Jutawan Klik!!!

Kedudukan Hati dalam Diri

Tiap da’i hendaklah insaf bahawa pengisian hatinya hendaklah lebih diutamakan dari segala-galanya. Kalau jasad dan akalnya diberi habuan dan ubatan untuk berfungsi dengan sempurna, maka demikianlah juga hati. Ia patut meningkatkan dan menjaga hatinya. Dengan hati inilah ia menjadi da’I, ia menjadi mukmin yang sebenar. Dengan hati ini juga ia boleh menjadi rabbani.
Kalau da’i tidak ‘abid dan tidak bersifat rabbani, maka tidaklah ada ertinya sama sekali, walaubagaimanapun ilmu dan pencapaian ilmiahnya, sebab ilmu dan pengetahuannya (ternyata) tidak dibangunkan atas dasar taqwa kepada Allah dan mencari kerelaannya.
Dalam konteks menjelaskan betapa tingginya kedudukan hati, Rasulullah SAW menyifatkannya seperti berikut: “Manusia itu dua matanya (ibarat) petunjuk, dua telinganya sebagai pemberi isyarat awas, lisannya sebagai penterjemah, dua tangannya sebagai sayap, dua kakinya ialah posmen, hatinya pula sebagai raja. Kalau rajanya baik, maka baiklah bala tenteranya.”

Tanda Hati Masih Hidup

Tiap da’i wajib memerhati, mengambil berat perkembangan hatinya. Dengan demikian ia dapat meneliti keras lembutnya, darjah kepekaannya. Ia dapat memastikan apakah hatinya masih hidup atau sudah mati.

Antara tanda-tanda hatinya masih hidup ialah ia masih boleh bergetar dan teralun oleh zikrullah, bacaan al-Quran dan pelbagai jenis ibadah. Selaras dengan firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut “Allah”, gementarlah hati mereka, dan apabila dibaca ayat-ayatNya, bertambahlah imannya dan kepada tuhanlah mereka bertawakkal.”

(al-Anfal: 2)

Antara tanda-tanda yang menunjukkan hati masih hidup ialah kuatnya seseorang itu berpegang kepada agama. Keberaniaannya menyatakan yang hak. Tidak takut kecuali kepada Allah SWT. Tepat seperti yang dibayangkan oleh Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya di bumi Allah ini terdapat bejana-bejana; iaitu hati-hati (hambanya). Yang paling disayanginya ialah yang paling lembut, paling jernih, paling teguh. Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan lagi yang paling teguh berpegang kepada agama, paling jernih dalam kenyakinannya dan yang paling lembut terhadap sahabat.”

Antara petunjuk yang menandakan hati masih hidup ialah takutnya seseorang itu terhadap Allah dan kemurkaanNya. Ia menjauhkan diri dari segala yang diharamkan oleh Allah dan mengelakkan diri dari penderhakaan. Selaras dengan firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ketika mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka segera mengingati “Allah” dan ketika itu juga mereka sedar kesalahan-kesalahannya.”

(al-A’raf: 201)

Pendakwah dan Kepentingan Memelihara Hati

Antara tanda-tanda hati masih sihat ialah bersih dari keinginan menipu, dengki dan permusuhan. Dalam hadith rasulullah SAW ada diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya: “Siapakah orang yang paling baik, ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah SAW: “Tiap mukmin yang makhmumul qalbi.” Beliau ditanya: “Apakah yang dimaksudkan dengan makhmumul qalbi?” Beliau menjawab: “Iaitu orang yang amat bertaqwa, tidak menipu, zalim, khianat, mengambil yang bukan hak dan tidak menaruh hasad dan dengki.”
Antara yang membuktikan hati masih selamat adalah sifat tenang dalam menghadapi sebarang keadaan. Sifat lapang dada dan jauh pandangan. Rasulullah SAW pernah menafsirkan maksud ayat:

“Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya.”

(al-Zumar: 22)

Nur ilahi kalau menerangi hati seseorang, maka dadanya menjadi lapang dan banyak sabar. Inilah juga yang dimaksudkan oleh firman Allah SWT:

“Hanya dengan mengingati Allah sahaja segala hati menjadi tenang tenteram.”

(al-Ra’d: 28)
Dari penjelasan di atas nyatalah bahawa para pendakwah hendaklah mengambil berat tentang pemeliharaan hatinya. Hatinya hendaklah sentiasa dijamu dengan santapan dan bekal ruhani sehingga menjadi rabbani, jernih dan cerah, sentiasa takut kepada Allah dan senantiasa dalam ketenangan.

Manusia unggul yang kita teladani; Muhammad SAW telah mengajar kita cara memelihara hati supaya senantiasa subur dan bersih. Dalam kesempatan ini kita akan huraikan beberapa contoh ajaran dari sunnahnya untuk menjadi pedoman kepada sesiapa yang hendak menurut menjejak langkah orang-orang yang tinggi martabat ruhaniyyah mereka dan ingin mencapai darjat Rabbaniyyin.

Zikrullah

Seorang pendakwah tentunya tidak sukar untuk memberikan perhatian berat kepada amalan zikir dan mengingati Allah; dalam setiap kesempatan dan tindakannya. Rasul telahpun mewariskan kepada kita beberapa amalan zikir yang boleh dibaca dalam sehari semalam. Doa-doa ma’thurat itu kalau dihafal dan diamalkan selalu, menurut kaifiyat dan masanya nescaya ia boleh tergolong dalam golongan Ulul-Albab, sesuai dengan firman Allah SWT:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (Ulul-Albab), (iaitu) mereka yang mengingati “Allah” sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Rabbana! (Tuhan kami), tiadalah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, lantaran itu peliharalah kami dari ‘Azab nerakaMu!”

(Ali-‘Imran: 190-191)
Dengan mengingati Allah hati akan hidup segar dan jernih. Segala karat di hati akan hilang dan hati menjadi peka. Tepat seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW:
“Tiap sesuatu itu ada penggilapnya. Penggilap hati ialah zikrullah. Tidak ada (perbuatan) yang lebih menyelamatkan seseorang dari ‘azab Allah lain dari zikrullah.” Sahabat bertanya: “Jihad fisabilillah pun tidak boleh (menandinginya).” Jawab Rasulullah SAW: “Walaupun ia terus mencantas musuh dengan pedan sampai patah.” (Hadith riwayat al-Baihaqi)

Muraqabatullah

Pendakwah patut kerap bermuraqabah dengan Allah dalam setiap tindak tanduk, urusan, perkataan, ‘amalan, perasaan dan runtunan emosinya. Kesungguhan bermuraqabah dengan Allah boleh menyelamatkan pendakwah dari tergelincir dan menyeleweng. Hatinya sentiasa peka dan menurut kemahuan Allah dan bukan kehendak hati sendiri.
Pendakwah harus tahu bahawa urusan hidup ini terbahagi kepada tiga jenis:

a) Sesuatu yang jelas baik dan wajar, maka hendaklah dituruti.
b) Yang jelas buruk dan merugikan, maka hendaklah dihindari.
c) Suatu yang kabur, maka hendaklah ditanyakan tentang itu kepada orang yang tahu.

Muraqabah dengan Allah akan lebih teguh dan terkesan dengan bertambahnya pendekatan diri kepada Allah dan perasaan bahawa Allah hampir dengan dirinya.
Allah SWT berfirman:

“Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.

(Qaf: 16)
Wallahu A’lam..

2 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum...nk tanya nih...harap2 boleh la...apa mksd muraqabah???? time kasih....

Yondaime Hokage (Ahmad Sufian bin Shohor) said...

Ana minta maaf, tak perasan ada komen.
Muraqabah ni bolehlah diertikan sebagai menyakini sepenuh hati Allah melihat dan mengawasi segala gerak geri kita dan dia mengetahui segala lintasan yang wujud dalam hati kita.