerajaan yang mempunyai kepentingan kepada pihak tertentu.
Tanggal 1 Ogos yang baru lepas ini merupakan ulang tahun ke-49 akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan Parlimen. Akta ini pada mulanya diluluskan adalah untuk menjaga negara ini daripada ancaman subversif dan pengganas komunis ketika perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak membentangkan ISA di parlimen suatu ketika dahulu.
Menjadi suatu kejanggalan bahawa Malaysia kini yang sudah 50 tahun merdeka dan pastinya sudah tidak lagi menerima ancaman subversif dan komunis, tetapi mengapa akta ISA ini masih lagi tidak dimansuhkan?
Tidak sesekali saya menyangkal batapa pentingnya kita untuk menjaga keselamatan negara dari sebarang ancaman dalaman mahupun luaran, tatapi masih tidak cukupkah lagi dengan pelbagai jenis institusi yang menjamin keselamatan negara seperti PDRM , SPRM, institusi kehakiman, jabatan pendakwa raya, peguam negara dan institusi mahkamah?
Apa yang dituntut ialah menteri (ahli politik) yang mempunyai kuasa untuk menggunakan akta zalim ini dimansuhkan kerana dikhuatiri akta ini disalahgunakan untuk menangkap atau berlaku zalim terhadap musuh politiknya.
Bukan setakat itu sahaja, akta ini juga menahan dan menangkap mangsa tanpa sebarang bukti dan mangsa tidak pula diberi peluang untuk mempertahankan diri mereka di mahkamah merupakan suatu akta yang menyalahi perlembagaan Persekutuan Perkara 5 Fasal 4 bahawa undang–undang perlembagaan tidak membenarkan seseorang warganegara ditahan tanpa arahan majistret melebihi tempoh 24 jam (tidak termasuk perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa majistret itu.
Sehubungan dengan ini saya Ahmad Sufian bin Shohor selaku Naib Yang Dipertua I Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (NYDP I PMIUSM) menentang sekeras-kerasnya akta ini daripada terus bertapak dalam negara yang mengamalkan prinsip demokrasi ini. Oleh itu, saya dengan suka citanya menyatakan bahawa saya menyokong akta zalim ini dimansuhkan bukan dipinda dan dibiarkan begitu sahaja.
Wallahu a’lam.
1:35 AM | Labels: Peristiwa Terkini | 0 Comments
Kepemudaan Seorang Mahasiswa
Tidak perlu disangsikan lagi, bahawa di setiap peredaran zaman pasti akan ada waktu kebangkitan. Di setiap waktu kebangkitan pula pasti akan ada pendokongnya. Tidak perlu disangkal lagi, pendokong suatu kebangkitan itu ialah dari generasi petengahan umur iaitu generasi pemuda. Suatu generasi yang menjadi pemangkin utama idealisme perubahan, generasi yang menjadi sumber terpenting kepada suatu peralihan era dan generasi yang mempunyai cita-cita yang tinggi menggapai langit.
Dulu, Islam bangkit dengan adanya para pemuda yang telah mewakafkan seluruh hidupnya untuk Islam. Dalam usia belasan tahun, sahabat Nabi SAW yang masih sebegini muda diberi kepercayaan yang cukup besar untuk melakukan sesuatu tugas walaupun di kalangan para sahabat r.hum ketika itu ramai yang lebih tua yang sepatutnya lebih layak untuk memikul suatu taklifan. Tetapi bukan usia yang Nabi SAW pandang, tetapi apa yang Nabi SAW perhatikan ialah jiwa kepemudaan, semangat yang tinggi menggunung, kekuatan mental dan fizikal mereka dan yang pasti ialah keimanan dan ketaqwaan yang begitu telus yang dimiliki oleh para pemuda di era itu.
Tetapi perlu diingat, generasi ini boleh juga digunakan untuk tujuan kejahatan. Maka, banyaklah tangan-tangan yang merebut kuasa para pemuda untuk dijadikan barisan hadapan dalam perjuangan jahat mereka. Maka, generasi emas ini perlu diasuh dan dididik supaya golongan ini sentiasa berada di landasan matlamat yang lurus menuju redha ilahi.
Lihatlah fenomena pemuda Islam sekarang, sebahagian besarnya telah terkena jerat duniawi yang menyebabkan para pemuda Islam jatuh tersungkur menyembah dunia. Maka tidak hairanlah jika Islam semenjak kejatuhan khilafah Islam terakhir berada di bawah tapak kaki musuh Islam kerana kita tidak mempunyai tenaga penggerak yang mencukupi untuk menguatkan kembali jentera Islam.
Jadi, mahu tidak mahu, perlunya kita menguatkan kembali saf pemuda Islam untuk melakukan qawamah (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia ini supaya pimpinan umat ini dapat ditukar kepada pimpinan Islam daripada pimpinan jahiliyyah agar segala ruang lingkup hidup kita seperti pemikiran, perundangan dan akhlak dapat dibersihkan dari kotoran najis jahiliyyah.
Malah manhaj Islam itu sendiri bertujuan mengembalikan ubudiyyah manusia hanya kepada Allah taala semata-mata dalam segala ruang lingkup kehidupan kita sepertimana kata-kata Panglima Rubi’e bin ‘Amir kepada Rustam, ketua angkatan tentera Parsi, apabila ditanya sebab kemaraan tentera Islam:
“Allah mendatangkan kami bagi mengeluarkan hamba-hamba (manusia) supaya menjadi hamba kepada Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dari kesempitan dunia kepada dunia yang lebih luas. Dari kezaliman beragama keada keadilan Islam. Maka kami diutuskan dengan agama Allah kepada makhluk-Nya untuk menyeru mereka kepada Allah. Maka barangsiapa yang menerima, kami menerima mereka dan tinggalkan mereka di tanah air mereka dan sesiapa yang enggan, kami perangi sehinggalah kamu menyahut seruan Allah yang dijanjikan.”
Mahasiswa Peberontak?
Seringkali terdengar dan terbaca oleh kita bahawa mahasiswa yang berdemonstasi di jalanan adalah mahasiswa yang kurang bijak menggunkan peluang yang ada, mahasiswa yang suka menyalahkan pihak atasan semata-mata, mahasiswa yang anti-pembangunan dan banyak lagi title yang dilabelkan kepada mahasiswa.
Apabila timbul isu suara mahasiswa disekat, maka mereka mengatakan bahawa mahasiswa sekarang telah dibenarkan menyertai NGO. Apabila timbul pula isu mahasiswa memandang serong kepada pihak atasan (HEP) iaitu hanya nampak yang buruk sahaja, maka mereka mengatakan bahawa HEP telah banyak menolong pelajar dari segi perkhidmatan pelajar khususnya.
Di sinilah perkara yang perlu kita berikan perhatian. Mahasiswa ialah golongan intelektual yang bakal menerajui tampuk pimpinan negara di masa akan datang. Jika mahasiswa terus disekat dari menyuarakan pandangan, bangkangan dan kritikan mereka terhadap dasar-dasar yang diputuskan kerajaan dan pimpinan-pimpinan negara yang menyeleweng seperti ISA, PPSMI dan isu pemimpin negara yang korupsi maka sampai bila mahasiswa akan menjadi mahasiswa yang matang?
Tidak perlu dirisaukan, mahasiswa bersikap non-partisan. Maka, mahasiswa tidak sesekali berminat dengan jawatan-jawatan dalam kerajaan. Apa yang mahasiswa mahukan ialah jangan sekat mahasiswa dari berpolitik. Itu sahaja.
Jadi, dari sudut apakah lagi kerajaan mahu mencari alasan untuk menghalang mahasiswa dari bergiat cergas dalam berpolitik? Hanya golongan yang berkepentingan dan mempunyai pelbagai penyelewengan sahaja yang suka menggunakan undang-undang untuk menyekat sebarang aktiviti dan tindakan yang boleh menyebabkan rahsia mereka bocor.
Maka bolehlah kita katakan bahawa mahasiswa yang berjiwa kepemudaan adalah di antara golongan yang membawa obor kebenaran untuk menerangkan ruang lingkup yang penuh kebatilan dan kezaliman. Hanya yang penakut sahaja yang berusaha memadamkan api obor ini. Tetapi api obor ini tidak akan sesekali padam kerana ia sentiasa dijaga oleh “tuan” kepada obor ini supaya golongan yang memerlukan cahaya sentiasa tersuluh hidupnya dengan cahaya hidayah Allah SWT.
Kebenaran pasti tertegak dan kezaliman pasti akan runtuh dengan hinanya nanti, insyaAllah...
Wallahu a’lam.
9:22 PM | Labels: Sekadar Peringatan | 0 Comments
Antara Lab Manual dan Al-Quran
Semester kali ini, sekali lagi Allah telah takdirkan saya untuk berada di dalam makmal untuk menjalani satu tugas baru dan yang terakhir untuk pelajar tahun akhir iaitu Projek Tahun Akhir. Walaupun hati ini tidak berapa menyukai untuk “terperangkap” di dalam makmal, tetapi, kepasrahan diri ini kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui baik dan buruk sesuatu perkara menjadi pengubat kepada diri ini.
Selain dari itu, keredhaan Allah itulah yang lebih utama untuk dicari dengan menerima segala ketetapannya dengan rela hati, bukan dengan marah dan lain-lain perasaan yang tidak elok yang memenifestasikan masalah iman kita kepada Allah SWT.
Maka sekali lagi, diri ini “terpaksa” membelek laboratory manual untuk diingati kembali. Bukan apa, amatlah sombong sekiranya kita berada di dalam makmal tetapi tidak mengikut ketetapan di dalamnya kerana ia boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.
Begitu jugalah kita yang sedang berada di atas pentas kehidupan ini. Untuk menghindarkan diri dari bahaya, derita dan yang sewaktu dengannya, maka ketetapan ataupun undang-undang Allah SWT mesti dijadikan panduan untuk hidup di dunia ini. Dengan kata lain, kita melakukan apa yang diperintahkan dan meninggal apa yang dilarang.
Segala hal perihal undang-undang Allah telah dimuatkan di dalam sebuah “buku” yang tiada tolok tandingannya iaitu al-Quran. Jika difahami, dihayati dan diamalkan dengan penuh keikhlasan, maka kejayaan menanti kita di dunia dan di akhirat.
Antara kecuaian yang paling besar dilakukan oleh orang Islam sekarang ialah al-Quran hanya dijadikan ayat untuk menjampi air, melagukan ayat al-Quran dan tidak ketinggalan juga yang menggantung ayat al-Quran di dinding sekadar untuk hiasan dan barang kali untuk menghalau syaitan.
Jika ini sahaja yang kita amalkan dari al-Quran, maka hanya manfaat ini sahajalah yang kita dapat daripadanya. Jika faedah yang kecil-kecil sahaja yang kita ambil daripadanya, maka hanya itu sahajalah yang kita dapat.
Alangkah ruginya kita, al-Quran diturunkan kepada umat Muhammad SAW dengan jaminan sesiapa yang mengamalkan ajaran Islam keseluruhannya, maka kejayaan menantinya di dunia dan akhirat. Alangkah ruginya kita, “ubat al-Quran” yang berada di depan mata kita yang hanya menunggu untuk dihayati dan diamalkan dan diaplikasikan untuk mengubati penyakit umat, disimpan di tempat yang tinggi dan di dalam laci sehingga berhabuk dan bersawang.
Apabila al-Quran “dikurung” di dalam laci dan “di menara tinggi”, maka terkurunglah juga hak-hak yang patut kita berikan kepada saudara-saudara se-Islam kita seperti di Selatan Thai, Palestin, Mindanao, Iraq dan umat Islam Uighur di wilawah xingiang sana.
Jika di zaman Islam dijulang dahulu, apabila seorang Muslim teranainya, maka segerombolan tentera Islam datang menuntut bela di atas kesengsaraan seorang Muslim tersebut. Tetapi tidak lagi sekarang, walaupun sudah beratus ribu atau sudah mencapai angka juta orang Islam dibunuh dan diseksa, kurang atau tiada langsung seorang atau sekumpulan Muslim yang mempunyai kemampuan dari segi kuasa politik tampil ke hadapan menuntut bela di atas segala musibah ini.
Di kala umat Islam dibunuh dan diseksa, kita di sini bagaikan tidak mengetahui langsung apa yang berlaku kepada saudara Muslim kita di luar sana bagaikan dunia ini aman sentosa tiada peperangan dan keganasan terhadap kaum Muslimin.
Ya, Malaysia memang sebuah Negara yang “aman” lagi “tenteram” dengan pelbagai kemungkaran yang semakin menjadi-jadi dan begitu membimbangkan. Masakan tidak, pemimpin Negara ini bagaikan tidak menyedari bahaya murka Allah sedang menunggu di depan mata mereka. Tetapi apa yang mereka risaukan ialah momentum kebenaran Islam yang sedang memecut laju ke cita-citanya dan mukmin yang setia mendokong gagasan cita-cita agama yang mulia ini.
Inilah realiti sebenar kita, kebatilan dijulang dan kebenaran ditenggelam. Ini semua berlaku apabila sistem yang menguasai hidup kita dikuasai oleh orang yang bukan ahlinya iaitu pengamal-pengamal ajaran sesat seperti sekularisme, liberalisme, sosialisme dan semua isme yang lain dari Islam yang sempurna lagi menyempurnakan.
Janganlah sesekali kita jadikan al-Quran sebagai “lirik lagu”, ayat jampi, ayat untuk digantung di dinding. Ini terlalu kecil peranannya untuk dibandingkan dengan al-Quran. Bukan untuk ini al-Quran diturunkan. Tetapi al-Quran diturunkan adalah untuk diamal isinya.
Wallahu a’lam...
11:27 PM | Labels: Sekadar Peringatan | 0 Comments
Awasilah Ghurur
Ghurur adalah suatu sifat yang menipu pemiliknya. Dia adalah suatu kebodohan yang membuat seseorang menilai sesuatu yang jelik sebagai suatu yang baik dan kesalahan sebagai suatu kebenaran. Demikianlah dijelaskan oleh ibnul jauzi di dalam bukunya Tablis Iblis. Sifat ini muncul kerana syubhah atau kerosakan pemikiran yang membuatnya salah di dalam menilai. Iblis pun masuk untuk menggoda manusia seukuran kemampuannya dan akan semakin mantap cengkamannya terhadap seseorang atau semakin lemah seiring dengan ukuran kesedaran atau kelalaian orang tersebut, juga sekadar keilmuaannya. Demikian beliau jelaskan di dalam kitab tersebut.
Mereka-Mereka yang Terkena Penyakit Ini
Orang kafir dan munafik
Firman Allah SWT: “Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang mukmin) seraya berkata: ‘Bukankah kami dahulu bersama-sama dengan kamu?’ Mereka menjawab: ‘Benar, tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri dan menunggu (kehancuran kami) dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah ; dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu’.” (Al-Hadid: 14)
Yakni kalian tertipu oleh syaitan sehingga kalian tidak mengagungkan Allah SWT dengan seagung-agungnya. Sehingga kalian tidak mengetahui kekuasaan Allah SWT terhadap kalian. Akhirnya kalian pun mengira bahawa Allah SWT tidak mengetahui kebanyakan daripada apa yang kalian lakukan. (Zubdatut Tafsir)
Allah SWT juga menerangkan tentang keadaan orang kafir yang tertimpa ghurur sehingga tertipu oleh gemerlapnya kehidupan dunia.
“ Yang demikian itu, kerana sesungguhnya kamu menjadikan ayat-ayat Allah olok-olokan dan kamu telah ditipu oleh kehidupan dunia, maka pada hari ini mereka tidak dikeluarkan dari neraka dan tidak pula mereka diberi kesempatan untuk bertaubat.” (Al-Jatsiyah: 35)
Orang yang Berilmu tetapi tidak beramal
Orang-orang yang berilmu juga tidak terlepas dari penyakit yang menggerunkan ini. Di antara orang yang berilmu ini adalah mereka yang mendalami ilmu agama tetapi mereka lalai dari mengawasi anggota badan mereka daripada melakukan perkara maksiat serta lalai menekankan diri mereka agar sentiasa taat.
Golongan ini tertipu dengan ilmu mereka sendiri dan menyangka bahawa mereka mendapat tempat di sisi Allah SWT. Jika mereka kembali melihat kepada ilmu mereka, pasti mereka akan mengetahui bahawa ilmu mestilah disinergikan dengan amal supaya ilmu yang telah dikutip sebelum ini tidak sia-sia.
Orang yang berilmu dan beramal
Ada pula di kalangan umat Islam yang menekuni ilmu dan telah menghiasi dirinya dengan amal lahiriah. Tetapi sayangnya mereka tidak mengawasi hati mereka dari penyakit-penyakit hati seperti sombong, hasad dengki, riya’ dalam beramal, mencari populariti dan ingin menjadi lebih hebat dari orang lain.
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak meihat kepada menampilan-penampilan dan harta benda kalian. Akan tetapi melihat kepada hati dan amal kalian.” (Shahih, HR. Muslim dan Ibnu Majah dari sahabat Abu Hurairah r.a)
Orang yang sedar, tapi buat-buat tak sedar
Sekumpulan yang lain pula menyedari akan sifat-sifat keji lagi mungkar ini tetapi disebabkan sikap bangga diri yang tersimpan dalam diri mereka, mereka berasa aman dan telah bebas dari sifat-sifat tercela itu. Bahkan, menurut mereka, golongan yang tertimpa dengan sifat-sifat keji itu hanyalah mereka yang masih awam.
Bila muncul dalam diri mereka percikan kesombongan, mereka pun mengatakan ke dalam diri mereka, ‘Ini bukan sombong. Bahkan ini adalah demi kemuliaan agama dan untuk menampakkan kemuliaan ilmu, serta merendahkan ahli bidaah’. Enggan berteman dengan orang lemah, hanya mahu dengan orang yang berpangkat atau berduit, berasa hina bila berteman dengan kaum yang lemah.
Golongan ini terlupa bahawa Nabi SAW dan para sahabatnya adalah orang-orang yang tawadhuk. Mereka bergaul dengan kaum dhuafa, bahkan mereka mengutamakan kefakiran dan kemiskinan.
Sekelompok yang lain pula apabila terkana jangkitan ghurur, mereka mencari kesenangan dunia, kemuliaan, kemudahan, kecukupan dengan memperalatkan penampilan kealiman dan kesahihannya. Bila muncul percikan riya’, dia pun mengatakan dalam dirinya: ‘Saya hanya bermaksud menampakkan ilmu dan amal agar orang mengikuti saya, agar orang mendapat hidayah kepada ajaran ini.’
Jika benar mereka ingin menunjukkan jalan kepada hidayah Allah kepada manusia, tentu sahaja dia merasa senang ketika manusia mendapat hidayah melalui selain tangannya. Ini kerana, sesiapa sahaja yang tujuan dakwahnya adalah untuk memperbaiki manusia, maka dia merasa senang ketika manusia menjadi baik melalui tangan sesiapa pun.
Orang yang berilmu, beramal dan mengawasi hati
Mereka adalah sekelompok manusia yang mendalami ilmu, membersihkan dan menjaga amal mereka serta mengawasi hati mereka dari sifat sombong, riya’ dan hasad. Tetapi masih ada sedikit tipu daya syaitan dan tipu daya jiwanya yang tersembunyi di ruang-ruang kecil di hatinya. Bahkan, dia tidak sedar kewujudannya.
Apabila dilihat, mereka ini bersungguh-sungguh dalam beramal sehingga memandang bahawa faktor pendorongnya adalah menegakkan agama Allah SWT. Tetapi pada kenyataannya terkadang pendorongnya adalah mengharap sebutan orang terhadapnya. Sehingga terkadang muncul sikap merendahkan yang lain melalui sikapnya menyalah-nyalahkan yang lain dan berasa dirinya lebih mulia dari yang lain.
Sumber: Majalah i keluaran Julai 2009, m/s 28, bahagian bakalan pendakwah.
8:02 AM | Labels: Sekadar Peringatan | 0 Comments
7 Wasiat Rasulullah SAW Kepada Kita
Mencintai orang miskin
Islam menganjurkan umatnya supaya prihatin kepada orang-orang miskin di kalangan kita. Banyak contoh tauladan yang boleh diambil dari lembaran sejarah yang menunjukkan Islam benar-benar menggalakkan umatnya membantu orang yang miskin seperti kisah Rasulullah SAW dengan seorang yahudi tua. Dari kalangan sahabat nabi SAW pula, kita boleh bertemu dengan kisah Umar Al-Khattab yang terkenal dengan sikap mesra rakyatnya.
Sebuah hadith dari Rasulullah SAW ini boleh dijadikan ikhtibar kepada kita betapa besarnya fadhilat yang Allah berikan kepada orang yang membantu orang yang berada dalam kesusahan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang menghilangkan satu kesusahan dunia dari seorang Muslim, Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di hari kiamat. Dan barangsiapa yang memudahkan kesulitan orang yang dibebani hutang, Allah akan memudahkan baginya di dunia dan di akhirat.” (Riwayat Muslim)
Melihat orang yang lebih rendah kedudukannya dalam hal metarial dunia
Rasulullah SAW memerintahkan kepada kita supaya melihat orang di bawah kita dalam konteks harta. Ini kerana, ia dapat menjadikan kita sentiasa bersikap qonaah (merasa cukup dengan apa yang Allah kurniakan kepada kita). Dengan kata lain, ia dapat mengelakkan kita dari membazir dan menjadikan kita seorang yang bersyukur dengan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.
“Lihatlah kepada orang yang berada di bawahmu dan janganlah melihat orang yang berada di atasmu, kerana hal demikian lebih patut agar kalian tidak meremehkan nikmat Allah yang telah diberikan kepadamu…” (riwayat Muttafaqun alaihi)
Tetapi sebaliknya dalam hal agama, ilmu, ibadah dan ketaqwaan kita seharusnya melihat kepada orang yang lebih atas daripada kita seperti orang-orang yang soleh, para shuhada’, ulama’, nabi dan rasul. Janganlah pula kita mengikut “orang-orang di bawah kita" seperti para artis, pemimpin yang korupsi dan orang yang sombong terhadap undang-undang yang telah ditetapkan Allah SWT.
Menyambung silaturahim kepada kaum kerabat
Islam juga menganjurkan umatnya supaya sentiasa menghubungkan silaturahim antara kaum kerabat dan yang lebih penting lagi antara orang Islam. selain itu, salah satu sifat orang yang beriman ialah sentiasa menghubungkan silaturahim. Malah, fadhilat bagi seorang Muslim yang menyambungkan silaturahim ini begitu besar sekali diberikan oleh Allah kelapangan rezeki dan umur yang panjang. Bahkan bagi mereka yang mengabaikan silatulrahim, Allah sempitkan hartanya, tidak memberi berkat umurnya dan tidak akan dimasukkan ke dalam syurga.
Memperbanyakkan ucapan ‘La haula walaa quwwata illa billah’
Rasulullah SAW memerintahkan umatnya supaya memperbanyakkan membaca ‘La haula walaa quwwata illa billah’ kerana ucapan ini sebenarnya mengandungi makna yang cukup besar iaitu kebergantungan atau kawakkal kita kepada Allah SWT. Apabila kita bertawakkal kepada Allah, bermakna kita percaya bahawa hanya dengan kuasa Allah sahaja sesuatu perkara yang kita lakukan itu akan memperolehi keberkatan daripadaNya. Malah, bagi mereka yang sentiasa bertawakkal kepada Allah dalam segala urusannya, maka ini bermakna seseorang itu tidak menyombong diri kepada Allah.
Antara kelebihan kalimat ini ialah seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Ya Abdullah bin Qois, mahukah aku tunjukkankepadamu atas perbendaharaan dari perbendaharaan syurga? Iaitu ‘La haula walaa quwwata illa billah’ (riwayat Muttafaqun alaihi)
Berani mengatakan kebenaran walaupun pahit
Pada waktu ini tidak ramai yang mampu mengatakan kebenaran di saat umat Islam semakin hanyut ke arah kebinasaan seperti melakukan perkara-perkara syirik, haram, bidaah dan mungkar. Malah, di akhir zaman ini, semakin ramai pula orang Islam temasuk ahli agama sendiri mendokong pemimpin-pemimpin yang terang-terangan membuat perkara keji dan mungkar sehingga menyebabkan banyak penyelewengan dan kerosakan berlaku di sekeliling kita. Ini semua terjadi kerana semakin ramai orang Islam
(termasuk ahli agama) tunduk kepada kehendak duniawi sehingga mengabaikan perintah Allah SWT yang menyeru umat Islam supaya tidak tunduk kepada kezaliman dan kebatilan.
Tidak takut celaan dalam berdakwah
Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa sesiapa yang berdakwah menyeru manusia ke arah kebenaran pasti akan ditentang oleh pihak yang sombong dan angkuh terhadap kebenaran. Maka, tidak hairanlah sekarang jika kita melihat pihak yang begitu istiqamah berdakwah menyeru kepada kebenaran pasti ditentang habis-habisan oleh pihak yang begitu tidak menyukai kebenaran iaitu ISLAM tertegak di bumi ini. Maka jalan seperti cercaan, penindasan, fitnah dan banyak lagi dijadikan medium untuk melumpuhkan pendokong yang menyeru ke arah kebenaran ini. Maka, janganlah sesekali kita takut dan berputus asa untuk menghadapi segala mehnah ini. Firman Allah: “Orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan tidak berasa takut dengan sesiapapun selain Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pembuat perhitungan” (Al-Ahzab: 39)
Tidak suka meminta-minta kepada orang lain
Orang yang dicintai Allah, rasul dan manusia adalah orang yang tidak meminta-minta. Mereka lebih suka berusaha mencari rezeki sendiri tanpa meminta-minta bantuan dari orang lain. Sabda nabi SAW: “Sungguh, seseorang dari kamu mengambil tali, lalu membawa seikat kayu, kemudian menjualnya, sehingga dengannya Allah menjaga kehormatannya. Itu lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada manusia” (Riwayat Bukhari).
9:13 PM | Labels: Sekadar Peringatan | 0 Comments
Semasa Praktikalku...
Usai sudah praktikalku. Sudah hampir seminggu aku meninggalkan Mardi Kuala Kangsar. Tetapi masih teringat di fikiranku rutin harianku setiap hari semasa aku berpraktikal. Bukan setakat itu sahaja, saya juga masih teringat bagaimana cara berkomunikasi dengan pekerja-pekerja lain yang sememangnya lebih tua dari saya. Bagaimana pula hendak berkomunikasi dengan staf- staf atasan yang sememangnya lebih tinggi “maqam” mereka dari saya. Dengan kata lain, apa yang saya alami itu semuanya bersangkut paut dengan “ilmu komunikasi untuk menjadi insan yang menarik”.
“Kenapa teruk sangat laporan awak ni ?!, kamu buat tergopoh-gapah ni. Isi kandungan tak de, bla bla bla….” Tanya penyeliaku dengan suara yang agak tinggi sedikit. Sebenarnya saya sudah agak yang saya bakal dimarahi kerana saya sendiri pun tahu laporan praktikal yang saya buat tu memang teruk. Maka saya sudah “bertawakkal” awal-awal sebelum saya dipanggil oleh penyelia saya itu. Sebenarnya, sudah banyak kali saya mengalami peristiwa “laporan yang tidak memuaskan.” Cuma kali ini saya mendapat sedikit imbuhan tambahan hasil kerja yang tidak sempurna iaitu dimarahi dengan penyeliaku. Inilah kali pertama saya dimarahi kerana laporan yang tidak memuaskan.
Tetapi, ada suatu kata-katanya yang menyebabkan saya benar-benar rasa sedikit terkesan ketika penyeliaku, Encik Zahidi menasihatiku, katanya:
“Kalau awak buat report tu buatlah elok-elok. Nanti bolehlah saya letakkan report awak di library Mardi nanti. Bila ada student praktikal lain refer awak punya laporan, awak juga yang dapat pahala.” Terkejut juga saya dibuatnya. Disebabkan itu, secara tidak langsung penyeliaku ini telah memberitahuku suatu yang amat penting iaitu berkenaan “Ihsan di dalam pekerjaan kita seharian.”
Inilah ramuan yang selama ini saya dan kebanyakan dari kita terlepas pandang. Sebelum ini aku hanya mempraktikkannya di dalam solat. Itupun masih belum berjaya sepenuhkan tetapi kali ini perlunya kita aplikasikannya di dalam segala amal kita sehari-harian. Supaya apa yang kita buat dapat membuahkan hasil yang lebih berkualiti. Allah SWT menyukai jika kita melakukan sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh.
Selepas solat jumaat…
Semasa berlansungnya Agrofest di Sungai Siput, Mardi Kuala Kangsar telah membuka sebuah gerai menjual benih dan anak pokok. Disebabkan waktu praktikalku yang masih belum tamat, maka secara automatiknya saya menjadi juru jual pula. Takpe la, pengalaman punya pasal. Maka saya pun menjual la.
Agrofest negeri Perak diadakan selama 4 hari bermula hari khamis hingga hari Ahad. Kebetulan semasa hari jumaat tersebut saya dengan seorang pegawai Mardi Kuala Kangsar yang bernama Encik Salmizi bersama ke Masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat.
Semasa di dalam keretanya selepas solat Jumaat, beliau bertanya kepadaku…
“Awak tau tak untung gerai Mardi berapa semalam (hari Khamis)?” Tanya beliau.
“Entah la encik, berapa encik?” soalku balik kepadanya.
“Awak yang duduk kat gerai pun tak tahu. Saya tahu. Macam mana nak jadi pegawai nanti.” Sindirnya kepada aku.
“ semalam kita dapat 1000 lebih. Awak kalau jadi pegawai nanti awak kena ambil tahu hal-hal di bawah awak. Ambil tahu sikit pun jadi la. Nanti bila orang tanya, kita boleh jawab.” Tambahnya lagi.
“Betul jugak ya.” Kataku sebagai tanda kurangnya aku dari sudut ini. Inilah sudut pandang orang atasan… Orang atasan yang prihatin. Itu yang terbaik.
Semoga kita boleh menjadi seperti ini walaupun kita bukanlah seorang yang berpangkat tinggi. Untuk menjadi seorang yang penting, menarik dan prihatin tidak semestinya kita perlu menjadi seorang yang berpangkat. Memadai jika kita berkhidmat kepada orang di sekeliling kita sedaya upaya kita.
Kisah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Abu Zar r.hu boleh dijadikan tauladan kepada kita. Ketika mana beliau menolak segala kenikmatan dunia hatta jawatan yang tinggi pun ditolaknya, tetapi lidahnya tidak pernah diam dari mengatakan kebenaran di hadapan pegawai yang telah mula menghimpunkan harta sehingga mengabaikan rakyat jelata seperti pada zaman pemerintahan khalifah Uthman r.hu. Sehinggakan beliau mendapat sanjungan yang tinggi oleh masyarakat sekeliling ke mana sahaja beliau pergi kerana keberaniannya dalam mengatakan kebenaran.
Semoga kita dalam menjadi seperti beliau.
Wallahu a’lam…
4:06 PM | Labels: Sekadar Peringatan | 0 Comments
Moralitas seorang Uncle India
“Baru semalam je melawak dengan Samy. Melawak gila-gila punye. Gelak macam apa lagi” Kata seorang dari pekerja di tempat aku berpraktikal.
“Tak sangke ye, tiba-tiba je mati. Semalam main ping pong elok je.” Kata seorang lagi.
Pada petang selepas zohor pada hari itu, tempat saya berpratikal dilanda kemurungan disebabkan seorang pekerja lama yang berbangsa India telah “pergi” akibat sakit jantung.
Sebelum itu, suami kepada seorang pebantu penyelidik di sini juga baru meninggal dunia. Tetapi ia tidak begitu memberi impak yang kuat untuk pekerja-pekerja di sini. Tetapi berita tentang kematian seorang pekerja di sini cukup membuatkan semua pekerja di sini tidak bermaya untuk membuat kerja.
Daripada apa yang mereka (pekerja) ceritakan, apa yang saya dapat tangkap ialah mereka selalu bercerita tentang kebaikan-kebaikan uncle Samy yang berbangsa India itu. Jauh di sudut hatiku, aku juga berasa seperti apa yang pekerja-pekerja ini rasa kerana aku juga pernah bersama-sama uncle yang seorang ini dalam beberapa situasi.
“Hebat Uncle Sami ni.” Kata hatiku apabila sedang mendengar kerancakan mereka yang sedang bersembang. Saya hanya tumpang sekaki je kat tempat mereka bersembang. Seronok juga melepak ramai-ramai macam tu. Tapi yang tidak eloknya ialah perbuatan macam itu mengurangkan keberkatan rezeki mereka yang bekerja makan gaji.
Apabila ramai manusia yang bercakap tentang kebaikan seseorang tanpa pengetahuan orang yang dibualkan, ini mengambarkan orang yang dibualkan itu mempunyai akhlak yang terpuji yang disenangi oleh orang disekelilingnya. Bahkan aku sendiri menyukai Uncle yang seorang ni.
Tetapi itulah yang kurang pada diri seorang Muslim sehinggakan “kekurangan” ini menyebabkan Islam terfitnah kerananya.
“Saya tak suka la laki yang suka kacau saya tu. Pastu bila tak layan dia kata kita sombong.” Bentak seorang rakan sepraktikalku yang berbangsa Cina. Saya terdiam buat seketika untuk memikirkan jawapan yang terbaik untuk dibalas. Mana tidaknya, yang mengacau rakan saya yang berbangsa Cina ini ialah seorang Islam. Agak-agaknya, apa jawapan yang patut kita balas kepada seorang yang bukan Islam yang melahirkan reaksi negatif seperti ini?
Saya tinggalkan untuk anda…
Alangkah beruntungnya Islam jika kita dapat melahirkan Muslim yang cantik akhlaknya. Cukuplah akhlak yang terpuji untuk dijadikan modal untuk berdakwah. Sekeras-keras mana pun hati seseorang itu jika berhadapan dengan seorang yang bersih hatinya, tinggi moralitasnya dan molek akhlaknya, dengan izin Allah akan cair juga hati yang keras itu. Bukan tidak perlu pelekat- peletak Islamic dan yang sewaktu dengannya, tetapi sesuatu yang lebih penting dari itu iaitu qudwah hasanah perlu diberi perhatian yang serius. Membentuk diri untuk memilikinya sesuatu yang wajib kerana tingginya iman seseorang dan beratnya timbangan amal seseorang itu terletak pada keluhuran akhlak.
Pernah juga beberapa kali saya berasa berat hati untuk memakai baju kegemaranku yang terpampang di belakang baju itu slogan “ISLAM IS THE WAY OF LIFE” kerana memikirkan tentang akhlakku yang sentiasa dihakimi di setiap mata yang melihatnya. Bukan kerana malu untuk berdakwah, tetapi kerana saya memikirkan “ADAKAH AKU SUDAH CUKUP BAIK UNTUK MENJADI CONTOH IKUTAN YANG BAIK.” Itulah yang menggusarkan hatiku kerana aku risau disebabkan akhlakku, Islam tercemar.
Jika seorang yang bukan Islam boleh disenangi oleh orang Islam. Mengapa ada dari kalangan kita tidak boleh disenangi oleh orang bukan Islam sedangkan kita bersolat dan melakukan lain-lain ibadah fardhu dan sunat setiap hari?
Perlu untuk kita “tengok-tengok” balik kualiti solat dan Ibadah lain yang kita lakukan kerana prestasi akhlak yang terpamer dari dalam diri kita adalah penanda aras kualiti ibadah kita. Kualiti ibadah pula berkait rapat dengan keutuhan pegangan kita terhadap tali Allah SWT.
Wallahu a’lam…
8:43 PM | Labels: Sekadar Peringatan | 0 Comments
Ibadahku…
“semalam membunuh, hari ini buang anak. Ishh, banyaknya jenayah.” Risau kita dibuatnya. Tiap-tiap hari ada sahaja jenayah baru yang terdapat dalam surat khabar. Tetapi, yang terpapar di dada-dada akhbar hanyalah cebisan sahaja. Bagaimana pula dengan kes yang tidak dilaporkan?
Kebanyakan jenayah yang dilakukan adalah oleh orang Islam. Orang yang menganut agama yang sejahtera. Tetapi mutakhir ini, kebanyakan orang Islam sekarang seolah-olah “beragama tetapi tidak bertuhan.”
Sindrom ini bukan sahaja berlaku dalam konteks sosial semata-mata, tetapi ekonomi dan politik juga tidak terkecuali daripadanya. Dengan kegagalan sistem kapitalisme, sedikit sebanyak hal ini membuka mata kita untuk beralih kepada sistem yang syumul, sistem kewangan Islam iaitu dinar emas. Tetapi yang “terbuka mata” itu hanyalah sedikit. Yang paling “hot” ialah di dalam bidang politik. Saya yakin kebanyakan orang mesti pening lalat dan kecewa dengan apa yang berlaku di Perak.
Situasi di Perak bolehlah dikiaskan seperti sekumpulan perompak yang masuk tanpa beradab ke dalam rumah orang lain lalu menendang dan menghalau keluar tuan rumah dari rumahnya. Selepas itu, ketua perompak itu mengistiharkan bahawa rumah yang dirompak itu adalah rumahnya. Haaaa, inilah kiasan kepada apa yang berlaku di Perak. Apakah perasaan anda jika anda ialah tuan rumah itu? Tuntasnya, apa yang berlaku di Perak mengambarkan kepada kita lemahnya sistem raja berpelembagaan yang kita amalkan sekarang.
Semua yang terukir di atas adalah cebisan dari perbuatan-perbuatan orang Islam yang “beragama tetapi tidak bertuhan”.
Tetapi situasi sebaliknya berlaku di Barat. Mereka berpolitik tetapi mereka begitu menjunjung sistem politik mereka sehingga sukar untuk kita mendengar ada pemimpin yang melakukan politik wang. Kehidupan mereka di sana teratur cantik dengan pelbagai disiplin dan mereka ikutinya. Di sana, tergambar kecantikan, dan keindahan yang sepatutnya ada di tangan orang Islam. Walaupun tidak dapat dinafikan dari satu sudut yang lain seperti sosial mereka begitu teruk, tetapi mengapa yang teruk itu kita pilih?
Tuntasnya, mereka di Barat hidup “bertuhan tetapi tidak beragama”. Mana tidaknya, mereka tidak solat dan tidak tahu pun apa itu solat. Puasa, zakat, haji dan lain-lain ibadah lagilah mereka tidak tahu. Tetapi, dalam kehidupan mereka tergambar kesan-kesan ibadah yang orang Islam lakukan. Di Negara orang Islam pula, kita bersolat, berpuasa dan sebagainya tetapi terjemahan daripada ibadah yang kita lakukan itu langsung tidak nampak.
Ihsan
“Beribadahlah kamu seakan-akan kamu melihat Allah. Jika kamu tidak sampai kepada upaya itu, maka sekurang-kurangnya rasakanlah yang Allah itu melihat kamu.” Sedikit dari hadith Iman, Islam dan Ihsan. Bukan senang tetapi tidak mustahil untuk istiqamah dengannya. Dengan merasakan Ihsan sahaja sebenarnya sudah cukup untuk melahirkan Muslim “beragama yang bertuhan”. Dengan menghayati Ihsan sahaja “perompak besar” tidak jadi merompak, hutang RM 50 dibayar dengan harga yang sama nilai dan berkuranglah perzinaan dan jenayah-jenayah lain. Maka akan lahirlah Muslim sejati yang sempurna aqidahnya, mantap ibadahnya dan indah akhlaknya.
Masalahnya…
Cuma dengan satu syarat sahaja, jangan jadikan ibadah kita sebagai ritual agama semata-mata. Ini kerana fenomena inilah yang telah tertanam dalam kehidupan orang Islam sekarang. Bersolat, tetapi tiada kesannya ke atas hidup seseorang Muslim itu. Maka, apa gunanya kita bersolat jika tiada kesan positif terhasil daripadanya. Bukankah solat itu mengajar kita untuk menepati waktu, melakukan sesuatu perkara dengan cermat dan teratur dan banyak lagi?
Wallahu a’lam…
8:35 PM | Labels: Sekadar Peringatan | 0 Comments
Pencangkul, Cangkul dan Tanah yang Dicangkul
Pada hari selasa lepas, aktiviti praktikal aku ialah menanam pokok hiasan di hadapan pintu masuk utama Mardi Kuala Kangsar. Haaa, apabila hendak menanam mestilah kena mencangkul. Penatnya hanya Allah yang tahu. Mana tidaknye, setelah berkurun-kurun aku tak menghayun cangkul, hari itu aku kembali menghayun. Tetapi semasa aku sedang mencangkul, aku terfikir sesuatu…
Situasi pertama ialah semasa di awal waktu aku mencangkul, seperti biasa tenaga badanku waktu itu mestilah ok lagi. Di pagi yang agak dingin itu aku menghayunkan cangkul sekuat hatiku ke atas tanah, tetapi… “Aik, sikitnya?” Tanah yang terkorek betul - betul sedikit. Langsung tidak memadai dengan jumlah tenaga yang dikeluarkan. Aku terus mencangkul. Semasa aku sedang mencangkul, fikiran aku juga sedang ligat berfikir bagaimana nak mengatasi masalah ini. Walaupun tanah yang terkorek hanyalah sedikit, aku terus mencangkul dengan menggunakan kudrat yang masih ada sehinggalah aku termengah-mengah keletihan. Aku terus berfikir…
Situasi kedua pula, aku terus mencangkul di atas jenis tanah yang keras juga walaupun tenagaku pada waktu itu sudah banyak kekurangan dan kemalasan semakin menebal. Haha,aku tetap menghayunkan cangkul sekuat hatiku ke atas tanah. Selepas beberapa ketika, penyeliaku telah menyuruh aku menggunakan cangkul yang satu lagi. Aku akur pada perintahnya. Mungkin penyeliaku kesian tengok aku kot. Hehe, maklumlah, aku sorang je lelaki yang berpraktikal kat situ, lagi 2 orang adalah perempuan. Faham-faham je la.
Seperti biasa, aku menghayunkan sekuat hatiku dan tiba-tiba hatiku sedikit gembira. “Banyak juga tanah yang terkorek.” Hatiku berkata begitu kerana tanah keras yang tercangkul agak berbaloi dengan jumlah tenaga yang digunakan. Tetapi fikiranku terus bermusafir mencari jawapan kepada suatu persoalan yang masih tidak terjawab di hatiku.
Situasi ketiga, aku teruskan mencangkul tetapi di atas jenis tanah yang agak lembut. Aku hanya mengetahuinya selepas aku menghayun cangkul pada kali pertama. Selepas itu, aku hanya menggunakan kudrat yang tidak begitu banyak untuk mencangkul di atas jenis tanah ini. Fuhhh, lega-lega.
Akhirnya aku mendapat jawapan kepada persoalan yang bermain-main di kotak fikiranku. Tanah yang keras itu bolehlah diibaratkan dengan masyarakat yang tidak faham, tidak menghayati dan tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian. Cangkul pula diibaratkan seperti metode dakwah yang kita gunakan dan kudrat pula ialah tenaga, masa dan segala-galanya yang pendakwah gadaikan untuk dakwah.
Untuk ketiga-tiga situasi di atas, kesilapan kita dengan memilih metode dakwah yang salah dan tidak sesuai untuk menghadapi suatu keadaan masyarakat contohnya yang agak jahil tentang Islam boleh merugikan para pendakwah. Maka, perlunya kita untuk mengkaji situasi atau keadaan suatu masyarakat sebelum kita turun kepada mereka. Selepas kita mengenal pasti secara mendalam jenis masyarakat yang bakal dihadapi, kita perlu pula menyediakan pendakwah yang sesuai untuk menghadapi sesuatu keadaan itu.
Maka, untuk menyediakan pendakwah yang dapat mengikuti rentak budaya masyarakat sekeliling, cara dan bagaimana pula pendakwah dibentuk perlu diberi penekanan. Contohnya, jika masyarakat di sekeliling kita adalah masyarakat yang berorientasikan keintelektualan, studi, peperiksaan dan keputusan yang cemerlang, maka perlunya kita menyediakan pendakwah yang mantop studi dan keputusannya. So, perlunya kita sama-sama fikirkan bagaimana hendak melahirkan pendakwah yang mempunyai keputusan yang amat gempak lagi cemerlang dan yang boleh bekerja untuk Islam kerana antara sumber utama kejayaan dakwah Islamiyyah itu terletak pada qudwah hasanah.
Sekali lagi kita perlu bermuhasabah di mana silap kita selama ini. Pendakwah yang hebat keputusannya walaupun sederhana komitmen gerak kerjanya untuk Islam lebih baik dari mereka yang kuat gerak kerja mereka tetapi keputusan peperiksaan teruk macam tidak studi langsung.
Wallahu a’lam…
4:15 AM | Labels: Sekadar Peringatan | 4 Comments
"Di Sana” dan “Di Sini”
Alangkah seronok dan gembiranya mereka-mereka yang berjaya merahsiakan apa yang mereka lakukan tanpa diketahui oleh orang lain. Mana tidaknya, hasil kejahatan yang dirahsiakan, mereka yang menipu itu mendapat banyak keuntungan dunia dan yang paling mengembirakan mereka, lawan mereka yang sentiasa menyaingi mereka terkepai-kepai lemas dibuat oleh puak-puak yang zalim ini.
Biasalah, di dunia kita dapat menyorok kejahatan yang kita lakukan sebagaimana pelakon yang melakonkan watak tertentu, tetapi kita tidak tahu kelakuannya yang sebenar. Begitu juga dengan manusia-manusia di sekeliling kita, mungkin yang duduk di sebelah kita semasa mendengar ceramah adalah perisik yang kerjanya nak jatuhkan Islam. Hanya Allah SWT yang tahu.
Tetapi perlu diingat, tidak kira seseorang itu menteri atau pegawai kerajaan, perasuah atau perampas, semua yang mereka lakukan itu hanya dapat disorok di dunia sahaja. Tetapi di akhirat kelak, tiada satu pun dapat kita sembunyikan kerana semuanya akan terdedah dan terbongkar. Bukankah perkara ini amat penting untuk kita hayati?
Di akhirat kelak kita juga tidak dapat untuk melakukan apa pun kepada diri orang lain. Di dunia, kita mampu untuk menolong dan melakukan perkara-perkara lain kerana kita mempunyai kelebihan. Penindas dapat menindas orang bawahannya kerana mempunyai kuasa. Pendidik dapat memberi tunjuk ajar kepada pelajarnya kerana ilmu yang ada padanya. Perasuah dapat memberi rasuah kerana duit haram yang ada padanya.
Tetapi di akhirat sana, tiada lagi orang yang akan ditindas atau tertindas, memberi atau diberi dan sebagainya kerana di sana kelak ialah hari perhitungan, bukan hari untuk beramal. Masing-masing membawa nasib diri masing-masing. Jika ada amal yang baik dilakukan semasa di dunia, maka ia akan menjadi pemberat mizan kelak. Jika banyak amalan yang buruk maka bersiap sedialah untuk ke neraka.
Padah Orang yang Zalim
Allah SWT berfirman :
" Dan janganlah sesekali kamu menyangka, bahawa Allah lalai daripada apa yang diperbuat oleh orang-orang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai waktu mata (mereka) terbeliak.” (Ibrahim : 42)
Ayat ini Allah SWT hadapkan kepada orang-orang yang zalim. Maka, jangan sesekali kita menyangka bahawa Allah itu lalai terhadap apa yang orang zalim lakukan kerana Allah telah berjanji bahawa Allah akan membalas balik apa yang orang zalim lakukan di akhirat kelak.
Orang yang zalim juga janganlah sesekali menyangka bahawa apabila tiada bala bencana yang Allah turunkan kepada meraka, mereka boleh melakukan terus menerus kezaliman. Tetapi, wajib kita pasakkan dalam sanubari kita bahawa mereka-mereka yang melakukan kezaliman ini sebenarnya telah mencabar Allah SWT kerana sesungguhnya Allah mehendaki keadilan serta berlaku ihsan tertegak di bumi ini. Firman Allah SWT :
“ Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi (pertolongan) kepada kaum kerabat, dan Alla melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan kemusnahan…” ( Al-Nahl : 90)
Apabila ada dikalangan kita yang berlaku zalim, ingatlah bahawa azab Allah SWT itu amatlah pedih lagi mengerikan. Di sana kelak, orang yang zalim akan melihat sendiri dasyatnya balasan Allah SWT.
Mungkin di sini, kita boleh menindas dan berlaku tidak adil kepada orang di bawah kita. Pemimpin kepada rakyat, majikan kepada pekerja dan sebagainya. Tetapi di sana kelak orang yang melakukan kemungkaran pasti akan menerima balasannya kembali.
Tiada Mahkamah Rayuan Lagi
Salah satu nama akhirat ialah Yauma la maradda lahu minallah yang bermaksud, Tidak ada (mahkamah) rayuan setelah Allah SWT menjatuhkan hukuman. Sesungguhnya keputusan Allah itu muktamad. Maka, tidak perlulah lagi mahkamah rayuan seperti di dunia.
Di dunia, bolehlah kita nak buat rayuan apabila keputusan telah diputuskan oelh hakim dengan pelbagai factor luaran yang boleh menyebabkan keputusan yang sepatutnya telus boleh terpesong. Sehinggakan hakim mahkamah juga boleh diragui kredibilitinya.
Itu semua hanya berlaku di dunia. Hanya di sini orang yang bersalah boleh merasuah dan menyorok kebenaran. Tetapi tidak di sana, orang yang berlaku zalim tidak lagi boleh merasuah sesiapa dan hakimnya pula Maha Adil lagi Bijaksana.
Firman Allah SWT :
“Oleh kerana itu hadapkanlah wajahmu kepada agama yang lurus (Islam) sebelum datang dari Allah suatu hari yang tidak dapat ditolak (kedatangannya).” (Ar-Rum : 43)
Sumber rujukan : Bertemu Janji Allah – Tuan Guru Nik Aziz
2:34 AM | Labels: Peristiwa Terkini | 0 Comments
Romantika Rasulullah SAW
Rasulullah SAW merupakan hamba Allah yang begitu sibuk. Kerja Rasulullah SAW bukan kerja biasa-biasa. Selain menyebarkan Agama Allah dengan pelbagai metode termasuk berperang, Rasulullah SAW juga seorang ketua negara, pemimpin masyarakat dan lain-lain lagi.
Tetapi, sesibuk-sibuk Nabi SAW, semua isteri baginda tidak pernah merungut tentang ketidakadilan Nabi SAW terhadap mereka. Malah, isteri-isteri baginda semuanya memuji-muji baginda SAW. Apakah rahsianya :
Menyanyangi isteri sepenuh hati.
Haaaa, kalau cakap memang senang. Tapi, nak buat memang susah lagi payah. Saya cakap macam saya dah kawen pulak. Kui kui… kenapa? Sebab semakin ramai sayang “isteri” mereka sebelum kawen lagi. Naik motor berdua-duaan mengalahkan orang yang sudah kawen. Dasyat.. Makan berdua-duaan seperti orang yang baru kawen. Semua ini hanya menyebabkan perasaan sayang terhadap isteri selepas berkahwin menjadi kurang. Maka tidak hairanlah banyak pasangan muda kini paling ramai bercerai.
Itu dari satu sudut. Kalau kita lihat dari sudut yang lain pula Rasulullah SAW sangat menyanyangi Khadijah r.a dan telah tinggal bersama Khadijah selama suku abad dan pastinya banyak merasai saat suka dan duka. Antaranya :
Khadijah membantu Nabi SAW ketika saat genting dan sukar.
Khadijah bersama-sama membantu Nabi SAW menyebar risalah Islam.
Khadijah menyertai Baginda SAW dalam jihad menegak agama Allah.
Dia mengorbankan kepentingan diri dan harta-bendanya.
Rasulullah SAW bersabda : “Dia, Khadijah beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku, dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakan aku, dia berkongsi denganku harta bendanya ketika orang ramai menghalangku.” (Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad 6/118)
Romantik
Tidur bersama isteri dalam satu selimut - Daripada Atha’ bin Yasar : sesungguhnya Rasulullah SAW dan Aisyah r.a selalu mandi bersama dalam satu bekas. Danpernah suatu ketika Baginda tidur dengan Aisyah r.a dalam satu selimut, tiba-tiba Aisyah bangun. Baginda kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangun?” Jawab Aisyah, “Kerana saya haid wahai Rasulullah.” Sabda Rasulullah, “Kalau begitu pergilah, dan pakaikan kain dan dekatlah kembali padaku.” Aisyah pun masuk, lalu berselimut bersama Baginda.” (Riwayat Sa’id bin Mansur)
Saling memakai wangian – Aisyah r.a berkata, “Sesungguhnya Nabi SAW apabila meminyakkan badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan naurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri Baginda meminyakkan bahagian lain daripada tubuh Rasulullah SAW.” (Riwayat Ibnu Majah)
Mandi bersama isteri – Daripada Aisyah r.a beliau berkata, “Aku pernah mandi bersama Nabi SAW menggunakan satu bekas. Kami bersama-sama memasukan tangan kami (ke dalam bekas tersebut).” (Riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)
Minum menggunakan bekas yang sama – Daripada Aisyah r.a, dia berkata, “Saya pernah minum daripada cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu baginda minum. Kemudian saya mengambil cawan tersebutlalu menghirup airnya, kemudian Baginda mengambilnya daripada saya,lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu baginda pun menghirupnya.” (Riwayat Abdurrazaq dan Said bin Mansur)
Membelai isteri – “ Adalah Rasulullah SAW tidaklah berlalu setiap hari melainkan beliau mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama (Bersetubuh) sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjagi giliran Baginda., lalu Baginda bermalam di sana.” (Riwayat Ahmad)
Mencium isteri – “Daripada Hafshah, puteri Umar r.a : “ Sesunguhnya Rasulullah SAW mencium isterinya sekalipun sedan berpuasa.” ( Riwayat Ahmad)
Berbaring di pangkuan isteri – Daripada Aisyah r.a., “Nabi SAW meletakkan kepalanya dipangkuanku walaupun aku sednag haid, kemudian Baginda membaca al-Quran.” ( Riwayat Abdurrazaq)
Panggilan mesra – Rasulullah SAW memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Humaira’ (si pipi merah delima).
Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra – Nabi SAW memicit hidung Aisyah r.a. sekiranya beliau marah dan Baginda berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa : Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.” (Riwayat Ibnu Sunni)
Memberi hadiah – Satu hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad diberitakan bahawa Ummu Salamah dan isteri-isteri Baginda SAW yang lain telah mendapat hadiah daripada Baginda SAW kerana hadiah yang sepatutnya diberikan kepada Raja Najasyi telah dikembalikan kepada Nabi SAW.
Subhanallah, romantiknya Nabi SAW. Moga kita dapat mengambil tauladan dari akhlak Nabi SAW di atas. Tetapi, untuk mempratikkannya seseorang itu mestilah kahwin secara sah dulu ya. Jangan nak gatal cuba-cuba sebelum kahwin.
Ingat, ini sunnah… besar ganjarannya bagi mereka yang menghidupkan sunnah. Baru bahagia rumah tangga. Wallahu a’lam…
Sumber Rujukan : Majalah Solusi, Isu no. 7, ruangan Intisari Pedoman dari Sirah
2:28 AM | Labels: Sekadar Peringatan | 0 Comments
AllahuAkhbar !!!
Imam al-Ghazali berkata apabila kita panjang angan-angan maka akan muncullah 4 jenis penyakit:
Seorang ini akan panjang cita-citanya – maka seseorang itu akan lupa perkara yang lebih afdhal untuk diingati iaitu mati. Apabila seseorang itu sudah lupa mati maka seseorang itu cenderung untuk melengah-lengahkan amal kebaikan kerana disangkakannya dia akan hidup lama lagi disebabkan terlalu banyak perancangan dan perkara yang difikirkan di dalam kepalanya.
Gopoh-gapah – seseorang itu menjadi cenderung untuk mengejar kenikmatan duniawi kerana dirisaukannya akan habis harta atau jawatan yang dikejar itu. Biasalah, harta dunia itu sikit tetapi ramai manusia yang mengejarnya termasuk mereka yang “sentiasa bersemangat ingin memperjuangkan agama, bangsa dan Negara.” Tetapi nikmat-nikmat akhirat di akhirat sana yang begitu banyak tidak ramai pula yang ingin mengejarnya.
Hasad – seseorang yang terkena penyakit ini mudah sangat dengki kepada seseorang yang dikurniakan nikmat lebih daripadanya. Malah yang lebih menakutkan, orang yan terkena penyakit ini suka sangat membalas dendam dan cuba merampas apa yang ada pada orang lain.
Takabbur – ini pun sama bahaya dengan penyakit-penyakit di atas. Sudahlah dengki, nak sombong pula dia. Udah la kome, tak lame la orang yang sombong ni, pastu tersunggkur la die. Moga peristiwa yang baru berlaku di Perak boleh dijadikan pengajaran kepada puak yang satu ini.
Semua penyakit-penyakit ini hanya menambahkan berat dosa kita sahaja. Antara buruknya dosa ialah dosa akan menyusahkan perjalanan kita menuju Allah. Dosa itu berat. Jikalau kita sentiasa menangguh untuk memohon keampunan kepada Allah, ditakuti dosa yang banyak tertanggung di atas kita menyebabkan kita semakin culas untuk mengingati Allah. Inilah jawapan kenapa tidak ramai yang boleh iltizam dengan qiammullail.
Tuntasnya, kita kena selalu minta ampun dari Allah SWT kerana Allah SWT suka berjumpa dengan hamba-hambanya yang “bersih” sahaja.
Alhamdulillah, hari ini hari yang paling mengembirakan bagi semua orang yang inginkan keadilan tertegak di bumi Malaysia dan di bumi Perak khususnya setelah sudah beberapa bulan demokrasi Perak dicabul kehormatannya oleh pihak yang rakus dan tamak akan kenikmatan dan kemewahan dunia ini.
Walaupun pada mulanya ramai dari golongan yang rindukan keadilan ini “macam dah tahu” bahawa jawatan Menteri Besar Perak milik YB Zambry, tetapi siapalah tahu Allah SWT punya kuasa. Kita hanya mampu merancang tetapi Allahlah yang memutuskannya. Bukankah doa itu senjata orang Mukmin?
Percaya atau tidak mahu percaya YB Nizar yang menjadi Menteri Besar Perak. Syabas kepada YB Nizar dan kepada semua pengerak keadilan kerana terus gagah menentang kuasa taghut sekalipun menghadapi seribu satu mehnah yang tiada kesudahannya.
Walaupun Mahkamah Rayuan menerima rayuan pihak itu supaya menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi, tapi tidak mengapa kerana perancangan Allah itu Maha Hebat lagi Terancang. Kejahatan pasti akan roboh tersungkur di atas bumi kaki sombong mereka memijak dengan megahnya dan kebenaran itu pasti dimenangkan Allah SWT. Itu janji-Nya.
Ingatlah doa adalah senjata orang yang beriman. Tawakkallah hanya kepada Allah, bukan kepada bomoh khurafat.
Wallahu a’lam…
6:33 AM | Labels: Peristiwa Terkini | 0 Comments