Jutawan Klik!!!

Musim Tengkujuh Melanda Umat Islam

Selepas masa berlalu, tiba-tiba umat Islam menjadi lemah dan kaku. Mereka tidak lagi berminat mengkaji alam. Bidang kajian dan tafakur yang berkaitan dengan sains dan teknologi mula diabaikan sedangkan di barat ia tumbuh dan berkembang seperti cendawan. Umat Islam mula cenderung dengan bidang baru iaitu berdebat dan berfalsafah dalam perkara yang ranting dan tidak berfaedah.
Berhubung dengan perkara ini, Syeikh Hasan an-Nadwi di dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam berkata, "Tetapi sayang sekali, kaum Muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuang waktu dan tenaga untuk berfikir dan berfalsafah dengan perkara yang tidak bermanfaat. Jika mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum Muslimin kedudukan mereka tidak menjadi separah itu. Umat Islam bukan sahaja asyik membahaskan sifat-sifat Allah, malah juga berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya. Semua ini memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit. Hasil penemuan (sains) kaum Muslimin sama ada di sudut kuantiti ataupun kualitinya, tidak mendatangkan apa-apa makna jika dibandingkan dengan penemuan barat… Abad keenam belas dan tujuh belas Masihi merupakan abad terpenting dalam sejarah umat manusia. Itulah era kebangkitan bangsa Eropah dari tidurnya selepas berabad-abad lamanya ia hidup dalam kebodohan dan kemunduran. Mereka bangkit untuk menggali segala bidang ilmu dan pada waktu itu mereka berjaya melahirkan ilmuwan-ilmuwan ternama yang berjaya menggantikan sistem pendidikan lama dengan yang baru. Ketika itu kaum Muslimin tidak hanya ketinggalan beberapa saat sahaja berbanding bangsa eropah, lebih malang dari itu mereka terbelakang selama beberapa abad dan beberapa generasi lamanya…"
Perlu disebutkan disini, dalam Islam, selama kajian yang dilakukan dan ilmu yang dihasilkan mempunyai matlamat. Matlamat utama adalah mengagungkan dan membesarkan Allah serta agamanya. Berhubung dengan ini, di dalam Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali berkata, "Ilmu yang terpuji adalah ilmu berkenaan Allah, sifat-sifatNya, af’alnya dan sunnahnya berhubung dengan penciptaan makhluk serta hikmahnya menjadikan akhirat lebih utama dari dunia. Inilah ilmu yang dituntut yang bakal membawa seseorang kepada kebahagiaan akhirat…"
Semasa mencari ilmu, hati perlu ikhlas. Apabila ilmu yang dicari bertujuan mendapatkan kemewahan serta habuan dunia, ilmu itu tidak diredhai Allah. Ilmu yang tidak diredhai Allah mendatangkan beban dan tekanan ke atas pemiliknya. Nabi SAW bersabda, " Sesiapa yang mencari ilmu yang sepatutnya bertujuan mencari keredhaan Allah, tetapi dilakukannya bagi memperoleh harta benda duniawi, dia tidak akan mencium bau syurga pada hari akhirat." Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad yang baik.
Akhirnya, ilmu yang dimiliki tidak bermanfaat apabila tidak diamalkan. Benarlah Imam Salh bin Abdullah semasa beliau berkata, "Manusia semuanya mati kecuali mereka yang berilmu. Ahli ilmu semuanya mabuk kecuali mereka yang beramal. Mereka yang beramal semuanya tertipu kecuali mereka yang ikhlas. Mereka yang ikhlas semuanya dalam ketakutan sebelum diketahui kesudahan amalnya."
sumber: 7 Formula Induvidu CemerlangPenulis: Dr. Danial Zainal Abidin

0 comments: